Sunday, March 25, 2012

HANTU GALAH BUKIT TINGGI



HANTU GALAH BUKIT TINGGI

Cerita ini berlaku di sekitar tahun 80-an di kampung aku. Cerita hantu galah atau hantu tinggi yang sering diperkatakan orang pernah mengganggu penduduk di kampung aku. Gangguannya bukanlah sampai orang nazak masuk hospital tetapi setakat demam sejuk 2-3 minggu dan fobia nak keluar malam sahaja. Kampung aku ni pula letaknya agak pedalaman sedikit, lebih kurang 1 km daripada pekan. Pekan pun setakat pekan koboi sahaja tapi tak adalah kuda. Biasanya penduduk kampung aku jarang keluar pada waktu malam. Yelah, takut di sakat hantu.

Untuk masuk ke kampung aku, bukannya ada jalan tar yang bertol sekadar jalan tanah merah yang penuh dengan batu-batu merah yang terhakis dek hujan. Sepanjang perjalanan pula bukannya ada lampu jalan macam sekarang ni, gelap gelita! Kampung aku ni agak berbukit sedikit, untuk sampai ke rumah aku sahaja kena melalui 2 buah bukit dan bukit yang pertama sekali itu agak tinggi. Oleh kerana ia agak tinggi maka tak teragak-agaklah orang kampung aku menamakannya sebagai Bukit Tinggi walaupun tak di’register’kan di mana-mana pejabat tanah. Tak tau la pulak kalau-kalau nama Bukit Tinggi itu di ambil daripada cerita hantu galah ini atau sebahagian tempat di panggil hantu tinggi, sebab di situlah selalunya hantu galah menyakat penduduk kampung. Kawasan itu yang berhampiran hutan memang sunyi lagi menyeramkan. Kalau di ganggu hantu galah sewaktu menuruni bukit tak apalah juga, kalau diganggu semasa mendaki bukit …. memang terkencing dalam seluarlah gamaknya. Aku pun hairan jugak, hantu galah ni bukan jenis suka sergah-sergah orang tak tentu hala. Setakat yang aku tahu, dia cuma berdiri ditengah-tengah jalan tu terutama kalau ada orag lalu jalan tu. Dan orang yang lalu tu terpaksa melalui kelengkangnya. Bukan dia buat apa-apa pun. Tapi orang semua takut dan lari lintang pukang kalau terserempak dengannya.

Akan tetapi di kampung aku ni ada seorang lelaki bernama Sameon, berusia 40-an dan telah berumahtangga serta mempunyai dua orang anak. Kerjanya hanyalah sebagai penoreh getah berwibawa. Sameon ni mempunyai satu hobi, iaitu suka minum di kedai mamak berbanding dirumah sendiri. Walaupun teh yang dihidangkan oleh isterinya dibeli dari kedai mamak berkenaan, Sameon tetap mengatakan teh mamak yang diminum di kedai mamak adalah lebih sedap daripada minum di rumah. Lagi pun alasan Sameon di rumahnya tak ada TV, di kedai mamak tu ada TV maka dapatlah dia mengikuti perkembangan semasa kerana dia memang sejak lahir buta huruf, tak reti nak baca suratkhabar. Jadi sekurang-kurang dia taklah jadi seperti katak dalam gelas, nampak tapi tak tahu apa-apa.

Bagi Sameon keluar waktu malam ni dah menjadi perkara biasa walaupun sering dilarang oleh isterinya. Cerita-cerita hantu galah di atas Bukit Tinggi itu tak diambil hirau kerana selama lebih 40 tahun dia hidup ni tak pernah pula di bertembung dengan hantu berkenaan samada menuruni bukit ataupun mendaki bukit. Baginya itu hanyalah untuk menakut-nakutkan budak-budak agar tidak keluar pada waktu malam.

Satu hari, kampungnya kecoh apabila Seli anak bujang jirannya diganggu hantu itu sewaktu balik dari kedai.

“ Betul Pak Cik … Kakinya panjang, berbulu. Masa tu saya nak mendaki bukit tu. Saya terdengar bunyi separti orang memijak rumput kering di kiri kanan jalan. Saya pun toleh kanan. Saya tak nampak apa-apa. Masa tu saya dah mula rasa seram sejuk. Tiba-tiba saya rasa seperti dilindungi bayang seolah-olah saya lalu di bawah pokok. Masa tulah baru saya ternampak kakinya di kiri kanan saya. Rupa-rupanya saya sedang melalui bawah kelengkangnya. Apa lagi …. Saya terus campak basikal dan lari sekuat-kuat hati …” begitulah serba sedikit cerita Seli pada orang kampung.

“Kau buat apa keluar malam-malam buta..” Tanya salah seorang orang kampung.

“Er …. Saya pergi beli rokok…” jawab Seli sambil terus membungkus diri dalam selimut tebal yang dirasanya masih tak tebal kerana demam terperanjat.

Sameon hanya menjuehkan bibir. Padanya Seli sekadar mencari alasan untuk memonteng daripada menoreh getah milik bapanya.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari seminggu selepas kejadian Seli diganggu hantu galah, Sameon yang minum di kedai mamak telah terlewat balik ke rumah. Bukan kerana terlalu asyik menonton berita atau bersidang isu-isu semasa tetapi terlalu ‘makhsyuk’ menonton gusti di kedai mamak. Sedar-sedar sahaja dah pukul 11.30 malam. Maka dengan berat hati dia pun meminta diri dari sahabat handainya lantaran takut telinganya menjadi bengkak dan kembang macam telinga gajah pada esok hari akibat leteran isterinya.

Dengan basikal buruknya, dia mengayuh sambil bersiul-siul kecil. Dia membawa lampu suluh sebagai lampu tambahan basikalnya. Kalau menuruni bukit, teranglah lampu basikalnya, tetapi kalau mendaki bukit, lampu suluh itulah yang digunakan untuk menyuluh jalan.

Apabila sampai sahaja di kaki Bukit Tinggi itu, Samoen turun dari basikalnya dan menyorong basikalnya mendaki bukit itu. Dengan berbekalkan lampu suluhnya dia menyuluh kiri dan kanan jalan sambil terus bersiul-siul. Tiba-tiba dia tersuluh sesuatu. Di tepi semak ternampak sesuatu bergerak-gerak. Sameon berhenti bersiul dan cuba mengamati benda yang bergerak-gerak itu. Waktu itu, romanya mula menegak. Dia menelan liur apabila mendapati benda yang bergerak itu kelihatan seperti jari kaki manusia tetapi besarnya hampir sama dengan kepala tututnya. Liur yang ditelan semakin kesat seperi pasir lombong apabila suluhannya menjangkau ke pergelangan kaki tadi yang berbulu. Kali ini kaki Sameon mula bergetar. Lututnya bergoncang kuat dan berlaga-laga apabila suluhannya mula menjangkau paras atas kaki berkenaan.

Apabila suluhannya naik ke bahagian paling atas kaki tersebut, Sameon menutup mulut, lampu suluhnya terlepas, dan dia terduduk sambil membiarkan basikalnya menyembah bumi. Dengan mata berkaca-kaca malah air mata dah mula meleleh keluar, Sameon tersenggut-senggut dan akhirnya dia tertunduk menekan perut. Pada waktu itulah terdengar suara Sameon ketawa  terbahak-bahak membelah Bukit Tinggi itu. Sekali dengar bunyi macam keldai tenggelam dalam air.

“ Hei manusia … kenapa kau ketawa? Kau tak takutkan aku?” tanya satu suara garau tiba-tiba dari sebelah atas.

Sameon yang tadinya bergolek-golek ketawa cuba mengawal tawanya sambil menunjuk-nunjuk ke arah atas. Dia memandang ke atas sambil tangannya meraba-raba mencari lampu suluh. Dia menyuluh wajah empunya suara tadi. Walaupun wajah itu hodoh dengan mata yang merah dan berbulu serta hidung yang besar juga berbulu. Ia tak lagi dapat menakutkan Sameon. Padanya wajah itu dah sama macam badut sarkas yang popular pada waktu itu.

Dengan menekan-nekan perut Sameon berkata …

“ Harap kaki aja panjang, badan aje besar … tapi ….’anu’nya kecik ….. macam budak sekolah tadika …..Hahahaha….!!!” Sekali lagi Sameon terduduk sambil tangannya terus menyuluh ke arah ‘anu’ hantu galah tersebut. Maklumlah, hantu bukan reti pakai seluar dalam. Lagi pun supermaket manalah yang ada jual size dia tu.

Entah bila hantu itu pergi Sameon pun tak tahu. Yang pastinya semenjak peristiwa itu, hantu galah itu tak pernah lagi muncul di Bukit Tinggi. Tetapi ada sekali tu, ada sorang penduduk kampung yang melalui jalan di Bukit Tinggi itu, ternampak kelibat hantu galah tersebut .Yang peliknya kaki hantu galah itu tertutup rapat ala-ala pengantin atas pelamin gitu. Tapi bukan duduk kat tengah jalan tapi kat tepi jalan sambil memerhati oaring kampung lalu lalang.

No comments:

Post a Comment