Monday, March 12, 2012

MOTOR YAMAHA 'Z'

Salam, sepatutnya semalam saya pos 1 lagi cerita. Disebabkan sedikit sibuk maka hari ini saya up-date cerita baru...

Cerita ini adalah cerita pertama saya yang disiarkan di dalam majalah GILA-GILA tahun 2006. Keluaran yg mana satu, bulan berapa, saya tak ingat.

Cerita seram & lucu... so enjoy!!!



Motor YAMAHA ‘Z’

Cerita ni benar-benar terjadi di kampung aku di Sg. Mati, Muar, Johor. Kisahnya berkisar pada sebuah motorsikal jenama YAMAHA ‘Z’ yang baru 6 bulan dibeli dan digunakan oleh seorang lelaki di kampung bersebelahan dengan kampung aku. Lelaki itu Mahmud (nama sebenar tak diketahui) terlalu sayangkan motornya. Maklumlah setahun lebih mengikat perut, kaki, tangan, mata, mulut .. semualah … nak menyimpan duit nak beli motorsikal idamannya. Dari badan macam Rambo Chin dah jadi macam Osman Kering. Tapi Mahmud puas hati. Dia beli motor tu ‘cash’ … tak main hutang-hutang.

Hari-hari motor itu dimandikan, disyampukan malah dibedak dan di’lipstick’kan supaya kelihatan cantik dan baru sentiasa. Malah kalau dia berbini pun, takkan dibuatnya macam tu. Begitu dahsyatnya sayang Mahmud pada motor tu.
Tapi … jeng..jejeng…!!! Sayang Mahmud pada motor tu, tak lama. Lepas 2 bulan, Mahmud terlibat dalam kemalangan jalanraya. Dia terjatuh dari motorsikalnya selepas cuba mengelak sebuah lori yang penuh dengan muatan ….er…er…’kerbau pendek’ (tak sopanlah kalau cakap direct ) yang terbabas dan melintang di tengah-tengah jalanraya. Mahmud yang tak dapat mengawal motorsikalnya lalu merempuh ‘muatan’ lori tersebut dan jatuh. Tak semena-mena pula, ‘muatan’ lori itu pula jatuh menghempap Mahmud dan Mahmud sempat menolak motorsikalnya agar tidak terhempap sama. Dan yang sedihnya, Mahmud meninggal dunia disitu juga. Motorsikalnya hanya cereda ringan sahaja dan dirawat sebagai pesakit luar di bengkel motor di kampung Mahmud.
Sejak itu, motorsikal Mahmud tidak ada siapa yang menaikinya kerana Mahmud tidak ada adik-beradik lain. Dia anak tunggal. Bapanya, Pak Dolah (nama samaran) pula tak sampai hati nak bawa motorsikal itu, hatta walaupun hanya sekadar berlegar-legar disekeliling rumah kerana terlalu teringat-ingatkan Mahmud. Motorsikal itu cuma disimpan di bawah rumah sebagai kenangan.
Tapi dua minggu lepas tu, sesuatu yang misteri terjadi. Motorsikal dibawah rumah tu, tiba-tiba menderum. Kelam kabut Pak Dolah, kalau-kalau motor itu dicuri orang. Tetapi apabila sampai di bawah rumah, motor itu masih seperti asal, tak berganjak dari tempatnya, cuma enjinnya hidup sendiri, tanpa kunci. Pak Dolah bertambah pelik apabila setiap hari menjelang tengah malam motor itu meraung menyebabkan dia dan isterinya tak dapat tidur. Isteri Pak Dolah hilang sabar dan mendesak Pak Dolah menjual motor tersebut dikedai motor yang berdekatan. Dengan rasa berat hati dan mata yang sembap… akhirnya motor tersebut bertukar tangan. Barulah lega hati keduanya, dan lepas ni mereka dapat tidur dengan nyenyak.
Tapi kenyenyakan tidur mereka tak lama apabila tokeh kedai motor itu datang dengan merayu-rayu sambil menangis-nangis agar Pak Dolah mengambil semula motor tersebut kerana tak tahan dengan kerenah motor tersebut yang suka meraung di tengah-tengah malam. Malah tokeh kedai tersebut menyerahkan motor tersebut secara percuma tak perlu memulangkan kembali duit penjualannya tempohari. Apabila Pak Dolah mengangguk setuju aje, dia pun mencicit lari tak toleh kiri kanan lagi.
Begitulah seterusnya mata Pak Dolah dan isterinya membengkak lagi dek kerana tak dapat tidur. Dah puas dia mencari bomoh dan pawang bagi memulihkan motor tersebut, tetapi keadaan masih begitu juga. Dan akhirnya dia mencanangkan ke kampungnya … sesiapa yang nak membeli motorsikal itu dengan harga cuma RM 100.00 sahaja. Maka berebut-rebutlah orang nak membelinya dan cuba untuk memulihkan motor tersebut. Dan lega lagi hati orang tua itu bila motor itu akhirnya terjual juga. Maka tamatlah penderitaan mereka.
Hampir 2 bulan motor itu tiada di rumah mereka. Mereka cuma mendengar berita sahaja yang mengatakan motor itu sering bertukar tuan kerana tak tahan dengar ia meraung tengah-tengah malam seolah-olah ada orang sedang menunggangnya. Tetapi pada mereka itu bukan masalah mereka lagi, itu masalah dia orang la pulak. Bukan dia tak beritahu masalah motor tersebut.
Tetapi .. disuatu pagi yang hening, sewaktu ayam jantan baru nak mengasah tekak nak berkokok. Terdengar satu kokokan yang pelik … er jeritan…di depan rumah Mahmud. Terlihat seorang lelaki tua terduduk menendang-nendang tanah dan di hadapannya terdapat suatu benda berbalam-balam. Motorsikal YAMAHA ‘Z’ milik Mahmud ada di depan rumahnya. Pak Dolah la tu … terkejut tengok motor itu dah kembali ke rumahnya masa dia baru nak turun menoreh getah.
“Siapa orang yang pulangkan balik motor tu?”
“Entahlah … aku pun tak tahu. Tak de sapa pun ngaku…”kata Pak Dolah.
“Abih … motor Pak Cik tak jual lagi ke?”
“Tak .. aku tak jual lagi. Kalau jual pun buat apa… nanti balik ke sini jugak. Nasib baik motor tu cuma menderum aje, kotnya dia berjalan … puas la pulak aku nak mengejarnya.”
“Tapi mata Pak Cik dah tak bengkak lagi. Pak Cik Pakai ubat apa dan mana motor tu sekarang?”
“Mata aku … hehe.. ada la … motor tu pun ada, aku simpan buat kenang-kenangan. Mahmud tulah satu-satunya anak aku. Kau nak tengok motor tu?” pelawa Pak Dolah.
“Mmmm … boleh jugak.”
Orang tua itu bangun dan berjalan malas ke bawah rumah dan di sana terlihat bentuk sebuah motorsikal yang ditutup cantik dengan kanvas di sebatang tiang di bawah rumah.
“Inilah motor tu..” kata Pak Dolah sebaik sahaja kain kanvas dibuka.
Maka terlihatlah sebuah motorsikal YAMAHA ‘Z’ berwarna merah berbelang putih yang cantik, berkilat dan masih baru tetapi … tanpa enjin.
“Enjinnya aku dah buang kat Sungai Muar.” Begitulah berakhirnya perbualan kami.

Namun malang memang tak berbau macam tempoyak atau pekasam. Nak dijadikan cerita, malam itu tiba-tiba aje seluruh rumah tua itu tergempar. Tengah malam itu juga bunyi motor yang entah dari mana datangnya berbunyi di bawah rumah.
Pak Dolah terduduk bertimpa timpa dengan isterinya bila melihat enjin motor itu menderum dibawah rumah, parking betul-betul di sebelah rangkanya.

No comments:

Post a Comment