Cerita ni meraih tempat ke-3 dalam PERTANDINGAN MENULIS CERPEN REMAJA KARYANET 2005 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka
“ Man. Bangun, mandi, sembahyang subuh! Lepas tu pergi sekolah! Liat betullah budak ni..” Rungut emak suatu pagi.
Aku bangun lambat-lambat. Mata masih berat seperti ada pemberat sedang bergantungan di bulu mataku. Aku menguap beberapa kali lantas kembali membaringkan diri di dakap kedinginan subuh.
“Astaghfirullah! Bangun!!” Jerit emak membuatkan aku bingkas bangun ke bilik air.
Aku terus ke bilik mandi sambil merungut-rungut sendirian. Tanda membantah.
Sudahlah malam tadi aku tidur lewat. Kerana menyiapkan kerja rumah yang terbengakalai. Siang semalam selepas sekolah aku dikerah emak ke kebun mencangkul batas ubi dan keledek. Lewat petang baru pulang yang malamnya aku kena berhempas pulas mentelaah buku-buku sekolah.
Selepas ayah meninggal dunia setahun lalu. Emaklah yang menjadi ketua keluarga. Tetapi emak terlalu tegas. Mentang-mantanglah aku anak sulung, semua kerja aku nak kena tanggung. Penatlah! Tiga adik ku yang lain, tidak pula di kerah bekerja. Mungkin Mira terlalu kecil untuk dikerah bekerja kerana baru berusia 3 tahun. Tetapi Azhar dah 10 tahun. Azmi dah 12 tahun. Kenapa asyik aku sahaja yang dikerah bekerja?
Ah! Emak. Tak tahukah aku penat belajar di sekolah? Hari-hari di tekan dengan kerja-kerja sekolah yang tak pernah habis. Emak tak sekolah, mana emak tahu semua itu. Aku tahun ini nak ambil SPM. Mestilah nak tumpu perhatian kepada pelajaran. Perlukan rehat yang lebih. Emak mana rasa semua itu. Pencen arwah ayah, pun sudah cukup untuk menampung hidup. Kenapa bersusah payah nak berkebun? Ke mana perginya pencen arwah ayah? Ah .. emak terlalu boros… ! Aku tak nampak apa pun barang-barang mewah di rumah. Ia sama seperti dua atau tiga tahun dahulu. Tak ada bezanya.
Ah! Emak bukannya faham. Hari-hari memasak dan jaga adik sahaja. Bukan emak tahu susah payah aku belajar. Awal-awal pagi nak bangun. Lepas tu pergi sekolah. Disumbat dengan segala fakta-fakta dan simbol-simbol yang perlu diingat untuk menghadapi peperiksaan. Mungkin kalau emak yang jadi aku, dia tentu akan faham apa yang aku hadapi.
“Apa nak jadi budak-budak sekarang. Malas sangat nak bangun pagi pergi sekolah.” Keluh emak.
Hari itu aku ke sekolah dengan mata yang layu, badan yang letih. Namun aku masih meneruskan langkah.
“Azman, lepas zohor nanti tolong emak cabut ubi. Mak nak jual kat peraih pagi esok.” Emak memerintah.
“Ala … mak suruhlah Azmi atau Azhar yang buat. Saya ada temujanji dengan kawan-kawan di perpustakaan,” aku membantah.
“Manalah Azmi dan Azhar tu kuat nak cabut ubi. Berapa sahajalah ubi yang dapat dijual esok. Berapa sen sangatlah yang dapat nanti…Duitnya nanti pun, kau juga nak pakai.” balas emak.
“ Esok sahajalah kita cabut. Man sibuk la mak….” Marah aku sambil terus meninggalkan emak terkulat-kulat.
Emak hanya menggeleng-gelengkan kepala.
Puas hati aku dapat melarikan diri dari kerja-kerja berat. Aku lihat orang lain pun ada juga tidak berbapa. Mereka tidaklah bekerja siang malam. Masih boleh duduk bersantai, masih mampu tersenyum tawa setiap masa. Tetapi aku? Tiada masa langsung bersantai, beriang gembira. Zaman remaja aku hanya habis di kebun. Dengan kaki berbecakkan lumpur dan onak.
Ah! Seronok jadi emak. Kerja senang. Tak perlu mengadap buku-buku matematik, buku sejarah, geografi dan lain-lain. Hari-hari cuma jaga adik, memasak dan mencuci baju. Turun ke kebun sekadar mencangkul. Selebihnya aku yang lakukan. Segala-galanya aku. Yang penat juga aku. Aku, aku dan aku …
* * * * *
“Krringgggg !!!” jam loceng dihujung kepalaku menjerit nyaring.
Aku mencapainya lalu menutup tuil loceng dijam tersebut.
“ Ah … baru pukul 5 pagi …” kataku sambil cuba memejamkan mata kembali.
Tetapi aku hairan kenapa mata ini tidak mahu lelap seperti selalu. Aku lantas bangun.
“Mak …! Mak…!” terdengar suatu suara kecil di sebelah kiriku.
Aku menoleh dan ku lihat Mira sedang merengek-rengek mahukan susu. Tetapi kenapa dia memanggil aku ‘emak’?
Ya Allah!! Aku kini berada di dalam tubuh emak! Di mana tubuhku? Aku berlari keluar dari bilik dan menuju ke bilik aku dan aku melihat ‘aku’ yang berwajahkan ‘emak’ sedang lena dibuai mimpi. Aku meraba-raba wajahku yang kini berada di dalam tubuh emak. Dadaku berdebar-debar. Rasa seperti hendak menangis pula.
“Maakk !! “ suara Mira dari dalam bilik mula kuat.
Tanpa berlengah aku segera ke pangkuan Mira dan tanpa disuruh-suruh aku terus menyusukan Mira. Dan aku mula tersenyum …
“Bagus juga aku jadi emak. Biar emak tahu betapa susahnya menjadi aku … Bolehlah aku bangun lewat sikit, bolehlah aku berehat lama sikit… ” kataku perlahan-lahan sambil mendodoikan Mira dipangkuan.
“Ah , dah subuh. Sarapan belum dibuat lagi,” bisik ku.
Perlahan-lahan aku meninggalkan Mira yang tidur. Terus aku ke dapur menjerang air dan menyediakan sedikit sarapan pagi. Aku membuat cucur untuk adik-adikku dan ‘emak’ yang masih tidur.
Jam menunjukkan pukul 6 pagi. Selepas menunaikan solat subuh, aku mengejutkan ‘emak’ dan adik-adik yang lain.
Namun kesemua mereka begitu sukar untuk dikejutkan terutama Azmi. Aku hilang sabar lalu menjiruskan Azmi dengan air. Barulah Azmi bergegas ke bilik air untuk mandi. Aku menjadi bertambah geram bila ‘emak’ buat-buat tak endah sahaja semasa dikejutkan sebelum pergi ke sekolah.
‘Jagalah … tahulah nanti emak ke sekolah menggantikan aku…’ aku menggertap bibir.
Apabila adik-adik dan ‘emak’ ke sekolah aku fikir hendak menyambung tidur. Tetapi semasa melintasi bilik Azmi dan Azhar aku lihat baju-baju kotor bertaburan. Juga di dalam bilikku. Aku memungut baju-baju kotor tersebut dan membawanya ke bilik air. Cadangku bila matahari naik segalah nanti bolehlah aku membasuh pula. Tetapi apabila aku sampai ke bilik air, aku lihat baju telah tersedia bertimbun. Dan aku mengambil keputusan untuk membasuh dahulu sebelum tidur semula.
Satu per satu baju ku berus. Tanpa ku sedar, jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi. Sesudah siap membasuh aku menyidai pakaian di ampaian. Belum pun habis menyidai pakaian terdengar pula Mira menangis. Aku bergegas ke arah Mira di dalam bilik. Sambil memujuknya aku mendukung Mira ke ampaian dan membiarkan Mira bermain-main di sekitar. Habis sahaja menyidai kain, aku mengemas rumah yang sedikit bersepah di ruang tamu dan bilik adik-adik, kemudian aku membawa Mira ke bilik air dan memandikannya. Aku menjemur tilam Azmi yang basah pagi tadi. Begitu bersusah payah aku mengangkatnya. Rasa menyesal pula menjiruskan Azmi pagi tadi.
Selesai semua kerja, baru aku tersedar aku masih belum masak makanan untuk tengahari itu. Aku terus bergegas ke pasar membeli ikan dan sayur untuk makan tengahari. Sepulangnya aku ke rumah, aku terus menyiang ikan dan memotong sayur. Menanak nasi. Hampir-hampir terlewat apabila Azhar kembali dari sekolah sambil mengadu lapar.
“ Tunggu sekejap. Duduk dulu hilangkan peluh. Baru makan nasi,” pujuk ku.
“Mak. Esok cikgu mintak RM 10.00. Nak beli buku latih tubi …” Azhar memberitahu aku semasa mula nak menjamah nasi. Aku hanya mengangguk.
Aku terus ke bilik untuk mengambil duit. Aku membelek dompet emak. Yang ada hanya RM 10.00. Aku tercari-cari yang lain.
‘Tak kan RM 400 pencen arwah ayah tak ada lagi. Sekarang baru pertengahan bulan.” Aku merungut sendirian.
“Mak … Man dah balik!” jerit ‘emak’ atau ‘aku’ dari luar.
“Semalam Man minta RM 30 untuk beli buku rujukan, tapi mak tak beri. Esok Man mesti beli buku tu. Semua kawan-kawan Man dah beli. Man sorang aje yang belum. Cikgu memang la tak marah tapi asyik perli-perli Man aje.” Rungut ‘emak’ semasa mengadap hidangan.
“Nanti tolong emak cabut ubi petang ni,” kataku spontan.
Hanya dengan itu sahaja aku dapat penuhi permintaan mereka.
“Balik-balik Man. Man penat la mak…” bantah ‘emak’.
“Mak lagi penat Man ..” kataku perlahan.
“Penat apa. Mak duduk rumah aje. Mak bukannya buat apa. Masak, basuh baju, jaga adik .. itu aje…Tak macam Man. Pergi sekolah, buat kerja rumah. Belajar tu penat tau mak..” jawab ‘emak’ dengan biadap.
‘Kau kata aku tak buat apa? Aku dari seawal pukul 5 pagi sampai sekarang tak duduk diam, kau kata aku tak penat? ‘ Namum kata-kata itu hanya terluah di hati. Aku tak tahu kenapa aku jadi sayu.
Begitukah layanan ku pada emak selama ini?
Aku selongkar laci menacari wang untuk perbelanjaan Azhar dan ‘emak’ . Yang aku temui hanya resit-resit pembayaran api, air dan sewa rumah. Semuanya bernilai RM 250.00. Dan baki pencen ayah cuma RM 150.00. Aku membuat congakan bagi perbelanjaan sekolah Azmi, Azhar dan aku sendiri. Perbelanjaan dapur dan sebagainya. Baru aku sedar semua itu tak mencukupi. Barulah aku faham kenapa emak berkebun. Biarpun bukan di atas tanah sendiri tetapi hasilnya cukup untuk menampung kami sekeluarga.
“Man nak ke rumah Leman, nak pinjam buku. Mak suruh Azmilah cabut ubi,” ‘emak’ terus berlalu tanpa mempedulikan aku terkulat-kelat di bilik.
Aku terpaksa akur dengan kedegilan diriku sendiri. Tak apa, aku boleh cabut ubi sendirian. Aku masih ada kudrat.
Selepas mencuci pinggan mangkuk dan menidurkan Mira, aku bersiap sedia ke kebun.
“Azmi, mari tolong mak cabut ubi. Azhar, tolong tengok-tengokkan adik., lepas tu tolong sapu sampah di luar rumah. Jangan nak asyik bermain aje…” bebelku lagi.
Sesampainya aku di kebun, aku terus mencapai parang dan mula mencantas batang-batang ubi sebelum mencabutnya. Azmi pula mencangkul-cangkul batas keledek sambil menyanyi-nyanyi kecil.
Aku mula mencabut sebatang pokok ubi. Sehabis-habis tenaga aku cuba mencabut. Namun aku merasa amat payah dan cepat letih. Baru serumpun aku cabut, aku dah rasa macam nak pitam.
“Mak tak apa-apa?” Tanya Azmi.
“Tak ada apa-apa” jawabku sambil mengelap peluh yang berjuraian di dahi.
“Tak apa, nanti Mi cabutkan,” kata Azmi sambil mengambil alih kerjaku.
Juga sehabis-habis tenaga Azmi mencabut. Tetapi berapa sangatlah kudrat budak berusia 12 tahun itu.
Usia? Baru aku teringat, emak sudah hampir menjangkau 43 tahun. Masakan seorang wanita separuh umur seperti emak segagah aku untuk mencabut ubi. Tanpa ku sedari air mataku mengalir.
“Sudahlah Mi, mari kita balik. Dah petang ni. Nanti tak sempat pula nak jual ubi ni kepada Ah Kau,” kataku kepada Azmi.
Tiga rumpun ubi kayu, beberapa ikat kangkung kampung, sebakul kecil keledek dan pucuk keledek. Aku berkira-kira, dapatlah juga RM 20 - RM 30. Lepaslah perbelanjaan mereka esok.
Sesampai sahaja di rumah, aku lihat Azhar sudah terlena di hadapan tv. Namun aku masih tersenyum kerana melihat pakaian yang aku basuh siang tadi sebahagiannya sudah siap berlipat. Mungkin kerja Azhar.
Sesudah aku membersihkan diri, aku sendirian mengangkat tilam di jemuran dan kemudian mengemas katil Azmi. Aku duduk seketika menghitung masa dari awal pagi hingga sekarang. Aku berasa teramat-amat letih. Keletihan ini tidak seperti keletihan aku belajar sambil menolong emak di kebun.
Barulah aku sedar, selama ini aku silap. Menilai kerja emak hanya melalui mata kasar. Aku lupa bahawa tugas ibu tunggal itu lebih berat demi menjaga hati anak-anaknya. Tetapi aku? Apa pengorbanan aku pada emak? Apa usaha aku untuk membantu emak? Emak memendamkan keperitan hidupnya daripada kami adik-beradik. Kerja emak lebih berat berbanding aku. Kerja yang selama ini aku pandang remeh, rupa-rupanya lebih berat. Emak tidak punya masa untuk berehat, sedangkan aku terlalu degil dan hanya mementingkan diri sendiri. Aku tak pernah membantu emak meringankan bebannya semasa cuti sekolah. Anak orang lain boleh bekerja sambilan untuk mencari duit poket tetapi aku ..? Mujurlah adik-adik tidak berperangai bukan-bukan. Semua memahami desakan hidup yang di tanggung oleh emak. Tetapi aku? Aku yang tak faham … Kalaulah adik-adik jenis yang suka meminta itu ini, atau jenis yang degil dan terjal … pasti kerja emak menjadi lebih sukar. Kalaulah adik-adik berperangai seperti aku ……
‘Mak….maafkan Man mak. Man bersalah pada emak selama ini. Man tak tahu bagaimana Man nak tebus kembali kesilapan Man ini…’ aku menangis sendirian.
‘Aku tak mahu jadi emak! Aku nak jadi aku! Aku nak belajar bersungguh-sungguh untuk membela nasib emak dan adik-adik! Aku ingin kembali ke tubuhku! Tapi … bagaimana? Aku terperangkap di dalam tubuh emak…’ jantungku mula berdebar kencang.
“Mak, Ah Kau dah sampai!!” jerit Azmi dari luar.
Aku bergegas ke belakang rumah mengangkat hasil taniku tadi kepada Ah Kau yang sedang mennunggu dengan van buruknya.
“Haiya! Manyak selikit ini hali kak? “ tanya Ah Kau kepadaku dengan loghat cina pekatnya.
“Tak laratlah Ah Kau aku nak cabut ubi banyak-banyak.” Aku mengadu.
“Tak apa..” Ah Ka uterus menimbang ubi serta sayar-sayur kampung yang ku petik tadi.
“Berapa Ah Kau.?” Tanyaku sambil mengesat peluh yang merenik-renik di dahi.
“ RM 28.00,” Ah Kau menjawab pendek.
“Ala bagilah RM 30.00…” Pintaku merayu.
“Ini sudah mahal saya ambil kak. Orang lain tak ambil macam ini punya harga.” Kata Ah Kau sambil mengira wang untuk diserahkan kepada ku.
“Bolehlah Ah Kau…” rayuku lagi.
“Kak, saya pun untung sedikit saja. Ini saja yang boleh saya bagi pada kakak,: kata Ah Kau sambil menghulurkan wang bernilai RM 28.00.
Mahu tak mahu aku terpaksa menerima juga nilai wang tersebut. Aku mencongak lagi perbelanjaan untuk esok termasuk wang belanja untuk Azhar dan ‘emak’. Aku mengeluh panjang. Jumlah itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan esok.
“Mak … bila nak masak ni. Kami dah lapar …” jengah Azmi dari luar.
Lamunanku terhenti. Aku mengelap air mata sambil tersenyum.
Lambat-lambat aku ke dapur untuk memasak makan malam. Aku berfikir, apakah hidangan makan malam yang hendak aku sediakan. Masak asam pedas? Baru semalam sudah makan asam pedas. Nak masak lemak cili padi, siang tadi baru sahaja habis gulai seperiuk. Sekali lagi aku terfikir betapa susahnya menjadi emak. Berfikir apakah hidangan yang bakal disediakan untuk anak-anak agar tidak jemu menghadapi makanan yang sama setiap hari. Biarpun nampak mudah, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Barulah aku teringat, aku selalu merungut masakan emak yang hampir sama setiap hari. Sekarang baru aku tahu, selama ini aku sering menyakitkan hati emak. Tetapi emak tak pernah merungut dengan tindakan aku. Emak hanya tersenyum.
Ah, emak! Emak terlalu tabah menghadapi kerenah aku yang bukan-bukan. Emak masih mampu tersenyum walaupun aku membantah kata-katanya. Aku sering tidak mengendahkan apa yang emak katakan, yang emak marahkan…aku….!
“Mak maafkan Man…”
Akhirnya aku menggoreng ikan untuk dimasak kicap dan pucuk keledek masak lemak putih. Aku harap ‘emak’ tidak merungut masakan aku pula. Selesai memasak, aku ke ruang tamu menyediakan tempat untuk makan malam.
Kami makan bersama-sama malam itu dan aku bersyukur ‘emak’ tidak merungut masakanku malam itu.
“Lepas makan ni, buat kerja sekolah. Baca buku ….” Kerahku pada adik-adik.
Aku pula kembali sibuk di dapur membasuh pinggan mangkuk dan periuk belanga. Kemudian aku melipat baju yang masih berbaki yang ditinggalkan oleh Azhar. Seterusnya menyusun baju-baju itu ke tingkat-tingkat baju di dalam bilik.
Aku kembali termenung mengenang nasib diri yang terperangkap di dalam tubuh emak. Bagaimana aku hendak menebus dosa aku pada emak.
“Mak .. tolong urut badan Mi. Sakitlah mak…” pinta Azmi tiba-tiba.
Tanpa berlengah aku mengambil minyak angin dan mengurut belakang badan Azmi yang dikatakan sakit itu. Walaupun tubuh ku sendiri sakit. Kaki yang pecah-pecah. Aku gagahkan juga mengurut badan Azmi.
“Mak…nak tidur…” kata Mira pula.
Lantas aku membawa Mira ke bilik sebelum mendodoikannya. Mujurlah dia tidak meragam, dan Mira tidur dengan mudah.
Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Hanya tinggal ‘emak’ sahaja yang masih mengadap buku-buku sekolah.
“Mak tidur dulu ye Man,” kataku pada ‘emak’.
Dan ‘emak’ hanya mengangguk endah tak endah.
Aku tersinggung dengan tingkah laku ‘emak’ padaku. Sambil berbaring fikiranku masih berpusing-pusing.
Begitukah sikapku pada emak selama ini?
Begitukah layanan ku pada emak selama ini?
Banarkah hati emak tersinggung seperti mana yang aku rasa hari ini?
Benarkah emak tidak boleh melelapkan mata setiap malam hanya mengenang sikapku?
Oh! Tidak!! Aku ingin berbakti pada emak! Aku tak mahu lukakan hatinya lagi!! Aku nak jadi Azman! Bukan emak! Aku nak tebus kesalahan aku!
“Tak boleh Man. Kau yang minta supaya emak engkau menjadi engkau. Mengetahui susah payah menjadi engkau. Bermakna kau ingin bekerja senang macam emakmu. Kau perlu menjadi emak untuk seumur hidup kau.!!” Jerkah satu suara yang entah dari mana datangnya.
“Tidak!! Aku tak mahu …!! Aku menyesal sekarang..!! Tolonglah aku…!! Aku nak jadi Azman yang baik! Aku nak tebus dosa aku pada emak…!!”
“Baginilah cara kau menebus dosa pada emakmu. Kau akan rasa keperitan hidup emakmu. Kau akan tahu susah payah hidup emakmu melayan kerenah anak-anak. Kau harus bersedia menghadapi kerenah diri mu sendiri untuk selamanya” Kata suara itu lagi.
“Adakah ini hukuman? Ampunkanlah dosa-dosaku Ya Allah!!” aku terus menjerit kesal.
“Ini hanya hukuman duniawi. Hukuman derhaka kepada ibu bapa di akhirat adalah lebih dahsyat lagi. Minta ampun pada emakmu, selain dari Tuhan. Kau berdosa dengannya, hanya emakmu sahaja yang bisa memaafkan dosa-dosa mu…” kata suara itu lagi.
“Tapi bagaimana? Aku terperangkap di dalam tubuh emak. Dan emak sudah menjadi aku … Tolonglah … Aku menyesal …aku menyesal!!!”
“Sudah terlambat Man. Tak mungkin kau boleh kembali ke asalmu. Ini sudah di tentukan Allah.” Kata suara itu lagi.
Aku menangis semahu-mahunya. Aku benar-benar menyesal. Biarpun selama ini aku tak pernah berbohong pada emak tentang pelajaran dan ke mana aku pergi melarikan diri dari ke kebun membantu emak, tetapi tingkah laku ku sudah cukup membuat emak kecewa, menderita. Air mata emak sudah banyak yang tumpah, Cuma aku saja yang tak tahu. Ya Allah! Bantulah aku…. Aku ingin menebus dosa-dosa aku pada emak….
Kringggg!!!
Jam loceng itu berbunyi lagi. Aku bangun mengejut. Aku menangis lagi. Aku sendiri tak sedar bila aku terlelap malam tadi. Ini bermakna aku harus menghadapi suasana yang sama seperti siang semalam.
“Man, bangun, mandi sembahyang subuh!!” terdengar suara perempuan sambil mengetuk daun pintu bilikku.
Mak?
Aku membelek-belek tubuhku sambil memerhati keadaan sekeliling.
“Mak….!” Kataku separuh berbisik.
Aku malompat turun dari katil.
“Mak..!!” aku menjerit sambil menerkam ke arah emak.
“Astaghfirullah..Apa pasal ni Man..!!” kata emak yang terkejut dengan tindakan ku.
“Ampun kan Man mak! Ampun kan Man! Man berdosa pada mak. Man bersalah pada mak..” aku menangis di dalam pelukan emak.
“Apa Man cakap ni….” Emak memujuk ku dengan lembut sambil membelai rambutku.
“Baru Man sedar susah payah mak selama ini.Man tak nampak semua itu mak. Man buta pada kesusahan mak..” kataku lagi.
“Mak tak pernah rasa susah Man. Apa yang mak mahu semua anak-anak mak hidup sempurna macam anak-anak orang lain. Mak sanggup buat apa sahaja untuk kebahagiaan anak-anak mak,” kata emak.
“Apa sebenarnya yang terjadi Man? Kenapa Man tiba-tiba menangis begini?” tanya emak pula.
Aku terkedu. Tak tahu apa yang hendak kau ceritakan. Pengalaman aku menjadi ‘emak’ amat-amat berkesan di dalam jiwa aku. Aku malu pada emak.
“Tak ada apa-apa mak. Man … Man bermimpi ….” Kataku cuba menyembunyikan apa yang berlaku.
“Mimpi apa?” tanya emak lagi.
“Tak tahulah mak. Man tak tahu nak cerita macam mana. Biarlah ia menjadi rahsia Man, mak. Mak, ampun kan Man!” rayu ku.
“Sudahlah Man. Tak ada apa yang mak nak ampunkan. Man tak buat salah pada mak pun,” jawab emak.
“Mak mesti ampunkan Man. Man akan rasa bersalah seumur hidup Man selagi mak tak ampunkan Man,” desakku.
“Baiklah, mak ampunkan. Pergilah mandi, sembahyang subuh dan pergi sekolah,” kata emak.
Aku mengangguk. Lantas terus ke bilik mandi menunaikan kewajiban ku. Aku lihat emak cuma menggelengkan kepada sambil tersenyum.
‘ Terima kasih mak. Terima kasih Ya Allah. Kau memberi peluang aku merasa kejerihan emak yang selama ini aku sendiri tak tahu. Kau beri aku peluang merasa menjadi seorang ibu tunggal yang tabah menghadapi segala dugaan-Mu. Aku yang tak mampu menghadapinya. Ampunkan aku Ya Allah. Berikan aku hati yang tabah, setabah ibuku di dalam menempuh kehidupan di dunia-Mu yang fana ini. Amin!’
Waaaaaa....
ReplyDeleteNi nangis ke... terkejut suka...hahaha
DeleteTapi husband akak kata... dia rasa cam nak nangis....