Cerita ni berlaku semasa Sahak (nama separuh betul) mengikuti Survey Camp di Kuala Woh pada tahun 1998. Masa tu dia belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di utara tanah air. Walaupun tak setinggi mana, tapi kolej tu cukup tinggi kerana letaknya di atas puncak bukit dengan bangunan 5 tingkat tanpa lif. Tinggi sungguh! Kira berpeluh le ketiak nak memanjatnya. Agaknya berapa botol le deodoran yang dia orang pakai dalam sebulan. Tapi ini bukannya cerita pasal bangunan kolej dia yang tinggi tak ada lif tu atau berapa botol deodoran yang dia orang pakai dalam sebulan.
Kuala Woh, memang sebuah tempat peranginan, tetapi tidak begitu popular. Ia merupakan jeram yang sungainya mengalir bersambung dengan Air Terjun Lata Iskandar satu lagi kawasan peranginan yang cukup popular. (Kalau korang orang Perak, korang tau la tempat ni). Ia lebih kepada tapak perkhemahan di tebing sungai yang berjeram dan di tebing sungai itu juga terdapat sebuah kolam air panas yang airnya cukup panas kalau nak dibuat tempat berendam ala-ala jakuzzi. Tetapi air panas di kolam itu cukup pelik, kalau direndam sebiji telur sepanjang malam, nescaya telur itu masih mentah seperti tidak direndam langsung! Magik sungguh! Pun begitu, cerita ini bukanlah cerita pasal telur yang tak masak walau direndam dengan air panas kolam itu.Tapi cerita ini pasal Sahak, seorang pelajar jurusan akitek … ala… yang lukis-lukis pelan rumah tu…!
Sebelum Sahak dan kengkawannya berangkat ke kawasan perkhemahan tersebut, pensyarahnya telah berpesan supaya menjaga tatasusila dan menjaga mulut agar tak celupar sangat kerana kawasan itu ‘keras’. Keras yang macam mana tak pula diberitahu, macam batu ke, macam besi ke … tak pula dijelaskan. Dan lagi satu, pensyarahnya berpesan, jangan buat kerja secara berseorangan dan jangan ambil apa-apa benda yang pelik yang ditemui di kawasan itu. Biasalah kan , manusia .. yang pelik-pelik itulah yang menarik. Untung-untuk boleh keluar tv, yelah simpan benda-benda pelik. Paling-paling kurangpun boleh panggil crew Misteri Nusantara buat liputan.
Tugas Sahak dan kengkawannya di kem tersebut adalah mengukur tanah dan membuat pelan kawasan terbabit untuk dibangunkan, tapi bukanlah betul-betul … sekadar latihan. Tempat itu pula dipilih kerana kawasannya yang berbukit dan bersungai dan tempat yang paling sesuai untuk dibuat latihan. Waktu yang ditetapkan adalah dari pukul 7 pagi hinggalah pukul 5 petang selama 3 hari. Selebihnya adalah waktu mereka bersantai dengan bermandi manda di jeram sungai yang cantik itu. Malah yang nak berjakuzzi pun ada.
Akan tetapi, Sahak tidak berminat untuk itu. Dahlah kawasan berbukit, dah tentu sejuk. Nak mandi sungai ….hui… lagilah sejuk… Nak berjakuzzi.. tak sanggup pulak. Tempat dah la kecik, nak berendam lebih 10 orang …. Macam sardin dalam tin. Mana selesa. Maka pada hari tu, Sahak hanya merayau-rayau disekitar sungai kalau terjumpa sesuatu yang boleh dibuat bahan untuk membina model atau replika ciptaannya.
‘Ah … aku bukan jalan jauh-jauh. Kalau aku bisik pun, semua kengkawan aku boleh dengar.’ kata Sahak sambil dia berjalan.
Dalam berjalan itu dia bersiul-siul kecil. Tiba-tiba dia terpandang sesuatu yang hanyut di air. Batang kayu reput! Sahak tiba-tiba dapat idea untuk menjadikan batang itu sebuah replika. Sambil tersenyum dia mengejar batang kayu tersebut. Akhirnya dia dapat mengambil kayu tersebut. Sekali lagi dengan tiba-tiba dia teringatkan pesanan pensyarahnya. ‘jangan ambil benda-benda pelik’.
“Ah.. takkan batang kayu reput ni pun pelik. Kat mana-mana pun banyak pokok kayu.” Kata Sahak sendirian sambil membelek-belek batang kayu reput itu dengan begitu teliti dan khusyuk. Terbayang dibenaknya yang tak benak itu bahawa dia mendapat pujian daripada pensyarahnya kerana ciptaan binaan replica daripada kayu reput.
Sebenarnya Sahak terlupa, bukan batang kayu itu yang dilanggar pantangnya, tetapi dia sebenarnya dah menyimpang jauh dari kengkawannya yang sedang mandi. Kali ini bukan setakat berbisik, kalau dia menjerit sekali pun orang akan kata monyet hutan sedang mengawan.
“Letak balik batang kayu itu!!! Itu aku yang punya!!!” tiba-tiba terdengar suatu suara garau menyergah Sahak. Hampir tercampak kayu itu dari tangan Sahak sambil menoleh ke kiri dan ke kanan. Tapi tak ada sesiapa pun.
“Letak balik aku kata..!!” jerkah suara itu lagi. Kali ini lebih garau.
“Ssss .. siapa?” terketar-ketar Sahak bertanya.
“Aku penunggu sungai ini. Kau telah mengambil sesuatu yang bukan kepunyaan kau. Kembalikan kepadaku…!” jawab suara itu, lagi garau dan garang.
“....di mana kau…?” Tanya Sahak agak berani.
“Di sini ….!” kata suara itu dari arah belakang Sahak. Perlahan-lahan Sahak menoleh sambil tangannya terketar-ketar macam orang demam kura-kura. Terbayang olehnya di belakangnya kini seekor hantu berwajah hodoh macam wajah hantu air dalam filem Badang sedang bersedia untuk menerkamnya.
Tetapi di hadapannya kini seorang lelaki berbadan besar, berperut buncit dan berkepala botak dengan pakaian kulit harimau ala tarzan sedang berdiri gagah dengan muka yang bengis. Sahak terkejut tetapi suaranya seperti tidak mahu keluar untuk menjerit.
“Kkk..kalau ak..ku .. .amm..bik jjjugak. Aaapppa kkkau nnnak bbuuat ha…?!” Tanya Sahak konon berani walaupun sebenarnya otot pundi kencingnya rasa nak terkucil jam tu jugak.
“Ha…ha….ha….ha …. Kau akan ku sumpah …..!!!” kata lelaki itu sambil ketawa. Ini membuatkan Sahak kecut tetapi kayu reput itu tetap tidak terlepas dari genggamannya.
“Apppaaa summpah kau ….?!” Tanya Sahak lagi. Kali ini lebih berani.
“Kau akan ketawa sampai bila-bila……!!” jerkah lelaki itu.
“Ah … kayu buruk pun kau nak rebut…” Sahak lagi berani bila lelaki itu tidak kelihatan seperti nak menyerangnya.
“Fuh …!!!!” sembur lelaki itu sambil mulutnya terkumat-kamit macam kambing terkunyah chewing gum dan dari mulutnya keluar kepul-kepul asap nipis terus ke muka Sahak yang jaraknya lebih kurang 3 ke 4 langkah beruk sahaja dari tempat dia berdiri.
Sahak membelek-belek dirinya. Tak ada apa yang berubah pun. Malah dia tidak merasa kelakar pun untuk dia ketawa secara tiba-tiba.. Baru dia teringat, bapa dia dulu pernah menurunkan ilmu penunduk kepadanya. Jika disumpah tak menjadi, jika disihir akan patah sihir tu. Walaupun dia tak mengamalkannya, nampaknya ia berkesan. Yakinlah dia bahawa sumpahan lelaki buncit itu tidak menjadi Maka lagi beranilah dia menentang lelaki buncit itu.
“Ahhh … tak ketawa pun aku. Bohonglah kau….! Baik aku balik … layan orang tua buncit ni nak buat apa…buang karan aje” kata Sahak sambil berlalu pergi tanpa manghiraukan lelaki itu yang terpinga-pinga kerana sumpahannya tak menjadi. Entah apa ilmu budak ni pakai menyebabkan sumpahannya terus tak menjadi.
“Hoi … tunggu..!!” katanya dengan kuat ke arah Sahak. Sahak yang tadinya relaks terkejut beruk dan terus susup sasap melarikan diri. Dan lelaki berperut buncit itu mengejarnya dengan dengus yang kuat seperti kerbau jantan kena sembelih lagaknya. Ini menyebabkan keberanian Sahak kian menurun ke paras paling minima … malah mungkin dah sampai paras negatif ..! Apabila mendengar dengus lelaki buncit itu, jantungnya bagai digegar-gegar. Kalaulah lelaki itu terjatuh dan mneghempapnya, nescaya macam cokodok penyeklah dia.
‘Kalau dia dapat tangkap aku…mampus aku ..’ fikir Sahak sambil berlari. Terbayang di matanya lelaki perut buncit itu merebusnya dalam periuk besar yang berisi ramuan-ramuan sup.
Dan di remang-remang senja itu Sahak kian pasti yang dia akan selamat sampai ke khemahnya apabila dia melihat samar-samar lampu generator khemahnya. Malah suara kengkawannya mula jelas kedengaran di telinganya.
‘Selamat tinggal Penunggu Sungai ….hehehe… kayu reput pun nak rebut…’ ejek hati Sahak.
Tiba-tiba …GEBEDUK…!!!!
Bunyi itu dengan serta merta menghentikan langkah Sahak yang sedang berlari sambil memeluk batang kayu reput itu. Bunyi yang macam gajah terjatuh lubang itu menarik-narik tangkai hatinya untuk melihat apa yang terjadi. Ntah apa kuasa yang menariknya, perlahan-lahan dia menyusur ke arah bunyi tersebut. Dan tiba-tiba …. Sahak ternganga …..dan dia mula menekan-nekan perut … Sahak ketawa terbahak-bahak malah berguling-guling. Mana tidaknya, dia nampak lelaki berperut buncit yang mengejarnya tadi tersungkur tersandung akar . Kain yang menutup tubuhnya pula tersangkut diranting yang berdekatan menyebabkan lelaki itu bertelanjang bulat … betul-betul bulat!. Apa yang menggelikan hati Sahak ialah, apabila lelaki itu bersusah payah bangun. Cubalah bayangkan seorang lelaki botak dan ‘bertubuh botak’ serta perut buncit macam kerbau bunting terlebih bulan terkial-kial bangun dengan seluruh tubuhnya botak tetapi yang peliknya punggung lelaki itu berbulu… sekali pandang macam gorilla baru lepas kena cukur!!
Dan keesokan harinya, kengkawan Sahak menemui Sahak dalam keadaan pengsan sambil memeluk sebatang kayu buruk. Yang menghairankan mereka, apabila Sahak terjaga sahaja dia akan ketawa terbahak-bahak tanpa sempat menceritakan apa-apa. Kemudian dia pengsan lagi. Begitulah keadaan Sahak sampai ke hari ini. Lepas penat ketawa dia akan pengsan. Masa makan pun dia boleh gelak macam nak pecah perut. Cerita ini pun mengambil masa setahun lebih untuk diceritakannya …
No comments:
Post a Comment