Wednesday, April 4, 2012

Hantu Tungku


Hantu Tungku

Daud bukanlah seorang yang bodoh, tetapi dia Cuma mempunyai IQ tahap siput yang terlalu lambat dan lembap. Kalu di suruh kira 2 + 2 pun nak ambil masa sampai ½ jam baru dapat. Itu pun belum tentu betul lagi. Biarpun dah lambat macam ni, dia tak pernah putus asa untuk lulus dalam peperiksaan. Buat julung-julung kalinya inilah pertama kali orang mengulang peperiksaan UPSR buat kali ke-9!. Tak pernah tercatit di dalam sejarah orang mengulang peperiksaan tersebut. Tetapi bagi Daud selagi dia tidak lulus biarpun setakat paras bulu hidung, dia tetap tak mahu melangkah ke tingkatan satu. Biarpun umurnya kalau dihitung dah tak layak nak masuk sekolah menengah pun malah sekolah orang-orang tua pun tak layak.

Dari dulu sampai sekarang, bukan Daud tak pernah berusaha untuk lulus. Dah bersusun senarai bomoh dan dukun yang telah dikunjunginya untuk mendapatkan tangkal dan air penerang hati. Dari dalam negeri hingga ke luar negeri. Namun kepoweran air penerang hati yang ditogoknya setiap kali nak ambil peperiksaan tidak mendatangkan apa-apa kesan. IQ tahap siputnya masih tetap seperti siput. Bukan macam Siput Sarawak atau Mi Siput. Perkara ini amat-amat merunsingkan kepalanya.

Suatu hari yang cerah, tiba-tiba Daud teringatkan cerita orang-orang tua dulu-dulu tentang hantu tungku. Bukan hantu tengku atau Tunku. Tetapi hantu tungku. Dipercayai kalau muncul hantu ini duduk di atas tungku kenduri orang kahwin. Kalau dipeluk sekuat hati, dia akan tunaikan permintaan si pemeluk untuk dia melepaskan diri. Tak tahulah kenapa hantu ni suka duduk kat atas tungku. Mungkin sakit perut agaknya. Daud pun berkira-kira untuk mencari tungku untuk majlis kenduri orang kahwin.

Memandangkan pada waktu tersebut bukanlah musim cuti sekolah, maka tak adalah upacara kenduri-kenduri kahwin atau sebagainya. Sedangkan tarikh peperiksaan semakin hampir. Tak kan dia nak kahwin dalam waktu terdekat ini. Lagipun mana dia nak cari pasangan siputnya … er… pasangan yang sesuai. Entah dari mana datangnya idea, Daud meminta emaknya membuat kenduri doa selamat. Manalah tahu dengan kenduri macam ni pun hantu tungku tu nak datang. Bolehlah dia peluk hantu tu. Bolehlah dia minta untuk lulus peperiksaan nanti.

Seperti yang dirancang, kenduri doa selamat pun dijalankan atas desakan Daud. Walaupun emaknya hairan dengan tingkah laku Daud, namun dia masih tetap menurut kehandak Daud. Dah berkurun rumahnya tak membuat sebarang kenduri.

Setelah seutas rantai bertukar tangan maka kenduri doa selamat dijalankan. Semasa kenduri di jalankan, Daud tidak sedikitpun malayani kerenah tetamu di rumahnya. Dia hanya duduk di pintu dapur rumahnya sambil memerhati kalau-kalau hantu tungku itu datang duduk di atas tungku dapur rumahnya itu. Namun selepas tetamu pulang, Daud masih tak berganjak dari tempatnya.

Masa semakin bergerak pantas. Waktu dah pun menjejak pukul 3 pagi namun benda yang ditunggu tak kunjung tiba. Daud mula mengantuk. Lampu dapur rumahnya telah lama padam. Bara-bara di tungku dapur itu sudah lama menjadi abu. Waktu mata Daud sudah benar-benar berat dan tertutup waktu itulah dia mendengar suara orang mendengus. Serta merta mata Daud terbeliak. Dia terus melihat siapa yang datang. Ternampaklah bebayang lembaga hitam berbulu sedang duduk di atas tungku dapur sambil membelakanginya.

Daud menelan liur. Dengusan lembaga tersebut bukan sahaja membuatkan segala bulunya menegak, malah membuatkan lututnya lembik seperti tak bertulang. Rasanya macam jam tu jugak dia nak bersembunyi di bawah selimut. Tetapi mengenangkan hasratnya untuk lulus peperiksaan, dia hampiri juga lembaga tersebut.

Semakin dia hampir, semakin lututnya bergetar. Bau busuk yang entah dari mana datangnya menerawang di setiap ruang di dalam lubang hidungnya yang tak mancung itu. Namun itu bukanlah penghalang untuk dia menjerat lembaga tersebut.

Dengan sepantas kucing mencuri ikan, Daud memeluk lembaga berbulu tersebut. Lembaga itu meronta-ronta juga tetapi tidaklah sekuat mana.

“Kalau kau tak tolong aku, aku tak lepaskan kau sampai siang…!!” ugut Daud sambil mengejabkan pelukannya.

Bebulu kasar dari tubuh lembaga itu menusuk-nusuk lubang hidung dan mulutnya. Tetapi itu juga bukan penghalang.

“Kau mesti tolong aku…!!” jerkah Daud tanpa menghiraukan lembaga itu yang masih membisu.

“Kau dengar tak apa aku kata !!!” jerit Daud lagi.

Lembaga itu mengangguk.

“Kau boleh bagi aku lulus periksa?” Tanya Daud lagi.

Lembaga itu mengangguk.

“Kenapa kau tak jawab … asyik angguk aje..” jerkah Daud lagi.

Masham mhana akhu nak jhawab … khau nanti khetawakhan aku…” jawab lembaga itu dalam suara sengau.

Memang Daud semacam nak ketawa tetapi di tahannya sedaya mungkin. Setelah perbincangan dilakukan antara lembaga itu dengan Daud, maka bersetujulah lembaga itu untuk menolongnya pada hari peperiksaan. Maka dengan bangganya Daud melangkah masuk ke rumah selepas melepaskan lembaga tersebut. Pun begitu bau busuk lembaga itu masih melekat ke ruang hidung serta tubuhnya.

Semasa peperiksaan, Daud menjadi tak keruan. Hantu tungku yang menolongnya bukanlah jenis IQ menyala, rupa-rupanya jenis IQ malap. Walaupun cuma dia sahaja yang nampak kelibat hantu tersebut, tetapi hantu tersebut khusyuk membaca buku rujukan sebelum memberi jawapan kepada Daud. Ini menyebabkan Daud tidak cukup masa untuk menjawab semua soalan yang diberikan.

“Apasal kau kena baca buku? Kaukan dah pandai…” Tanya Daud.

Bhuku zhaman aku tak shama dengan bhuku zhaman kau. Khalau akhu thak bacha, macham mana akhu nak jhawab shoalan kau….” Jawab makhluk itu dengan sengaunya.

Nak dijadikan cerita, Daud lulus peperiksaan tersebut tetapi tidaklah cemerlang mana. Cukuplah seperti niat asalnya lulus setakat paras-paras bulu hidung lantaran ketidak cukupan masa untuk dia menjawab. Dan petang itu …

Khau dah lulus peghiksa …. Jadi akhu nak thuntut hak aku ….” Kata hantu tungku tersebut .

Daud rasa macam nak lari, tetapi dia ingat cakap emaknya. Janji mesti ditepati. Mahu tak mahu, Daud terpaksa menunaikan janjinya iaitu menocang bulu-bulu seluruh tubuh makhluk itu ala-ala tocang Bob Marley … Dah begitu janjinya dulu … Kalau tidak Daud akan di sumpah jadi apam balik … Daripada dia jadi apam balik, baik dia jadi manusia, boleh makan apam balik.

Begitulah ceritanya.

No comments:

Post a Comment