Tok Ngah seorang tukang urut terkenal di sebuah kampung terpencil di Pahang. Tetapi ada suatu benda lagi yang menyebabkan Tok Ngah bertambah terkenal sehingga ke seantero pelosok Malaysia ialah kerana dia mempunyai seorang isteri yang sangat cantik, kiut dan comel pula. Yang paling istimewa pula isteri Tok Ngah itu berasal daripada pontianak . Betul atau tidak , tak siapa pun yang tahu.Tapi yang saya tahu, itulah … seperti mana yang orang lain tahu. Jadi untuk mengetahui dengan lebih lanjut, saya telah bertemu Tok Ngah untuk membeli tauhu er…untuk mengetahui kisah sebenarnya.
“Ya, memang Murni tu berasal dari pontianak . Payah aku nak dapatkan dia dulu…. Kena bertarung dan macam-macam lagi untuk dapatkannya. Dah jodoh aku agaknya dengan dia, kena bertarung dengan pontianak dulu.” Tok Ngah memulakan cerita sambil mengurut-urut janggut sejemput ala-ala kambing gurun di dagunya.
Aku dulu, memang kacak, hensem dan segala yang seangkatan dengannya. Tapi, yelah kan bila dah jadi orang kacak ni, orang takut nak berkawan, kiranya aku ni bujang terlajaklah, senang cerita. Aku ni bukan sahaja tukang urut tradisioanal tapi aku juga jadi bomoh sambil-sambilan. Aku menuntut daripada atuk aku yang dulunya seorang bomoh merangkap tukang urut terkenal di seantero Asia Tenggara. Tapi aku tak le sehebat cam atuk aku tu. Sekadar lepas makan kami anak beranak aje.
Kerja aku ni tak tentu, kadang-kadang sampai malam. Kalau ramai pelanggan yang datang, sampai tak tidur dua tiga malam pun ada. Tapi aku tak kisah tu semua, dah rezeki aku kan , buat apa tolak. Aku menolong orang yang memerlukan bantuan. Pengeras? Ikut keadaan, kalau ‘keras’ kerjanya … maka ‘keras’ juga pengerasnya..
Macam mana aku berkenalan dengan Murni? Hmmm … panjang ceritanya nak. Cerita ni berlaku 10 tahun dulu. Masa tu aku berada di Indonesia , mengurut seorang saudara bau-bau bacang di sana . Selama sebulan aku di sana , berbagai peristiwa seram yang aku alami. Setiap malam aku dengar pontianak mengilai. Di sana orang panggil Kuntilanak. Kadang-kadang dia hinggap kat atas bumbung rumah sambil mencakar-cakar bumbung. Mula-mula tu memanglah janggal, sepanjang malamlah aku tak boleh tidur. Nak kencing pun aku sanggup tadah dengan botol. Dah lama-lama tu, dah jadi perkara biasa, malah kalau sehari di tak mencakar bumbung, rasa macam aku lagi tak boleh tidur. Kata orang itulah gema alam, ala-ala hiburan le tu.
Pada waktu yang sama, di kampung yang sama ada seorang gadis yang dirasuk oleh pontianak tu. Pada mulanya aku buat-buat tak reti aje. Yelah, orang tak minta bantuan aku, tak kan aku nak ngendeng-ngendeng, tak pasal-pasal kena hambat dengan orang kampung. Duduk di rantau orang kena jaga adat dan tatasusila, tak boleh main redah aje. Biasanya gadis tu akan menjerit dan mengilai setiap sampainya tengah malam. Kalau tak diikat di katil, dia pasti akan lari mengelilingi kampung. Silap-silap semua pakaiannya akan dibuang. Pernah suatu malam dia terlepas, puas bapak dia mengejar. Orang kampung pulak bukannya nak tolong tapi semua pakat-pakat duduk kat serambi rumah menanti kalau-kalau gadis bogel tu lari melintasi rumah mereka sambil air liur menitik-nitik. Teruk sungguh! Aku?! Err…. er….
Tapi ntah kenapa, satu malam tu, aku tergerak hati nak pergi ke rumah gadis itu. Sambil ditemani sedara bau-bau bacang aku tu, kami ke rumah Pak Sukardi ,tuan punya gadis itu. Sesampainya aku di rumah Pak Sukardi, aku tengok orang tua itu bermurung macam anak ayam tertelan biji jagung. Aku faham masalah dia, jadi aku terus meng’offer’ diri aku untuk mengubati anak gadisnya. Dengan tenang dia membenarkan aku mengubati anak gadisnya. Dari kisah yang diceritakan oleh Pak Sukardi anaknya terserempak dengan pontianak seminggu lalu semasa balik dari mengaji di madrasah. Sejak itulah dia akan mengilai setiap kali sampai waktu tengah malam. Semua ahli keluarganya dia dah tak kenal. Bila waktu siang, dia akan tidur. Tidur selena-lenanya, kalau bom meletup disebelahnya pun dia tak akan bangun, cuma sekadar mengeliat sahaja.
Maka pada malam itu, aku menyediakan segala peralatan perubatanku untuk menangkap pontianak yang bersarang dalam tubuh gadis itu. Pertama kali aku tengok wajah gadis itu, hati aku sebenarnya dah bergetar … macam gempa bumi baru nak meletus. Gadis itu sungguh cantik. Kalau dibandingkan dengan Sarimah waktu muda-muda dulu, lebih cantik dia lagi kalau dibanding dengan Sarimah waktu sekarang ni. Rugi rasanya kalau hidup dia dipersiakan gara-gara pontianak tak guna itu. Jadi aku bertekad yang aku akan berperang habis-habisan untuk menangkap pontianak itu dan membebaskan gadis itu. Walaupun nyawa aku jadi galang gantinya …(ewah..!!)
Pertarungan aku berlangsung tak lama, 2 malam sahaja, tetapi kesannya amat dalam. Kalau tak kuat semangat, aku rasa sekarang ni orang dah panggil aku Arwah Tok Ngah dah. Dia punya melawan … fuh…! Macam Kurt Angle dalam WWF! Eh .. kau jangan salah anggap pulak …Sebenarnya kami berlawan secara batin.
Macam mana rupa pontianak tu? Fuh … Huduh sungguh! Kalau dibandingkan dengan Eddie Nightmare tu … dia 10 kali lebih huduh. Dengan rambutnya mengerbang, muka yang hodoh berkedut seribu, gigi yang runcing sambil tangan yang berkuku panjang menggapai-gapai nak mencakar. Suaranya …. nyaring …..mengilai-ngilai, berdesing telinga bila dia tarik kod tinggi.Fuh .. kalah Ning Baizura! Kadang-kadang dia menderam macam anjing nak menerkam musuh. Matanya merah, merenung tajam . Baunya … ya Allah … busuk …macam bangkai gajah dah seminggu mati! Betapa susahnya aku nak bertarung dengannya dalam keadaan yang macam tu. Ada sekali tu, dia bertukar jadi perempuan cantik sambil ala-ala Cindy Crawford gitu dengan sengaja membogelkan diri. Bau yan busuk serta merta jadi wangi. Dia merayu-rayu pada aku. Ajak kahwinlah … ajak makan-makan lah … ajak tengok wayanglah …ish..macam-macam! Untung kau kata? Ah … aku tak tergoda dengan hantu tu walau macam mana sekalipun godaannya. Yang tertanam tekad di hati aku , nak bebaskan gadis ini.
Macam mana aku lawan? Mmmm …. Susah aku nak cerita. Macam menguji IQ pun ada. Kami bersoal jawab dulu. Ada ke dia kata dia nak jadi bini aku kalau dia lepaskan budak ni …. Eeei… tak sanggup aku! Buatnya ari ni aku kahwin dengan dia esok aku pulak jadi …. Er…. Kalau perempuan jadi ‘pontianak ’ … kalau lelaki jadi ape yek ? Ha ..! Jadi Drakula!! Tak ke kes naya tu!
Lubang kat tengkuk? Ntah la … aku pun tak pasti. Aku tak sempat nak check tengok. Kata orang memanglah ada, kalau dicucuk dengan paku, dia boleh jadi wanita cantik. Tapi dengan syarat orang yang mencucuk paku tu mesti kahwin dengan dia. Lagi pun mana la aku sempat nak tengok, tengah bertarung. Rambut dia dah la kusut masai, busuk pulak tu. Tak selera aku nak menyingkap rambut dia tu. Kot ye pun nak buat bini .. apa-apa hal tangkap dulu. Tapi pertarungan kami memang cukup hebat … tak terkata aku kat sini. Akhirnya pontianak tu dapat aku tangkap masuk dalam botol kicap. Padan muka dia!!.
Bila aku kahwin dengan Murni? Ah …. Tak lama lepas tu Pak Sukardi jodohkan aku dengan Murni. Kami bertunang seminggu lepas tu terus kahwin.. Mas kahwin cuma senaskhah al-Quran… kira macam kahwin freelah… Segala belanja kahwin Pak Sukardi yang tanggung. Lepas tu, aku bawa balik Murni ke sini. Orang kat sini semua kagum dengan Murni yang cantik bersuamikan aku yang ….er..er…hensem kot?
“Apa kena mengena Pak Sukardi dengan Murni?” tanya saya mula keliru.
“Eh… Pak Sukardi tu kan ke bapak Murni, dialah berhak jodohkan aku dengan Murni. Dah aku yang ubatkan Murni masa dirasuk pontianak tu.”
“Abis, pontianak tu?”
“Aku buang kat laut.”
“Tapi …. Bukan ke Murni tu berasal dari pontianak ? Kalau Tok Ngah dah buang ke laut, bila pulak Tok Ngah paku leher dia dan bila pulak dia menjelma jadi manusia?”
“Ish ..ish..ish..! Budak ni. Siapa kata bini aku ni pontianak ? Murni ni berasal daripada PONTIANAK , INDONESIA …. Bukannya seekor pontianak …!”
Al-kisahnya……maka terpecah jua rahsia siapa isteri misteri Tok Ngah. Tapi tak tau le sekarang ni dia masih lagi terkenal ke seantero pelosok Malaysia atau tidak. Yelah dulu … prlarisnya isteri Tok Ngah Pontianak. Ramai yang datang sebenarnya nak tengok isterinya daripada berubat dengannya.
No comments:
Post a Comment