Monday, April 23, 2012

KERANA OPERA


KERANA OPERA

Pada zaman sekarang ni masih ada jugak orang yang gila nak tengok opera cina. Korang pernah tengok tak? Rasa-rasanya mesti ada. Ni yang nak di ceritakan kat sini. Walaupun Ucu Amin tak tau naik motorsikal, dia memang peminat setia opera cina. Di kampungnya (tak payahlah aku sebut nama, nanti semua penduduk kampung dok gelak kat dia. Kesian dia ..!) dialah satu-satunya orang Melayu yang akan tercanguk kat depan sekali bila opera tu bermula. Lagi pun kalau nak di kira penonton yang datang, tak habis jari tangan dan kaki dia dan bininya. Orang-orang kampung pun tak tahu apa yang menariknya opera cina tu. Nak kata dia paham, langsung sepatah haram pun dia pun tak tahu. Tapi itulah aktivitinya setiap tahun apabila tiba perayaan Bulan Hantu oleh orang-orang cina.

Nak dijadikan cerita ni seram-seram sikit. Kampung Ucu Amin ni masih lagi tak beberapa membangun. Bukan kemajuan tak nak masuk ke kampung kecik yang penduduknya cuma 30 buah keluarga tu, tetapi kerana masalah sebahagian orang kampung yang pakat menunggu kontraktor turap jalan dengan parang dan kapak kalau menurap jalan di tanah mereka. Itu pasal jadi lagu tu. Semasa nak pacak tiang letrik dan telefon pun, puas jugak le YB memujuk mereka-mereka ni. Bukan setakat kering air liur tetapi habis jugak le 7 – 8 keping not 50 YB nak diamkan mereka. Barulah kampung kecik tu mendapat kemudahan yang ada sehingga hari ini. Tetapi perkhidmatan lampu jalan memang tak ada sebab orang TNB tu dah bersumpah tak nak masuk lagi ke kampung tu walau di offer anak-anak dara comel toteh untuk di jadikan calon isteri secara percuma. Serik katanya.

Inilah sebabnya kampung tu jadi gelap gelita sepanjang jalan apabila malam menjelma. Lagi menyeramkan bila lalu di sebelah kubur lama yang terletak di seberang ban (parit besar) di jalan masuk kampung tu. Kubur tu dah lama. Boleh dijadikan bahan kaji sejarah. Malah sebahagian penghuninya adalah meneroka asal kampung itu. Agak-agak ada orang nak tahu bagaimana pembukaan kampung tu, boleh la interview mereka … hehehe. Bukan ke sekarang ni dah ramai orang boleh interview ‘mereka’ di dunia sebelah sana.

Tahun lalu, di dalam bulan Julai yang kebetulan adalah Bulan Hantu dalam kelendar Cina. Satu opera akan dilangsungkan di tokong yang paling berhampiran. Ucu Amin dah tersenyum bila menyaksikan bendera-bendera merah, kuning, hijau sudah dipacakkan dengan batang-batang buluh yang masih berdaun. Malam nanti seawal pukul 8 malam dia sudah bersedia ke pentas opera untuk menontonnya.

Macam biasa, Ucu Amin dengan berbaju kemeja batik lusuhnya mengayuh basikal ke pekan untuk mengambil tempat kegemarannya di barisan hadapan sekali. Malam itu, cerita yang dipersembahkan amat berlainan sekali. Sehingga Ucu Amin menonton tanpa berkelip-kelip matanya dan dengan mulut yang melopong. Walaupun dia tak faham satu apa pun tapi dia amat berpuas hati. Sedar tak sedar opera itu tamat jam hampir menunjukkan pukul 2 pagi. Sebelum ini tak pernah opera habis selewat itu. Paling lewat pun pukul 12 tengah malam.

Semasa Ucu Amin sampai di jalan masuk ke kampungnya yang di kiri kanannya kebun getah yang sekali pandang dah macam hutan simpan itu, tiba-tiba lampu basikalnya terpadam.

“Ah… Kot ye pun nak terbakar, tunggulah aku sampai ke rumah dulu…” rungut Ucu Amin apabila menyedari mentol lampu basikal tuanya padam.

Pun begitu dia masih mengayuh basikal tuanya di dalam gelap gelita. Sesampai sahaja di kawasan kubur lama itu, dia rasa tak sedap hati. Terasa seolah-olah ada sesuatu yang sedang memerhatinya dari semua arah terutama dari arah kubur yang berbalam-balam. Malam tu pula kebetulan tak ada bulan, jadi jalan memang tak beberapa nampak. Ucu Amin baru teringat malam itu adalah malam Jumaat. Dia menelan liur. Peluh jantan betinanya mula merenik-renik. Jalan tar yang dilaluinya mula terasa berbenggel-benggel. Ucu Amin terus mengayuh dengan laju , hajatnya supaya cepat sampai ke rumah tetapi kini dia terasa basikalnya semakin memberat seolah-olah ada sesuatu sedang membonceng di belakangnya.

Dengan sehabis-habis kudrat tuanya, dia mengayuh sekuat hati sambil mata terpejam. Semakin kuat dia mengayuh, semakin berat terasa basikalnya. Rasa nak meraung dia pada waktu itu. Pun begitu dia tak mahu menoleh ke belakang melihat ‘siapa’ yang menumpangnya atau menyakatnya. Yang dia tahu dia mesti sampai ke rumah secepat mungkin. Tetapi jalan yang dilaluinya seolah-olah semakin berliku-liku, bukan lagi jalan tar yang separuh terhakis menuju ke kampungnya. Yang dia nampak seperti semak samun yang semakin lama semakin menebal. Pun begitu dia tak berputus asa mengayuh dan terus mengayuh.

Pada keesokkan harinya, kecohlah Ngah Pah isteri Ucu Amin mengadu kepada ketua kampung akan kehilangan Ucu Amin. Dengan berjejeran air mata dia meminta jasa baik orang kampung mencari Ucu Amin yang tak pulang selepas menonton opera malam tersebut. Maka berdedai-dedailah orang kampung mencari Ucu Amin dari pekan sampailah ke jalan masuk ke kampung. Mereka meredah kebun getah milik entah siapa yang macam hutan simpan tu sehingga dah jadi macam hutan rekreasi pula.

Dan akhirnya salah seorang orang kampung menemui Ucu Amin sedang tertidur di atas basikalnya. Dan basikal itu tegak berdiri di dalam ban (parit) yang berlumpur sampai lutut Ucu Amin. Dari kesan kayuhan basikal Ucu Amin, ternyata Ucu Amin dah mengayuh hampir ½ km dari arah kubur lama itu di dalam ban yang berlumpur separas lutut. Ban itu bukan menuju ke kampung tetapi menuju ke kebun orang-orang kampung.

Tetapi itulah ceritanya. Kata Ucu Amin dia dah tak mahu lagi menonton opera lagi. Tapi tak tahulah. Kalau di ikutkan azamnya, ini entah kali yang ke berapa. Kita tunggu je lah tahun depan ….  Ada tak pak cik berbaju batik lusuh tu di depan pentas opera lagi.

No comments:

Post a Comment