Kerana Sumpah …. Munirah
Cerita ini terjadi tak beberapa lama dahulu di sebuah
bandar yang tak beberapa besar di selatan tanahair. Cerita ini adalah
pengalaman Selamat bin Mahat, seorang pemuda yang berusia akhir 20-an. Anak
bongsu dari 10 adik beradik.
Selamat adalah seorang dispatch
di sebuah firma guaman. Biasanya selepas waktu bekerja dia akan merambu bersama
sahabat handainya menghabiskan masa serta duit gajinya. Selain daripada itu dia
juga adalah jaguh lumba haram dengan kapcainya yang dah diubah suai dengan
kelajuan ala-ala sebuah jet pejuang. Habuannya tak seberapa, kalau tak sekeping
dua not lima
puluh ringgit, pasti seekor bohsia yang entah dari mana dikutip.
Di suatu malam yang kelam,
sewaktu Selamat baru sahaja selamat menjuarai sebuah lumba haram. Dia balik
sendirian. Tiba-tiba dia di tahan oleh seorang gadis di bawah sebatang pokok di
simpang jalan. Dengan lagak macho dia memberhentikan motorsikalnya.
“Ye dik, boleh abang tolong?”
tanya Selamat sebaik sahaja motor kapcainya berhenti dihadapan gadis itu.
Gadis itu yang berkulit putih
kuning, berbaju kebaya nyonya tersenyum.
“Boleh tak abang tumpangkan saya
sampai ke rumah saya?” pinta gadis itu.
“Boleh …. Boleh …. Apa tak boleh
pulak. Dah tengah malam ni …..Biar abang tolong hantarkan….” Jawab Selamat
sambil air liurnya meleleh sambil memerhati gadis berkenaan.
Dalam hatinya berkata, ‘…..boleh
le aku ‘kenduri besar’ malam ni ..heh..heh..heh …!’
“Rumah adik kat mana?” tanya
Selamat.
“Er … er…er… tak tau la bang…?”
jawab gadis itu perlahan sambil menundukkan kepalanya.
“Habis tu, abang nak hantar adik
ke mana?” tanya Selamat lagi.
“Saya ikut abang ajelah …”
jawapan yang membuatkan Selamat kini dah mula bertanduk dan berekor cabang.
Sebaik sahaja gadis itu
bertenggek di belakangnya, dia terus memecut terus ke rumah bujangnya iaitu di
sebuah ‘setinggarden’ di belakang sebuah kondo mewah.
Sesampai sahaja di rumah, Selamat
mempelawa gadis itu masuk dan duduk di ruang tamu rumahnya.
“Siapa nama adik …?” Tanya
Selamat, buat-buat baik.
“Munirah…” jawabnya pendek.
“Munirah lari dari rumah ke..?”
tanya Selamat serkap jarang.
“Saya memang tak ada rumah, baru
nak cari tempat berlindung. Saya baru datang dari kampung.” jawab Munirah
lambat-lambat dan masih lagi menundukkan mukanya.
Selamat sudah tidak sabar untuk
‘berkenduri’, mula mendekatkan dirinya pada gadis itu.
“Tak apa, Munirah boleh tinggal
di sini…” jawab Selamat sambil tangannya mula merayap ke bahu gadis itu.
“Ye ke bang …!!!” Munirah hampir
melonjak menyebabkan Selamat juga melonjak gembira.
Tat kala itu, suara Munirah yang
lembut tadi hampir garau bunyinya.
“Err… bang boleh ambilkan saya
air, tekak rasa terasa kering la…” pinta Munirah sambil merenung Selamat dengan
tajam.
Renungan Munirah menjadikan
Selamat terketar. Tak tahu kenapa dia begitu ngeri melihat renungan itu. Sedar
tak sedar dia dah melangkah ke dapur. Di dapur, peluh jantannya mula menitis.
Entah kenapa romanya meremang tak tentu pasal. Namun begitu dia membawa juga
segelas air. Hasratnya untuk ‘berkenduri’ tiba-tiba lenyap seketika. Setibanya
di ruang tamu yang cuma sekangkang kongkang itu, dia melihat Munirah sedang
termenung menghadap tingkap yang separuh terbuka. Rambutnya yang tadi diikat
rapi, kini terurai melepasi bahu.
Dengan terketar-ketar dia menuju
ke arah Munirah.
“Er …..Munirah …ini airnya ….”
Selamat menghulur segelas air kosong dan Muniarah menoleh ….
“Mmakkkk…….!!!!” Jerit Selamat
tiba-tiba dan gelas berisi air kosong itu jatuh berderai ke lantai.
Munirah yang menoleh itu bukan
lagi gadis cantik yang dibawanya tadi, tetapi ‘sesuatu’ yang berwajah hodoh
lagi mengerikan.Dengan muka yang sopak seperti kain buruk tersimbah klorox,
dengan hidung yang rompong serta mata yang terjojol dan hampir tersembul
keluar. Angin pula menerjah masuk melalui tingkap yang separuh terbuka itu
membawa bersama sekali bau busuk dari makhluk itu, yang menyebabkan Selamat
rasa macam nak buraikan isi perutnya di situ juga.
“Abang kata, saya boleh tinggal
di sini…” kata Munirah dengan suara garaunya sambil menampakkan juih-juih
bibirnya yang hampir terkulai dibaris-baris giginya yang berkarat pekat.
“Jangan ganggu aku …. Pergi
…..!!!” jerit Selamat yang kini sudah mula terasa tak selamat.
Makhluk itu ketawa panjang,
sambil menyeringai menampakkan ketul-ketul daging busuk di pipinya.
“Bang, saya cuma nak mintak
tolong aje. Saya memang nak tinggal di sini, tapi bukanlah dalam keadaan
begini. Saya ada bawa bersama paku dengan tukul ni. Abang boleh paku tengkuk
saya dan saya akan berubah menjadi manusia. Saya akan menjadi teman abang
seumur hidup.Percayalah..” Kata Munirah sambil menunjukkan paku sebatang dan
tukul yang entah dari mana datangnya.
Selamat menelah liur. Dia juga
teringat kata orang tua-tua, Pontianak
kalau dipaku tengkuknya akan menjadi wanita cantik. Tapi betul ke dia ni pontianak ? Ke … hantu
jenis lain sengaja nak menyakatnya. Dia
masih lagi berkira-kira untuk memaku tengkuk makhluk hodoh itu.
“Kau akan berubah jadi cantik
macam tadi ke..?” tanya Selamat ragu-ragu.
Makhluk itu mengangguk perlahan.
“Bila saya sudah berubah, abang
akan terima saya? Dan saya boleh tinggal di sini selamanya?”
“Er….er…er…”
“Janjilah bang …. Saya tak akan
mempersiakan abang..” rayu makhluk itu lagi.
Setelah agak lama berkira-kira di
hadapan makhluk yang entah hapa-hapa itu, Selamat bersuara..
“Abang berjanji akan terima
Munirah dan .. abang bersumpah akan jaga Munirah seumur hidup abang!” sambung
Selamat, dan diotaknya kini bagai tv yang diubah siarannya daripada takut
kepada hasratnya tadi untuk ‘berkenduri’ bila Munirah bertukar menjadi manusia
semula.
“Abang bersumpah? … Jangan
main-main dengan sumpah bang …Nanti kena panah petir…” kata makhluk itu lagi.
“Abang tetap bersumpah!! Abang
tak kisah….” Jawab Selamat penuh yakin kerana diruang matanya kini ternampak
Munirah tanpa seurat benang pun.
Dengan rasa seram, ngeri, takut
dan segala yang sewaktu dengannya dia mengambil paku dan tukul itu sambil
Munirah menyelak sedikit rambutnya yang kusut masai dan berbau seperti bangkai
gajah mati seminggu. Dengan penuh kudrat dia menghampiri dan melihat satu
lubang di tengkuk makhluk itu yang berkedut-kedut. Dengan hidung yang kembang
kempis menahan bau busuk, dia memaku sekuat-kuat hati menyebabkan makhluk itu
menjerit nyaring. Selari dengan jeritan itu Selamat lari berlindung di sebalik
sebuah kerusi.
Dengan mata kepalanya sendiri dia
melihat makhluk itu berubah sedikit demi sedikit menjadi Munirah yang tadi. Bau
yang busuk pula kian hilang. Dan akhirnya Munirah jatuh terjelepuk ke lantai
dengan nada tercungap-cungap serta muka tertunduk ke lantai.
Selamat cuba menghampiri sambil menyentuh
bahu Munirah.
“Abang sumpah tak akan tinggalkan
saya?” tanya Munirah lagi dengan suara lembut seperti mula-mula tadi.
“Abang sumpah… Munirah…” kata
Selamat sambil terus menarik Munirah ke dalam pelukannya.
Dia menikmati segala lekuk dan
kehangatan tubuh Munirah yang berada di dalam pelukannya.
“Saya yakin abang akan tunaikan
sumpah abang …” kata Munirah lembut sambil memeluk Selamat. Selamat tersenyum
lebar dan kemudiannya melepaskan pelukannya.
Tiba-tiba ..
“Aaaaa….!!!” Selamat terjerit dan Munirah tersenyum.
Munirah yang berada di depannya
memang Munirah tadi tapi ……… Selamat terus pengsan.
Apabila dia terjaga aje , dia
akan pengsan lagi. Begitulah Selamat selama tiga hari tiga malam. Namun begitu
Munirah dengan sabarnya menjaga Selamat dengan baik.
Dan kerana sudah tiga hari tak
bekerja, rakan sekerja Selamat datang ke rumah untuk melihat keadaannya, adakah
dia selamat atau tidak.
Apabila pintu dibuka sebaik
sahaja salam di beri..
“Er…. Mak cik ni mak Selamat
ke..?” tanya rakan sekerja Selamat .
“Tak lah …. Saya bakal isteri
dia…” jawab Munirah tersenyum simpul dengan muka berkedut seribu yang
seboleh-bolehnya dimaniskan.
No comments:
Post a Comment