Sunday, March 25, 2012

HANTU GALAH BUKIT TINGGI



HANTU GALAH BUKIT TINGGI

Cerita ini berlaku di sekitar tahun 80-an di kampung aku. Cerita hantu galah atau hantu tinggi yang sering diperkatakan orang pernah mengganggu penduduk di kampung aku. Gangguannya bukanlah sampai orang nazak masuk hospital tetapi setakat demam sejuk 2-3 minggu dan fobia nak keluar malam sahaja. Kampung aku ni pula letaknya agak pedalaman sedikit, lebih kurang 1 km daripada pekan. Pekan pun setakat pekan koboi sahaja tapi tak adalah kuda. Biasanya penduduk kampung aku jarang keluar pada waktu malam. Yelah, takut di sakat hantu.

Untuk masuk ke kampung aku, bukannya ada jalan tar yang bertol sekadar jalan tanah merah yang penuh dengan batu-batu merah yang terhakis dek hujan. Sepanjang perjalanan pula bukannya ada lampu jalan macam sekarang ni, gelap gelita! Kampung aku ni agak berbukit sedikit, untuk sampai ke rumah aku sahaja kena melalui 2 buah bukit dan bukit yang pertama sekali itu agak tinggi. Oleh kerana ia agak tinggi maka tak teragak-agaklah orang kampung aku menamakannya sebagai Bukit Tinggi walaupun tak di’register’kan di mana-mana pejabat tanah. Tak tau la pulak kalau-kalau nama Bukit Tinggi itu di ambil daripada cerita hantu galah ini atau sebahagian tempat di panggil hantu tinggi, sebab di situlah selalunya hantu galah menyakat penduduk kampung. Kawasan itu yang berhampiran hutan memang sunyi lagi menyeramkan. Kalau di ganggu hantu galah sewaktu menuruni bukit tak apalah juga, kalau diganggu semasa mendaki bukit …. memang terkencing dalam seluarlah gamaknya. Aku pun hairan jugak, hantu galah ni bukan jenis suka sergah-sergah orang tak tentu hala. Setakat yang aku tahu, dia cuma berdiri ditengah-tengah jalan tu terutama kalau ada orag lalu jalan tu. Dan orang yang lalu tu terpaksa melalui kelengkangnya. Bukan dia buat apa-apa pun. Tapi orang semua takut dan lari lintang pukang kalau terserempak dengannya.

Akan tetapi di kampung aku ni ada seorang lelaki bernama Sameon, berusia 40-an dan telah berumahtangga serta mempunyai dua orang anak. Kerjanya hanyalah sebagai penoreh getah berwibawa. Sameon ni mempunyai satu hobi, iaitu suka minum di kedai mamak berbanding dirumah sendiri. Walaupun teh yang dihidangkan oleh isterinya dibeli dari kedai mamak berkenaan, Sameon tetap mengatakan teh mamak yang diminum di kedai mamak adalah lebih sedap daripada minum di rumah. Lagi pun alasan Sameon di rumahnya tak ada TV, di kedai mamak tu ada TV maka dapatlah dia mengikuti perkembangan semasa kerana dia memang sejak lahir buta huruf, tak reti nak baca suratkhabar. Jadi sekurang-kurang dia taklah jadi seperti katak dalam gelas, nampak tapi tak tahu apa-apa.

Bagi Sameon keluar waktu malam ni dah menjadi perkara biasa walaupun sering dilarang oleh isterinya. Cerita-cerita hantu galah di atas Bukit Tinggi itu tak diambil hirau kerana selama lebih 40 tahun dia hidup ni tak pernah pula di bertembung dengan hantu berkenaan samada menuruni bukit ataupun mendaki bukit. Baginya itu hanyalah untuk menakut-nakutkan budak-budak agar tidak keluar pada waktu malam.

Satu hari, kampungnya kecoh apabila Seli anak bujang jirannya diganggu hantu itu sewaktu balik dari kedai.

“ Betul Pak Cik … Kakinya panjang, berbulu. Masa tu saya nak mendaki bukit tu. Saya terdengar bunyi separti orang memijak rumput kering di kiri kanan jalan. Saya pun toleh kanan. Saya tak nampak apa-apa. Masa tu saya dah mula rasa seram sejuk. Tiba-tiba saya rasa seperti dilindungi bayang seolah-olah saya lalu di bawah pokok. Masa tulah baru saya ternampak kakinya di kiri kanan saya. Rupa-rupanya saya sedang melalui bawah kelengkangnya. Apa lagi …. Saya terus campak basikal dan lari sekuat-kuat hati …” begitulah serba sedikit cerita Seli pada orang kampung.

“Kau buat apa keluar malam-malam buta..” Tanya salah seorang orang kampung.

“Er …. Saya pergi beli rokok…” jawab Seli sambil terus membungkus diri dalam selimut tebal yang dirasanya masih tak tebal kerana demam terperanjat.

Sameon hanya menjuehkan bibir. Padanya Seli sekadar mencari alasan untuk memonteng daripada menoreh getah milik bapanya.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari seminggu selepas kejadian Seli diganggu hantu galah, Sameon yang minum di kedai mamak telah terlewat balik ke rumah. Bukan kerana terlalu asyik menonton berita atau bersidang isu-isu semasa tetapi terlalu ‘makhsyuk’ menonton gusti di kedai mamak. Sedar-sedar sahaja dah pukul 11.30 malam. Maka dengan berat hati dia pun meminta diri dari sahabat handainya lantaran takut telinganya menjadi bengkak dan kembang macam telinga gajah pada esok hari akibat leteran isterinya.

Dengan basikal buruknya, dia mengayuh sambil bersiul-siul kecil. Dia membawa lampu suluh sebagai lampu tambahan basikalnya. Kalau menuruni bukit, teranglah lampu basikalnya, tetapi kalau mendaki bukit, lampu suluh itulah yang digunakan untuk menyuluh jalan.

Apabila sampai sahaja di kaki Bukit Tinggi itu, Samoen turun dari basikalnya dan menyorong basikalnya mendaki bukit itu. Dengan berbekalkan lampu suluhnya dia menyuluh kiri dan kanan jalan sambil terus bersiul-siul. Tiba-tiba dia tersuluh sesuatu. Di tepi semak ternampak sesuatu bergerak-gerak. Sameon berhenti bersiul dan cuba mengamati benda yang bergerak-gerak itu. Waktu itu, romanya mula menegak. Dia menelan liur apabila mendapati benda yang bergerak itu kelihatan seperti jari kaki manusia tetapi besarnya hampir sama dengan kepala tututnya. Liur yang ditelan semakin kesat seperi pasir lombong apabila suluhannya menjangkau ke pergelangan kaki tadi yang berbulu. Kali ini kaki Sameon mula bergetar. Lututnya bergoncang kuat dan berlaga-laga apabila suluhannya mula menjangkau paras atas kaki berkenaan.

Apabila suluhannya naik ke bahagian paling atas kaki tersebut, Sameon menutup mulut, lampu suluhnya terlepas, dan dia terduduk sambil membiarkan basikalnya menyembah bumi. Dengan mata berkaca-kaca malah air mata dah mula meleleh keluar, Sameon tersenggut-senggut dan akhirnya dia tertunduk menekan perut. Pada waktu itulah terdengar suara Sameon ketawa  terbahak-bahak membelah Bukit Tinggi itu. Sekali dengar bunyi macam keldai tenggelam dalam air.

“ Hei manusia … kenapa kau ketawa? Kau tak takutkan aku?” tanya satu suara garau tiba-tiba dari sebelah atas.

Sameon yang tadinya bergolek-golek ketawa cuba mengawal tawanya sambil menunjuk-nunjuk ke arah atas. Dia memandang ke atas sambil tangannya meraba-raba mencari lampu suluh. Dia menyuluh wajah empunya suara tadi. Walaupun wajah itu hodoh dengan mata yang merah dan berbulu serta hidung yang besar juga berbulu. Ia tak lagi dapat menakutkan Sameon. Padanya wajah itu dah sama macam badut sarkas yang popular pada waktu itu.

Dengan menekan-nekan perut Sameon berkata …

“ Harap kaki aja panjang, badan aje besar … tapi ….’anu’nya kecik ….. macam budak sekolah tadika …..Hahahaha….!!!” Sekali lagi Sameon terduduk sambil tangannya terus menyuluh ke arah ‘anu’ hantu galah tersebut. Maklumlah, hantu bukan reti pakai seluar dalam. Lagi pun supermaket manalah yang ada jual size dia tu.

Entah bila hantu itu pergi Sameon pun tak tahu. Yang pastinya semenjak peristiwa itu, hantu galah itu tak pernah lagi muncul di Bukit Tinggi. Tetapi ada sekali tu, ada sorang penduduk kampung yang melalui jalan di Bukit Tinggi itu, ternampak kelibat hantu galah tersebut .Yang peliknya kaki hantu galah itu tertutup rapat ala-ala pengantin atas pelamin gitu. Tapi bukan duduk kat tengah jalan tapi kat tepi jalan sambil memerhati oaring kampung lalu lalang.

Monday, March 19, 2012

DISUMPAH PENUNGGU SUNGAI..


Cerita ni berlaku semasa Sahak (nama separuh betul) mengikuti Survey Camp di Kuala Woh pada tahun 1998. Masa tu dia belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di utara tanah air. Walaupun tak setinggi mana, tapi kolej tu cukup tinggi kerana letaknya di atas puncak bukit dengan bangunan 5 tingkat tanpa lif. Tinggi sungguh! Kira berpeluh le ketiak nak memanjatnya. Agaknya berapa botol le deodoran yang dia orang pakai dalam sebulan. Tapi ini bukannya cerita pasal bangunan kolej dia yang tinggi tak ada lif tu atau berapa botol deodoran yang dia orang pakai dalam sebulan.

Kuala Woh, memang sebuah tempat peranginan, tetapi tidak begitu popular. Ia merupakan jeram yang sungainya mengalir bersambung dengan Air Terjun Lata Iskandar satu lagi kawasan peranginan yang cukup popular. (Kalau korang orang Perak, korang tau la tempat ni). Ia lebih kepada tapak perkhemahan di tebing sungai yang berjeram dan di tebing sungai itu juga terdapat sebuah kolam air panas yang airnya cukup panas kalau nak dibuat tempat berendam ala-ala jakuzzi. Tetapi air panas di kolam itu cukup pelik, kalau direndam sebiji telur sepanjang malam, nescaya telur itu masih mentah seperti tidak direndam langsung! Magik sungguh! Pun begitu, cerita ini bukanlah cerita pasal telur yang tak masak walau direndam dengan air panas kolam itu.Tapi cerita ini pasal Sahak, seorang pelajar jurusan akitek … ala… yang lukis-lukis pelan rumah tu…!

Sebelum Sahak dan kengkawannya berangkat ke kawasan perkhemahan tersebut, pensyarahnya telah berpesan supaya menjaga tatasusila dan menjaga mulut agar tak celupar sangat kerana kawasan itu ‘keras’. Keras yang macam mana tak pula diberitahu, macam batu ke, macam besi ke … tak pula dijelaskan. Dan lagi satu, pensyarahnya berpesan, jangan buat kerja secara berseorangan dan jangan ambil apa-apa benda yang pelik yang ditemui di kawasan itu. Biasalah kan, manusia .. yang pelik-pelik itulah yang menarik. Untung-untuk boleh keluar tv, yelah simpan benda-benda pelik. Paling-paling kurangpun boleh panggil crew Misteri Nusantara buat liputan.

Tugas Sahak dan kengkawannya di kem tersebut adalah mengukur tanah dan membuat pelan kawasan terbabit untuk dibangunkan, tapi bukanlah betul-betul … sekadar latihan. Tempat itu pula dipilih kerana kawasannya yang berbukit dan bersungai dan tempat yang paling sesuai untuk dibuat latihan. Waktu yang ditetapkan adalah dari pukul 7 pagi hinggalah pukul 5 petang selama 3 hari. Selebihnya adalah waktu mereka bersantai dengan bermandi manda di jeram sungai yang cantik itu. Malah yang nak berjakuzzi pun ada.

Akan tetapi, Sahak tidak berminat untuk itu. Dahlah kawasan berbukit, dah tentu sejuk. Nak mandi sungai ….hui… lagilah sejuk… Nak berjakuzzi.. tak sanggup pulak. Tempat dah la kecik, nak berendam lebih 10 orang …. Macam sardin dalam tin. Mana selesa. Maka pada hari tu, Sahak hanya merayau-rayau disekitar sungai kalau terjumpa sesuatu yang boleh dibuat bahan untuk membina model atau replika ciptaannya.

‘Ah … aku bukan jalan jauh-jauh. Kalau aku bisik pun, semua kengkawan aku boleh dengar.’ kata Sahak sambil dia berjalan.

Dalam berjalan itu dia bersiul-siul kecil. Tiba-tiba dia terpandang sesuatu yang hanyut di air. Batang kayu reput! Sahak tiba-tiba dapat idea untuk menjadikan batang itu sebuah replika. Sambil tersenyum dia mengejar batang kayu tersebut. Akhirnya dia dapat mengambil kayu tersebut. Sekali lagi dengan tiba-tiba dia teringatkan pesanan pensyarahnya. ‘jangan ambil benda-benda pelik’.

“Ah.. takkan batang kayu reput ni pun pelik. Kat mana-mana pun banyak pokok kayu.” Kata Sahak sendirian sambil membelek-belek batang kayu reput itu dengan begitu teliti dan khusyuk. Terbayang dibenaknya yang tak benak itu bahawa dia mendapat pujian daripada pensyarahnya kerana ciptaan binaan replica daripada kayu reput.

Sebenarnya Sahak terlupa, bukan batang kayu itu yang dilanggar pantangnya, tetapi dia sebenarnya dah menyimpang jauh dari kengkawannya yang sedang mandi. Kali ini bukan setakat berbisik, kalau dia menjerit sekali pun orang akan kata monyet hutan sedang mengawan.

“Letak balik batang kayu itu!!! Itu aku yang punya!!!” tiba-tiba terdengar suatu suara garau menyergah Sahak. Hampir tercampak kayu itu dari tangan Sahak sambil menoleh ke kiri dan ke kanan. Tapi tak ada sesiapa pun.

“Letak balik aku kata..!!” jerkah suara itu lagi. Kali ini lebih garau.

“Ssss .. siapa?” terketar-ketar Sahak bertanya.

“Aku penunggu sungai ini. Kau telah mengambil sesuatu yang bukan kepunyaan kau. Kembalikan kepadaku…!” jawab suara itu, lagi garau dan garang.

“....di mana kau…?” Tanya Sahak agak berani.

“Di sini ….!” kata suara itu dari arah belakang Sahak. Perlahan-lahan Sahak menoleh sambil tangannya terketar-ketar macam orang demam kura-kura. Terbayang olehnya di belakangnya kini seekor hantu berwajah hodoh macam wajah hantu air dalam filem Badang sedang bersedia untuk menerkamnya.

Tetapi di hadapannya kini seorang lelaki berbadan besar, berperut buncit dan berkepala botak dengan pakaian kulit harimau ala tarzan sedang berdiri gagah dengan muka yang bengis. Sahak terkejut tetapi suaranya seperti tidak mahu keluar untuk menjerit.

“Kkk..kalau ak..ku .. .amm..bik jjjugak. Aaapppa kkkau nnnak bbuuat ha…?!” Tanya Sahak konon berani walaupun sebenarnya otot pundi kencingnya rasa nak terkucil jam tu jugak.

“Ha…ha….ha….ha …. Kau akan ku sumpah …..!!!” kata lelaki itu sambil ketawa. Ini membuatkan Sahak kecut tetapi kayu reput itu tetap tidak terlepas dari genggamannya.

“Apppaaa summpah  kau ….?!” Tanya Sahak lagi. Kali ini lebih berani.

“Kau akan ketawa sampai bila-bila……!!” jerkah lelaki itu.

“Ah … kayu buruk pun kau nak rebut…” Sahak lagi berani bila lelaki itu tidak kelihatan seperti nak menyerangnya.

“Fuh …!!!!” sembur lelaki itu sambil  mulutnya terkumat-kamit macam kambing terkunyah chewing gum dan dari mulutnya keluar kepul-kepul asap nipis terus ke muka Sahak yang jaraknya lebih kurang 3 ke 4 langkah beruk sahaja dari tempat dia berdiri.

Sahak membelek-belek dirinya. Tak ada apa yang berubah pun. Malah dia tidak merasa kelakar pun untuk dia ketawa secara tiba-tiba.. Baru dia teringat, bapa dia dulu pernah menurunkan ilmu penunduk kepadanya. Jika disumpah tak menjadi, jika disihir akan patah sihir tu. Walaupun dia tak mengamalkannya, nampaknya ia berkesan. Yakinlah dia bahawa sumpahan lelaki buncit itu tidak menjadi Maka lagi beranilah dia menentang lelaki buncit itu.

“Ahhh … tak ketawa pun aku. Bohonglah kau….! Baik aku balik … layan orang tua buncit ni nak buat apa…buang karan aje” kata Sahak sambil berlalu pergi tanpa manghiraukan lelaki itu yang terpinga-pinga kerana sumpahannya tak menjadi. Entah apa ilmu budak ni pakai menyebabkan sumpahannya terus tak menjadi.

“Hoi … tunggu..!!” katanya dengan kuat ke arah Sahak. Sahak yang tadinya relaks terkejut beruk dan terus susup sasap melarikan diri. Dan lelaki berperut buncit itu mengejarnya dengan dengus yang kuat seperti kerbau jantan kena sembelih lagaknya. Ini menyebabkan keberanian Sahak kian menurun ke paras paling minima … malah mungkin dah sampai paras negatif ..! Apabila mendengar dengus lelaki buncit itu, jantungnya bagai digegar-gegar. Kalaulah lelaki itu terjatuh dan mneghempapnya, nescaya macam cokodok penyeklah dia.

‘Kalau dia dapat tangkap aku…mampus aku ..’ fikir Sahak sambil berlari. Terbayang di matanya lelaki perut buncit itu merebusnya dalam periuk besar yang berisi ramuan-ramuan sup.

Dan di remang-remang senja itu Sahak kian pasti yang dia akan selamat sampai ke khemahnya apabila dia melihat samar-samar lampu generator khemahnya. Malah suara kengkawannya mula jelas kedengaran di telinganya.

‘Selamat tinggal Penunggu Sungai ….hehehe… kayu reput pun nak rebut…’ ejek hati Sahak.

Tiba-tiba …GEBEDUK…!!!!

Bunyi itu dengan serta merta menghentikan langkah Sahak yang sedang berlari sambil memeluk batang kayu reput itu. Bunyi yang macam gajah terjatuh lubang itu menarik-narik tangkai hatinya untuk melihat apa yang terjadi. Ntah apa kuasa yang menariknya, perlahan-lahan dia menyusur ke arah bunyi tersebut. Dan tiba-tiba …. Sahak ternganga …..dan dia mula menekan-nekan perut … Sahak ketawa terbahak-bahak malah berguling-guling. Mana tidaknya, dia nampak lelaki berperut buncit yang mengejarnya tadi tersungkur tersandung akar . Kain yang menutup tubuhnya pula tersangkut diranting yang berdekatan menyebabkan lelaki itu bertelanjang bulat … betul-betul bulat!. Apa yang menggelikan hati Sahak ialah, apabila lelaki itu bersusah payah bangun. Cubalah bayangkan seorang lelaki botak dan ‘bertubuh botak’ serta perut buncit macam kerbau bunting terlebih bulan terkial-kial bangun dengan seluruh tubuhnya botak tetapi yang peliknya punggung lelaki itu berbulu… sekali pandang macam gorilla baru lepas kena cukur!!

Dan keesokan harinya, kengkawan Sahak menemui Sahak dalam keadaan pengsan sambil memeluk sebatang kayu buruk. Yang menghairankan mereka, apabila Sahak terjaga sahaja dia akan ketawa terbahak-bahak tanpa sempat menceritakan apa-apa. Kemudian dia pengsan lagi. Begitulah keadaan Sahak sampai ke hari ini. Lepas penat ketawa dia akan pengsan. Masa makan pun dia boleh gelak macam nak pecah perut. Cerita ini pun mengambil masa setahun lebih untuk diceritakannya …

Monday, March 12, 2012

MOTOR YAMAHA 'Z'

Salam, sepatutnya semalam saya pos 1 lagi cerita. Disebabkan sedikit sibuk maka hari ini saya up-date cerita baru...

Cerita ini adalah cerita pertama saya yang disiarkan di dalam majalah GILA-GILA tahun 2006. Keluaran yg mana satu, bulan berapa, saya tak ingat.

Cerita seram & lucu... so enjoy!!!



Motor YAMAHA ‘Z’

Cerita ni benar-benar terjadi di kampung aku di Sg. Mati, Muar, Johor. Kisahnya berkisar pada sebuah motorsikal jenama YAMAHA ‘Z’ yang baru 6 bulan dibeli dan digunakan oleh seorang lelaki di kampung bersebelahan dengan kampung aku. Lelaki itu Mahmud (nama sebenar tak diketahui) terlalu sayangkan motornya. Maklumlah setahun lebih mengikat perut, kaki, tangan, mata, mulut .. semualah … nak menyimpan duit nak beli motorsikal idamannya. Dari badan macam Rambo Chin dah jadi macam Osman Kering. Tapi Mahmud puas hati. Dia beli motor tu ‘cash’ … tak main hutang-hutang.

Hari-hari motor itu dimandikan, disyampukan malah dibedak dan di’lipstick’kan supaya kelihatan cantik dan baru sentiasa. Malah kalau dia berbini pun, takkan dibuatnya macam tu. Begitu dahsyatnya sayang Mahmud pada motor tu.
Tapi … jeng..jejeng…!!! Sayang Mahmud pada motor tu, tak lama. Lepas 2 bulan, Mahmud terlibat dalam kemalangan jalanraya. Dia terjatuh dari motorsikalnya selepas cuba mengelak sebuah lori yang penuh dengan muatan ….er…er…’kerbau pendek’ (tak sopanlah kalau cakap direct ) yang terbabas dan melintang di tengah-tengah jalanraya. Mahmud yang tak dapat mengawal motorsikalnya lalu merempuh ‘muatan’ lori tersebut dan jatuh. Tak semena-mena pula, ‘muatan’ lori itu pula jatuh menghempap Mahmud dan Mahmud sempat menolak motorsikalnya agar tidak terhempap sama. Dan yang sedihnya, Mahmud meninggal dunia disitu juga. Motorsikalnya hanya cereda ringan sahaja dan dirawat sebagai pesakit luar di bengkel motor di kampung Mahmud.
Sejak itu, motorsikal Mahmud tidak ada siapa yang menaikinya kerana Mahmud tidak ada adik-beradik lain. Dia anak tunggal. Bapanya, Pak Dolah (nama samaran) pula tak sampai hati nak bawa motorsikal itu, hatta walaupun hanya sekadar berlegar-legar disekeliling rumah kerana terlalu teringat-ingatkan Mahmud. Motorsikal itu cuma disimpan di bawah rumah sebagai kenangan.
Tapi dua minggu lepas tu, sesuatu yang misteri terjadi. Motorsikal dibawah rumah tu, tiba-tiba menderum. Kelam kabut Pak Dolah, kalau-kalau motor itu dicuri orang. Tetapi apabila sampai di bawah rumah, motor itu masih seperti asal, tak berganjak dari tempatnya, cuma enjinnya hidup sendiri, tanpa kunci. Pak Dolah bertambah pelik apabila setiap hari menjelang tengah malam motor itu meraung menyebabkan dia dan isterinya tak dapat tidur. Isteri Pak Dolah hilang sabar dan mendesak Pak Dolah menjual motor tersebut dikedai motor yang berdekatan. Dengan rasa berat hati dan mata yang sembap… akhirnya motor tersebut bertukar tangan. Barulah lega hati keduanya, dan lepas ni mereka dapat tidur dengan nyenyak.
Tapi kenyenyakan tidur mereka tak lama apabila tokeh kedai motor itu datang dengan merayu-rayu sambil menangis-nangis agar Pak Dolah mengambil semula motor tersebut kerana tak tahan dengan kerenah motor tersebut yang suka meraung di tengah-tengah malam. Malah tokeh kedai tersebut menyerahkan motor tersebut secara percuma tak perlu memulangkan kembali duit penjualannya tempohari. Apabila Pak Dolah mengangguk setuju aje, dia pun mencicit lari tak toleh kiri kanan lagi.
Begitulah seterusnya mata Pak Dolah dan isterinya membengkak lagi dek kerana tak dapat tidur. Dah puas dia mencari bomoh dan pawang bagi memulihkan motor tersebut, tetapi keadaan masih begitu juga. Dan akhirnya dia mencanangkan ke kampungnya … sesiapa yang nak membeli motorsikal itu dengan harga cuma RM 100.00 sahaja. Maka berebut-rebutlah orang nak membelinya dan cuba untuk memulihkan motor tersebut. Dan lega lagi hati orang tua itu bila motor itu akhirnya terjual juga. Maka tamatlah penderitaan mereka.
Hampir 2 bulan motor itu tiada di rumah mereka. Mereka cuma mendengar berita sahaja yang mengatakan motor itu sering bertukar tuan kerana tak tahan dengar ia meraung tengah-tengah malam seolah-olah ada orang sedang menunggangnya. Tetapi pada mereka itu bukan masalah mereka lagi, itu masalah dia orang la pulak. Bukan dia tak beritahu masalah motor tersebut.
Tetapi .. disuatu pagi yang hening, sewaktu ayam jantan baru nak mengasah tekak nak berkokok. Terdengar satu kokokan yang pelik … er jeritan…di depan rumah Mahmud. Terlihat seorang lelaki tua terduduk menendang-nendang tanah dan di hadapannya terdapat suatu benda berbalam-balam. Motorsikal YAMAHA ‘Z’ milik Mahmud ada di depan rumahnya. Pak Dolah la tu … terkejut tengok motor itu dah kembali ke rumahnya masa dia baru nak turun menoreh getah.
“Siapa orang yang pulangkan balik motor tu?”
“Entahlah … aku pun tak tahu. Tak de sapa pun ngaku…”kata Pak Dolah.
“Abih … motor Pak Cik tak jual lagi ke?”
“Tak .. aku tak jual lagi. Kalau jual pun buat apa… nanti balik ke sini jugak. Nasib baik motor tu cuma menderum aje, kotnya dia berjalan … puas la pulak aku nak mengejarnya.”
“Tapi mata Pak Cik dah tak bengkak lagi. Pak Cik Pakai ubat apa dan mana motor tu sekarang?”
“Mata aku … hehe.. ada la … motor tu pun ada, aku simpan buat kenang-kenangan. Mahmud tulah satu-satunya anak aku. Kau nak tengok motor tu?” pelawa Pak Dolah.
“Mmmm … boleh jugak.”
Orang tua itu bangun dan berjalan malas ke bawah rumah dan di sana terlihat bentuk sebuah motorsikal yang ditutup cantik dengan kanvas di sebatang tiang di bawah rumah.
“Inilah motor tu..” kata Pak Dolah sebaik sahaja kain kanvas dibuka.
Maka terlihatlah sebuah motorsikal YAMAHA ‘Z’ berwarna merah berbelang putih yang cantik, berkilat dan masih baru tetapi … tanpa enjin.
“Enjinnya aku dah buang kat Sungai Muar.” Begitulah berakhirnya perbualan kami.

Namun malang memang tak berbau macam tempoyak atau pekasam. Nak dijadikan cerita, malam itu tiba-tiba aje seluruh rumah tua itu tergempar. Tengah malam itu juga bunyi motor yang entah dari mana datangnya berbunyi di bawah rumah.
Pak Dolah terduduk bertimpa timpa dengan isterinya bila melihat enjin motor itu menderum dibawah rumah, parking betul-betul di sebelah rangkanya.

Wednesday, March 7, 2012

Cerita Satu Malam Di Dalam Bulan Hantu


Lu kalau jumpa itu hantu aa … lu memang manyak suwey punya..” kata Ah Fook satu ketika semasa minum kopi di kedai kopi.

Semua mata bertumpu padanya. Dah la tengah malam. Cerita hantu pulak tu. Lagi pun sekarang ni orang-orang cina tengah sembahyang hantu.

“Apa la lu Ah Fook. Malam-malam macam ni lu lagi mau cerita pasal hantu,” kata Ah Meng pula yang sama-sama mananguk kat kedai kopi malam tu.

Haiyya…!! Wa tatak muhong punya. Wa punya anak jilan sulah kena ooo ….” Kata Ah Fook penuh aksi.

Olang-olang tua ada cakap. Kalau lu nampak hantu, lu punya nasib memang suwey punya….” Cerita Ah Fook lagi.

Yang lain-lain sudah menelan liur. Betul ke?

“Betul …. Itu hali aa…….”

Hari tu hari Sabtu. Masa tu ada kenduri kahwin di simpang jalan tu. Ala ….Rumah kat depan TNB sub-station tu! Masa tu orang semua tengah main judi dengan minum-minum. Itu pengantin …. Tak tau la diaorang buat apa dalam bilik … hehehe..

Tapi kat sini bukan la nak cerita pasal itu pengantin. Tapi pasal Yong Yong anak jiran Ah Fook. Yong Yong yang tengah minum-minum di beranda rumah pengantin tu sedang asyik bersembang dengan kawan-kawannya. Kawan-kawan yang lain sudah pening-pening lalat tapi Yong Yong masih segar, seolah-olah dia sedang minum air paip.

Dalam gelak-gelak tawa, Yong Yong terpandang kelibat manusia bawah pokok nangka di depan pagar TNB sub-station. Dia memerhati orang tersebut yang sekejap mencangkung dan sekejap berdiri tetapi tidak beranjak dari tempat itu.

Dalam pemerhatian Yong Yong, orang yang berbalam itu berbaju macam pengantin perempuan. Cuma Cheong-Sam yang dipakai seakan-akan warna putih dan bukan warna merah seperti kebiasaan.

“Eh .. apa pengantin perempuan tu buat kat bawah pokok nangka tu?” Tanya Yong Yong kepada kawan-kawannya.

“Ntah … gaduh dengan laki dia kut …Alah.. biarlah .. itu cerita orang dah kahwin…. “ jawab salah seorang rakannya tanpa menghiraukan apa yang Yong Yong nampak.

“Mana ada….. Wa tak nampak pun….” Kata seorang lagi dengan mencegilkan biji matanya ke arah yang dikatakan oleh Yong Yong.

“Ye lah … tak de sapa pun….. Lu dah mabuk agaknya…..” kata yang sorang lagi.

Tapi Yong Yong tak puas hati. Dia meminta diri untuk menjengah orang yang berada di bawah pokok nangka itu. Rasanya macam ada masalah … kejap berdiri… kejap mencangkung.

“Eii .. Yong Yong … Tak usah kacau la itu orang … kita minum lagi bagus ….” Halang seorang dari kawannya tetapi Yong Yong dah jauh melangkah.

Semakin lama semakin hampir. Jantung Yong Yong pula berdegup kencang. Tak tahu kenapa tiba-tiba dia menggeletar. Orang yang mencangkung tadi masih mencangkung malah tidak lagi berdiri. Mungkin tunggu Yong Yong agaknya .

“Er ..kak buat apa kat bawah pokok ni….?” Serentak dengan teguran itu terdengar satu jeritan yang panjang menyebabkan semua orang di majlis perkahwinan itu tersentak. Tapi bak kata orang dari yang paling kecik sampai yang paling besar … semua terkejut gila mendengar jeritan tersebut.

Kawan-kawan Yong Yong yang sedang pening-pening lalat pun terkejut.

“Eh … itu suara Yong Yong?”

Mereka berlari ke arah Yong Yong yang sedang terduduk dengan mulut ternganga dan mata terbeliak. Tetapi masing-masing semua meraban entah ke mana. Yong Yong kat depan mata masih tak tercapai tangan mereka. Yelah orang dah mabuk.

“Apa terjadi Ah Fook….?” Tanya Ah Meng sebaik sahaja Ah Fook berhenti seketika untuk meneguk kopi yang dah sejuk di atas mejanya.

“Itu Yong Yong sulah nampak itu hantu la. Masa dia latang, itu hantu sulah lompat naik atas itu pokok nangka … Shuuup..!!!! Macam spailerman Suma orang tatak nampak. Dia solang saja nampak. Haiya … manyak suwey ooo…..” Ah Fook meneguk kopinya lagi.

“Apasal Ah Fook ..?”

“Lepas itu hali aa… Itu Yong Yong sulah sakit.”

“ Dia mati ke Ah Fook lepas tu?” Tanya seorang Melayu yang sama-sama mengikuti cerita Ah Fook.

Haiya … Wa belum habis cerita lu sulah kacau …!!!” marah Ah Fook.

“ Dia sakit, tapi tak lama. Demam terkujut. Dua tiga hari lepas tu dia kena ekor… Satu libu linggit!!! Tapi aaa… masa dia balik lumah … itu luit semua dia tak tau sulah letak mana, sulah cicir .. tak tau mana pegi. Dia pegi cari …. Ngam-ngam keluar itu rumah  lori sudah langgar sama dia. Masuk hospital, dia punya kaki kena potong ….Itu semua aa… pasal nampak itu hantu la…..”

“ Ya ke Ah Fook. Macam tak percaya aje …..”

“ Ya la…. Itu kes aa … 7 hari saja lepas dia nampak itu hantu…. Tatak muhong punya….. Dia punya mak bawak dia pergi sembahyang. Baru dia punya nasib ada baik. Itu sami pun ada cakap, pasal itu Yong Yong nampak itu hantu la dia punya nasib ada sikit suwey. Okey lah … wa nak balik …. Nanti wa punya bini marah wa balik lambat … Er Ah Keong … ini kopi masuk buku aa… lain hali wa bayar aa….” Jerit Ah Fook sambil berlalu meninggalkan mereka yang terkulat-kulat.

Selepas Ah Fook pergi seorang demi seorang meninggalkan kedai kopi tersebut. Masing-masing dengan muka cuak. Yelah …. Baru dengar derita Ah Fook tadi, masing-masing jadi kecut sikit. Dah la tu. Malam tu malam Jumaat. Bulan hantu lagi.

Sementara Ah Fook pula bersiul-siul kecil meredah malam dengan Honda Cup buruknya. Puas hatinya bercerita pasal Yong Yong yang telah diubah suai menjadi lebih menarik.

Spailerman … spailerman… weh ah yu .. spailerman…” Ah Fook menyanyi lagu Spiderman dengan pelat cinanya.

Tiba-tiba pokok di hadapannya bergoyang-goyang sedangkan masa itu tiada angin yang bertiup langsung. Ah Fook menelan liur tetapi dia masih memerhatikan pokok yang bergoyang tanpa angin itu.

“ Monyet kot?” bisik Ah Fook.

 Semasa betul-betul melintasi pokok itu dia ternampak satu lembaga sedang tergantung di atas pokok itu. Lembaga yang menyerupai seorang panglima cina zaman Dinasti Ming itu terloncat-loncat tergantung sendirian dengan tali mengikat lehernya. Seketika kemudian mata lembaga yang merah menyala dan muka yang pucat lesi serta bertaring menyeringai memandang tepat ke mata Ah Fook.

Haiyya … jangan kacau gua….Jangan kacau gua….!!!!!” Jerit Ah Fook ketakutan sambil terketar-ketar memerah minyak motor.

Serentak itu juga terdengar satu jeritan kuat dari arah pokok berkenaan menyebabkan Ah Fook susup sasap melarikan diri.

Entah macam mana motor yang ditunggangnya jatuh masuk ke dalam parit. Bagaimana dia jatuh cuma dia aje yang tahu.

Wa sulah cakap … mesti suwey punya…” rungut Ah Fook yang masih ketakutan sambil cuba bangun keluar dari parit.

Dia bingkas bangun dan melarikan diri meninggalkan Honda Cupnya didalam parit yang entah apa-apa kandungannya. Dengan kudrat yang tinggal Ah Fook terus berlari dengan mata terpejam.

Cong ceng … cong ceng….” Dia membaca sesuatu, serapah menghalau hantu agaknya.

Entah macam mana kakinya tersandung dengan kakinya sendiri dan sekali lagi macam nangka busuk dia terjatuh. Lagi menyedihkan mukanya tersembam tepat-tepat kat atas tahi lembu yang suam-suam kuku. Memang betul-betul suwey!!!

Di sebalik dunia yang satu lagi …..

“Woi apek … apasal lu loncat-loncat kat bawah pokok ni? “ Tanya satu suara.

“Haiyya .. wa punya nasib banyak suwey la ini hari. Wa baru putus cinta. Wa punya girlfriend sula lari sama itu hantu Mat Salleh. Wa ingat nak bunuh diri. Wa gantung diri wa atas pokok ni. Sulah lama wa gantung tapi wa tak mati-mati lagi. Wa goyang-goyang itu pokok kasi cepat mati. Tapi masa itu aa… ada satu orang lalu tengok waWa terkejut. Dia pun terkejut. Dia jerit … wa pun jerit. Ngam-ngam aa… kepala wa pun putus. Tapi aa.. wa tatak mati jugak … wa punya kepala sulah sangkut kat atas ini pokok .. Wa punya badan kat bawah … Haiyya … memang manyak suwey la!!“

“Sekarang wa tak tau macam mana nak ambik wa punya kepala …. “

“Apek .. Apek…. Lu hantu mana boleh mati lagi. Nanti wa tolong lu ambik lu punya kepala…”

Lu sapa?” Tanya apek tanpa kepala itu.

“Saya Pontianak”

“Terima kasih.” Kata apek tersebut sebaik sahaja kepalanya diserahkan.

Wa cakap lu aa…. Ini bukan wa cakap tau, ini orang-orang tua punya cakap. Lu jangan main-main sama ini orang tau. Lu jangan kasi itu orang nampak lu ooo…. Kalau orang sulah nampak lu ..nanti lu punya nasib banyak suwey ooo… Macam wa…….” Kata apek itu sambil menjinjing kepalanya berlalu dari pokok nangka di hadapan pagar TNB sub-station di hujung simpang.





Pengajaran: Kenapa takut hantu … sebab hantu pun takut kat kita….

Monday, March 5, 2012

Aku, Emak dan .....

Cerita ni meraih tempat ke-3 dalam PERTANDINGAN MENULIS CERPEN REMAJA KARYANET 2005 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka



Man. Bangun, mandi, sembahyang subuh! Lepas tu pergi sekolah! Liat betullah budak ni..” Rungut emak suatu pagi.
            Aku bangun lambat-lambat. Mata masih berat seperti ada pemberat sedang bergantungan di bulu mataku. Aku menguap beberapa kali lantas kembali membaringkan diri di dakap kedinginan subuh.
            “Astaghfirullah! Bangun!!” Jerit emak membuatkan aku bingkas bangun ke bilik air.       
            Aku terus ke bilik mandi sambil merungut-rungut sendirian. Tanda membantah.
            Sudahlah malam tadi aku tidur lewat. Kerana menyiapkan kerja rumah yang terbengakalai. Siang semalam selepas sekolah aku dikerah emak ke kebun mencangkul batas ubi dan keledek. Lewat petang baru pulang yang malamnya aku kena berhempas pulas mentelaah buku-buku sekolah.
            Selepas ayah meninggal dunia setahun lalu. Emaklah yang menjadi ketua keluarga. Tetapi emak terlalu tegas. Mentang-mantanglah aku anak sulung, semua kerja aku nak kena tanggung. Penatlah! Tiga adik ku yang lain, tidak pula di kerah bekerja. Mungkin Mira terlalu kecil untuk dikerah bekerja kerana baru berusia 3 tahun. Tetapi Azhar dah 10 tahun. Azmi dah 12 tahun. Kenapa asyik aku sahaja yang dikerah bekerja?
            Ah! Emak. Tak tahukah aku penat belajar di sekolah? Hari-hari di tekan dengan kerja-kerja sekolah yang tak pernah habis. Emak tak sekolah, mana emak tahu semua itu. Aku tahun ini nak ambil SPM. Mestilah nak tumpu perhatian kepada pelajaran. Perlukan rehat yang lebih. Emak mana rasa semua itu. Pencen arwah ayah, pun sudah cukup untuk menampung hidup. Kenapa bersusah payah nak berkebun? Ke mana perginya pencen arwah ayah? Ah .. emak terlalu boros… ! Aku tak nampak apa pun barang-barang mewah di rumah. Ia sama seperti dua atau tiga tahun dahulu. Tak ada bezanya.
            Ah! Emak bukannya faham. Hari-hari memasak dan jaga adik sahaja. Bukan emak tahu susah payah aku belajar. Awal-awal pagi nak bangun. Lepas tu pergi sekolah. Disumbat dengan segala fakta-fakta dan simbol-simbol yang perlu diingat untuk menghadapi peperiksaan. Mungkin kalau emak yang jadi aku, dia tentu akan faham apa yang aku hadapi.
            “Apa nak jadi budak-budak sekarang. Malas sangat nak bangun pagi pergi sekolah.” Keluh emak.
            Hari itu aku ke sekolah dengan mata yang layu, badan yang letih. Namun aku masih meneruskan langkah.
            “Azman, lepas zohor nanti tolong emak cabut ubi. Mak nak jual kat peraih pagi esok.” Emak memerintah.
            “Ala … mak suruhlah Azmi atau Azhar yang buat. Saya ada temujanji dengan kawan-kawan di perpustakaan,” aku membantah.
            “Manalah Azmi dan Azhar tu kuat nak cabut ubi. Berapa sahajalah ubi yang dapat dijual esok. Berapa sen sangatlah yang dapat nanti…Duitnya nanti pun, kau juga nak pakai.” balas emak.
            “ Esok sahajalah kita cabut. Man sibuk la mak….” Marah aku sambil terus meninggalkan emak terkulat-kulat.
            Emak hanya menggeleng-gelengkan kepala.
            Puas hati aku dapat melarikan diri dari kerja-kerja berat. Aku lihat orang lain pun ada juga tidak berbapa. Mereka tidaklah bekerja siang malam. Masih boleh duduk bersantai, masih mampu tersenyum tawa setiap masa. Tetapi aku? Tiada masa langsung bersantai, beriang gembira. Zaman remaja aku hanya habis di kebun. Dengan kaki berbecakkan lumpur dan onak.
            Ah! Seronok jadi emak. Kerja senang. Tak perlu mengadap buku-buku matematik, buku sejarah, geografi dan lain-lain. Hari-hari cuma jaga adik, memasak dan mencuci baju. Turun ke kebun sekadar mencangkul. Selebihnya aku yang lakukan. Segala-galanya aku. Yang penat juga aku. Aku, aku dan aku …
* * * * *
            “Krringgggg !!!” jam loceng dihujung kepalaku menjerit nyaring.
            Aku mencapainya lalu menutup tuil loceng dijam tersebut.
            “ Ah … baru pukul 5 pagi …” kataku sambil cuba memejamkan mata kembali.
            Tetapi aku hairan kenapa mata ini tidak mahu lelap seperti selalu. Aku lantas bangun.
            “Mak …! Mak…!” terdengar suatu suara kecil di sebelah kiriku.
            Aku menoleh dan ku lihat Mira sedang merengek-rengek mahukan susu. Tetapi kenapa dia memanggil aku ‘emak’?
            Ya Allah!! Aku kini berada di dalam tubuh emak! Di mana tubuhku? Aku berlari keluar dari bilik dan menuju ke bilik aku dan aku melihat ‘aku’ yang berwajahkan ‘emak’ sedang lena dibuai mimpi. Aku meraba-raba wajahku yang kini berada di dalam tubuh emak. Dadaku berdebar-debar. Rasa seperti hendak menangis pula.
            “Maakk !! “ suara Mira dari dalam bilik mula kuat.
            Tanpa berlengah aku segera ke pangkuan Mira dan tanpa disuruh-suruh aku terus menyusukan Mira. Dan aku mula tersenyum …
            “Bagus juga aku jadi emak. Biar emak tahu betapa susahnya menjadi aku … Bolehlah aku bangun lewat sikit, bolehlah aku berehat lama sikit… ” kataku perlahan-lahan sambil mendodoikan Mira dipangkuan.
            “Ah , dah subuh. Sarapan belum dibuat lagi,” bisik ku.
            Perlahan-lahan aku meninggalkan Mira yang tidur. Terus aku ke dapur menjerang air dan menyediakan sedikit sarapan pagi. Aku membuat cucur untuk adik-adikku dan ‘emak’ yang masih tidur.
            Jam menunjukkan pukul 6 pagi. Selepas menunaikan solat subuh, aku mengejutkan ‘emak’ dan adik-adik yang lain.
            Namun kesemua mereka begitu sukar untuk dikejutkan terutama Azmi. Aku hilang sabar lalu menjiruskan Azmi dengan air. Barulah Azmi bergegas ke bilik air untuk mandi. Aku menjadi bertambah geram bila ‘emak’ buat-buat tak endah sahaja semasa dikejutkan sebelum pergi ke sekolah.
            ‘Jagalah … tahulah nanti emak ke sekolah menggantikan aku…’ aku menggertap bibir.
            Apabila adik-adik dan ‘emak’ ke sekolah aku fikir hendak menyambung tidur. Tetapi semasa melintasi bilik Azmi dan Azhar aku lihat baju-baju kotor bertaburan. Juga di dalam bilikku. Aku memungut baju-baju kotor tersebut dan membawanya ke bilik air. Cadangku bila matahari naik segalah nanti bolehlah aku membasuh pula. Tetapi apabila aku sampai ke bilik air, aku lihat baju telah tersedia bertimbun. Dan aku mengambil keputusan untuk membasuh dahulu sebelum tidur semula.
            Satu per satu baju ku berus. Tanpa ku sedar, jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi. Sesudah siap membasuh aku menyidai pakaian di ampaian. Belum pun habis menyidai pakaian terdengar pula Mira menangis. Aku bergegas ke arah Mira di dalam bilik. Sambil memujuknya aku mendukung Mira ke ampaian dan membiarkan Mira bermain-main di sekitar. Habis sahaja menyidai kain, aku mengemas rumah yang sedikit bersepah di ruang tamu dan bilik adik-adik, kemudian aku membawa Mira ke bilik air dan memandikannya. Aku menjemur tilam Azmi yang basah pagi tadi. Begitu bersusah payah aku mengangkatnya. Rasa menyesal pula menjiruskan Azmi pagi tadi.
            Selesai semua kerja, baru aku tersedar aku masih belum masak makanan untuk tengahari itu. Aku terus bergegas ke pasar membeli ikan dan sayur untuk makan tengahari. Sepulangnya aku ke rumah, aku terus menyiang ikan dan memotong sayur. Menanak nasi. Hampir-hampir terlewat apabila Azhar kembali dari sekolah sambil mengadu lapar.
            “ Tunggu sekejap. Duduk dulu hilangkan peluh. Baru makan nasi,” pujuk ku.
            “Mak. Esok cikgu mintak RM 10.00. Nak beli buku latih tubi …” Azhar memberitahu aku semasa mula nak menjamah nasi. Aku hanya mengangguk.
            Aku terus ke bilik untuk mengambil duit. Aku membelek dompet emak. Yang ada hanya RM 10.00. Aku tercari-cari yang lain.
            ‘Tak kan RM 400 pencen arwah ayah tak ada lagi. Sekarang baru pertengahan bulan.” Aku merungut sendirian.
            “Mak … Man dah balik!”  jerit ‘emak’ atau ‘aku’ dari luar.
            “Semalam Man minta RM 30 untuk beli buku rujukan, tapi mak tak beri. Esok Man mesti beli buku tu. Semua kawan-kawan Man dah beli. Man sorang aje yang belum. Cikgu memang la tak marah tapi asyik perli-perli Man aje.” Rungut ‘emak’ semasa mengadap hidangan.
            “Nanti tolong emak cabut ubi petang ni,” kataku spontan.
            Hanya dengan itu sahaja aku dapat penuhi permintaan mereka.
            “Balik-balik Man. Man penat la mak…” bantah ‘emak’.
            “Mak lagi penat Man ..” kataku perlahan.
            “Penat apa. Mak duduk rumah aje. Mak bukannya buat apa. Masak, basuh baju, jaga adik .. itu aje…Tak macam Man. Pergi sekolah, buat kerja rumah. Belajar tu penat tau mak..” jawab ‘emak’ dengan biadap.
            ‘Kau kata aku tak buat apa? Aku dari seawal pukul 5 pagi sampai sekarang tak duduk diam, kau kata aku tak penat? ‘ Namum kata-kata itu hanya terluah di hati. Aku tak tahu kenapa aku jadi sayu.
            Begitukah layanan ku pada emak selama ini?
            Aku selongkar laci menacari wang untuk perbelanjaan Azhar dan ‘emak’ . Yang aku temui hanya resit-resit pembayaran api, air dan sewa rumah. Semuanya bernilai RM 250.00. Dan baki pencen ayah cuma RM 150.00. Aku membuat congakan bagi perbelanjaan sekolah Azmi, Azhar dan aku sendiri. Perbelanjaan dapur dan sebagainya. Baru aku sedar semua itu tak mencukupi. Barulah aku faham kenapa emak berkebun. Biarpun bukan di atas tanah sendiri tetapi hasilnya cukup untuk menampung kami sekeluarga.
            “Man nak ke rumah Leman, nak pinjam buku. Mak suruh Azmilah cabut ubi,” ‘emak’ terus berlalu tanpa mempedulikan aku terkulat-kelat di bilik.
            Aku terpaksa akur dengan kedegilan diriku sendiri. Tak apa, aku boleh cabut ubi sendirian. Aku masih ada kudrat.
            Selepas mencuci pinggan mangkuk dan menidurkan Mira, aku bersiap sedia ke kebun.
            “Azmi, mari tolong mak cabut ubi. Azhar, tolong tengok-tengokkan adik., lepas tu tolong sapu sampah di luar rumah. Jangan nak asyik bermain aje…” bebelku lagi.
            Sesampainya aku di kebun, aku terus mencapai parang dan mula mencantas batang-batang ubi sebelum mencabutnya. Azmi pula mencangkul-cangkul batas keledek sambil menyanyi-nyanyi kecil.
            Aku mula mencabut sebatang pokok ubi. Sehabis-habis tenaga aku cuba mencabut. Namun aku merasa amat payah dan cepat letih. Baru serumpun aku cabut, aku dah rasa macam nak pitam.
            “Mak tak apa-apa?” Tanya Azmi.
            “Tak ada apa-apa” jawabku sambil mengelap peluh yang berjuraian di dahi.
            “Tak apa, nanti Mi cabutkan,” kata Azmi sambil mengambil alih kerjaku.
            Juga sehabis-habis tenaga Azmi mencabut. Tetapi berapa sangatlah kudrat budak berusia 12 tahun itu.
            Usia? Baru aku teringat, emak sudah hampir menjangkau 43 tahun. Masakan seorang wanita separuh umur seperti emak segagah aku untuk mencabut ubi. Tanpa ku sedari air mataku mengalir.
            “Sudahlah Mi, mari kita balik. Dah petang ni. Nanti tak sempat pula nak jual ubi ni kepada Ah Kau,” kataku kepada Azmi.
            Tiga rumpun ubi kayu, beberapa ikat kangkung kampung, sebakul kecil keledek dan pucuk keledek. Aku berkira-kira, dapatlah juga RM 20 - RM 30. Lepaslah perbelanjaan mereka esok.
            Sesampai sahaja di rumah, aku lihat Azhar sudah terlena di hadapan tv. Namun aku masih tersenyum kerana melihat pakaian yang aku basuh siang tadi sebahagiannya sudah siap berlipat. Mungkin kerja Azhar.
            Sesudah aku membersihkan diri, aku sendirian mengangkat tilam di jemuran dan kemudian mengemas katil Azmi. Aku duduk seketika menghitung masa dari awal pagi hingga sekarang. Aku berasa teramat-amat letih. Keletihan ini tidak seperti keletihan aku belajar sambil menolong emak di kebun.
            Barulah aku sedar, selama ini aku silap. Menilai kerja emak hanya melalui mata kasar. Aku lupa bahawa tugas ibu tunggal itu lebih berat demi menjaga hati anak-anaknya. Tetapi aku? Apa pengorbanan aku pada emak? Apa usaha aku untuk membantu emak?  Emak memendamkan keperitan hidupnya daripada kami adik-beradik. Kerja emak lebih berat berbanding aku. Kerja yang selama ini aku pandang remeh, rupa-rupanya lebih berat. Emak tidak punya masa untuk berehat, sedangkan aku terlalu degil dan hanya mementingkan diri sendiri. Aku tak pernah membantu emak meringankan bebannya semasa cuti sekolah. Anak orang lain boleh bekerja sambilan untuk mencari duit poket tetapi aku ..? Mujurlah adik-adik tidak berperangai bukan-bukan. Semua memahami desakan hidup yang di tanggung oleh emak. Tetapi aku? Aku yang tak faham …  Kalaulah adik-adik jenis yang suka meminta itu ini, atau jenis yang degil dan terjal … pasti kerja emak menjadi lebih sukar. Kalaulah adik-adik berperangai seperti aku ……
            ‘Mak….maafkan Man mak. Man bersalah pada emak selama ini. Man tak tahu bagaimana Man nak tebus kembali kesilapan Man ini…’ aku menangis sendirian.
            ‘Aku tak mahu jadi emak! Aku nak jadi aku! Aku nak belajar bersungguh-sungguh untuk membela nasib emak dan adik-adik! Aku ingin kembali ke tubuhku! Tapi … bagaimana? Aku terperangkap di dalam tubuh emak…’ jantungku mula berdebar kencang.
            “Mak, Ah Kau dah sampai!!” jerit Azmi dari luar.
            Aku bergegas ke belakang rumah mengangkat hasil taniku tadi kepada Ah Kau yang sedang mennunggu dengan van buruknya.
            “Haiya! Manyak selikit ini hali kak? “ tanya Ah Kau kepadaku dengan loghat cina pekatnya.
            “Tak laratlah Ah Kau aku nak cabut ubi banyak-banyak.” Aku mengadu.
            “Tak apa..” Ah Ka uterus menimbang ubi serta sayar-sayur kampung yang ku petik tadi.
            “Berapa Ah Kau.?” Tanyaku sambil mengesat peluh yang merenik-renik di dahi.
            “ RM 28.00,” Ah Kau menjawab pendek.
            “Ala bagilah RM 30.00…” Pintaku merayu.
            “Ini sudah mahal saya ambil kak. Orang lain tak ambil macam ini punya harga.” Kata Ah Kau sambil mengira wang untuk diserahkan kepada ku.
            “Bolehlah Ah Kau…” rayuku lagi.
            “Kak, saya pun untung sedikit saja. Ini saja yang boleh saya bagi pada kakak,: kata Ah Kau sambil menghulurkan wang bernilai RM 28.00.
            Mahu tak mahu aku terpaksa menerima juga nilai wang tersebut. Aku mencongak lagi perbelanjaan untuk esok termasuk wang belanja untuk Azhar dan ‘emak’. Aku mengeluh panjang. Jumlah itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan esok.
            “Mak … bila nak masak ni. Kami dah lapar …” jengah Azmi dari luar.
            Lamunanku terhenti. Aku mengelap air mata sambil tersenyum.
            Lambat-lambat aku ke dapur untuk memasak makan malam. Aku berfikir, apakah hidangan makan malam yang hendak aku sediakan. Masak asam pedas? Baru semalam sudah makan asam pedas. Nak masak lemak cili padi, siang tadi baru sahaja habis gulai seperiuk. Sekali lagi aku terfikir betapa susahnya menjadi emak. Berfikir apakah hidangan yang bakal disediakan untuk anak-anak agar tidak jemu menghadapi makanan yang sama setiap hari. Biarpun nampak mudah, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Barulah aku teringat, aku selalu merungut masakan emak yang hampir sama setiap hari. Sekarang baru aku tahu, selama ini aku sering menyakitkan hati emak. Tetapi emak tak pernah merungut dengan tindakan aku. Emak hanya tersenyum.
            Ah, emak! Emak terlalu tabah menghadapi kerenah aku yang bukan-bukan. Emak masih mampu tersenyum walaupun aku membantah kata-katanya. Aku sering tidak mengendahkan apa yang emak katakan, yang emak marahkan…aku….!
            “Mak maafkan Man…”
            Akhirnya aku menggoreng ikan untuk dimasak kicap dan pucuk keledek masak lemak putih. Aku harap ‘emak’ tidak merungut masakan aku pula. Selesai memasak, aku ke ruang tamu menyediakan tempat untuk makan malam.
            Kami makan bersama-sama malam itu dan aku bersyukur ‘emak’ tidak merungut masakanku malam itu.
            “Lepas makan ni, buat kerja sekolah. Baca buku ….” Kerahku pada adik-adik.
            Aku pula kembali sibuk di dapur membasuh pinggan mangkuk dan periuk belanga. Kemudian aku melipat baju yang masih berbaki yang ditinggalkan oleh Azhar. Seterusnya menyusun baju-baju itu ke tingkat-tingkat baju di dalam bilik.
            Aku kembali termenung mengenang nasib diri yang terperangkap di dalam tubuh emak. Bagaimana aku hendak menebus dosa aku pada emak.
            “Mak .. tolong urut badan Mi. Sakitlah mak…” pinta Azmi tiba-tiba.
            Tanpa berlengah aku mengambil minyak angin dan mengurut belakang badan Azmi yang dikatakan sakit itu. Walaupun tubuh ku sendiri sakit. Kaki yang pecah-pecah. Aku gagahkan juga mengurut badan Azmi.
            “Mak…nak tidur…” kata Mira pula.
            Lantas aku membawa Mira ke bilik sebelum mendodoikannya. Mujurlah dia tidak meragam, dan Mira tidur dengan mudah.
            Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Hanya tinggal ‘emak’ sahaja yang masih mengadap buku-buku sekolah.
            “Mak tidur dulu ye Man,” kataku pada ‘emak’.
             Dan ‘emak’ hanya mengangguk endah tak endah.
            Aku tersinggung dengan tingkah laku ‘emak’ padaku. Sambil berbaring fikiranku masih berpusing-pusing.
            Begitukah sikapku pada emak selama ini?
            Begitukah layanan ku pada emak selama ini?
            Banarkah hati emak tersinggung seperti mana yang aku rasa hari ini?
            Benarkah emak tidak boleh melelapkan mata setiap malam hanya mengenang sikapku?
            Oh! Tidak!! Aku ingin berbakti pada emak! Aku tak mahu lukakan hatinya lagi!! Aku nak jadi Azman! Bukan emak! Aku nak tebus kesalahan aku!
            “Tak boleh Man. Kau yang minta supaya emak engkau menjadi engkau. Mengetahui susah payah menjadi engkau. Bermakna kau ingin bekerja senang macam emakmu. Kau perlu menjadi emak untuk seumur hidup kau.!!” Jerkah satu suara yang entah dari mana datangnya.
            “Tidak!! Aku tak mahu …!! Aku menyesal sekarang..!! Tolonglah aku…!! Aku nak jadi Azman yang baik! Aku nak tebus dosa aku pada emak…!!”
            “Baginilah cara kau menebus dosa pada emakmu. Kau akan rasa keperitan hidup emakmu. Kau akan tahu susah payah hidup emakmu melayan kerenah anak-anak. Kau harus bersedia menghadapi kerenah diri mu sendiri untuk selamanya” Kata suara itu lagi.
            “Adakah ini hukuman? Ampunkanlah dosa-dosaku Ya Allah!!” aku terus menjerit kesal.
            “Ini hanya hukuman duniawi. Hukuman derhaka kepada ibu bapa di akhirat adalah lebih dahsyat lagi. Minta ampun pada emakmu, selain dari Tuhan. Kau berdosa dengannya, hanya emakmu sahaja yang bisa memaafkan dosa-dosa mu…” kata suara itu lagi.
            “Tapi bagaimana? Aku terperangkap di dalam tubuh emak. Dan emak sudah menjadi aku … Tolonglah … Aku menyesal …aku menyesal!!!”
            “Sudah terlambat Man. Tak mungkin kau boleh kembali ke asalmu. Ini sudah di tentukan Allah.” Kata suara itu lagi.
            Aku menangis semahu-mahunya. Aku benar-benar menyesal. Biarpun selama ini aku tak pernah berbohong pada emak tentang pelajaran dan ke mana aku pergi melarikan diri dari ke kebun membantu emak, tetapi tingkah laku ku sudah cukup membuat emak kecewa, menderita. Air mata emak sudah banyak yang tumpah, Cuma aku saja yang tak tahu. Ya Allah! Bantulah aku…. Aku ingin menebus dosa-dosa aku pada emak….
            Kringggg!!!
            Jam loceng itu berbunyi lagi. Aku bangun mengejut. Aku menangis lagi. Aku sendiri tak sedar bila aku terlelap malam tadi. Ini bermakna aku harus menghadapi suasana yang sama seperti siang semalam.
            “Man, bangun, mandi sembahyang subuh!!” terdengar suara perempuan sambil mengetuk daun pintu bilikku.
            Mak?
            Aku membelek-belek tubuhku sambil memerhati keadaan sekeliling.
            “Mak….!” Kataku separuh berbisik.
            Aku malompat turun dari katil.
            “Mak..!!” aku menjerit sambil menerkam ke arah emak.
            “Astaghfirullah..Apa pasal ni Man..!!” kata emak yang terkejut dengan tindakan ku.
            “Ampun kan Man mak! Ampun kan Man! Man berdosa pada mak. Man bersalah pada mak..” aku menangis di dalam pelukan emak.
            “Apa Man cakap ni….” Emak memujuk ku dengan lembut sambil membelai rambutku.
            “Baru Man sedar susah payah mak selama ini.Man tak nampak semua itu mak. Man buta pada kesusahan mak..” kataku lagi.
            “Mak tak pernah rasa susah Man. Apa yang mak mahu semua anak-anak mak hidup sempurna macam anak-anak orang lain. Mak sanggup buat apa sahaja untuk kebahagiaan anak-anak mak,” kata emak.
            “Apa sebenarnya yang terjadi Man? Kenapa Man tiba-tiba menangis begini?” tanya emak pula.
            Aku terkedu. Tak tahu apa yang hendak kau ceritakan. Pengalaman aku menjadi ‘emak’ amat-amat berkesan di dalam jiwa aku. Aku malu pada emak.
            “Tak ada apa-apa mak. Man … Man bermimpi ….” Kataku cuba menyembunyikan apa yang berlaku.
            “Mimpi apa?” tanya emak lagi.
            “Tak tahulah mak. Man tak tahu nak cerita macam mana. Biarlah ia menjadi rahsia Man, mak. Mak, ampun kan Man!” rayu ku.
            “Sudahlah Man. Tak ada apa yang mak nak ampunkan. Man tak buat salah pada mak pun,” jawab emak.
            “Mak mesti ampunkan Man. Man akan rasa bersalah seumur hidup Man selagi mak tak ampunkan Man,” desakku.
            “Baiklah, mak ampunkan. Pergilah mandi, sembahyang subuh dan pergi sekolah,” kata emak.
            Aku mengangguk. Lantas terus ke bilik mandi menunaikan kewajiban ku. Aku lihat emak cuma menggelengkan kepada sambil tersenyum.
            ‘ Terima kasih mak. Terima kasih Ya Allah. Kau memberi peluang aku merasa kejerihan emak yang selama ini aku sendiri tak tahu. Kau beri aku peluang merasa menjadi seorang ibu tunggal yang tabah menghadapi segala dugaan-Mu. Aku yang tak mampu menghadapinya. Ampunkan aku Ya Allah. Berikan aku hati yang tabah, setabah ibuku di dalam menempuh kehidupan di dunia-Mu yang fana ini. Amin!’