Sunday, September 23, 2012

Jalan Pulang


Pagi-pagi lagi Syakira sudah bersiap-siap sedia untuk keluar dengan  pakaian sekolah lengkap. Syakira tersenyum. Didalam beg sekolahnya sudah terlipat kemas sepasang jeans biru dan sepasang kameja T beserta serba sedikit aksesori peribadinya. Dia sebenarnya bukan hendak ke sekolah tetapi berhajat untuk menonton wayang bersama Ani dan Yana, dua orang rakan karibnya. Mereka bertiga memang sering ponteng sekolah bersama-sama dan berpeleseran di komplek-komplek beli belah yang berdekatan. Yang penting, segala perlakuan itu tidak diketahui pleh ibu bapa mereka dan guru mereka. Buku-buku sekolah yang sepatutnya dibawa ke sekolah telah di humban ke bawah katil.
            ‘Ah kali ini mesti berjaya. Bukan sekali dua aku buat kerja seperti ini,’ kata hati Syakira semasa dia membetul-betulkan baju kurung sekolahnya di hadapan cermin.
            Syakira menuruni anak tangga dengan pantas.
            “Syakira, mari bersarapan dulu,” tegur emaknya, Puan Salimah.
            “Ah..saya dah lambat. Mak minumlah seorang..” jawab Syakira tanpa menoleh sedikit pun pada Puan Salimah.
            “Kenapa dengan kamu ni Syakira. Semakin hari mak tengok perangai kamu semakin menjadi-jadi. Tak hormat orang tua. Mak ni siapa dengan kamu. Mak bukan tunggul kayu. Mak cuma ada seorang sahaja anak perempuan. Cubalah jaga adab sopan sikit, jadi contoh kepada adik-adik” tegur Puan Salimah agak tegas.
            “Alah mak ni, mak cuma tahu membebel aje. Tak faham perasaan remaja masa kini,” jawab Syakira juga agak keras.
            “Mak bukan tak pernah remaja Syakira. Mak lebih dulu makan garam dari kamu. Mak tak pernah ajar kamu menjadi orang yang miskin tingkah laku,” kata Puan Salimah lagi.
            “Sudahlah mak, setiap hari saya nak dengar bebelan mak. Itu tak elok, ini tak baik. Saya bosanlah!! Saya nak pergi..”
            “Syakira!!!” jerit Puan Salimah namun Syakira telah jauh melangkah.
            ‘Padan muka mak. Selalu suruh aku buat itu dan ini. Setiap hari membebel yang bukan-bukan. Kononnya semua yang aku lakukan semuanya tak betul, semuanya salah. Nak di samakan zaman remaja dia dengan aku, mana sama!! Zaman dia tak maju macam sekarang. Orang dulu-dulu duduk bawah tempurung. Orang perempuan sekarang kena maju ke depan, macam aku. Kalau tidak macam mana Negara nak membangun dengan moden..’ hati Syakira membentak.
            Di rumah Puan Salimah menangis. . Syakira tak pernah begini sebelum ini. Hanya akhir-akhir ini perlakuannya amat menjenggelkan. Dia selalu berkurung di dalam bilik sambil memasang lagu-lagu dengan kuat. Dia tak sangka anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun itu sudah pandai melawan cakap. Sudah pandai meninggikan suara. Dia sedih dengan perlakuan Syakira. Dia telah sedaya upaya mendidik anak-anaknya yang 2 orang itu supaya menjadi orang yang berguna. Entah di mana silapnya, Syakira mula berubah semenjak menduduki tingkatan 3. Pelajarannya semakin merosot, sering balik lewat dari sekolah dan yang paling dia terasa sekali apabila Syakira mula kurang menghormatinya sebagai seorang ibu. Apatah lagi dengan adik-adiknya
            Puan Salimah hanya memandang sayu pada nasi goreng yang terhidang di atas meja. Nasi goreng yang dahulunya menjadi kegemaran Syakira.

            Ya, memang benar dia sering menegur tingkah laku Syakira. Memang benar dia sering memarahi Syakira. Tetapi itu semua untuk kebaikannya juga. Dia tak mahu Syakira bercampur gaul dengan rakan-rakan yang tidak elok. Salahkah dia mengetahui siapa rakan-rakannya? Ke mana dia nak pergi? Salahkah? Dia masih mentah, masih belum tahu erti hidup yang sebenarnya. Tetapi pada Syakira, dia mengongkong kehidupannya. Bagaimana hendak dilakukannya lagi. Syakira pernah lari dari rumah kerana dia menampar Syakira akibat terlalu biadap. Bersusah payah dia mencari anak perempuannya itu. Dia tak mahu perkara seperti itu berlaku lagi. Tetapi bagaimana dia hendak aturkan kehidupan Syakira yang semakin melencong ini. Sejauh manalah kudratnya sebagai seorang ibu tunggal. Suaminya telah lama meninggal dunia.
            Sebenarnya dia mahu Syakira menjadi kakak yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Dia mahu Syakira berjaya dalam mencapai matlamat hidup. Dia tak mahu Syakira terkandas di tengah jalan. Itulah yang sering disebut-sebut ketika memarahi Syakira. Tetapi pada Syakira dia seolah-olah memaksanya dan cuba mengatur hidupnya. Syakira kata, dia mahu kebebasan menentukan cara hidupnya sendiri. Dia tak mahu hidupnya dipenaruhi oleh ibunya.
            Puan Salimah terpempan bila mengenangkan semua itu.
            “Ya Allah ya tuhanku. Kau berilah petunjuk pada anakku ini agar dia kembali ke pangkal jalan..” pinta Puan Salimah sambil menadah tangan ke langit.
            Entah untuk ke berapa kali, air matanya mengalir lagi.
            Di suatu sudut di dalam panggung wayang, Syakira sedang menanti tayangan filem yang sedang popular. Masih ada 10 minit lagi sebelum tayangan bermula. Dia berborak-borak ksong bersama-sama 2 lagi rakan seangkatan dengannya iaitu Ani dan Yana. Tetapi ada lagi perancangannya selepas menonton wayang. Dia ingin bertemu jejaka idamannya yang baru di kenali melalui internet.
            Setelah menunggu seketika,           dan cerita pun bermula. Tetapi Syakira terasa ada sesuatu yang tak kena.
            “Betul ke tiket yang kau beli ni Yana?” tanyanya tiba-tiba.
            “Eh .. betul la ni. Itu kan heronya…” kata Yana sambil memuncungkan bibir ke arah layar perak yang terbentang di depan mata.
            Syakira kebingungan kerana apa yang terpapar di layar bukanlah wajah-wajah pelakon pujaannya tetapi wajah-wajah yang tidak dikenalinya. Dan cerita yang terpapar bukanlah cerita aksi tetapi cerita keluarga. Pun begitu dia terus menontonnya kerana Ani dan Yana khusyuk menyaksikan cerita tersebut. Syakira masih lagi keluru.
            Sedang Syakira menyaksikan cerita tersebut, tiba-tiba pelakon wanita di dalam cerita itu memandangnya sambil menyebut namanya. Syakira terpinga-pinga. Dia melihat Ani dan Yana tiada tindakbalas seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
            “Yana … Ani … tolong aku….!” bisik Syakira mula rasa kurang selesa dengan apa yang dilihatnya.
            Tetapi apabila ditoleh ke kirinya, Ani dan Yana telah hilang dari pandangan. Kegelapan panggung serta merta menjadi terang dan keadaan di sekelilingnya berubah. Dia kini di dalam tubuh seorang daripada pelakon yang melakonkan watak ibu di dalam cerita yang di tontonnya.
            “Apa dah jadi ni … Ani!! Yana!! Kau di mana!!” jerit Syakira sambil matanya melilau ke kiri dan ke kanan mencari Ani dan Yana yang hilang entah ke mana. Hatinya mula rasa gusar dan gementar.
            Dalam keadaan yang asing itu Syakira terlihat didalam cermin. Di dalam cermin itu dia melihat Ani dan Yana sedang duduk khusuk di bangku panggung wayang sadang menyaksikan cerita yang ditayangkan. Dia kini di dalam cerita yang ditayangkan di dalam panggung.
“Ani!!! Yana!!” jerit Syakira sambil mencakar-cakar cermin tersebut dan melambai-lambaikan tangan pada Ani dan Yana. Namun tiada tindakbalas dari ANi dan Yana.
Syakira melihat ke dalam cermin tersebut, Ani dan Yana semakin hilang dari pandangan. Yang ada kini adalah wajahnya. Dia sedang merenung wajahnya sendiri. Sia meraba-raba wajahnya. Wajah yang memang miripnya tetapi agak tua. Kedut-kedut halus sudah menjalari wajahnya yang cengkung dan agak pucat. Dia kini adalah wanita yang berusia 40-an.
            “Mama, kenapa dengan mama ni? Dah buang tebiat ke?” tanya seorang remaja lelaki agak biadap bunyinya tiba-tiba muncul dari arah belakang.
            ‘Mama?’ Syakira terkejut sambil berpaling kea rah suara itu.
            ‘Kenapa dia panggil aku mama?’ tanya Syakira sendiri di dalam hati. Dia masih keliru.
            “Sudah la mama, saya nak pergi. Malam ni saya tak balik. Tak payah mama tunggu saya,” kata remaja lelaki itu sambil berlalu tanpa menghiraukan Syakira yang masih menghadap cermin muka yang tergantung di dinding.
            Syakira masih keliru. Sepeninggalan remaja lelaki itu, dia menyelongkar seisi rumah untuk memastikan apa yang berlaku disekelilingnya.
            Apa yang di temui adalah amat-amat memeranjatkan. Dia kini berusia 40 tahun. Sudah berumahtangga dan mempunyai 2 orang anak. Seorang lelaki bernama Razlan berusia 24 tahun. 24 tahun? Pada umur berapa pula dia berkahwin? Dia menyelongkar lagi laci-laci meja yang terdapat di dalam ruang bilik itu. Setelah diperiksa dia berkahwin semasa berumur 16 tahun! Dan.. dia menikah di Selatan Thailand. Tetapi kalau dikira mengapa Razlan berusia 24 tahun? Dia menyelongkar lagi. Setelah diperiksa tarikh lahir Razlan dan tarikh nikahnya berbeza cuma 4 bulan!! Bermakna dia mengandung semasa bernikah. Dan anaknya Razlan adalah anak luar nikah!!
            Tangannya menggigil-gigil memegang dokumen-dokumen yang dipegangnya.
            ‘Oh tidak!! Kenapa jadi begini? Aku tak mahu hidup begini? Ini bukan impian aku?’ jantung Syakira berdebar-debar..
            Dia membelek lagi. Dia ternampak nama suaminya adalah Yusri bin Zaman.
            ‘Siapa pula Yusri ni?’ Syakira tertanya-tanya.
            Dia langsung tak mengenali ‘suami’nya itu.
            ‘Apa pula pekerjaan aku?’ Syakira mula terfikir. Syakira masih lagi mencari jawapan.
            Dia menemui sekeping kertas yang sudah lusuh. Salinan slip PMRnya, tetapi keputusannya amat-amat mengejutkannya. Keputusan yang paling teruk di dalam sejarah hidupnya. Dia gagal di dalam PMR.
            “Tidak!!!!” Syakira menjerit sambil melempas segala kertas-kertas di dalam genggamannya.
            Dia tidak percaya yang dia gagal dalam PMR. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang Jurutera. Tetapi jika dia gagal PMR, apakah pekerjaannya?
            Telefon di tepi mejanya berdering mengejutkan Syakira. Dia bergerak ke arah telefon tersebut, teragak-agak untuk mengangkatnya.
            “Hello..?” Syakira mengangkat gagang.
            “Mama, Syamira ni. Mama, Mira tak balik malam ni,” kata suara itu dari hujung talian.
            Syakira terkedu malah tak sempat berkata apa-apa dan talian terputus. Syamira adalah anak keduanya berusia 15 tahun. Sama dengan usianya yang sepatutnya.
            ‘Ke mana dia nak pergi? Tak balik malam-malam buta ni? Inikah hakikat hidup keluarga aku? Adakah aku gagal membentuk anak-anakku? Beginikah ketentuan hidup aku?’ fikir Syakira.
            Syakira buntu. Dia menangis semahu-mahunya di atas katil. Dia mula risaukan keselamatan Syamira, walaupun hakikatnya dia masih belum mengenali anak keduanya itu. Dia mula terfikir, dia tak mahu Syamira mengulangi sejarah hidupnya yang kelam. Dia tak mahu Syamira menjadi seorang yang gagal sepertinya hari ini.
            Di dalam kebuntuan itu, tiba-tiba dia rasa seram sejuk. Semakin lama semakin sejuk dan dia mula merasakan tubuhnya mengigil-gigil. Tetapi kenapa? Dia rasa seperti hendak demam. Peluh dinginnya mula berjuraian dari dahinya. Mata dan hidungnya mula berair.
            ‘Kenapa dengan aku n?’ fikir Syakira lagi.
            Dia berlari-lari ke bilik-bilik yang ada di dalam rumah itu. Tujuannya hanya untuk mencari ubat, sekurang-kurangnya Panadol untuk melegakan rasa demamnya. Segala laci di buka dan bilik-bilik itu kini bertaburan dan bersepah. Keadaan menjadi semakin tidak terkawal. Dia menjadi semakin tak keruan. Dia bagai rasa hendak menjerit dan meraung. Kedinginan itu semakin menusuk-nusuk tulang hitamnya. Matanya menjadi pedih yang teramat sangat. Rasa seperti terbakar. Dia mula menggosok-gosokkan matanya. Kepalanya pula kini terasa berdenyut-denyut dan berat.
            “Ya Allah kenapa dengan aku ni!! Tolonglah kau Ya Allah!!” jerit Syakira sambil menghagulkan kepalanya ke dinding bagi melegakan rasa sakit yang teramat sangat.           Akhirnya dia terdampar di atas lantai. Dia menarik kain selimut tebal dari katil untuk menutup tubuhnya, namun kesejukan itu kian mencengkam.
            “Tolonglah aku …!! Aku dah tahan lagi….!!” Jeritnya sambil mengerekot dan menangis semahunya di atas lantai.
            “Syakira!! “ tanya satu suara lelaki dari arah pintu.
            Syakira tidak menjawab. Dia hanya mampu menangis. Lantas lelaki itu mengangkat tilam sambil mengambil sesuatu dari bawah tilam. Ia adalah jarum suntikan. Tanpa berlengah dia menikat lengan Syikira denan sapu tanga yang terdapat di dalam bilik itu sambil menyuntik cecair yang sedia ada di dalamnya ke lengan Syakira. Syakira hanya berserah sahaja dengan perlakuan lelaki itu kerana dia sudah tak berdaya lagi. Secara beransur-ansur Syakira mula rasa tenang dan hangat kembali.
            “Apa yang kau suntik pada tubuh aku? Dan kau siapa?” tanya Syakira kepada lelaki tadi sambil cuba untuk duduk.
            Lelaki itu ketawa. Semakin lama semakin kuat. Syakira berasa hairan.
            “Kau tak kenal aku lagi?” kata lelaki itu dalam tawanya.
            “Dasar perempuan tahi dadah!! Laki sendiri tak kenal!!” jerkah lelaki tadi dengan kasar.
            Syakira terkejut dan tergamam.
            ‘Tahi dadah? Aku penagih? Oh tidak..! Kenapa begitu jauh aku terpesong? Kenapa aku jadi begini?’ Syakira berkata-kata di dalam hati dan dia menangis lagi.
            “Kenapa kau menangis? Bukankah jalan ini yang kau pilih dulu?” kata lelaki itu lagi.
            Keadaan diam seketika sambil lelaki itu pula menyelongkar laci-laci yang sudah sedia bertaburan.
            “Kau ada duit? Aku dah kering sekarang ni?” tanya lelaki itu lagi kali ini agak lembut.
            Syakira hanya berdiam diri. Manalah dia ada duit. Kalau ada pun, dia tak tahu di mana di letakkannya.
            “Ah.. Kalau aku balik, kau mesti kata tak ada duit. Duit kau habis ke mana? Kau habiskan beli dadah?!!” marah lelaki itu sambil menarik rambut Syakira.
            Syakira menjerit kesakitan, namun lelaki itu langsung tidak mengendahkannya.
            Syakira tak mampu berkata apa-apa. Dia hanya mampu menangis apabila diperlakukan begitu.
            “Barang kemas kau mana?!” jarit lelaki itu lagi.
            “Aku tak tahu…” jawab Syakira sambil menahan sakit.  
“Ah… kau sentiasa tak tahu… apa yang kau tahu? Apa ?!!” tanya lelaki itu sambil menjegilkan matanya.
Syakira hanya menggelengkan kepala dengan lesu. Dia memang tak tahu apa-apa pasal barang kemas atau apa sahaja yang disebut oleh lelaki itu tadi.
            Lelaki itu mula mengamuk apabila Syakira tidak mengendahkannya. Dia menjadi berang dengan menyepak tubuh Syakira yang masih duduk di lantai. Syakira menjerit kesakitan tetapi itu tidak mendatangkan apa-apa kesan. Tanpa belas kasihan Syakira dicekik dan ditampar bertalu-talu dan ketika itulah lelaki itu ternampak sesuatu.
            Dengan pantas lelaki itu meragut rantai pemberian emaknya dulu yang masih tergantung dilehernya.
            “Ha..dapat pun! Lain kali bila aku balik, sediakan duit banyak sikit..!” jerkah lelaki itu sambil terus berlalu.
            “Jangan ambil rantai itu!! “ jerit Syakira sedaya upaya kerana tekaknya terasa sakit kerana dicekik tadi.
            Dia sayangkan rantai itu. Itu adalah pemberian emaknya semasa hari jadinya yang ke 14.
            ‘Emak?’ tiba-tiba dia teringat.
            ‘Mak … ampun kan Syakira mak. Syakira telah mengecewakan mak. Syakira telah musnahkan harapan mak. Hidup Syakira telah musnah … musnah…!’ Syakira meratap di dalam hati.
            ‘Tapi … di manakah emak?’ Syakira sedaya upaya untuk bangun.
            Mukanya terasa sakit. Bibirnya terasa membengkak. Ada cecair yang menalir ditepinya. Dia mengesat bibirnya yang bengkak itu. Ada darah di tangannya. Syakira menggenggam kesan darah di tangannya sambil menangis.
            “Emak….!!!” Jerit Syakira sekuat-kuat hatinya.
            Dia mesti mencari emaknya. Dia mahu emaknya menyelamatkanya dari cengkaman hidup yang tidak keruan ini. Dan dia nak minta ampun dari emaknya.
            Syakira menuruni anak tangga lantas keluar dari rumah. Keadaan sekeliling yang asing menyukarkannya untuk menentukan arah yang hendak di tuju.
Dia sampai ke tepi jalan utama lalu dia menahan sebuah teksi.
            “Pantai Dalam,” katanya kepada pemandu teksi tersebut.
            Setiba tempat yang dituju, Syakira memberitahu di mana tempat yang sepatutnya dia diberhentikan.
            “RM 50 dik,” kata pemandu teksi itu.
            Syakira menyeluk poket seluarnya. Baru dia teringat yang dia langsung tidak membawa duit semasa keluar. Dia teringat semasa keluar dari rumah awal pagi tadi dia membawa RM 15 di dalam poket bajunya. Duit yang dicuri dalam dalam dompet ibunya, Puan Salimah. Dia meraba-raba poket bajunya dan dia bersyukur duit itu masih ada di situ.
            “Maaf bang, saya cuma ada RM 15 sahaja. Kalau abang sanggup tunggu, saya masuk ke rumah saya dulu, nanti saya bayar bakinya,” Syakira meminta belas kasihan dari pemandu teksi tersebut.
            “Alah, ini alasan lama, jangan nak berdalih.” dengus pemandu teksi itu.
            “Betul bang, saya tak tipu. Ini rumah mak saya. Nanti saya bayar bakinya. Abang ambil dulu RM 15 ini,” kata Syakira sambil menghulurkan RM 15 itu.
            “Kalau dah dasar perempuan gelandangan. Nak naik teksi percuma lah tu..,” rungut pemandu teksi itu.
            “Bang.. percayalah bang.. Saya dalam kesusahan sekarang ni.. “ rayu Syakira.
            “Yelah..yelah…!! Aku ambil yang itu. Lain kali kalau tak ada duit, jangan naik teksi…” kata pemandu teksi tersebut agak kasar.
            “Terima kasih bang, terima kasih,” Syakira berterima kasih kepada pemandu teksi itu yang terus memandu keluar teksinya. Syakira hanya memerhati.
            “Perempuan gelandangan…” Syakira menyebut lagi perkataan yang sedikit menyentuh hatinya oleh pemandu teksi tersebut. Syakira memejamkan matanya. Sayu apabila di gelar begitu.
            Tanpa berlengah Syakira terus meluru ke arah rumah emaknya. Rumah itu masih di sana, masih sama cuma kelihatan agak usang.
            “Assalamualaikum..!!” Syakira memberi salam apabila sampai di depan pintu.
            Namun salamnya tak berjawab. Pun dia tidak berputus asa. Dia memberi salam lagi dan lagi.
            “Waalaikumsalam…” jawab satu suara lelaki dari arah belakang.
            Syakira menoleh dan terlihat seorang lelaki bersama seorang perempuan bertudung di sisinya.
            “Bukankah rumah ini milik Salimah Sulaiman?” tanya Syakira.
            “Ya, kenapa?” jawab lelaki itu.
            “Saya nak berjumpa dengannya..” jawab Syakira.
            “Awak ni … kakak Syakira ke?” tanya lelaki itu sebaik sahaja meneliti Syakira yang berdiri di dapan matanya.
            “Er.. Ya.. Tapi siapa kamu?” Syakira pula bertanya.
            “Saya Salman kak. Adik kakak yang bongsu,” jawabnya sopan sambil memagang bahu Syakira. Ternyata lelaki itu gembira dengan kemunculannya.
            “Ini isteri saya, Rohana.” Perkenal Salman kepada perempuan bertudung di sebelahnya.
            Perempuan yang diperkenalkan sebagai Rohana menghulur tangan sambil tersenyum mesra. Lambat-lambat Syakira menyambut salam itu. Perempuan itu mencium tangannya. Tanpa sedar air matanya mengalir.
            Syakira terkedu.
            “Emak?” hanya itu yang termampu keluar dari mulut Syakira.
            Salman hanya tunduk.
            “Maaf kak, mak dah lama meninggal dunia. Kami dah lama cari kakak selepas kakak melarikan diri lebih 20 tahun dulu. Mak menderita kerana terlalu rindukan kakak. Mak terlalu kecewa kerana dia mahu kakak menjadi contoh yang baik pada kami ..tapi..” kata-kata itu tidak dapat dihabiskan oleh Salman.
            “Maafkan kakak dik, maafkan kakak..” hanya itu yang terucap oleh Syakira.
            Syakira terduduk sambil menangis tersedu sedan. Dia terlalu kesal dengan apa yang terjadi pada dirinya serta keluarganya.
            “Salman, kakak tak layak hidup dik…kakak dah musnah..” kata Syakira dalam sedunya.
            Salman cuba membangunkan kakaknya.
            “Jangan sentuh kakak…!! Kakak kotor dik…!!” kata Syakira membuatkan Salman tergamam.
            “Biarlah kakak pergi dik….” Kata Syakira tiba-tiba sambil berlari meninggalkan Salman terpinga-pinga.
           
            “Kakak!!!!!” jerit Salman sambil mengejar Syakira yang lari menuju ke jalan utama.
            Syakira tidak mempedulikan jeritan Salman. Dia terus berlari sambil menangis.
            Tiba-tiba…..
            Dum!!! Satu rempuhan kuat menghentam tubuh Syakira dan dia terkulai di situ juga. Syakira masih nampak beberapa orang mengelilinginya. Dia tak tahu kenapa. Ternampak juga Salman sedang memangkunya sambil menangis. Syakira tersenyum .. Kemudian pandangannya kian kabur dan semakin kabur…
            “Syakira.!! Syakira!! Syakira!! Bangun!” kejut satu suara perempuan di sisinya.
            Syakira membuka mata, pandangannya masih kabur dan gelap.
            “Di mana aku?” tanya Syakira perlahan-lahan.
            Dua perempuan di sisinya berpandangan sesama sendiri. Agak kebingungan dengan sikap Syakira.
            “Kau di panggung wayang ni. Kau dah lupa ke? Yang kau tidur sepanjang tayangan tu, apa fasal?” tanya perempuan tadi lagi.
            “Ha..di panggung wayang?!” Syakira hampir menjerit.
            Syakira bangun dari tempat duduknya. Membelek-belek tubuhnya. Meraba-raba mukanya. Mukanya tak membengkak. Dia membelek tapak tangannya. Tiada darah di situ. Tetapi dia masih terasa panas air mata yang mengalir.
            “Aku mesti balik sebelum terlambat!!” kata Syakira tiba-tiba.
            “Ah, macam mana dengan Yusri. Bukankah kau berjanji dengan dia nak jumpa lepas tayangan ni?” kata perempuan tadi lagi.
            “Maaf, aku lupa ..kau siapa?” tanya Syakira tanpa menjawab pertanyaan perempuan tadi. Dia benar-benar lupa siapa perempuan-perempuan di sekelilingnya itu.
            “Aku Yana … dia Ani…” jawab Yana agak ragu-ragu.
            “Baiklah Yana, kau cakap dengan Yusri aku tak mahu menjadi mangsanya. Dan kau berdua, baik jangan hampiri lelaki itu. Nanti kau menyesal di kemudian hari,” kata Syakira sambil berlari meninggalkan Yana dan Ani yang termangu-mangu kebingungan.
            “Eh..Syakira, ke mana kamu nak pergi ni? “ tegur satu suara lelaki tiba-tiba.
            Syakira rasa seperti kenal suara itu. Dia berhenti dan menoleh. Dia kenal lelaki itu.
            “Oh..Yusri. Maafkan saya, saya rasa kita tak sesuai lagi untuk bersama. Saya balik dulu ya,” kata Syakira sambil berlalu.
            Lelaki yang dipanggil Yusri menggaru-garu kepala yang tak gatal.
            Syakira nak cepat sampai di rumah. Dia tak mahu terlambat lagi.
            “Mak..!! Mak..!!” jarit Syakira sebaik sahaja dia sampai di pintu rumah.
            Puan Salimah terkejut melihat Syakira kerana pada waktu itu sepatutnya Syakira berada di sekolah. Dia tak tahu nak kata apa lagi apabila Syakira terus meluru dan memeluknya sambil menangis teresak-esak.
            “Ampunkan Syakira mak! Syakira banyak dosa dengan mak..” kata Syakira dalam esak tangisnya.
            “Kenapa ni, mak tak faham? Kenapa kau balik dari sekolah? Apa yang terjadi? Jangan buat mak risau Syakira,” kata Puan Salimah.
            “Panjang ceritanya mak, nanti Syakira ceritakan pada mak. Mulai hari ini, Syakira akan ikut segala nasihat dan cakap mak. Syakira tak mahu musnahkan masa depan Syakira. Tuhan dah tunjukkan segala-galanya di depan mata Syakira, mak…” kata Syakira dalam linangan air mata.
            Puan Salimah kebingungan. Di usapnya rambut Syakira. Dia mengesat air mata Syakira yang tak putus berlinangan.
            “Baiklah, pergi mandi dan bersihkan diri. Kita makan tengah hari dulu. Tenangkan hati kamu, kemudian baru ceritakan pada mak apa yang berlaku,” kata Puan Salimah sambil tersenyum.
            Seiring dengan langkah Syakira Puan Salimah tersenyum.
            ‘Alhamdulillah …. Kau telah kembalikan anakku Syakira.. Terima kasih Ya Allah, aku memanjat syukur kepadaMu Ya Allah’ Puan Salimah meraup muka tanda bersyukur.

No comments:

Post a Comment