Misteri ini telah lama menghantui
sebuah kampung di utara tanahair. Tak payahlah nak sebut nama kampung ni. Nanti
berebut-rebut pulak wartawan-wartawan cerita misteri datang nak buat cerita.
Kisah ini bermula apabila Tok
Mahat meninggal dunia. Dia meninggal di sebabkan tercekik tempulur jagung yang
direbus oleh isterinya, Mak Bedah.
Di dalam pengetahuan penduduk
kampung, Tok Mahat seorang yang malas. Segala kerja dan urusan mencari makan
diuruskan oleh Mak Bedah. Mak Bedah pula cuma menampung hidup dengan menjual
sayur-sayur kampung yang dikutip di sekeliling kampung yang agak berhutan juga.
Kalau kangkung dikutip di tepi parit. Kalau bayam pasir, di tepi-tepi jalan.
Begitulah kehidupannya demi seorang suami yang malas.
Tetapi beberapa bulan sebelum
kematian Tok Mahat, sayur-sayur jualan Mak Bedah berbeza sekali. Malah
keuntungannya pula berlipat kali ganda. Mak Bedah sudah mula menjual sawi,
kobis, cili padi, tauge dan macam-macam sayuran moden. Apabila di tanya dari
mana dia mendapat bekalan sebegitu rupa. Dia menjawab..
“Tok Mahat kamu yang tanam..
Dapatlah untung sikit..”
Pelik juga bunyinya. Tok Mahat
yang selama ini memang tersohor dengan pengumpul tahi mata terbanyak dan
tertua, menjadi petani moden. Maka ramailah orang-orang kampung datang
bertandang ke rumah Tok Mahat untuk melihat Tok Mahat bekerja. Akan tetapi
orang-orang kampung tidak nampak pun Tok Mahat bekerja seperti mencangkul atau
sebagainya.
Memang diakui bahawa persekitaran
rumah Tok Mahat dah berubah. Pokok senduduk sebesar lengan dan lalang yang
selama ini menjadi hiasan di rumah Tok Mahat telah berubah menjadi sebuah kebun
sayur yang agak subur dan teratur. Tiada lagi kawasan yang selama ini menjadi
hutan simpan yang tidak diwartakan.
“Assalamualaikum…!!” Tok Ketua
memberi salam. Langsung tiada jawapan.
Salam kedua diberi … dan ketiga
barulah berjawab. Ternampaklah Tok mahat dengan kain gombangnya sambil
terpisat-pisat membuka pintu.
“Oh .. Tok Ketua. Apa hal ni
ramai-ramai datang sini? Nak jemput aku makan kenduri ke?”
“Tak adalah Mahat, aku nak tengok
kebun kau ni ha…” balas Tok Ketua.
Hairan sungguh Tok Ketua.
Melihatkan keadaan Tok Mahat begitu, nyata dan sahih orang tua itu tidur
sepanjang masa. Macam mana hutan simpannya boleh menjadi kebun sayur. Nak kata
Mak Bedah yang mengerjakan kebun, tak juga. Orang tua itu sentiasa melilau
sekeliling kampung menjaja sayur.
Dah namanya orang Melayu, mana
boleh tengok orang senang sikit. Maka orang-orang kampung berpakat untuk
mengendap, siapakah yang mengerjakan kebun tersebut. Manalah tahu, Tok Mahat
sebenarnya kaya, mampu upah pekerja Indonesia ke buat kerja. Dapatlah
mereka meminjam duit kalau terdesak.
Sepanjang hari mereka mengintip
tiada sesiapa pun yang turun dari rumah Tok Mahat mengerjakan kebun sayur itu. Tepat
12 tengah malam, semasa pengintip tersebut sedang tidur-tidur ayam. Tiba-tiba
mereka ternampak Tok Mahat turun ke kebun sayurnya dengan mengusung cangkul.
Tok Mahat terus-terus mencangkul tanah dengan gagah tanpa henti. Tetapi Tok
Mahat yang ini kelihatan bertenaga.
“Tok …. Buat apa mencangkul
malam-malam buta ni…?” tegur salah seorang yang datang mengendap.
“Aku nak jual sayur. Nak raya tak
lama lagi ni….” Jawabnya terus mencangkul tanpa menoleh ke arah orang yang
menegurnya tadi.
Barulah mereka faham kenapa Tok
Mahat tidur waktu siang, rupa-rupanya di waktu malam dia bekerja untuk kumpul
duit nak raya. Maka orang-orang kampung pun pulanglah dengan tidak ada sedikit
pun rasa hairan.
Tetapi seminggu selepas Tok Mahat
meninggal, ada orang kampung masih melihat Tok Mahat mencangkul di kebunnya
waktu tengah-tengah malam. Berita ini disahkan oleh kaki-kaki hendap di kampung
tersebut yang terseremapak dengan Tok Mahat ketika melalui rumah arwah untuk
menjalankan aktiviti tidak sihat mereka. Maka kecohlah cerita Tok Mahat membela
hatu raya!
Sekali lagi mereka membuat
intipan dan memang benarlah seperti diceritakan. ‘Tok Mahat’ dengan gagahnya
terus mengerjakan kebun tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Tiba-tiba ‘Tok
Mahat’ berdehem, sebahagian pengintip tak bertauliah itu bercempera melarikan
diri. Malah ada yang tak sedar kain tertinggal di belakang.
Tok Ketua pula dengan lagak
beraninya cuba
bertegur sapa dengan jelmaan Tok Mahat itu.
“Er… Mahat, buat apa tu?” Tanya
Tok Ketua terketar-ketar.
“Aku tengah mencangkul batas sawi
ni. Dah nak raya tak lama lagi ni. Nak cari duit lebih..” jawab ’Tok Mahat’ dengan
suara garau tanpa menoleh ke arah Tok Ketua.
Perlahan-lahan Tok Ketua berundur
dan kemudian mengatur langkah seribu meninggalkan konco-konconya yang tak tahu
apa-apa yang akhirnya ikut sama-sama melarikan diri.
Misteri ini kian berlarutan. Selepas
Mak Bedah dipindahkan ke rumah orang-orang tua, ‘Tok Mahat’ menjadi semakin
ganas. Bukan le ganas macam harimau ke beruang ke. Tapi ‘Tok Mahat’ dah mula
mengetuk-ngetuk rumah orang kampung jual sayur tengah-tengah malam buta.
Dah bermacam-macam cara orang
kampung guna untuk menghalau ‘Tok Mahat’ tersebut dari kampung. Tetapi tak
berjaya. Semakin di halau, semakin banyak sayur yang dibawanya setiap malam.
Dari mengandar bakul sehinggalah mengayuh basikal di tengah-tengah malam demi
menjual sayur.
Atas desakan orang kampung, Sekali
lagi Tok Ketua terpaksa menunjuk berani dengan mengambil keputusan untuk
menyelesaikan masalah ini. Setelah pelbagai tangkal dipakai sampai ke lengan,
Tok Ketua menuju ke rumah peninggalan Tok Mahat dan Mak Bedah. Dan kelihatan ‘Tok
Mahat’ sedang memungut hasil tanamannya.
“Mahat …. Kau nak buat apa dengan
sayur-sayur tu…” tegur Tok Ketua setelah berkoyan-koyan liur di telan
menghilangkan rasa gemuruhnya.
“Aku nak jual. Dah dekat nak raya
ni … nak kumpul duit sikit…” jawab Tok Mahat tanpa menoleh ke belakang.
“Nak raya apa pulak lagi. Raya
dah lepas. Kau balik le tidur lagi baik. Tahun depan baru kau pungut hasil
tanaman ni.” Tok Ketua bersuara lagi.
“Raya dah lepas ke?” Tanya ‘Tok Mahat’
sambil menoleh ke belakang 180’ tanpa menggerakkan badannya.
Tok Ketua menelan liur lagi
sambil mengangguk-angguk macam belatuk. Terasa kakinya lembik macam sotong.
Tetapi dia kena kuatkan semangat memandangkan konco-konconya sedang memerhati.
Jatuhlah maruahnya sebagai ketua kampong kalau melarikan diri lagi. Cukuplah
sekali dia lari…
‘Tok Mahat’ menyerahkan
cangkulnya kepada Tok Ketua kemudian terus masuk ke rumahnya dengan muka masih
dibelakang badannnya.
“Kau nak ke mana tu Mahat?” Tanya
Tok Ketua dalam gigil.
“Aku nak tidur, tahun depan aku
nak berkebun balik cari duit raya..” kata Tok mahat terus menutup pintu
rumahnya.
Tok Ketua yang menyelesaikan
masalah itu kemudiannya pengsan dan demam 2-3 minggu.
Semenjak itu Tok Mahat itu tak
muncul lagi menjual sayur, tetapi tak lama kerana sebulan dua sebelum menjelang
hari raya tahun berikutnya ‘Tok Mahat’ itu muncul lagi menjual sayur. Dan
ketika itu Tok Ketua telah melarikan diri entah ke mana.
akak superb lah....tok mahat2...heu
ReplyDeleteEr... tu bukan atuk kau ke Aja...hahahaha
Delete