Pontianak oh Pontianak
Cerita ini diceritakan oleh kawan
kepada datuk aku dan datuk aku ceritakan pada aku. Cerita ini berlaku pada
sekitar tahun 60-an di mana pada zaman itu hantu-hantuan ini memang sentiasa
berkeliaran di sana sini. Macam-macam jenis hantu. Ada hantu panjang, hantu
pendek, hantu botak malah hantu tak botak.
Cerita kali ini adalah pengalaman
Pak Man, seorang penoreh getah berkaliber di Kampung Bukit Serampang. Pak Man
adalah seorang duda anak 5 dimana kesemua anak-anaknya telah besar panjang dan
telah berkeluarga. Maka tinggallah Pak Man seorang diri dirumahnya. Cuma anak
sulungnya yang tinggal berhampiran sering menjenguknya.
Isteri Pak Man telah lama
meninggal dunia, sejak itu Pak Man tidak pernah terfikir untuk beristeri lagi.
Baginya cukuplah dia beristeri satu sahaja lantaran kerana takut perempuan
sekarang banyak yang mata duitan, materialistic dan plastik!. Dia takut kasih
sayang isteri baru tidak ikhlas memandangkan dia bukan lagi muda dan segagah
dulu. Dah macam-macam yang dia dengar pengalaman kawan-kawannya yang beristeri
muda, sama ada masih beristeri tua atau isteri tua dah meninggal dunia. Dia
takut jadi begitu walaupun hati tuanya itu kadang-kadang rasa macam belum tua
lagi.
Suatu petang yang hening, Pak Man
seperti biasa bersidang di kedai kopi dengan kawan-kawan seangkatan dengannya.
Sejak isterinya menjadi arwah, di situlah tempat dia bersantai. Macam-macam
persidangan dibentangkan dari dalam negeri sampailah ke luar negeri. Dari luar
tanah sampailah ke dalam tanah. Dan cerita dari dalam tanah inilah yang sering
menjadi topik utama. Cerita pasal pontianak yang sering mengganggu penduduk
kampung. Yelah, kampung ni bukannya dekat dengan bandar, Nun .. kat hutan
banat!! Dahlah jauh pedalaman, tinggal pulak berkongsi dengan makhluk lain.
Maka macam-macam ceritalah yag timbul.
Cerita pontianak ni cerita lama,
tetapi masih menjadi buah mulut orang kerana dialah satu-satunya hantu yang
setiap hari mengganggu ketenteraman penduduk kampung. Setiap malam dia akan
mengilai malah menangis, datangnya dari arah tanah perkuburan di hujung
kampung. Kalau ada orang berjalan malam, nasiblah … pasti dia minta
ditumpangkan, atau memikat . Kemudian dia terbang atau hilang menyebabkan
penduduk kampung jadi takut. Maka dah jadi kebiasaan, sekiranya terdapat orang
luar yang kerosakan kenderaan di tengah jalan masuk ke kampung, nescaya tiada
siapa yang akan peduli, apatah lagi nak menumpangkan ke bengkel. Dah pelbagai cara digunakan untuk
menghalaunya dari kampung. Dari bomoh ke pawang. Dah bermacam-macam orang telah
mencuba, namun hasilnya …. kosong. Hantu ni betul-betul liat nak pergi.
“Kata orang, kalau kita paku
tengkuk dia. Dia akan bertukar jadi manusia. Lepas tu kita boleh kahwin dengan
dia.” Kata Seman Senget petang itu.
“Yelah Seman, lepas tu pasti aman
kampung kita ni kan?” jawab Ali Muda.
“Hah apa lagi Man. Kau pun dah
lama membujang, kalau tak percayakan perempuan, hantu ni rasanya lebih baik
dari perempuan sekarang…” seloroh Seman Senget sambil tersenget-senget
kepalanya menahan tawa.
Pak Man hanya tersengeh sahaja.
Namun di dalam hatinya terdetik juga.
‘Betul jugak kata Seman. Kenapa
aku tak cuba.’
Benda ni bukan cerita baru. Dari
zaman datuk neneknya lagi dia dah mendengar cerita orang bekahwin dengan
pontianak ni. Dan hatinya tiba-tiba bertekad untuk menamatkan zaman bujangnya
bukan dengan manusia tetapi dengan pontianak! Entah kenapa dia betul-betul
berminat dengan untuk memperisterikan pontianak itu.
Pada malam jumaat berikutnya, Pak
Man dengan berbekalkan lampu suluh, sebatang paku besi 2”, tali dan sebatang
tukul berjalan menuju ke hujung kampung iaitu ke kawasan tanah perkuburan.
Jam menunjukkan pukul 12.10
tengah malam. Pak Man bersembunyi di sebalik semak berhampiran kawsan tanah
perkuburan itu. Peluh sejuknya mula menitis bukan kerana panas, tetapi kerana
seram. Apatah lagi dihadapannya berceracak nisan. Tapi dia cuba melawan rasa
takut itu. Dia cuba menyanyi-nyanyi kecil bagi melawan rasa gundah di hatinya.
Dia menyanyikan lagi ghazal kegemarannya iaitu lagu Pak Ngah Balik
Tiba-tiba nyanyiannya disambung
oleh suara perempuan yang datangnya dari arah pokok kekabu di belakangnya. Pak
Man menelan liur. Kakinya terketar-ketar. Dia menggenggam paku 2” di dalam
poketnya kemas-kemas.
Dia menoleh ke belakang. Hampir
terkencing dia apabila terpandang suatu lembaga berpakaian putih, dengan rambut
mengerbang menutupi seluruh muka berada lebih kurang 5 meter dari tempatnya
berdiri. Peluhnya kian laju berjuraian macam air paip. Dengusan nafasnya dah
sama macam dengusan kerbau balau.
Dia melangkah setapak ke depan
dengan penuh paksaan. Lembaga itu terus menyanyi lagu Pak Ngah Balik dengan
perlahan tetapi mendayu. Malah tubuh lembaga itu mula bergoyang-goyang
seolah-olah sedang menari mengikut rentak lagu ghazal tersebut dan Pak Man pula
seakan-akan nak mengundur 10 langkah malah mungkin 1000 langkah apabila makhluk
itu mula mara ke dapan.
Dengan berkat kudrat tuanya dan
cekal hatinya Pak Man menerkam ke arah lembaga itu dan dengan pantas
mengikatnya di pokok kekabu. Dengan ganasnya dia menyelak rambut lembaga itu
maka ternampaklah ia satu lubang di tengkuk lembaga itu yang berkedut-kedut.
Dengan sekuat tenaganya dia memaku lubang itu dengan paku besi yang dibawanya.
Serentak dengan itu lembaga itu meronta dan menjerit dengan nyaring sehingga
Pak Man juga termenjerit dengan nyaring juga. Maka bersahut-sahutanlah jeritan
mereka menyebabkan orang-orang kampung mula mengesyaki bahawa terdapat seekor
lagi pontianak jantan yang mungkin akan menggamatkan suasana malam di kampung
itu kelak.
Tetapi keesokan harinya,
gemparlah seluruh kampung bercerita kononnya Pak Man dah bertemu jodoh apabila
lelaki tua itu membawa pulang seorang perempuan cantik yang ntah dari mana
datangnya. Berduyun-duyunlah mereka datang nak melihat bakal isteri Pak Man. Dan
lagi gempar apabila Pak Man memperkenalkan Peah adalah pontianak yang selama
ini mengganggu ketenteraman penduduk kampung. Ada yang mencebik, ada yang
tersenyum sinis malah ada yang mengutuk. Namun itu tak menjadi masalah pada Pak
Man kerana sekurang-kurangnya dia berjaya membebaskan kampungnya dari gangguan
pontianak malah dia sudah mempunyai isteri baru. Cantik pula tu!!
Peah yang baru bertukar menjadi
manusia tersipu-sipu malu malah dia kekok untuk duduk bersama-sama dengan
manusia. Tetapi dia cepat belajar, malah pada pandangan Pak Man dia memang
layak dijadikan isteri. Malah Pak Man tak sabar-sabar untuk menikah dengannya.
Yelah, dah lama menduda le katakan.
Maka pernikahan Pak Man dijalankan pada keesokan harinya
dengan majlis di adakan secara ala kadar sahaja tetapi seluruh penduduk kampung
berpusu-pusu untuk melihat jelmaan pontianak tersebut. Dan Pak Man juga tak
sabar-sabar menunggu waktu malam untuk bersama dengan isteri barunya itu.
Namun begitu, keesokan harinya makin ramai orang berpusu-pusu
ingin melihat gelagat pengantin baru yang mistik itu malah ingin mnemuramah Pak
Man tentang ‘pengalamannya’ malam tadi. Tetapi mereka menemui pengantin
lelakinya termenung dimuka tangga.
“Kenapa ni Pak Man?” tanya salah seorang penduduk kampung.
Pak Man hanya diam sahaja sambil dia mendongak ke atas
pokok mangga di sebelah rumahnya. Maka ternampaklah semua orang bahawa Peah
sedang nyenyak tidur di atas pokok. Mungkin kerana orang ramai yang
bising-bising, Peah terjaga dan sambil tersenyum simpul dia berkata ..
“Er … saya tak biasalah tidur atas katil. Dah biasa tidur
atas pokok kekabu di hujung kampung sana tu……”
No comments:
Post a Comment