Misteri Rumah Kolonial
“Arghhh …. Tidak…..!!”
Itulah yang aku jeritkan bila aku
terpandang kaca bertaburan di atas karpet mahal peninggalan arwah bapak aku.
Lupa lak aku nak cerita. Nama aku
Mell. Kira nama glamour la tu. Aku ni anak orang kaya. Bapak aku tauke … bukan
tauge … tauhu pun bukan… tapi tauke balak. Selepas bapak aku meninggal dunia
beberapa tahun lalu, dia telah mewasiatkan Rumah Kolonial 3 tingkat ini kepada
aku. Biar pun pada waktu itu aku berada di dalam rumah besi. Maksud tersiratnya
penjara….
Aku bukan jahat, aku budak baik
tapi aku terpedaya dengan dakyah-dakyah asing yang menular masuk ke negara ini
yang macam air yang mencurah-curah. Lagi pun bapak aku sporting. Dia tak kisah
aku keluar masuk penjara 5 – 6 kali setahun. Tapi dia tetap sayangkan aku.
Kalau tak, takkan dia wasiatkan rumah ni kat aku.
Tapi bila bapak aku meninggal
dunia, baru aku rasa menyesal. Aku rasa bersalah dan aku kembali ke istana lama
ini yang menyimpan pelbagai sejarah hidup aku dan keluarga aku. Dan aku bertekad
untuk memulakan hidup baru.
Dah namanya aku ni bekas banduan,
bekas penagih dan segala macam bekas lagi, maka kehadiran aku tak beberapa di alu-alukan
oleh orang-orang kampung. Setiap detik dan setiap ketika ada sahaja cemuhan
yang dilemparkan terhadap aku.
“Eeiii … jangan dekat kat rumah
tu…. Ada
jerangkung tinggal kat situ..”
Itulah yang sering aku dengar
dari mulut orang-orang kampung. Taulah aku ni kurus … ada ke kata aku ni kangkung
.. eh.. jerangkung. Ada
rupa jerangkung ke aku ni? Ini membuatkan aku sering mengalirkan air mata,
telinga dan hidung. Air telinga sebab aku memang ada masalah telinga sikit….
Apa orang kata ..torek…. ha itulah!
Itu sebab berair!
Bila dah jadi gini, aku mula
memencilkan diri di dalam rumah pusaka yang tersergam indah ini. Tak apa.
Inilah syurga bagi aku. Aku tak akan tinggalkan pusaka bapak aku ni sia-sia.
Aku akan menghuninya sampai bila-bila biarpun orang kampung tak suka. Bukan aku
kacau anak bini dia orang. Aku pun tak curik duit diaorang. Dalam rumah aku ni
pun dah cukup segalanya. Tak payah pergi beli kat kedai. Semua ada … makan pun
tak habis. Kalau setakat berkurung kat sini pun tak memudaratkan orang-orang
kampung yang benci kat aku ni. Lagi pun aku dah biasa hidup terkurung.
Tapi hari ini aku terkejut besar.
Kalau orang kata king kong tu besar, aku punya terkejut ni sepuluh kali ganda
dari kong kang … er…king kong. Serpihan-serpihan kaca yang entah dari mana
datangnya bertaburan atas karpet. Atas karpet mahal bapak aku pulak tu. Masih
aku teringat macam mana susah payahnya bapak aku mengusung karpet itu dari lori
semata-mata untuk ‘surprise’kan aku dan mak aku dulu.
Tapi …. Macam mana orang boleh
masuk rumah aku ni. Sedangkan semua pintu dan tingkap berkunci rapat. Aku
memang dah pastikan semuanya berkunci. Ya… aku pasti. Tapi siapa yang masuk ke
dalam rumah aku ni … atau….rumah aku ni berHANTU…
Aku ada dengar jugak orang kampung
aku kata kampung ni dah tak aman lagi. Banyak hantu berkeliaran. Kata orang
rumah besar macam rumah aku ni kalau dibiarkan kosong yang menghuninya pasti …
hantu. Betul ke? Tiba-tiba aje bulu tengkuk aku menegak. Kalau diletakkan belon
yang dah diisi angin ke atasnya, aci potong jari … mesti meletup punya.. Aku cuba
membuka langsir tingkap rumah aku untuk memastikan bahawa tiada sesiapa di kawasan
luar rumah tapi aku ngeri tengok cahaya matahari. Mungkin dah lama sangat aku
berkurung dan terkurung di bilik gelap, aku jadi alergy pada cahaya. Malah
rumah aku sendiri pun tak ada bekalan elektrik. Sengaja aku tak mahu pasang.
Aku selesa bagini. Mungkin sebab in juga setan-setan suka bersarang dirumah
aku.
Tak semena-mena aku lihat kaca-kaca
misteri tadi bergerak-gerak sendiri di atas karpet. Tanpa berlengah dan
membuang masa aku terus meluru ke tingkat atas rumah aku dan seberapa segera yang
boleh aku menutupi seluruh tubuhku dengan selimut tebal. Aku ambil lagi bantal
menutup telinga aku bila tak sengaja aku terdengar orang ketawa
mengekek-ngekek. Aku lantas mematikan diri. Betul ke rumah aku ni berhantu?
Siapa yang ketawa tu?
Aku tak tahu berapa lama aku
berkurung dan berbungkus dalam selimut. Mungkin sepanjang hari. Mungkin juga
2-3 hari. Aku pun tak beberapa pasti. Bila agak-agak dah tenteram sedikit, aku
pun keluar dari kepompong aku dan menuruni anak tangga satu per satu dengan
berbekalkan lampu minyak tanah. Aku memasang telinga. Ternyata senyap dan
sunyi. Barulah aku lega.
Di atas karpet itu sudah bersih.
Tak ada lagi serpihan kaca misteri yang bertaburan. Tetapi siapa yang mengalih
dan membersihkannya? Aku bukan ada amah atau orang gaji. Aku duduk sini sesorang
aje. Tapi …. Siapa yang membersihkannya?
Sekali lagi bulu tengkuk aku menegak macam bulu landak tertelan batu.
Aku periksa pintu depan rumah.
Ternyata berkunci. Bila aku buka dan melihat keadaan sekeliling … gelap.
Maksudnya hari sudah malam. Aku mendongak ke langit. Bulan purnama sedang
mengambang penuh. Aku berjalan keluar setelah sekian lama berkurung. Terasa
nyaman pula… hilang rasa takut aku. Dengan lampu minyak tanah aku mula menyusur
jalan tanah merah yang menghubungkan rumah aku dengan rumah orang-orang kampung.
Aku rasa seronok pula.
Tiba-tiba aku ternampak sebuah
basikal cabuk sedang menuju ke arah aku.
“Budak-budak … malam-malam buta
pun nak merayau lagi…” bisik aku sendirian.
“Baru balik ke …” tegur aku.
Ramah la kononnya. Nanti orang kata aku bodoh sombong pulak.
Tapi entah kenapa budak tu
tersusup sasap masuk semak. Terlanggar batu kot. Aku pun terus meluru ke
arahnya. Niat hati nak menghulurkan bantuan. Tapi ……
Sekali lagi aku terkejut beruk,
kongkang dan macam-macam lagi yang sejenis dengannya!! Budak yang menunggang
basikal itu ghaib entah ke mana. Aku dengan jelas nampak dia tersungkur dan aku
pasti tak nampak budak tu lari. Sekali lagi aku menelan liur. Aku lihat
sekeliling. Kawasan perkuburan!!!.
Sekali lagi aku mengatur langkah
seribu. Tapi belum sampai 20 langkah aku berhenti. Aku kesian tengok basikal
cabuk tu, jadi aku rasa lebih baik aku lari bersama-sama dengan basikal tu.
Kalau hantu kejar, mesti dia tak mampu kejar aku, sebab aku naik basikal. Dan
aku pun melarikan diri dengan berbasikal.
Penat jugak aku mengayuh nak
sampai ke rumah. Sesampai aje aku kat rumah. Aku campak basikal tu dan sekali
lagi aku membungkus diri aku ke dalam kepompong selimut aku. Dan sekali lagi
aku pun tak pasti berapa lama lagi aku mesti berkepompong begini.
“Sah… kampung kita ni
berhantu…..” tiba-tiba telinga aku terdengar suara orang bercerita.
Aku buka mata dan memandang
sekeliling. Dah siang.
“ Anak sedara aku terserempak
dengan hantu tu. Katanya baru balik ngaji. Tiba-tiba ada orang tegur dia. Dia
toleh kiri kanan. Tak ada sesiapa pun .. “
“Abih tu apa dia buat..?” Tanya
satu suara lagi.
“Dia lari macam tak cukup tanah
……” jawab suara yang pertama tu lagi sambil diikuti dengan gelak tawa..
Jadi memang benarlah kampung aku
ni berhantu. Kalau macam tu aku kena berhati-hati sikit. Mungkin aku patut
bercampur dengan masyarakat. Kurang-kurang pun kalau apa-apa terjadi, boleh
mintak tolong diaorang .
“Eh … ni basikal arwah Tok Samad
ni? Macam mana boleh ada kat sini..?” kata suara tadi.
Basikal Tok Samad? Maksudnya …
‘budak’ yang aku terserempak malam tadi jelmaan Tok Samad? Maksudnya … aku
menegur hantu….
Liur yang ku telan terasa kesat,
macam batu kerikil. Aku menjengah keluar. Aku nampak Pak Husin dengan Pak Rahim
Jambul sedang membelek-belek basikal cabuk yang aku bawa balik semalam.
Sambil-sambil membelek itu Pak Rahim Jambul terpandang aku di tingkap bilik
aku. Aku senyum pada orang tua itu. Dia lantas membisik sesuatu ke telinga Pak
Husin. Waktu aku baru nak buka mulut dan angkat tangan tanda beri salam, Pak
Husin dan Pak Rahi Jambul terus menyorong basikal cabuk itu dengan keadaan
tergesa-gesa.
Aku sedih melihat Pak Husin
dengan Pak Rahim Jambul buat aku macam tu. Bukan nak bertegur sapa dengan aku.
Tetapi terus-terus pergi tanpa bertanya khabar. Bawak lari basikal aku pulak
tu…. Er … maksud aku basikal yang aku bawak balik malam tadi. Aku bukan curik
basikal tu. Tuan punyanya yang tertinggal, maka aku pun tolong le bawak balik
ke rumah aku. Salah ke?. Tapi tuan
punyanya Tok Samad yang dah bertahun meninggal. Betul ke Tok Samad dah jadi
hantu? Sekali lagi aku menelan butir-butir batu kerikil ke dalam perut. Kalau
betullah itu batu kerikil dah jadi concrete
mixer dah perut aku ni gamaknya.
‘Apa, hina sangat ke aku ni?’ aku
duduk di tangga rumah memikirkan nasib diri. Aku kembali ke bilik aku.
Bila matahari mula tenggelam
sekali lagi sesuatu yang ganjil berlaku. Aku terdengar lagi suara-suara orang
ketawa dari arah ruang tamu tingkat bawah. Aku memberanikan diri menjengah dari
bilik tidur ku. Tiba-tiba ….
“Achom…!!!!!!”
Sepantas kilat aku kembali ke
kepompong aku. Kali ini aku rasa aku jadi kecut sekecut-kecutnya. Sekecut asam
kecut yang dijual kat kedai apek tepi jalan sana kerana bunyi orang bersin itu.
Tapi… siapa yang bersin tadi?
Seketika kemudian aku terdengar
pula kerusi meja rumah aku di tarik-tarik. Aku jadi resah. Lutut aku mula
mengigil.
Kemudian tombol pintu bilik ku di
pulas. Kali ni aku rasa macam nak terkencing. Perlahan-lahan pintu terbuka …
kemudian tertutup semula.
“Tak boleh jadi ni…..!!” kataku
lantas melompat laksana Zaki Sadri lagaknya. Aku meluru keluar.
“Tolong !!! Tolong !!!” jeritku.
“Hantu …!!! Hantu!!!” aku terus
keluar dari rumahku. Tak tentu arah tujuan. Aku tekad tak kira rumah sapa pun
aku mesti mintak perlindungan.
Aku sampai sebuah rumah yang
terang benderang. Aku terus ketuk pintu
rumah itu. Macam nak roboh pintu tu aku ketuk.
“Tolong saya pak cik… mak
cik…tolong saya..!!” rayu aku minta simpati tuan rumah itu.
Tak berjaya, aku ke rumah sebelah
….. pun aku ketuk pintu, tingkap rumah tersebut. Malangnya tak siapa pun
pedulikan aku. Diaorang buat donno
aje.
Rasa takut aku makin memuncak ……
lantas aku menjerit sekuat-kuat ahti. Biar bergema satu kampung. Biar semua
orang tahu aku takut. Biar semua hantu yang kacau aku turut kecut.
“ Tolongggggg …….. Tolong
saya……….!!!” Makin aku jerit, makin banyak rumah-rumah yang tadinya terang menjadi
gelap.
Aku jadi begitu sedih. Aku
menangis di hadapan rumah Tok Ketua. Rasa takut hilang ntah ke mana, rasa sedih
pula muncul di atas layanan orang kampung . Aku benar-benar berharap Tok Ketua
akan membantu aku.
“Tok …. Tok….! Tolong la saya tok
…! Saya nak tumpang bermalam rumah Tok..! Rumah saya berhantu Tok….!!” Rayu aku
penuh hiba. Air mata tak usah cerita la … meleleh macam air batu … er.. air
hujan.
“Sapa?” Tanya satu suara dari
dalam. Aku yakin itu suara Tok Ketua.
“Saya … Mell anak Mahmud Balak
tok… “ jawab aku penuh rasa hiba.
“Aa ppa kau nak…?” Tanya Tok Ketua agak gugup bunyinya
disebalik pintu.
“Rumah saya diganggu hantu tok.
Saya nak tumpang bermalam di rumah Tok..” jawab aku lagi meraih simpati.
“ Rumah aku ni kecik. Dah tak
muat kau nak tumpang. Kau balik lah ke rumah kau. Jangan ganggu kami…” kata Tok
Ketua.
“Tapi Tok…”
“Baliklah .. tak ada apa-apa di sana … Aku jamin kau
selamat ….” Jawab Tok Ketua.
Aku menjadi bertambah sedih. Aku
melangkah longlai pulang ke rumah. Aku menjadi bertambah kesal. Kalau aku jadi
budak baik dulu pasti orang kampung tak layan aku macam ni. Aku benar-benar
menyesal. Beginilah agaknya kalau kita pernah jadi sampah masyarakat.
Setibanya aku dirumah aku. Aku
menelan liur.
‘Nak masuk ke tak nak. Nak masuk
ke tak nak.’
“Tak kan aku nak berembun kat luar ni..” lalu aku
dengan langkah beraninya masuk kembali ke rumah berhantu milikku sendiri ini.
Aku terfikir sendiri. Kan lebih baik aku
pindah sahaja dari sini.
Tak Boleh!!! Ini rumah pusaka.
Bapak aku wasiatkan supaya aku menjaga kehormatan rumah ini.
Tapi aku tak tahan hidup begini.
Sentiasa di dalam ketakutan, dibenci masyarakat.
Aku pun berlari ke tingkat paling
atas rumah aku. Aku berdiri betul-betul di tingkap loteng.
Kalau dengan membunuh diri jalan
terbaik …… aku lebih rela mati…..!!! Aku rela mati….!!
“Achom!!!!” dan aku …
“Aaaaaghhhh……!!!!”
Bub!!!!!! Macam nangka busuk.
Bukan niat aku nak bunuh diri
tapi … suara orang bersin tu ….. Siapa orang tu? Mana dia? Kenapa aku tak
nampak dia? Dan …. Kenapa aku masih boleh berkata-kata sedangkan aku baru je
jatuh dari bumbung rumah aku?
Aku belek-belek tubuh badan aku.
Berumput-rumput malah mulut aku sendiri penuh rumput. Maka hari ini dalam
sejarah aku makan rumput! Tapi …. Aku masih hidup…. !! Aku betul-betul bertuah
…..! Tuhan masih sayangkan aku. Aku masih hidup!!!! Walaupun ada la sakit
sikit-sikit …. Yang penting aku masih hidup.
“Ha…ha…ha….ha…..!!! Hoi ..
orang-orang kampung aku masih hidup..!!! Aku hidup lagi…!! Dan lagi… dan
lagi…!!!” aku ketawa sepuas-puasnya.
Tapi macam mana dengan hantu yang
bersin dalam rumah aku tu? Serta merta tawa aku terbantut.
Aku betul-betul pening kepala.
Aku memang tak berani nak masuk ke dalam rumah aku tu. Dah la tu, hantu tu cuba nak
bunuh aku. Tapi aku berani-beranikan diri untuk masuk juga ke dalam. Tak kan aku nak tidur
diluar.
Aku melangkah masuk sambil jemari
kaki dan tangan terketar-ketar. Bila daun pintu tertutup aje, aku terus meluru
ke dalam bilik dan terus membalut tubuh dengan selimut tebal. Tetapi aku terasa
sesuatu. Aku seolah-olah berkongsi selimut dengan sesuatu!!! Sesuatu yang cuba
menolak aku keluar dari lingkungan selimut aku sendiri!! Siapa?!!!
“Aaarhhh!!!!! “
Itu bukan suara aku yang
menjerit. Tapi …. Suara perempuan …. Tapi mana dia? Takkan aku tersalah bilik
kot? Tak mungkin aku tersalah rumah. Aku
lari ke bilik lain. Aku sembunyi dalam almari. Kalau pencuri, aku harap dia
orang tak jumpa aku. Tapi …… ah… lantaklah!! Janji aku selamat di dalam sini.
Di dalam almari buruk milik bapak
aku… aku terpegang beberapa keping kertas. Kertas yang dah lusuh juga aku rasa
memandangkan rasanya dah beberapa sedap dipegang. Entah kenapa hati aku bagai
ditarik-tarik untuk meneliti kertas-kertas tersebut.
Dengan perlahan aku keluar dari
almari itu sambil menuju ke arah lampu minyak tanah yang sedia terpasang di
atas meja. Satu persatu kertas-kertas itu ku belek. Surat
pajak, surat nikah, geran tanah, geran rumah, surat beranak…. dan surat
mati bapak aku. Aku campakkan ke tepi pelita segala surat-surat yang entah
hapa-hapa itu. Bapak aku … Mahmud Balak. Orang kaya … tapi aku …..? Aku ambil
balik surat
mati bapak aku …. Aku baca satu per satu apa yang terkandung di dalamnya …. dan
baru aku terperasan nama di dalam surat
itu bukan Mahmud bin Mahat tetapi Mail bin Mahmud ….
Terfikir sejenak aku …. Siapa Mail
tu? Bapak tak pernahpun kenalkan dengan aku? Abang aku? Adik aku? Mana aku ada
adik beradik. Aku anak tunggal. Tiba-tiba …. Surat mati tu terlepas …. Baru aku sedar
….siapa Mail tu? Mail tu adalah ..……
Di kedai kopi …
“Betul… Hantu si Mail mengamuk
semalam… Habis satu kampung ni di kacau…Melolong tengah-tengah malam. Sampai
anak-anak aku semua lari cari mak dia. Sampai aku tak de can langsung ….” cerita
seorang lelaki berambut afro dengan muka masam.
“Rumah kau pun kena ke? “ Tanya
seorang lagi yang botak kepalanya.
“ Apa tidaknya … macam nak roboh
pintu rumah aku diketuknya ….!!” Jawab si afro tu.
“Aku dengar Tok Ketua yang halau
‘dia ‘ semalam … betul ke?” Tanya pak cik berkopiah lusuh pula.
“Entah la Rahim. Aku dengar pun
macam tu.”
“Terrer jugak Tok Ketua tu ye ….”
“ Kau tau, masa aku terjumpa
basikal arwah Tok Samad di rumah tu dulu, aku terperasan macam ada orang dalam
rumah tu. Bila aku perhatikan tak ada
sesapa pun. Aku pun ajak Pak Husin blah …. Eii…Ngeri aku dok situ lelama ….” Cerita
Rahim Jambul.
“Macam mana basikal tu boleh
berada di sana ?”
“Si Komeng anak Pak Mat Drebar
Bas tu curik. Katanya masa tengah jalan tu hantu Mail tegur dia .. tu yang
basikal ntah ke mana dia ntah ke mana. Dengar kata masa tu dia kat kawasan
kubur sana tu….Itulah
padahnya mencurik. Cakap kat bapak dia gi ngaji … Bagus juga hantu tu kacau dia
… biar dia serik sikit ..” Jawab Rahim Jambul lagi sambil mengetap bibir tanda
geram.
“ Saya heran la …. Kenapa hantu
si Mail tu mengganggu kita semua… Dia bukan meninggal kat rumah tu…. Dia mati
kena gantung di Penjara Pudu sana
…Kubur dia pun bukan kat sini …” jerkah satu suara lagi.
“Dengar kata, rumah tu Mamud
Balak wasiatkan kepada dia. Jadi dia baliklah agaknya jaga harta pusaka bapak
dia….”
“Ye ke ….? Habis… macam mana
pulak Mat Salleh 4 beranak tu boleh tinggal kat rumah tu..?”
“Oh… Mr. Anderson tu? Dia
berkenan kat rekabentuk Kolonial rumah tu. Tu yang dia beli tu…”
“Eh…. Lori apa pulak tu ……?” celah
satu suara lain dari belakang kedai.
Maka ternampaklah Mr. Anderson
seorang warga Amerika bersama isteri dan 2 orang anaknya berkereta mendahului
sebuah lori yang sarat dengan peralatan rumah sambil dia asyik terbersin kerana
terkena habuk dari luar keretanya keluar dari kawasan rumah Kolonial itu dalam
keadaan yang kusut serta wajah yang kusut juga rambut yang kusut ….
Sementara itu Mell atau Mail cuma
memerhati dengan wajah sayu dari tingkap biliknya yang gelap itu…… tapi tak
siapa pun yang nampak.
No comments:
Post a Comment