Friday, September 21, 2012

Kisah KEHIDUPAN


KISAH ‘KEDIHUPAN’
            Pagi itu suasana amat ceria. Dua ekor anak kucing berwarna hitam dan berwarna putih sedang bermain-main di tepi lorong rumah kedai tinggal yang hapak dan hancing itu. Si ibu kucing hanya memerhati gelagat kedua-dua anaknya dari jauh sambil dia sendiri memanjat tong-tong dan bakul sampah yang ditinggalkan oleh manusia untuk mencari makan. Tempat itu sering menjadi tempat buangan sampah oleh manusia yang tak ada kesedaran sivik. Tetapi kalau difikirkan, ada baiknya juga. Sekurang-kurangnya ada juga rezeki buat haiwan-haiwan yang tak bertuan mencari makan dan membesarkan anak-anak.
            Kawasan itu yang berhampiran dengan kampung hanya dihuni oleh kucing, anjing, tikus dan haiwan-hawan lain yang mencari makan di situ.
            Sementelah anak-anak kucing itu semakin menjauh,
            “Hitam!! Putih!! Jangan main jauh-jauh..!!” tegur Si Ibu kucing dari jauh apabila kelekaan anak-anaknya semakin hilang dari pandangannya.
            “Baik!!” jawab kedua-dua anak kucing itu serentak sambil berlari-lari ke arah ibunya yang duduk bertenggek di atas tong kayu.
            Tiba-tiba…
“Uwa..!! Uwa..!!”
Anak-anak kucing itu berhenti berlari sambil berpandangan sesama sendiri.
Keheningan pagi tu dicemari dengan bunyi yang terlalu asing bagi mereka. Namun atas dasar ingin tahu , mereka mencari dari mana arah datangnya bunyi tersebut tanpa memperdulikan panggilan ibu mereka.
“Uwa..!! Uwa..!!”
Suara itu kian kuat apabila mereka menghampiri satu bakul rotan buruk yang ditutup dengan kain batik lusuh.
“Bunyi apa tu?” Tanya Si Putih pada Si Hitam.
“Entah. Aku tak pernah dengar bunyi seperti ini,” jawab Si Hitam.
Cuba kau tarik kain tu, mungkin kita boleh lihat apa yang berbunyi,” suruh Si Hitam.
            “Er.. tak bahaya ke?” Tanya Si Putih agak gusar.
            “Kalau bahaya, sekarang ni pun kita sudah diserang,” jawab Si Hitam penuh yakin.
            Dengan sedikit berdebar dan sedikit yakin Si Putih menarik kain lusuh yang menutupi bakul itu. Dan…
            “Uwa..!! Uwa..!!” suara suatu makhluk yang dibungkus dengan kain buruk di dalam bakul itu sambil menendang-menendang perlahan.
            Kedua-dua anak kucing terkejut dan mereka melarikan diri ke arah ibu mereka.
“Ibu!! Ibu!! Tolong, ada haiwan besar nak makan kami!!!” jerit kedua-dua anak kucing pada ibu mereka.
Sepnatas kilat di ibu terjun dari kotak dan meninjau sekeliling mencari haiwan manakah yang mahu mengganggu gugat keamanan dia dan anak-anaknya. Kukunya sudah sedia terhunus. Dia akan mempertahankan anak-anaknya dari apa juga anasir yang mendatang. Lagaknya tak ubah seperti serikandi yang mempertahankan negara.
Namun musuh yang ditunggu tak kunjung tiba. Hatinya lega.
Kan ibu dah cakap. Jangan main jauh-jauh. Musuh banyak!”marah si ibu.
Kedua-dua anak kucing menggangguk. Menyesal rasanya dia menyingkap kain buruk itu. Makhluk yang dia sendiri tak tahu apakah namanya itu amat menakutkannya. Wajah makhluk itu agak comel tetapi kotor seperti kesa-kesan darah. Mungkin baru membaham haiwan lain, fikirnya.
“Binatang apa yang ganggu kamu tadi. Anak anjing semalam tu ke?” Tanya si ibu nak tahu.
Kedua-dua anak kucing tak menjawab. Kerana mereka memang tak tahu makhluk apakah yang mereka nampak tadi.
“Tak tahulah ibu. Kami terdengar bunyi yang pelik. Kami pergi tengok, tiba-tiba makhluk itu menyergah kami.. Kami larilah,” jawab Si Putih.
“Makhluk? Makhluk macam amana?” Tanya si ibu makin pelik.
“Kami tak tahu. Kami tak pernah tengok makhluk sebegitu. Tapi dia tak mengejar. Dia hanya duduk di dalam bakul,” jawab Si Hitam.
Si ibu terdiam. Hatinya ligat berfikir, makhluk apakah itu?
‘Ah.. biarlah. Yang penting anak-anak aku selamat,’ fikir si ibu kucing.
Tetapi hatinya memberontak ingin tahu makhluk apakah yang mengganggu anaknya itu.
Satu jam telah berlalu, namum hati si ibu masih teringatkan ‘makhluk’ yang dikatakan oleh kedua-dua ekor anaknya.
“Putih, Hitam. Bawa ibu ke tempat itu. Hati ibu tak sedap lah,” kata si ibu kucing.
Si Hitam dan Si Putih hanya berpandangan sesama sendiri. Pelik dengan permintaan si ibu.
Takut juga kalau-kalau di serang oleh makhluk itu.
“Tapi…”
“Bawa aje ibu ke sana!” potong si ibu.
Makan Si Hitam dan Si Putih membawa si ibu ke bakul buruk itu. Pada ketika itu matahari sudah tinggi segalah. Kawasan itu juga sudah agak panas. Semakin hampir dia di kawasan itu, kian terdengar suara yang merengek yang semakin lemah. Suara itu seperti sudah hampir hilang kerana terlalu banyak menjerit.
“Di sana ibu..” bisik Si Hitam.
Si ibu memerhati. Namun dia tak berani untuk hampir. Namun suara yang datangnya dari bakul itu benar-benar meruntun hatinya. Entah kenapa hatinya berasa amat kasihan mendengar suara itu.
“Kamu berdua tunggu di sini!” arah si ibu.
Si ibu mengeluarkan kukunya. Manalah tahu kalau-kalau makhluk itu menyerang pula. Sekurang-kurangnya dia sudah bersedia.
Si ibu berjalan perlahan-lahan dan akhirnya ternampaklah apa yang berada di dalam bakul itu. Makhluk yang dimaksudkan oleh anak-anaknya.
“Ya Allah!! Bayi manusia!” bisik si ibu.
Bayi itu sedang menangis. Mungkin kepanasan atau mungkin kelaparan. Kulitnya masih terpalit darah di sana-sini. Malah ada semut-semut kecil sudah mengerumuni telinga dan mukanya.
“Ya Allah!!” Si ibu tak sanggup melihat keadaan bayi manusia itu.
Dia dengan pantas turun ke arah bayi itu. Dengan pantas dia melindungi bayi itu dari panas terik mentari. Dijilatnya seluruh tubuh kecil itu dari terus dihurungi semut dan dia lantas membersihkan tubuh kecil itu dari palitan darah.
Kedua-dua anak kucing semakin pelik apabila melihat si ibu terjun ke dalam bakul yang berisi makhluk yang ditakuti oleh mereka tadi.
Si ibu masih menjilat dan membesihkan bayi manusia itu. Si bayi berhenti menangis.
“Kaukah ibu ku?” Tanya si bayi dengan suara yang serak kerana terlalu banyak menangis.
“Bukan. Aku ibu kucing. Aku kasihan melihat kau menangis wahai bayi manusia. Kenapa kau menangis?” Tanya si ibu kucing.
“Aku lapar….” Jawab si bayi itu.
“Bagaimana kau boleh barada di sini?’ Tanya si ibu kucing lagi.
“Aku tak tahu. Apa yang aku tahu, sebaik sahaja aku melihat dunia ini, sesorang telah membawa aku ke sini dan meninggalkan aku di sini. Aku fikir itulah ibuku. Tetapi dia tidak kembali sehinggalah suasana menjadi terang dan makhluk-makluk kecil ini menggigit tubuhku. Dan kau datang menyelamatkan ku..” jawab si bayi.
“Bagaimana boleh aku tolong wahai bayi manusia?” Tanya si ibu kucing lagi.
“Aku tak tahu wahai ibu kucing. Tolonglah aku amat-amat kelaparan. Sejak dari aku melihat dunia ini, tiada setitis air pun masuk ke mulutku..” rintih si bayi.
Si ibu kucing menitiskan air mata.
‘Mengapa manusia sanggup meninggalkan bayi kecil ini di tempat kotor seperti ini…’
“Wahai bayi manusia. Aku akan carikan makanan untukmu. Kau bersabarlah. Aku akan datang lagi membawa sesuatu untuk kamu,” kata si ibu kucing.
“Terima kasih wahai ibu kucing,” jawab bayi itu.
Si ibu kucing melompat pergi. Dia tak tahu apakah makanan yang perlu dibawakan kepada bayi manusia itu. Dia tak ada pengalaman menjaga bayi manusia.
Tiba-tiba, si bayi menangis lagi…
Si ibu kucing terus mendapatkan bayi itu.
“Kenapa kau menangis wahai bayi manusia?” Tanya si ibu kucing lagi.
“Tubuhku perit teramat sangat. Aku barasa teramat panas…” bisik si bayi dengan lemah.
Barulah si ibu kucing tahu. Suasa semakin panas. Si bayi terdedah kepada panas matahari. Jika dibiarkan pasti akan meragut nyawa si bayi.
Si ibu kucing cuba menolak bakul ke tepi namun dia  tak berdaya. Tiada apa yang boleh dibuat sebagai lindungan dari cahaya matahari.Dia mundar mandir sendirian.
“Ibu, apa yang kami boleh tolong ibu?” Tanya Si Putih setelah sekian lama hanya memerhatikan gelagat si ibu.
“Kita mesti tolong makhluk itu. Dia bayi manusia yang mungkin ditinggalkan oleh ibunya mencari makanan. Tetapi si ibu tidak kembali. Sekarang matahari sedang meninggi, bayi ini akan mati kepanasan jika tidak dilindung. Ibu akan carikan makanan untuk bayi ini,” terang si ibu panjang lebar.
“Ibu. Itu kain yang melindungi bakul itu tadi,. Kami yang membukanya,” kata Si Hitam sambil menunjukkan ke arah kain batik lusuh yang terdampar di atas jalan.
Si ibu terus melompat dan menarik kain itu dan sedaya upaya cuba menutup bakul itu dengan kain. Dengan adanya tangkai bakul, bayi itu berjaya dilindungi dari terik pancaran matahari.
“Hitam, Putih. Kamu jaga bayi ini sebaiknya. Jika ada semut yang datang, jilat semut itu supaya bayi ini tidak kesakitan,” arah si ibu.
Kedua-dua anak kucing menggangguk memahami arah si ibu.
“Ibu nak cari makanan untuknya,” kata si ibu sambil terus berlari meninggalkan dua ekor anak nya bagi menjaga si bayi.
‘Apakah makanan manusia? Dia masih bayi, tentu bukan makanan yang biasa di makan oleh manusia. Jika tidak, pasti dengan mudah aku mencuri makanan di kedai makan di seberang jalan,’ fikir ibu kucing.
‘Ya.. susu!’ tiba-tiba dia mendapat idea.
‘Tapi susu siapa? Bagaimana aku nak beri padanya?” bermacam-macam persoalan bermain di fikiran ibu kucing.
Tanpa sedar dia terlanggar si ibu ayam.
“Mmmaaaf ibu ayam. Aku tak terperasan kamu duduk di situ?” Si ibu kucing meminta maaf atas kesalahannya.
“Kenapa ibu kucing? Aku lihat kau seperti resah. Apa masalah kau?” Tanya si ibu ayam.
Ibu kucing menarik nafas panjang.
“Aku ingin menyelamatkan seorang bayi manusia yang ditinggalkan ibunya di tempat tinggalku. Dia kelaparan. Aku fikir mahu memberinya susu. Kebetulan pula, aku masih ada susu. Tetapi aku tak tahu bagaimana mahu menyusukannya. Dia terlalu besar untukku,” keluh si ibu kucing.
“Wahai ibu kucing. Di hujung kampung itu ada seekor lembu yang baru melahirkan anak. Kau boleh minta padanya,” jawab si ibu ayam.
“Ye? Terima kasih ibu ayam. Aku akan ke sana sekarang juga,” jawab si ibu kucing sambil terus berlari ke arah yang dimaksudkan.
Dia mesti cepat supaya bayi itu tidak terus kelaparan. Matahari sudah makin tinggi.
Tiba di satu sudut kampung manusia. Maka ternampaklah seekor lembu sedang duduk berehat di bawah pokok mangga. Anaknya juga duduk bersebalahan dengannya.
Lantas si ibu kucing terus berlari ke arahnya.
“Sejahtera atas kamu wahai si ibu lembu,” tegur si ibu kucing.
“Sejahtera atas kamu juga wahai si ibu kucing. Apa yang boleh aku tolong?” jawab si ibu lembu.
“Aku memerlukan susumu. Aku ingin memolong seorang bayi manusia yang ditinggalkan ibunya di tempat tinggalku. Jika tidak, dia akan mati kelaparan,” terang si ibu kucing.
“Ambillah ibu kucing semahumu,” kata si ibu lembu sambil berdiri.
“Terima kasih wahai ibu lembu. Moga Allah membalas jasamu,” si ibu kucing berterima kasih.
Tetapi seketika kemudian, dia termenung lagi.
“Mengapa wahai ibu kucing? Apa masalahnya lagi? Aku sudah bersedia membantumu..” Tanya si ibu lembu.
“Bagaimana akau hendak membawamu ke sana sedangkan kau tertambat di pokok itu,” kata si ibu kucing.
Si ibu lembu juga baru terfikir. Bagaimana dia ingin menyusukan si bayi manusia itu sedangkan dia tak mampu untuk pergi dari situ.
Kedaa-duanya menjadi buntu. Si ibu kucing mula mengalirkan air mata.
“Maafkan aku wahai bayi manusia. Aku hanya haiwan kecil yang tak mampu lakukan apa-apa untuk menyelamatkanmu…” bisik si ibu kucing sambil menangis.
Dia melombat duduk di atas pangkin yang sediada di tepi pokok mangga itu sambil menangis. Si ibu lembu yang melihatnya juga mengalirkan air mata. Maka kedua-duanya menangis teresak-esak di bawah pokok mangga itu.
“Wahai kedua-dua haiwan. Kenapa kamu berbuat bising. Aku nak tidur pun tak senang!” marah satu suara dari atas pokok.
Si ibu kucing dan ibu lembu terdiam. Seekor monyet sedang bergayut di dahan pokok mangga sambil mengenyeh-ngenyeh matanya tanda baru bangun tidur.
“Aku tak mampu nak selamatkan si bayi manusia yang sedang kelaparan di tempat tinggalku yang ditinggalkan ibunya. Dari jauh aku berlari hingga ke sini mencari susu. Apabila sudah ketemu, aku tak tahu bagaimana hendak ku bawa susu itu dan bagaimana hendak diberi susu tersebut,” terang si ibu kucing.
“Kalau begitu, mengapa mengganggu tidur ku,” marah si monyet lagi.
“Tidakkah kau kasihan melihat bayi itu mati kelaparan?” Tanya si ibu lembu.
“Bukan anak aku. Apa aku peduli,” jawab si monyet.
Ibu kucing hanya menggeleng-gelengkan kepala.
“Jika aku diberi tubuh seperti kau, aku akan berbakti untuk semua makhluk di muka bumi ini. Mungkin hari ini, hari dia, mungkin esok hari kau. Siapa tahu..” jawab si ibu kucing.
Si monyet hanya termangu-mangu sahaja acuh tak acuh.
“Entahlah .. manusia selalu mengganggu tempat tinggal aku…”jawab si monyet.
“Tapi, kita cari makan atas kepandaian manusia juga. Atas ehsan manusia juga. Kalau manusia tak tanam pokok buah-buahan, kau pun belum tentu dapat makan buah mangga ni. Kau tak perlu bayar apa pun untuk makan buah dari pokok ini. Pokok ini di tanam oleh manusia. Kau harus ingat, Allah menciptakan makhluk di muka bumi ini saling memerlukan…” kata si ibu kucing lagi.
“Ah..malas aku nak dengar. Selamat tinggal. Moga kau bertemu mahkluk yang sudi menolong..” kata si monyet sambil terus berlalu.
Si ibu lembu mengeluh panjang. Kedua-dua haiwan itu kembali menangis kerana putus harap. Semakin lama semakin kuat.
Hari kian menjengah petang.
“Aku harus pulang wahai ibu lembu. Anak-anak ku juga harus aku beri makan,” kata si ibu kucing.
“Bagaimana dengan bayi manusia itu?” Tanya si ibu lembu.
“Entahlah.. Moga Allah akan membantunya. Aku dah buntu…” kata si ibu kucing sambil berjalan perlahan-lahan.
Tiba-tiba…
“Nanti wahai ibu kucing!!!” jerit satu suara.
Seekor monyet sedang bergayutan datang ke arah ibu kucing dan ibu lembu.
“Maafkan aku. Aku terdengar perbualan kamu dengan si monyert berdebah tadi. Maaf kan aku bagi pihaknya kerana dia dari keturunanku..” kata si monyet betina sambil mengusung anak di dadanya.
“Aku ada bawa sesuatu yang boleh membantu kamu,” kata si ibu monyet.
“Apakah itu?” Tanya si ibu kucing.
“Ini botol susu. Aku curi dari rumah manusia di sana. Mereka gunakan ini sebagai ganti puting susu bagi menyusukan anak mereka. Aku selalu perhatikan mereka..,” sambung si ibu monyet.
“Biar aku perah susu ibu lembu. Dan aku akan ikut kau pulang. Mungkin kita masih ada masa untuk selamatkan bayi manusia itu,” kata si ibu monyet.
“Ya Allah!! Kami bersyukur atas bantuan-Mu ya Allah!!” si ibu kucing terduduk terharu.
Maka ibu lembu berdiri, dan si ibu monyet memerah susu lembu ke dalam botol susu. Apabila penuh, botol susu di tutup.
“Ayuh ibu kucing. Kita ada nyawa yang perlu diselamatkan!” kata si ibu monyet penuh semangat.
“Terima kasih ibu lembu. Moga Allah sahaja membalas jasamu,” kata si ibu kucing sambil terus berlari bersama-sama dengan si ibu monyet.
Mereka tiba waktu sudah petang. Si bayi sudah tidak bergerak.
“Hitam, Putih. Bagaimana keadaan bayi manusia ini?” Tanya si ibu kucing agak kaget.
“Kami jaga dia sebaik mungkin tetapi keadaannya semakin lemah. Kami tak mampu berbuat apa-apa,” jawab Si Putih.
Ibu monyet datang menghampiri. Amat kasihan dia melihat keadaan si bayi. Dia mula menyalahkan dirinya kerana bertindak lewat. Air matanya mengalir. Wajah si kecil diusapnya perlahan. Kulit bayi yang putih bersih itu kemerah-merahan akibat kepanasan.
“Maafkan kami wahai bayi manusia. Kami tak berjaya selamatkan kamu…” kata si ibu monyet.
Semua yang ada bagai berkabung atas apa yang berlaku pada bayi itu. Semua hanya duduk mengadap bayi yang tidak berdosa itu. Botol susu yang penuh berisi susu di letakkan di sisi bayi yang sudah tidak bergerak itu.
Si ibu monyet menyentuh pipi si bayi, tiba-tiba si bayi bergerak amat lemah.
“Dia masih hidupp!!!!  Dia masih hidup!!!” jerit si ibu monyet mengejutkan si ibu kucing dengan anak-anaknya.
“Wahai bayi manusia. Aku bawakan makanan untukmu. Minumlah susu ini..” bisik si ibu monyet sambil menyuakan botol susu ke mulut bayi yang sudah hampir kering itu.
Dengan perlahan bayi itu menghisap susu yang diberikan sedikit demi sedikit. Si ibu monyet menjaga bayi tersebut sebaiknya. Dia membina sebuah pondok dari kotak-kotak dan kayu-kayu yang terdapat disekitar.
“Wahai ibu kucing. Kita tak boleh biarkan bayi ini begini. Kita kena cari jalan supaya bayi manusia ini sampai ke tangan manusia,” kata si ibu monyet.
“Mengapa kita tak bolah bela dia. Ibunya sendiri pun tinggalkannya. Apalah salahnya kita membelanya,” jawab si ibu kucing.
“Tak boleh ibu kucing. Kita tak tahu tabiat manusia. Cara manusia membesarkan anak tak sama dengan kita. Aku yakin, kita tak mampu memberi nyawa yang panjang padanya,” sambung ibu monyet.
“Tapi bagaimana? Aku rasa kau tak mampu nak bawa dia ke kampung sebelah sana,” Tanya si ibu kucing.
“Marilah kita sama-sama fikirkan,” kata ibu monyet.
Gerum!!!!!
Guruh tiba-tiba berbunyi. Langit menjadi gelap tiba-tiba.
“Masalah baru ibu monyet. Hujan nak turun. Kita mesti lindungi bayi ini sambil-sambil kita fikirkan bagaimana hendak menyerahkannya pada manusia,” kata si ibu kucing.
Maka kedua-dua ibu haiwan bersiap sedia menunggu turunnya hujan. Pun begitu si ibu kucing juga terpaksa menguruskan anak-anaknya supaya tidak basah ditimpa hujan.
Dan hujan pun turun dengan lebatnya. Si ibu monyet duduk bersama-sama dengan bayi malang di dalam pondok yang dibinanya. Namun kesejukan mula melanda hingga menggigit tulang hitam. Si ibu monyet hanya memerhatikan si bayi yang sedang lena. Kekenyangan. Botol susu yang masih bersisa terdampar disisi bayi tersebut. Sesekali si bayi bergerak. Si ibu monyet menyentuh pipi si bayi dengan penuh kasih sayang dan kemudiannya dia menyentuh pipi bayinya yang setia melekap di dadanya. Terasa seperti ada kesamaan. Di pegangnya jemari kecil mungil itu dan diletakkan ke dada bayi itu. Jelas terasa degupan jantungnya. Si ibu monyet tersenyum. Dia sendiri merasa degupan jantung anaknya yang melekap di dadanya. Masih tetap sama degupan itu.
‘Tetapi.. kenapa manusia boleh dengan sewenang-wenangnya meninggalkan bayinya sendirian, kelaparan, kepanasan dan kini kesejukan? Tidakkah merasa kasihan melihat bayi yang tidak berdosa ini menanggung segala rasa siksa? Kalaulah aku yang melahirkannya, pasti akan aku tatang seperti minyak yang penuh…’ bisik hati si ibu monyet.
“Ya Allah. Kau temukanlah bayi ini dengan manusia yang bertanggungjawab. Agar sempurna hidupnya. Kami sebagai mahkluk-Mu yang kerdil tidak mampu untuk membesarkannya..” Si ibu monyet berdoa.
Hujan semakin lebat dan kesejukan kini semakin melampau. Si bayi mula merengek perlahan dan akhirnya menangis dengan kuat.
“Tidurlah wahai bayi manusia, tidurlah…” pujuk si ibu kucing yang sedari tadi hanya duduk di sisi bakul.
“Aku kesejukan wahai ibu-ibu ku…” jawab si bayi sambil menangis.
Lantas si ibu monyet medekatkan tubuhnya ke tubuh si bayi dengan harapan ia mampu untuk memanaskan si bayi. Si ibu kucing juga mendekatkan diri dengan si bayi supaya kehangatan tubuh masing-masing dapat membantu.
“Terima kasih wahai ibu-ibu ku.. “ jawab si bayi.
“Kami bukan ibumu wahai bayi manusia. Kami akan berusaha untuk mencari ibumu,” jawab si ibu monyet.
“Tetapi sifat keibuan kamu sama seperti ibuku. Tidak bolehkan kamu berdua menjadi ibuku? Aku amat-amat memerlukan perlindungan dan kasih saying kamu berdua. Bolehkah?” Tanya si bayi.
Si ibu monyet dan si ibu kucing berpandangan sesama sendiri. Sayu mendengar permintaan si bayi. Mereka sudah rasa kesusahan menjaga bayi ini sehingga wujudnya rasa kasih dan sayang yang teramat sangat terhadap bayi ini. Malah dirasakan seperti anak sendiri. Tetapi mampukah?
“Tidurlah wahai bayi.. tidurlah..” pujuk si ibu monyet sambil membelai si bayi.
Si bayi terus tertidur dengan selesa di bawah badan si ibu monyet dan di sisi si ibu kucing.
“Aku sayang bayi ini wahai monyet,” kata si ibu kucing.
“Aku yang menemuinya dan bersusah payah untuknya. Aku tak sanggup melihat dia diserahkan pada manusia. Entah nasibnya akan terbela atau tidak…” si ibu kucing resah.
“Aku pun mula sayangkan bayi ini, tapi kita terpaksa melepaskannya sebab kita tak mampu untuk menjaganya. Dia bukan dari keluarga kita. Walaupun aku dianugerahkan berbentuk hampir serupa dengannya, hakikatnya kami tetap tak serupa.. redhalah wahai ibu kucing. Kita terpaksa..” jawab si ibu monyet perlahan.
Si ibu kucing memehati si bayi penuh sayu. Ingin sahaja dia berdoa kepada Allah minta supaya dia dijadikan manusia agar dia dapat membesarkan bayi ini. Dia akan menjaganya penuh kasih dan sayang. Setitis air matanya mengalir di pipi.
“Sabarlah wahai ibu kucing.. sabarlah…” si ibu monyet memujuk.
Akhirnya mereka terlelap di samping si bayi.
“Gong!! Gong!! Gong!!”
Keheningan pagi yang tenang itu diganggu dengan bunyi gonggongan anjing liar. Ibu kucing, ibu monyet serta anak-anak mereka terkejut mendengarnya.
“Lari!!! Selamatkan diri!! Si anjing gila tu dah datang!!” jerit si ibu kucing tiba-tiba apabila melihat kehadiran seekor anjing hitam yang besar.
Bertempiaranlah si anak kucing, ibu monyet dan anaknya lari menyelamatkan diri. Terlupa mereka akan si bayi malang itu masih berada di di dalam bakul.
“Hahaha!! Aku lapar!! Jaga kalian semua!! Jika tertangkap..maka kamulah habuan ku pagi ini..!!!” jerkah si anjing hitam dengan bongkaknya.
Si bayi yang terkejut lantas menangis dengan kuat.
Si anjing hitam terdiam. Dia tersenyum. Habuannya kini ada di depan mata. Maka hari itu dia tak akan kelaparan.
“Ya Allah!! Bayi ku!!!” jerit si ibu kucing kerana baru dia teringatkan si bayi yang ditinggalkannya.
Lantas dia berlari turun dari atas kotak kayu. Dan berhenti di hadapan si anjing hitam.
“Ibu!!1 Jangan!!” jerit si anak-anak kucing.
“Kalau ibu mati, kamu belajarlah hidup sendiri!!” jerit si ibu kucing.
“Hahahaha! Kau yang kecil nak haling aku?” tawa si anjing hitam.
Si ibu kucing tak menjawab. Kukunya sudah dihunus. Dia bersedia mempertahankan si bayi jika diserang.
Si ibu monyet juga turun dari dahan pokok berhampiran. Dia menghampiri bakul yang berisi si bayi. Dia cuba mencapainya tetapi kudratnya tak mampu untuk membawa pergi si bayi. Bakul itu terlalu berat untuknya.
“Wahai anjing yang budiman! Kasihanilah kami. Kami hanya ingin menyelamatkan bayi manusia ini!” kata Si Putih anak kucing.
Si anjing hitam hanya menderam sambil menjilat bibir. Si anak kucing menyorok di balik tong kayu berhampiran.
“Kami tahu kamu bukan anjing jahat. Kami tahu kamu cuma mencari makan. Sama macam kami,” sambung Si Hitam anak kucing.
“Ah!! Mana kau tahu!!” jerkah si anjing hitam.
“Kami pernah nampak kamu selamatkan anak kucing yang datuh ke dalam parit besar sana tu semasa hujan lebat tak lama dahulu..” sambung Si Hitam lagi.
Si ibu kucing dan ibu monyet tidak berkata apa-apa. Mereka membiarkan si anak-anak kucing berbicara dengan si anjing.
“Kalau kita sepakat, kita boleh cari makan sama-sama..” sambung si ibu kucing pula setelah lama berdiam diri.
“Ye anjing. Tak berbaloi kau makan bayi ini. Banyak lagi makanan lain yang boleh kita makan di sini. Kalau kita tolong dia, Allah akan balas kebaikan kita..” sambung si ibu monyet pula.
“Sekarang kita tolong dia, mungkin suatu hari nanti, manusia pula akan tolong anak cucu kita..” sambung si ibu monyet.
Si anjing hitam hanya berdiam diri. Dia memang lapar pagi itu. Malam tadi dia langsung tak dapat mencari makan kerana hujan lebat.
“Tapi… aku lapar…” kata si anjing perlahan.
“Kami akan carikan makanan yang sesuai untuk kamu…” kata si ibu kucing.
“Ye.. kami akan carikan makanan untuk kamu. Dengan syarat kamu jangan makan bayi ini…” pinta si ibu monyet menyokong.
Si anjing menelan liur. Memang dia bukan anjing yang ganas. Dia pernah dipelihara oleh manusia. Dia pernah disayang dan dikasihi oleh manusia. Tetapi selepas penjaganya meninggal dunia, tak ada waris penjaganya yang sanggup membelanya. Semenjak itu dia menjadi anjing jalanan. Dia terpaksa berlagak ganas untuk mencari makan dan supaya dia tidak diganggu oleh anjing-anjing liar yang lain. Dia selesa di kawasan itu kerana manusia sering membuang sampah di situ. Walaupun sering dibersihkan tetapi tabiat manusia yang suka membuang sampah merata-rata sebenarnya memberi rezeki padanya dan juga ahli-ahli jalanan yang lain. Malah kadang-kadang ada juga segelintir manusia yang sama-sama mencari makan di dalam longgokan sampah di situ.
“Kami berjanji wahai anjing. Tetapi tolonglah kami selamatkan bayi ini…” rayu si ibu kucing sambil memandang ke arah si bayi yang sedang menangis.
Si ibu monyet kembali kepada si bayi. Dia memujuk si bayi supaya tidak menangis.
“Tapi bagaimana aku harus menolong?” Tanya si anjing tiba-tiba.
Semua di hadapan si anjing tersenyum. Ada bunga-bunga harapan untuk bayi ini terus hidup.
“Kamu kan kuat. Kamu boleh bawa bakul ini ke tepi jalan supaya ada manusia yang akan bertemu dengannya,” kata Si Hitam anak kucing.
Si anjing berfikir sejenak.
“Baik. Aku akan cuba heret bakul ini ke tepi jalan sana. Biasanya banyak manusia yang lalu lalang di sana,” jawab si anjing lalu berusaha mengheret bakul berisi bayi itu sekuat tenaga yang ada.
“Wahai makhluk Allah. Ke mana kamu hendak membawa aku?” Tanya si bayi agak cemas.
“Kami akan bawa kamu ke tempat selamat wahai bayi manusia,” jawab si ibu kucing.
“ Tidak!! Aku lebih selamat dengan kamu semua, jangan biarkan aku mati diluar sana!” jerit si bayi.
Si anjing berhenti mengheret apabila si bayi mula menangis. Dia menghela nafas panjang. Penat rasanya menarik beban dalam keadaan lapar.
“Wahai bayi manusia, kami tak mampu menjaga kamu sebaiknya. Biarlah makhluk sebangsa kamu yang menjaga kamu,” sambung si ibu kucing.
“Tidak!!! Jangan tinggalkan aku!!” tangis si bayi lagi.
Semua yang ada di situ berasa sungguh sayu melihat si bayi menangis sehingga merah padam mukanya. Si ibu kucing, ibu monyet bersama anak-anak mereka teramat sedih kerana perlu berpisah dengan si bayi. Walaupun usia jagaan mereka hanyalah semalaman, tetapi rasa kasih dan kasihan teramat menebal. Namun apa kan daya, mereka tak terdaya untuk memikul beban yang besar ini.
“Maafkan kami wahai bayi manusia..” bisik ibu monyet sambil menitiskan air mata.
Si anjing hanya memerhati drama yang berlangsung di depan mata. Walaupun dia tidak tahu apa yang terjadi antara bayi tersebut dengan mahkluk-makhluk lain di sekeliling namun dia juga berasa amat kasihan dan sedih.
Tiba-tiba terdengar suara orang bercakap di hujung jalan sana.
“Cepat!! Ada manusia datang. Kita kena bawa bayi ini ke tepi jalan supaya boleh ditemui oleh manusia tersebut!” kata si anjing kepada semua makhluk yang ada.
“Tidak!!” jerit si bayi.
“Maafkan kami wahai anakku..” bisik si ibu monyet sambil menarik bakul bayi yang sedang menangis bersama-sama si anjing.
Si ibu kucing bersama anak-anaknya cuba menolak bakul tersebut. Malangnya bakul itu hanya sedikit sahaja berganjak.
“Biar aku salak pada mereka,” kata si anjing sambil terus berlari ke arah manusia yang sedang berjalan.
Gong!! Gong!! Gong!!
Si anjing menyalak beria-ia untuk menarik perhatian manusia tersebut, tetapi ia hanya menakutkan manusia tersebut.
“Huh! Anjing ni.. kau ambil batu tu. Biar aku rejam dia…! Menyalak orang tak pasal-pasal,” arah manusia berbaju biru kepada manusia yang memakai baju merah.
Manusia si baju merah cepat-cepat mencapai batu lalu cuba membaling kepada si anjing yang sedang menyalak. Belum pun sempat batu di baling, si anjing cepat-cepat berlari ke arah  bakul yan berisi bayi yang sedang menangis.
“Eh..nanti!” halang si baju biru.
“Aku dengar budak menangis!” sambungnya lagi.
“Yelah!! Mungkin kat anjing tu. Mari ! Mungkin kita boleh selamatkan dia sebelum dimakan oleh anjing tu tadi!” jerit si baju merah.
Mereka berlari-lari ke arah bakul di mana si anjing telah pun berada di sana bersama si ibu kucing dan si ibu monyet.
“Kau tengok! Banyak binatang kat sana. Mungkin mereka pun nak makan bayi itu!” serkap si baju biru pula.
“Syoh!! Syoh!! Syoh!!” jerit kedua-dua manusia menghalau semua haiwan yang ada disekeliling bayi yang sedang menangis.
Maka bertempiaranlah semua haiwan yang menemani si bayi sejak semalam.
“Ya Allah!! Ada orang buang bayi…” kata si baju biru.
“Kita kena telefon polis. Jangan usik dulu. Takut nanti ada kesan jenayah yang kita tak tahu,” kata si baju merah.
Maka mereka pun menelefon pihak berkuasa sambil melindungi si bayi dari terik mentari. Tak lama selepas itu, kawasan lorong rumah kedai tinggal itu sudah dipenuhi manusia dengan pelbagai rupa. Polis, ambulans dan wartawan sibuk membuat liputan dan rawatan kecemasan terhadap bayi yang baru ditemui tadi. Si bayi sudah selamat berada di dalam dakapan manusia. Walaupun dia masih menangis namun tangisannya tidak sehebat tadi. Mungkin dia sudah rasa selamat.
Semua yang berlaku hanya diperhatikan oleh si ibu kucing dan anak-anaknya, si ibu monyet dan anaknya dan si anjing dari jauh sahaja. Semua berasa lega kerana si bayi sudah dapat diselamatkan. Si anjing walaupun masih lapar, namun dia tetap berpuas hati kerana berjaya berkhidmat untuk manusia buat kesekian kalinya. Mereka tersenyum puas.
“Wahai anjing, nanti kami usahakan mencari makanan untuk kau seperti mana yang kami janjikan,” kata si ibu kucing tiba-tiba.
“Tak payahlah. Aku kenyang bila dapat berkhidmat lagi untuk manusia..” jawab si anjing.
“Rezeki ada di mana-mana. Kau lihat sana tu. Semua manusia yang berkumpul, ada yang sedang makan dan minum. Kau lihat di bawah pokok sana tu, sisa makanan di buang sesuka hati. Ini semua rezeki kita. Kita hanya perlu sabar menunggu sehingga mereka pulang.” Sambung si anjing.
Semua yang ada mengangguk setuju. Mereka bersyukur. Kahadiran bayi itu memberi rezeki pada mereka yang bergelandangan. Hanya yang perlu adalah SABAR.

Beberapa hari telah berlalu.
“Hitam! Putih! Jangan bermain jauh-jauh..!!” jerit si ibu kucing yang sedang memerhatikan gelagat anak-anaknya yang leka bermain di longgokkan sampah yang baru dibuang oleh manusia.
Si anjing hitam hanya tersenyum.
“Jangan risau ibu kucing. Aku ada di sini menjaga anak-anak kamu!” sampuk si anjing.
Si ibu kucing tersenyum. Tak sangka kehadiran si bayi malang itu mengeratkan silaturrahim antara dia dengan si anjing yang sejak dahulu kala menjadi musuh tradisi.
Pagi itu angin bertiup agak kencang sehingga kertas-kertas surat khabar berterbangan di sana sini. Dan sekeping helaian surat khabar terbang dan melekat di atas kotak kayu di kaki ibu kucing.
‘Bayi malang ditemui hampir dibaham anjing.
Kuala Lumpur – 20 Disember : Seorang bayi lelaki di temui oleh dua orang awam di sebuah lorong rumah kedai tinggal di sini petang semalam. Bayi yang cukup sifat ini ditemui hampir dibaham oleh seekor anjing………’
Inilah KEHIDUPAN…………..







No comments:

Post a Comment