Monday, February 18, 2013

Restoran Tepi Bendang


Restoran Tepi Bendang

Cerita ini baru sahaja diperkatakan orang. Kisah sebuah restoran di pinggir sebuah bendang di tepi sebuah jalan raya bersempadan dengan dua buah negeri. Keenakan masakan di restoran ini diperkata tiada tolok bandingannya walaupun di timbang dengan tolok hujan ia tidak dapat dilawan. Tetapi ada kisah disebaliknya yang agak seram-seram bulu…

Yang peliknya restoran itu hanya beroperasi di sebelah malam sahaja dan pengunjungnya terdiri daripada pengguna jalan raya tersebut. Restoran yang disebut-sebut itu sebenarnya tak pernah dikunjungi oleh penduduk kampung berdekatan memandangkan jaraknya agak jauh serta jalan yang menghubungkan kampung mereka ke restoran tersebut amat sukar kerana tidak bertar cuma denai-denai kecil dan batas-batas sawah serta tidak berlampu jalan. Cerita kewujudan restoran itu pun di dengar dari pengguna jalan raya yang singgah ke kampung mereka mencari cacing untuk dijadikan umpan memancing. Jadi daripada bersusah payah merentas jalan seperti itu adalah lebih baik masak sendiri. Lagi jimat!

Salim yang tinggal di kampung bersebelahan dengan kawasan bendang itu sering mendengar cerita akan keenakan masakan di restoran tersebut. Dia yang sememangnya telah lama berkecimpung dalam menjadi kutu embun sering terliur mendengar akan keenakan makanan di situ. Dia terlalu teringin menjamah mi goreng yang dikatakan sedap oleh orang yang pernah berkunjung ke restoran tersebut.

“Kau jangan nak mengarut la Salim. Restoran tu jauh. Dari bendang sini pun kau tak nampak. Ntah ada … ntah tidak restoran tu .. Orang main sedap cerita aje..” Kata Mamat cuba menghalang keinginan Salim.

Ala … kalau kau tak nak ikut dah la… Aku pergi sorang..” Jawab Salim.

“Aku dah lalu jalan tu, tak ada restoran pun. Aku dengar restoran tu milik orang bunian. Sebab itu le bukak malam aje.. Ee Seramlah …Ntah apa-apa yang dia masak untuk kau nanti.” Kata Mamat lagi.

“Ah .. Kau memang sengaja dengki kat aku. Mak kau tak kasi ikut aku makan kat sana kan? Tak pe .. kau jangan risau.. nanti aku bungkuskan untuk kau…” Balas Salim lagi.

Seperti yang dirancangkan keesokan harinya seawal pukul 8 malam Salim telah mengayuh basikal tuanya meredah denai untuk menyeberangi bendang ke restoran tersebut biarpun di halang oleh emaknya, kakaknya dan juga Mamat. Tetapi dia tetap berdegil sambil berkata..

“Tak apa … Nanti saya belikan sorang sebungkus mi goreng ye…”

Salim terus berkayuh menyeberangi bendang tetapi restoran yang diidam-idamkan  masih tidak kelihatan. Akhirnya sampailah Salim di pinggir jalan raya tetapi di dalam gelap gelita dia tidak nampak apa-apa tanda pun yang wujudnya restoran di situ malah dia sendiri tak tahu arah ke kanan atau ke kiri yang harus dituju. Dan dia memilih arah kanan kerana kata orang langkah kanan itu membawa rezeki.

Setelah agak lama berkayuh akhirnya ternampaklah berbalam-balam di tengah jalan sana sebuah restoran yang sesak dengan pengunjung. Serta merta air liurnya menjejeh hingga basah kolar baju kemeja batiknya dan kayuhannya kian laju menuju ke arah lampu neon yang berkelip-kelip. Di matanya hanya terbayang mi goreng sedang berasap-asap.

Tanpa berlengah dia terus masuk ke restoran tersebut. Dalam keadaan bersesak-sesak seperti itu masih ada juga tempat kosong yang membolehkan Salim melepaskan lelahnya. Seketika kemudian datang seorang perempuan berkebaya hijau menatang segelas air kosong sambil mengambil pesanan.

“Er… Mi Goreng satu, bungkus 3 ye.. Er.. Teh Ais satu” minta Salim sambil meneguk air kosong tersebut.

Pelayan tersebut memberi senyuman paling manis buat Salim. Dan Salim pula malu-malu kucing.

Penantiannya tak lama, mi goreng yang berasap-asap pun tiba. Juga dibawa oleh perempuan berkebaya hijau tadi. Hairan juga Salim. Dengan pelanggan yang sebegitu ramai, minya cepat sahaja disiapkan.

“Bagus juga perkhimatan restoran ni…” bisik Salim sendirian.

“Makanlah bang …” pelawa perempuan itu manis.

Salim hanya tersenyum dan tanpa menoleh kiri kanan lagi dia terus melahap mi goreng tersebut. Memang sedap seperti diperkatakan orang. Tidak boleh di sangkal lagi. Malah dia meminta untuk dibungkuskan sebungkus lagi untuk bekal dibawa pulang.

Sementara menanti mi goreng bungkusnya siap, Salim memerhati gelagat pengunjung serta pelayan di situ. Pelanggan-pelanggan di situ biasa sahaja, berborak sambil menikmati makanan di hdapan mereka. Di dapati semua pelayan di situ perempuan belaka dan cantik-cantik pula tu. Terasa pula dia nak berbini.

“Kalaulah aku dapat sorang daripada semua palayan ni kan ke bagus..” kata Salim pada dirinya sendiri.

Mi goreng bungkusnya pun tiba dibawa oleh palayan kebaya hijau tadi.

“Berapa ye?” Tanya Salim.

“Semua RM 8.50. Air kosong tadi saya bagi free aje. Kesian tengok abang kayuh basikal jauh-jauh sebab nak makan mi goreng di sini..” kata perempuan itu tersenyum manja.

Salim menelan liur. Apabila menatap wajah manis si perempuan tadi terasa air liurnya manis macam air sirap.

“Nama siapa?” tiba-tiba Salim bertanya sambil menghulurkan not RM 10.00 kepada perempuan itu.

“Puteri Ratna Sari..” jawab perempuan itu malu-malu.

“Ini bakinya bang …” perempuan itu menghulur wang baki dengan penuh sopan.

“Err … simpan ajelah… Abang belanja…” kata Salim sambil menolak pemberian perempuan itu.

“Abang ni baik hatilah … Terima kasih. Nanti esok datang lagi ye… Saya tunggu abang di sini….!” Kata perempuan itu sambil melambai ke arah Salim yang menuju ke basikal tuanya.

Salim membalas lambaian tersebut sambil menyanyi-nyanyi kecil.

Masih terbau mi goreng yang sedang dibawanya. Masih terbayang wajah Puteri Ratna Sari yang sedang malambainya. Sedar tak sedar Salim telah pun sampai ke rumahnya. Emaknya, kakaknya serta Mamat amat bimbang akan kehilangan Salim. Sampai pukul 2 pagi baru dia balik, semata-mata nak makan mi goreng!

“Nah … Mi goreng untuk kau orang semua. Aku tak lupa punya. Rasalah .. memang sedap… Esok aku nak pergi lagilah. Aku dah janji dengan Puteri Ratna Sari ….” Salim menghulurkan bungkusan mi goreng kepada emaknya sambil bersiul-siul terus ke biliknya.

Emak Salim hanya ternganga melihat perilaku anaknya itu.

“Sebungkus lagi tu aku punya tau… Jangan kasi pelahap habis pulak….!!” Pesan Salim dari atas rumah.

Oleh kerana Salim telah selamat pulang Mamat pun pulanglah ke rumahnya dengan membawa sebungkus mi goreng.

Emak Salim pula terus senyap daripada membebel setelah dirasuah dengan 3 bungkus mi goreng oleh Salim. Apabila terbuka sahaja sebungkus, emak Salim bagai nak menjerit. Mi goreng yang dibawa Salim dah basi. Basi bukan setakat basi orang masak dari awal pagi sampai malam tapi dah macam 3 – 4 hari punya basi! Dah benyek semacam..!! Emak Salim buka sebungkus lagi. Kali ini dipenuhi cacing tanah yang masih menguit-nguit.

Cerita mi goreng Salim bertukar jadi cacing dan basi benyek telah mendapat liputan luas dari seluruh pelosok kampung. Rata-rata mengatakan bahawa Salim telah termakan masakan bunian. Malah mungkin restoran yang Salim pergi itu bukan milik manusia. Ini dikukuhkan lagi apabila beberapa orang kampung menjejaki restoran tersebut dari cerita Salim. Tatapi sudah berpuluh kilometer mereka berkayuh tiada tanda-tanda ada sebuah restoran pun di tepi jalan raya besar itu. Yang ada cuma sawah bendang.

“Batul… aku tak tipu. Malam ni aku dah janji dengan Puteri Ratna Sari nak makan mi gorengnya lagi….” Kata Salim bersungguh-sungguh.

Mendengar sahaja kata-kata Salim itu, orang kampung berpakat untuk mengikat Salim di bangsal agar dia tidak ke restoran tersebut biarpun Salim merayu agar dia tidak diperbuat demikian.

Keesokan harinya seluruh penduduk kampung kecoh lagi. Salim yang terikat di bangsal sedang tidur kekenyangan. Di dalam bangsal itu terdapat bekas mi goreng basi serta sebungkus lagi yang dipenuhi cacing tanah.

“Puteri Ratna Sari datang bawa mi goreng untuk aku…” jawab Salim apabila di tanya.

Kali ini emak Salim pula mengikatnya di bilik tidur sambil emaknya sendiri menamaninya sepanjang malam. Pun begitu keesokan harinya, di atas katil bersepah-sepah cacing tanah menguit-nguit yang didakwa oleh Salim sebagai mi goreng.

Tak siapa pun tahu dari mana datangnya cacing-cacing tersebut. Kehadiran cacing-cacing itu terus menghantui keluarga Salim. Sedangkan Salim terus di kunci di rumah tetapi cacing-cacing itu masih terus hadir di mana Salim di kunci. Kalau di gali cacing tanah seluruh pelosok kampung pun belum tentu sebanyak cacing yang muncul di rumah Salim.

Akhirnya emak Salim membuat keputusan menjual cacing-cacing tersebut untuk kaki-kaki pancing di sekitar kampung. Sekurang-kurangnya ada jugak hasil. Kalau anda terjumpa seorang perempuan jual cacing di tepi-tepi jalan raya, ada kemungkinan itulah emak Salim yang cuba mengurangkan jumlah cacing dirumahnya yang semakin banyak.

Tetapi benarkah restoran itu milik bunian dan Puteri Ratna Sari itu pemiliknya? Tak ada sesiapapun berani menjawabnya. Termasuk saya ….


No comments:

Post a Comment