Restoran Tepi Bendang
Cerita ini baru sahaja
diperkatakan orang. Kisah sebuah restoran di pinggir sebuah bendang di tepi
sebuah jalan raya bersempadan dengan dua buah negeri. Keenakan masakan di restoran
ini diperkata tiada tolok bandingannya walaupun di timbang dengan tolok hujan
ia tidak dapat dilawan. Tetapi ada kisah disebaliknya yang agak seram-seram bulu…
Yang peliknya restoran itu hanya
beroperasi di sebelah malam sahaja dan pengunjungnya terdiri daripada pengguna
jalan raya tersebut. Restoran yang disebut-sebut itu sebenarnya tak pernah
dikunjungi oleh penduduk kampung berdekatan memandangkan jaraknya agak jauh
serta jalan yang menghubungkan kampung mereka ke restoran tersebut amat sukar
kerana tidak bertar cuma denai-denai kecil dan batas-batas sawah serta tidak
berlampu jalan. Cerita kewujudan restoran itu pun di dengar dari pengguna jalan
raya yang singgah ke kampung mereka mencari cacing untuk dijadikan umpan
memancing. Jadi daripada bersusah payah merentas jalan seperti itu adalah lebih
baik masak sendiri. Lagi jimat!
Salim yang tinggal di kampung
bersebelahan dengan kawasan bendang itu sering mendengar cerita akan keenakan
masakan di restoran tersebut. Dia yang sememangnya telah lama berkecimpung
dalam menjadi kutu embun sering terliur mendengar akan keenakan makanan di
situ. Dia terlalu teringin menjamah mi goreng yang dikatakan sedap oleh orang yang
pernah berkunjung ke restoran tersebut.
“Kau jangan nak mengarut la
Salim. Restoran tu jauh. Dari bendang sini pun kau tak nampak. Ntah ada … ntah
tidak restoran tu .. Orang main sedap cerita aje..” Kata Mamat cuba menghalang
keinginan Salim.
“Ala … kalau kau tak nak ikut dah la… Aku
pergi sorang..” Jawab Salim.
“Aku dah lalu jalan tu, tak ada
restoran pun. Aku dengar restoran tu milik orang bunian. Sebab itu le bukak
malam aje.. Ee Seramlah …Ntah apa-apa yang dia masak untuk kau nanti.” Kata
Mamat lagi.
“Ah .. Kau memang sengaja dengki
kat aku. Mak kau tak kasi ikut aku makan kat sana kan?
Tak pe .. kau jangan risau.. nanti aku bungkuskan untuk kau…” Balas Salim lagi.
Seperti yang dirancangkan
keesokan harinya seawal pukul 8 malam Salim telah mengayuh basikal tuanya
meredah denai untuk menyeberangi bendang ke restoran tersebut biarpun di halang
oleh emaknya, kakaknya dan juga Mamat. Tetapi dia tetap berdegil sambil
berkata..
“Tak apa … Nanti saya belikan
sorang sebungkus mi goreng ye…”
Salim terus berkayuh menyeberangi
bendang tetapi restoran yang diidam-idamkan
masih tidak kelihatan. Akhirnya sampailah Salim di pinggir jalan raya
tetapi di dalam gelap gelita dia tidak nampak apa-apa tanda pun yang wujudnya
restoran di situ malah dia sendiri tak tahu arah ke kanan atau ke kiri yang
harus dituju. Dan dia memilih arah kanan kerana kata orang langkah kanan itu
membawa rezeki.
Setelah agak lama berkayuh
akhirnya ternampaklah berbalam-balam di tengah jalan sana sebuah restoran yang sesak dengan
pengunjung. Serta merta air liurnya menjejeh hingga basah kolar baju kemeja
batiknya dan kayuhannya kian laju menuju ke arah lampu neon yang berkelip-kelip.
Di matanya hanya terbayang mi goreng sedang berasap-asap.
Tanpa berlengah dia terus masuk
ke restoran tersebut. Dalam keadaan bersesak-sesak seperti itu masih ada juga
tempat kosong yang membolehkan Salim melepaskan lelahnya. Seketika kemudian
datang seorang perempuan berkebaya hijau menatang segelas air kosong sambil
mengambil pesanan.
“Er… Mi Goreng satu, bungkus 3
ye.. Er.. Teh Ais satu” minta Salim sambil meneguk air kosong tersebut.
Pelayan tersebut memberi senyuman
paling manis buat Salim. Dan Salim pula malu-malu kucing.
Penantiannya tak lama, mi goreng
yang berasap-asap pun tiba. Juga dibawa oleh perempuan berkebaya hijau tadi.
Hairan juga Salim. Dengan pelanggan yang sebegitu ramai, minya cepat sahaja
disiapkan.
“Bagus juga perkhimatan restoran
ni…” bisik Salim sendirian.
“Makanlah bang …” pelawa
perempuan itu manis.
Salim hanya tersenyum dan tanpa
menoleh kiri kanan lagi dia terus melahap mi goreng tersebut. Memang sedap
seperti diperkatakan orang. Tidak boleh di sangkal lagi. Malah dia meminta
untuk dibungkuskan sebungkus lagi untuk bekal dibawa pulang.
Sementara menanti mi goreng
bungkusnya siap, Salim memerhati gelagat pengunjung serta pelayan di situ. Pelanggan-pelanggan
di situ biasa sahaja, berborak sambil menikmati makanan di hdapan mereka. Di
dapati semua pelayan di situ perempuan belaka dan cantik-cantik pula tu. Terasa
pula dia nak berbini.
“Kalaulah aku dapat sorang
daripada semua palayan ni kan
ke bagus..” kata Salim pada dirinya sendiri.
Mi goreng bungkusnya pun tiba
dibawa oleh palayan kebaya hijau tadi.
“Berapa ye?” Tanya Salim.
“Semua RM 8.50. Air kosong tadi
saya bagi free aje. Kesian tengok abang kayuh basikal jauh-jauh sebab nak makan
mi goreng di sini..” kata perempuan itu tersenyum manja.
Salim menelan liur. Apabila menatap
wajah manis si perempuan tadi terasa air liurnya manis macam air sirap.
“Nama siapa?” tiba-tiba Salim
bertanya sambil menghulurkan not RM 10.00 kepada perempuan itu.
“Puteri Ratna Sari..” jawab
perempuan itu malu-malu.
“Ini bakinya bang …” perempuan
itu menghulur wang baki dengan penuh sopan.
“Err … simpan ajelah… Abang
belanja…” kata Salim sambil menolak pemberian perempuan itu.
“Abang ni baik hatilah … Terima
kasih. Nanti esok datang lagi ye… Saya tunggu abang di sini….!” Kata perempuan
itu sambil melambai ke arah Salim yang menuju ke basikal tuanya.
Salim membalas lambaian tersebut
sambil menyanyi-nyanyi kecil.
Masih terbau mi goreng yang
sedang dibawanya. Masih terbayang wajah Puteri Ratna Sari yang sedang
malambainya. Sedar tak sedar Salim telah pun sampai ke rumahnya. Emaknya,
kakaknya serta Mamat amat bimbang akan kehilangan Salim. Sampai pukul 2 pagi
baru dia balik, semata-mata nak makan mi goreng!
“Nah … Mi goreng untuk kau orang
semua. Aku tak lupa punya. Rasalah .. memang sedap… Esok aku nak pergi lagilah.
Aku dah janji dengan Puteri Ratna Sari ….” Salim menghulurkan bungkusan mi goreng
kepada emaknya sambil bersiul-siul terus ke biliknya.
Emak Salim hanya ternganga
melihat perilaku anaknya itu.
“Sebungkus lagi tu aku punya tau…
Jangan kasi pelahap habis pulak….!!” Pesan Salim dari atas rumah.
Oleh kerana Salim telah selamat
pulang Mamat pun pulanglah ke rumahnya dengan membawa sebungkus mi goreng.
Emak Salim pula terus senyap
daripada membebel setelah dirasuah dengan 3 bungkus mi goreng oleh Salim.
Apabila terbuka sahaja sebungkus, emak Salim bagai nak menjerit. Mi goreng yang
dibawa Salim dah basi. Basi bukan setakat basi orang masak dari awal pagi
sampai malam tapi dah macam 3 – 4 hari punya basi! Dah benyek semacam..!! Emak
Salim buka sebungkus lagi. Kali ini dipenuhi cacing tanah yang masih
menguit-nguit.
Cerita mi goreng Salim bertukar
jadi cacing dan basi benyek telah mendapat liputan luas dari seluruh pelosok
kampung. Rata-rata mengatakan bahawa Salim telah termakan masakan bunian. Malah
mungkin restoran yang Salim pergi itu bukan milik manusia. Ini dikukuhkan lagi
apabila beberapa orang kampung menjejaki restoran tersebut dari cerita Salim.
Tatapi sudah berpuluh kilometer mereka berkayuh tiada tanda-tanda ada sebuah
restoran pun di tepi jalan raya besar itu. Yang ada cuma sawah bendang.
“Batul… aku tak tipu. Malam ni
aku dah janji dengan Puteri Ratna Sari nak makan mi gorengnya lagi….” Kata
Salim bersungguh-sungguh.
Mendengar sahaja kata-kata Salim
itu, orang kampung berpakat untuk mengikat Salim di bangsal agar dia tidak ke
restoran tersebut biarpun Salim merayu agar dia tidak diperbuat demikian.
Keesokan harinya seluruh penduduk
kampung kecoh lagi. Salim yang terikat di bangsal sedang tidur kekenyangan. Di
dalam bangsal itu terdapat bekas mi goreng basi serta sebungkus lagi yang
dipenuhi cacing tanah.
“Puteri Ratna Sari datang bawa mi
goreng untuk aku…” jawab Salim apabila di tanya.
Kali ini emak Salim pula
mengikatnya di bilik tidur sambil emaknya sendiri menamaninya sepanjang malam.
Pun begitu keesokan harinya, di atas katil bersepah-sepah cacing tanah
menguit-nguit yang didakwa oleh Salim sebagai mi goreng.
Tak siapa pun tahu dari mana
datangnya cacing-cacing tersebut. Kehadiran cacing-cacing itu terus menghantui
keluarga Salim. Sedangkan Salim terus di kunci di rumah tetapi cacing-cacing
itu masih terus hadir di mana Salim di kunci. Kalau di gali cacing tanah
seluruh pelosok kampung pun belum tentu sebanyak cacing yang muncul di rumah
Salim.
Akhirnya emak Salim membuat
keputusan menjual cacing-cacing tersebut untuk kaki-kaki pancing di sekitar kampung.
Sekurang-kurangnya ada jugak hasil. Kalau anda terjumpa seorang perempuan jual
cacing di tepi-tepi jalan raya, ada kemungkinan itulah emak Salim yang cuba
mengurangkan jumlah cacing dirumahnya yang semakin banyak.
Tetapi benarkah restoran itu milik bunian dan Puteri Ratna
Sari itu pemiliknya? Tak ada sesiapapun berani menjawabnya. Termasuk saya ….