Monday, April 23, 2012

KERANA OPERA


KERANA OPERA

Pada zaman sekarang ni masih ada jugak orang yang gila nak tengok opera cina. Korang pernah tengok tak? Rasa-rasanya mesti ada. Ni yang nak di ceritakan kat sini. Walaupun Ucu Amin tak tau naik motorsikal, dia memang peminat setia opera cina. Di kampungnya (tak payahlah aku sebut nama, nanti semua penduduk kampung dok gelak kat dia. Kesian dia ..!) dialah satu-satunya orang Melayu yang akan tercanguk kat depan sekali bila opera tu bermula. Lagi pun kalau nak di kira penonton yang datang, tak habis jari tangan dan kaki dia dan bininya. Orang-orang kampung pun tak tahu apa yang menariknya opera cina tu. Nak kata dia paham, langsung sepatah haram pun dia pun tak tahu. Tapi itulah aktivitinya setiap tahun apabila tiba perayaan Bulan Hantu oleh orang-orang cina.

Nak dijadikan cerita ni seram-seram sikit. Kampung Ucu Amin ni masih lagi tak beberapa membangun. Bukan kemajuan tak nak masuk ke kampung kecik yang penduduknya cuma 30 buah keluarga tu, tetapi kerana masalah sebahagian orang kampung yang pakat menunggu kontraktor turap jalan dengan parang dan kapak kalau menurap jalan di tanah mereka. Itu pasal jadi lagu tu. Semasa nak pacak tiang letrik dan telefon pun, puas jugak le YB memujuk mereka-mereka ni. Bukan setakat kering air liur tetapi habis jugak le 7 – 8 keping not 50 YB nak diamkan mereka. Barulah kampung kecik tu mendapat kemudahan yang ada sehingga hari ini. Tetapi perkhidmatan lampu jalan memang tak ada sebab orang TNB tu dah bersumpah tak nak masuk lagi ke kampung tu walau di offer anak-anak dara comel toteh untuk di jadikan calon isteri secara percuma. Serik katanya.

Inilah sebabnya kampung tu jadi gelap gelita sepanjang jalan apabila malam menjelma. Lagi menyeramkan bila lalu di sebelah kubur lama yang terletak di seberang ban (parit besar) di jalan masuk kampung tu. Kubur tu dah lama. Boleh dijadikan bahan kaji sejarah. Malah sebahagian penghuninya adalah meneroka asal kampung itu. Agak-agak ada orang nak tahu bagaimana pembukaan kampung tu, boleh la interview mereka … hehehe. Bukan ke sekarang ni dah ramai orang boleh interview ‘mereka’ di dunia sebelah sana.

Tahun lalu, di dalam bulan Julai yang kebetulan adalah Bulan Hantu dalam kelendar Cina. Satu opera akan dilangsungkan di tokong yang paling berhampiran. Ucu Amin dah tersenyum bila menyaksikan bendera-bendera merah, kuning, hijau sudah dipacakkan dengan batang-batang buluh yang masih berdaun. Malam nanti seawal pukul 8 malam dia sudah bersedia ke pentas opera untuk menontonnya.

Macam biasa, Ucu Amin dengan berbaju kemeja batik lusuhnya mengayuh basikal ke pekan untuk mengambil tempat kegemarannya di barisan hadapan sekali. Malam itu, cerita yang dipersembahkan amat berlainan sekali. Sehingga Ucu Amin menonton tanpa berkelip-kelip matanya dan dengan mulut yang melopong. Walaupun dia tak faham satu apa pun tapi dia amat berpuas hati. Sedar tak sedar opera itu tamat jam hampir menunjukkan pukul 2 pagi. Sebelum ini tak pernah opera habis selewat itu. Paling lewat pun pukul 12 tengah malam.

Semasa Ucu Amin sampai di jalan masuk ke kampungnya yang di kiri kanannya kebun getah yang sekali pandang dah macam hutan simpan itu, tiba-tiba lampu basikalnya terpadam.

“Ah… Kot ye pun nak terbakar, tunggulah aku sampai ke rumah dulu…” rungut Ucu Amin apabila menyedari mentol lampu basikal tuanya padam.

Pun begitu dia masih mengayuh basikal tuanya di dalam gelap gelita. Sesampai sahaja di kawasan kubur lama itu, dia rasa tak sedap hati. Terasa seolah-olah ada sesuatu yang sedang memerhatinya dari semua arah terutama dari arah kubur yang berbalam-balam. Malam tu pula kebetulan tak ada bulan, jadi jalan memang tak beberapa nampak. Ucu Amin baru teringat malam itu adalah malam Jumaat. Dia menelan liur. Peluh jantan betinanya mula merenik-renik. Jalan tar yang dilaluinya mula terasa berbenggel-benggel. Ucu Amin terus mengayuh dengan laju , hajatnya supaya cepat sampai ke rumah tetapi kini dia terasa basikalnya semakin memberat seolah-olah ada sesuatu sedang membonceng di belakangnya.

Dengan sehabis-habis kudrat tuanya, dia mengayuh sekuat hati sambil mata terpejam. Semakin kuat dia mengayuh, semakin berat terasa basikalnya. Rasa nak meraung dia pada waktu itu. Pun begitu dia tak mahu menoleh ke belakang melihat ‘siapa’ yang menumpangnya atau menyakatnya. Yang dia tahu dia mesti sampai ke rumah secepat mungkin. Tetapi jalan yang dilaluinya seolah-olah semakin berliku-liku, bukan lagi jalan tar yang separuh terhakis menuju ke kampungnya. Yang dia nampak seperti semak samun yang semakin lama semakin menebal. Pun begitu dia tak berputus asa mengayuh dan terus mengayuh.

Pada keesokkan harinya, kecohlah Ngah Pah isteri Ucu Amin mengadu kepada ketua kampung akan kehilangan Ucu Amin. Dengan berjejeran air mata dia meminta jasa baik orang kampung mencari Ucu Amin yang tak pulang selepas menonton opera malam tersebut. Maka berdedai-dedailah orang kampung mencari Ucu Amin dari pekan sampailah ke jalan masuk ke kampung. Mereka meredah kebun getah milik entah siapa yang macam hutan simpan tu sehingga dah jadi macam hutan rekreasi pula.

Dan akhirnya salah seorang orang kampung menemui Ucu Amin sedang tertidur di atas basikalnya. Dan basikal itu tegak berdiri di dalam ban (parit) yang berlumpur sampai lutut Ucu Amin. Dari kesan kayuhan basikal Ucu Amin, ternyata Ucu Amin dah mengayuh hampir ½ km dari arah kubur lama itu di dalam ban yang berlumpur separas lutut. Ban itu bukan menuju ke kampung tetapi menuju ke kebun orang-orang kampung.

Tetapi itulah ceritanya. Kata Ucu Amin dia dah tak mahu lagi menonton opera lagi. Tapi tak tahulah. Kalau di ikutkan azamnya, ini entah kali yang ke berapa. Kita tunggu je lah tahun depan ….  Ada tak pak cik berbaju batik lusuh tu di depan pentas opera lagi.

Sunday, April 15, 2012

ISTERI TOK NGAH DARIPADA PONTIANAK


Tok Ngah seorang tukang urut terkenal di sebuah kampung terpencil di Pahang. Tetapi ada suatu benda lagi yang menyebabkan Tok Ngah bertambah terkenal sehingga ke seantero pelosok Malaysia ialah kerana dia mempunyai  seorang isteri yang  sangat cantik, kiut dan comel pula. Yang paling istimewa pula isteri Tok Ngah itu berasal daripada pontianak. Betul atau tidak , tak siapa pun yang tahu.Tapi yang saya tahu, itulah … seperti mana yang orang lain tahu. Jadi untuk mengetahui dengan lebih lanjut, saya telah bertemu Tok Ngah untuk membeli tauhu er…untuk mengetahui kisah sebenarnya.

“Ya, memang Murni tu berasal dari pontianak. Payah aku nak dapatkan dia dulu…. Kena bertarung dan macam-macam lagi untuk dapatkannya. Dah jodoh aku agaknya dengan dia, kena bertarung dengan pontianak dulu.” Tok Ngah memulakan cerita sambil mengurut-urut janggut sejemput ala-ala kambing gurun di dagunya.

Aku dulu, memang kacak, hensem dan segala yang seangkatan dengannya. Tapi, yelah kan bila dah jadi orang kacak ni, orang takut nak berkawan, kiranya aku ni bujang terlajaklah, senang cerita. Aku ni bukan sahaja tukang urut tradisioanal tapi aku juga jadi bomoh sambil-sambilan. Aku menuntut daripada atuk aku yang dulunya seorang bomoh merangkap tukang urut terkenal di seantero Asia Tenggara. Tapi aku tak le sehebat cam atuk aku tu. Sekadar lepas makan kami anak beranak aje.

Kerja aku ni tak tentu, kadang-kadang sampai malam. Kalau ramai pelanggan yang datang, sampai tak tidur dua tiga malam pun ada. Tapi aku tak kisah tu semua, dah rezeki aku kan, buat apa tolak. Aku menolong orang yang memerlukan bantuan. Pengeras? Ikut keadaan, kalau ‘keras’ kerjanya … maka ‘keras’ juga pengerasnya..

Macam mana aku berkenalan dengan Murni? Hmmm … panjang ceritanya nak. Cerita ni berlaku 10 tahun dulu. Masa tu aku berada di Indonesia, mengurut seorang saudara bau-bau bacang di sana. Selama sebulan aku di sana, berbagai peristiwa seram yang aku alami. Setiap malam aku dengar pontianak mengilai. Di sana orang panggil Kuntilanak. Kadang-kadang dia hinggap kat atas bumbung rumah sambil mencakar-cakar bumbung. Mula-mula tu memanglah janggal, sepanjang malamlah aku tak boleh tidur. Nak kencing pun aku sanggup tadah dengan botol. Dah lama-lama tu, dah jadi perkara biasa, malah kalau sehari di tak mencakar bumbung, rasa macam aku lagi tak boleh tidur. Kata orang itulah gema alam, ala-ala hiburan le tu.

Pada waktu yang sama, di kampung yang sama ada seorang gadis yang dirasuk oleh pontianak tu. Pada mulanya aku buat-buat tak reti aje. Yelah, orang tak minta bantuan aku, tak kan aku nak ngendeng-ngendeng, tak pasal-pasal kena hambat dengan orang kampung. Duduk di rantau orang kena jaga adat dan tatasusila, tak boleh main redah aje. Biasanya gadis tu akan menjerit dan mengilai setiap sampainya tengah malam. Kalau tak diikat di katil, dia pasti akan lari mengelilingi kampung. Silap-silap semua pakaiannya akan dibuang. Pernah suatu malam dia terlepas, puas bapak dia mengejar. Orang kampung pulak bukannya nak tolong tapi semua pakat-pakat duduk kat serambi rumah menanti kalau-kalau gadis bogel tu lari melintasi rumah mereka sambil air liur menitik-nitik. Teruk sungguh! Aku?! Err…. er….

Tapi ntah kenapa, satu malam tu, aku tergerak hati nak pergi ke rumah gadis itu. Sambil ditemani sedara bau-bau bacang aku tu, kami ke rumah Pak Sukardi ,tuan punya gadis itu. Sesampainya aku di rumah Pak Sukardi, aku tengok orang tua itu bermurung macam anak ayam tertelan biji jagung. Aku faham masalah dia, jadi aku terus meng’offer’ diri aku untuk mengubati anak gadisnya. Dengan tenang dia membenarkan aku mengubati anak gadisnya. Dari kisah yang diceritakan oleh Pak Sukardi anaknya terserempak dengan pontianak seminggu lalu semasa balik dari mengaji di madrasah. Sejak itulah dia akan mengilai setiap kali sampai waktu tengah malam. Semua ahli keluarganya dia dah tak kenal. Bila waktu siang, dia akan tidur. Tidur selena-lenanya, kalau bom meletup disebelahnya pun dia tak akan bangun, cuma sekadar mengeliat sahaja.

Maka pada malam itu, aku menyediakan segala peralatan perubatanku untuk menangkap pontianak yang bersarang dalam tubuh gadis itu. Pertama kali aku tengok wajah gadis itu, hati aku sebenarnya dah bergetar … macam gempa bumi baru nak meletus. Gadis itu sungguh cantik. Kalau dibandingkan dengan Sarimah waktu muda-muda dulu, lebih cantik dia lagi kalau dibanding dengan Sarimah waktu sekarang ni. Rugi rasanya kalau hidup dia dipersiakan gara-gara pontianak tak guna itu. Jadi aku bertekad yang aku akan berperang habis-habisan untuk menangkap pontianak itu dan membebaskan gadis itu. Walaupun nyawa aku jadi galang gantinya …(ewah..!!)

Pertarungan aku berlangsung tak lama, 2 malam sahaja, tetapi kesannya amat dalam. Kalau tak kuat semangat, aku rasa sekarang ni orang dah panggil aku Arwah Tok Ngah dah. Dia punya melawan … fuh…! Macam Kurt Angle dalam WWF! Eh .. kau jangan salah anggap pulak …Sebenarnya kami berlawan secara batin.

Macam mana rupa pontianak tu? Fuh … Huduh sungguh! Kalau dibandingkan dengan Eddie Nightmare tu … dia 10 kali lebih huduh. Dengan rambutnya mengerbang, muka yang hodoh berkedut seribu, gigi yang runcing sambil tangan yang berkuku panjang menggapai-gapai nak mencakar. Suaranya …. nyaring …..mengilai-ngilai, berdesing telinga bila dia tarik kod tinggi.Fuh .. kalah Ning Baizura! Kadang-kadang dia menderam macam anjing nak menerkam musuh. Matanya merah, merenung tajam . Baunya … ya Allah … busuk …macam bangkai gajah dah seminggu mati! Betapa susahnya aku nak bertarung dengannya dalam keadaan yang macam tu. Ada sekali tu, dia bertukar jadi perempuan cantik sambil ala-ala Cindy Crawford gitu dengan sengaja membogelkan diri. Bau yan busuk serta merta jadi wangi. Dia merayu-rayu pada aku. Ajak kahwinlah … ajak makan-makan lah … ajak tengok wayanglah …ish..macam-macam! Untung kau kata? Ah … aku tak tergoda dengan hantu tu walau macam mana sekalipun godaannya. Yang tertanam tekad di hati aku , nak bebaskan gadis ini.

Macam mana aku lawan? Mmmm …. Susah aku nak cerita. Macam menguji IQ pun ada. Kami bersoal jawab dulu. Ada ke dia kata dia nak jadi bini aku kalau dia lepaskan budak ni …. Eeei… tak sanggup aku! Buatnya ari ni aku kahwin dengan dia esok aku pulak jadi …. Er…. Kalau perempuan jadi ‘pontianak’ … kalau lelaki jadi ape yek ? Ha ..! Jadi Drakula!! Tak ke kes naya tu!

Lubang kat tengkuk? Ntah la … aku pun tak pasti. Aku tak sempat nak check tengok. Kata orang memanglah ada, kalau dicucuk dengan paku, dia boleh jadi wanita cantik. Tapi dengan syarat orang yang mencucuk paku tu mesti kahwin dengan dia. Lagi pun mana la aku sempat nak tengok, tengah bertarung. Rambut dia dah la kusut masai, busuk pulak tu. Tak selera aku nak menyingkap rambut dia tu. Kot ye pun nak buat bini .. apa-apa hal tangkap dulu. Tapi pertarungan kami memang cukup hebat … tak terkata aku kat sini. Akhirnya pontianak tu dapat aku tangkap masuk dalam botol kicap. Padan muka dia!!.

Bila aku kahwin dengan Murni? Ah …. Tak lama lepas tu Pak Sukardi jodohkan aku dengan Murni. Kami bertunang seminggu lepas tu terus kahwin.. Mas kahwin cuma senaskhah al-Quran… kira macam kahwin freelah… Segala belanja kahwin Pak Sukardi yang tanggung.  Lepas tu, aku bawa balik Murni ke sini. Orang kat sini semua kagum dengan Murni yang cantik bersuamikan aku yang ….er..er…hensem kot?

“Apa kena mengena Pak Sukardi dengan Murni?” tanya saya mula keliru.

“Eh… Pak Sukardi tu kan ke bapak Murni, dialah berhak jodohkan aku dengan Murni. Dah aku yang ubatkan Murni masa dirasuk pontianak tu.”

“Abis, pontianak tu?”

“Aku buang kat laut.”

“Tapi …. Bukan ke Murni tu berasal dari pontianak? Kalau Tok Ngah dah buang ke laut, bila pulak Tok Ngah paku leher dia dan bila pulak dia menjelma jadi manusia?”

“Ish ..ish..ish..! Budak ni. Siapa kata bini aku ni pontianak? Murni ni berasal daripada PONTIANAK, INDONESIA …. Bukannya seekor pontianak…!”

Al-kisahnya……maka terpecah jua rahsia siapa isteri misteri Tok Ngah. Tapi tak tau le sekarang ni dia masih lagi terkenal ke seantero pelosok Malaysia atau tidak. Yelah dulu … prlarisnya isteri Tok Ngah Pontianak. Ramai yang datang sebenarnya nak tengok isterinya daripada berubat dengannya.

Wednesday, April 4, 2012

Hantu Tungku


Hantu Tungku

Daud bukanlah seorang yang bodoh, tetapi dia Cuma mempunyai IQ tahap siput yang terlalu lambat dan lembap. Kalu di suruh kira 2 + 2 pun nak ambil masa sampai ½ jam baru dapat. Itu pun belum tentu betul lagi. Biarpun dah lambat macam ni, dia tak pernah putus asa untuk lulus dalam peperiksaan. Buat julung-julung kalinya inilah pertama kali orang mengulang peperiksaan UPSR buat kali ke-9!. Tak pernah tercatit di dalam sejarah orang mengulang peperiksaan tersebut. Tetapi bagi Daud selagi dia tidak lulus biarpun setakat paras bulu hidung, dia tetap tak mahu melangkah ke tingkatan satu. Biarpun umurnya kalau dihitung dah tak layak nak masuk sekolah menengah pun malah sekolah orang-orang tua pun tak layak.

Dari dulu sampai sekarang, bukan Daud tak pernah berusaha untuk lulus. Dah bersusun senarai bomoh dan dukun yang telah dikunjunginya untuk mendapatkan tangkal dan air penerang hati. Dari dalam negeri hingga ke luar negeri. Namun kepoweran air penerang hati yang ditogoknya setiap kali nak ambil peperiksaan tidak mendatangkan apa-apa kesan. IQ tahap siputnya masih tetap seperti siput. Bukan macam Siput Sarawak atau Mi Siput. Perkara ini amat-amat merunsingkan kepalanya.

Suatu hari yang cerah, tiba-tiba Daud teringatkan cerita orang-orang tua dulu-dulu tentang hantu tungku. Bukan hantu tengku atau Tunku. Tetapi hantu tungku. Dipercayai kalau muncul hantu ini duduk di atas tungku kenduri orang kahwin. Kalau dipeluk sekuat hati, dia akan tunaikan permintaan si pemeluk untuk dia melepaskan diri. Tak tahulah kenapa hantu ni suka duduk kat atas tungku. Mungkin sakit perut agaknya. Daud pun berkira-kira untuk mencari tungku untuk majlis kenduri orang kahwin.

Memandangkan pada waktu tersebut bukanlah musim cuti sekolah, maka tak adalah upacara kenduri-kenduri kahwin atau sebagainya. Sedangkan tarikh peperiksaan semakin hampir. Tak kan dia nak kahwin dalam waktu terdekat ini. Lagipun mana dia nak cari pasangan siputnya … er… pasangan yang sesuai. Entah dari mana datangnya idea, Daud meminta emaknya membuat kenduri doa selamat. Manalah tahu dengan kenduri macam ni pun hantu tungku tu nak datang. Bolehlah dia peluk hantu tu. Bolehlah dia minta untuk lulus peperiksaan nanti.

Seperti yang dirancang, kenduri doa selamat pun dijalankan atas desakan Daud. Walaupun emaknya hairan dengan tingkah laku Daud, namun dia masih tetap menurut kehandak Daud. Dah berkurun rumahnya tak membuat sebarang kenduri.

Setelah seutas rantai bertukar tangan maka kenduri doa selamat dijalankan. Semasa kenduri di jalankan, Daud tidak sedikitpun malayani kerenah tetamu di rumahnya. Dia hanya duduk di pintu dapur rumahnya sambil memerhati kalau-kalau hantu tungku itu datang duduk di atas tungku dapur rumahnya itu. Namun selepas tetamu pulang, Daud masih tak berganjak dari tempatnya.

Masa semakin bergerak pantas. Waktu dah pun menjejak pukul 3 pagi namun benda yang ditunggu tak kunjung tiba. Daud mula mengantuk. Lampu dapur rumahnya telah lama padam. Bara-bara di tungku dapur itu sudah lama menjadi abu. Waktu mata Daud sudah benar-benar berat dan tertutup waktu itulah dia mendengar suara orang mendengus. Serta merta mata Daud terbeliak. Dia terus melihat siapa yang datang. Ternampaklah bebayang lembaga hitam berbulu sedang duduk di atas tungku dapur sambil membelakanginya.

Daud menelan liur. Dengusan lembaga tersebut bukan sahaja membuatkan segala bulunya menegak, malah membuatkan lututnya lembik seperti tak bertulang. Rasanya macam jam tu jugak dia nak bersembunyi di bawah selimut. Tetapi mengenangkan hasratnya untuk lulus peperiksaan, dia hampiri juga lembaga tersebut.

Semakin dia hampir, semakin lututnya bergetar. Bau busuk yang entah dari mana datangnya menerawang di setiap ruang di dalam lubang hidungnya yang tak mancung itu. Namun itu bukanlah penghalang untuk dia menjerat lembaga tersebut.

Dengan sepantas kucing mencuri ikan, Daud memeluk lembaga berbulu tersebut. Lembaga itu meronta-ronta juga tetapi tidaklah sekuat mana.

“Kalau kau tak tolong aku, aku tak lepaskan kau sampai siang…!!” ugut Daud sambil mengejabkan pelukannya.

Bebulu kasar dari tubuh lembaga itu menusuk-nusuk lubang hidung dan mulutnya. Tetapi itu juga bukan penghalang.

“Kau mesti tolong aku…!!” jerkah Daud tanpa menghiraukan lembaga itu yang masih membisu.

“Kau dengar tak apa aku kata !!!” jerit Daud lagi.

Lembaga itu mengangguk.

“Kau boleh bagi aku lulus periksa?” Tanya Daud lagi.

Lembaga itu mengangguk.

“Kenapa kau tak jawab … asyik angguk aje..” jerkah Daud lagi.

Masham mhana akhu nak jhawab … khau nanti khetawakhan aku…” jawab lembaga itu dalam suara sengau.

Memang Daud semacam nak ketawa tetapi di tahannya sedaya mungkin. Setelah perbincangan dilakukan antara lembaga itu dengan Daud, maka bersetujulah lembaga itu untuk menolongnya pada hari peperiksaan. Maka dengan bangganya Daud melangkah masuk ke rumah selepas melepaskan lembaga tersebut. Pun begitu bau busuk lembaga itu masih melekat ke ruang hidung serta tubuhnya.

Semasa peperiksaan, Daud menjadi tak keruan. Hantu tungku yang menolongnya bukanlah jenis IQ menyala, rupa-rupanya jenis IQ malap. Walaupun cuma dia sahaja yang nampak kelibat hantu tersebut, tetapi hantu tersebut khusyuk membaca buku rujukan sebelum memberi jawapan kepada Daud. Ini menyebabkan Daud tidak cukup masa untuk menjawab semua soalan yang diberikan.

“Apasal kau kena baca buku? Kaukan dah pandai…” Tanya Daud.

Bhuku zhaman aku tak shama dengan bhuku zhaman kau. Khalau akhu thak bacha, macham mana akhu nak jhawab shoalan kau….” Jawab makhluk itu dengan sengaunya.

Nak dijadikan cerita, Daud lulus peperiksaan tersebut tetapi tidaklah cemerlang mana. Cukuplah seperti niat asalnya lulus setakat paras-paras bulu hidung lantaran ketidak cukupan masa untuk dia menjawab. Dan petang itu …

Khau dah lulus peghiksa …. Jadi akhu nak thuntut hak aku ….” Kata hantu tungku tersebut .

Daud rasa macam nak lari, tetapi dia ingat cakap emaknya. Janji mesti ditepati. Mahu tak mahu, Daud terpaksa menunaikan janjinya iaitu menocang bulu-bulu seluruh tubuh makhluk itu ala-ala tocang Bob Marley … Dah begitu janjinya dulu … Kalau tidak Daud akan di sumpah jadi apam balik … Daripada dia jadi apam balik, baik dia jadi manusia, boleh makan apam balik.

Begitulah ceritanya.