Mekanik 1700
Cerita ini berlaku di tak beberapa lama dahulu. Kisah ini
berkisar pada seorang mekanik kereta terhandal di sebuah bandar kecil di
selatan tanahair itu. Kehandalannya tiada tolok bandingannya, sehingga kereta
yang barai pun mampu dihidupkan dan mampu memecut selaju kereta Formula 1.
Kepakarannya bukan sahaja dikenali di sekitar bandar itu, malah sehingga ke
luar daerah itu. Kerana kehandalan dan kepakaran itulah tauke bengkel membaiki
kereta tempat dia bekerja teramat-amat menyayanginya. Kerana dialah, bengkel
itu hidup. Kerana dialah bengkel itu maju. Dan kerana dia jugalah, taukenya
mampu pakai BMW dan mampu beristeri 2 – 3. Semuanya kerana dia, kerana Leman
Mekanik.
Namun begitu, walaupun tauke
Leman Mekanik mampu berkereta besar dan berkeluarga besar, Leman Mekanik tidak
pula begitu. Dia masih bermotorsikal Honda Kapchai dan mempunyai keluarga yang
kecil. Seorang isteri dan seorang anak lelaki. Leman Mekanik seorang yang rajin
bekerja, dan mampu menyiapkan beberapa buah kereta dalam sehari. Akan tetapi
dia mempunyai satu tabiat buruk. Oleh kerana dia yang terhandal, malah
terkenal, dia tidak suka orang komplen akan kerjanya. Dia juga mempunyai sikap
yang panas baran dan akan bertindak melulu jika terlalu tertekan.
Pada suatu hari, hari Sabtu.
Waktu itu bengkel tempat Leman Mekanik bekerja sudah nak labuhkan tirai
tengahari itu. Leman Mekanik sudah bersiap-siap hendak balik awal kerana dia
ada temujanji dengan kawan-kawannya di warung untuk menonton perlawanan bola
sepak petang nanti. Pasukan favoritenya Manchester United dan pemain
favoritenya David Beckham akan turun padang
(pada waktu itu David Beckham masih bersama Manchester United). Selama dia menjadi
peminat setia David Beckham, dia tak pernah lagi miss perlawanan pasukan
favoritenya itu. Kalau kampungnya tak ada elektrik, sanggup dia naik motor ke
bandar untuk menontonnya. Kalau motornya buat hal, sanggup dia berbasikal malah
berjalan kaki bagi memberi sokongan kepada pasukan itu. Bukan dia tak boleh
tengok di rumah, sebab di rumahnya tak meriah. Apalah isterinya tau pasal bola
…. Bola ping pong pun dia tak beberapa kenal.
Semasa bersiap-siap itulah sebuah
kereta agak baru bernombor plat MAP 1700 masuk ke bengkelnya. Leman Mekanik
buat-buat tak nampak sahaja dan dia cepat-cepat nak balik. Tetapi taukenya
memanggil sebaik sahaja kakinya mula nak ‘menyetat’ motor Honda Kapchainya.
Dengan muka yang mencuka dia datang juga ke arah taukenya.
“Leman, lu buat ini kereta. Dia
mau balik Perlis la …. Ada
urgent punya kes…” kata tauke tersebut.
“Mana boleh tauke, sekarang sudah
mau balik. Lu suruh budak lain lah…” balas Leman Mekanik.
“Aiyaa .. Leman, ini orang mau lu
saja bikin. Lu bikin banyak baik ooo….” Kata tauke itu lagi sambil tuan punya
kereta itu tersengih-sengih menampakkan giginya yang kuning berkarat.
Dari segi berpakaian dia memang nampak macam orang kaya.
Tapi tak taulah kalau setakat drebar aje.
“Tolonglah tauke ….saya nak
balik. Nanti bini saya marah saya laa….” Rayu Leman Mekanik.
“Nanti sikijap aaa….” Jawab
taukenya sambil berbincang dengan tuan punya kereta tersebut.
Setelah berbincang ala kadar,
Leman Mekanik nampak tuan punya kereta itu menghulurkan sejumlah wang kepada
taukenya.
“Macam inilah Leman, lu buat ini
kereta, wa kasi lu sikit duit minum ….. tak banyak …. Kasi servis saja….” Pujuk
taukenya sambil menyelitkan not RM 50.00 tiga keping ke dalam poket bajunya
yang hampir rabak itu.
Dengan muncung panjang sedepa,
dan muka yang masam macam cuka tercampur asid hidroklorik, Leman Mekanik terus
membuka bonet kereta tersebut dengan kasar dan melakukan kerjanya sepantas yang
boleh sambil mulutnya tak habis-habis merungut geram dan marah.
“Er… Leman …. Jaga baik-baik aa……
nanti saya punya kereta kotor…” bisik tuan punya kereta itu membuatkan hati
Leman Mekanik mula panas.
‘Jaga kau ….. tak mau kotor ye..’
bisik hati Leman Mekanik,
Setelah 30 minit berlalu dan
kereta tersebut hampir siap di’servis’, Leman Mekanik membuat sentuhan
terakhirnya. Dengan nada geram, marah, kecewa dan macam-macam lagi dia menarik
tali brek kereta tersebut. Dengan penuh professional dia memotong tali brek
tersebut sedikit tetapi tidak putus.
Sekurang-kurangnya ia masih boleh digunakan untuk setekan dua.
Setelah siap sahaja ‘kerja’nya,
Leman Mekanik terus sahaja balik meninggalkan asap berkepul-kepul tanpa menoleh
ke belakang lagi.
Petang itu Leman Mekanik lewat
menjemput isterinya bersidang di rumah kawan-kawannya. Setelah memberi pelbagai
alasan untuk memendekkan muncung isterinya, dia terus ke sekolah untuk
menjemput anaknya yang bersekolah tambahan petang itu. Dengan Honda Kapchai
yang dah layak masuk Arkib Negara itu dia tiga beranak meneruskan perjalanan
balik ke rumah yang letaknya kira-kira 4 km dari rumahnya sebelum dia sendiri
akan bersidang bola di warung berdekatan. Sampai sahaja di suatu simpang, dia
keluar dari simpang itu setelah pasti tiada kenderaan yang melintas. Tetapi tak
semena-mena dari arah hadapannya sebuah kereta laju ber’desup’ dalam keadaan
hilang kawalan dan yang paling mendebarkannya kereta itu sedang menuju ke
arahnya. Dan dalam pengamatan matanya no plat kereta itu MAP 1700!!!!
Leman Mekanik membuka matanya dan
dia rasa berpinar-pinar. Dia cuba
bangun tetapi dia rasa seluruh tubuhnya sakit dan tidak bermaya. Terdengar
disekelilingnya orang menangis dan bila di amati itu adalah suara ibunya.
“Leman, sabar nak…!” tangis
ibunya.
“Sapiah mana mak …?” Tanya Leman
Mekanik perlahan.
“ICU..” jawab satu suara.
Ayahnya.
“Anak saya?”
Semua terdiam.
“Anak kau dah meninggal semasa
kemalangan tempohari,” jawab ayahnya perlahan.
Leman Mekanik menangis, tetapi
air matanya seperti tak mahu keluar. Dia cuba mengingati sesuatu.
Ya … kereta MAP 1700 itu dengan
lajunya merempuh dia tiga beranak di simpang tiga itu. Waktu itu dia sudah
melayang bak The Greatest American Hero yang terbang tak reti nak landing.
Terdengar juga jeritan isteri dan anaknya dan …. Dia sendiri pun tak tahu apa
yang terjadi seterusnya.
“Kau koma dah seminggu, Leman…”
kata ayahnya lagi.
Leman Mekanik masih teringat
kereta itulah yang terakhir di’pomen’nya, dan kereta itulah yang meragut nyawa
anaknya. Atas kesalahan dirinya sendiri, yang memotong brek kereta itu.
Kalaulah dia bersabar …. tentu ini semua tak berlaku.
Dua hari Leman Mekanik tak mahu
makan kerana menyesali atas perbuatannya. Berkali-kali dia menangis meratapi
kesilapannya. Dan seterusnya isteri Leman pula dijemput Ilahi. Dan kali ini
Leman Mekanik tak segan silu meraung. Dia kehilangan keluarganya kerana
kesalahan sendiri. Dia tak tahu kepada siapa dia nak minta maaf. Kepada
isterinya? Anaknya? Atau tuan punya kereta tersebut? Dengar kata tuan punya
kereta itu pun tersadai di ICU.
Berhari-hari Leman Mekanik tak lalu makan. Dia terlalu
menyesal dan dia berjanji dengan dirinya sendiri bersaksikan misi-misi, mak
bapanya serta jiran-jiran di katil bersebelahan dengannya yang dia akan menebus
segala dosa-dosanya itu, dia mesti .!! Akan tetapi hajat itu tak kesampaian
apabila Leman Mekanik pula pergi meninggalkan dunia ini.
*****
Di suatu hari, Johan telah bersiap-siap hendak pulang ke
kampung menjenguk datuk serta neneknya. Dia yang bekerja sebagai kerani am di
sebuah pejabat guaman di Kuala Lumpur
berhajat untuk memandu sendiri kereta barunya, iaitu sebuah kereta Datsun lama.
Dengan gaji sebagai kerani am dan duduk pula di Kuala Lumpur , itulah kereta paling mahal yang
mampu di milikinya. Padanya, orang kampungnya yang duduk di solok hutan banat
tu pasti bangga melihat dia berkereta. Tak kiralah apa jenis kereta itu, yang
pastinya berkereta kerana di kampung itu nak jumpa tayar kereta pun payah.
Kalau di depan rumah terdapat tayar kereta yang layak buat tukun pun, orang
akan kata tuan rumah itu kaya apatah lagi kalau sebijik kereta parking di
tengah-tengah laman. Pasti orang akan datang berduyun-duyun bagi menyaksikan
kereta tersebut dari jarak dekat. Glamour le dia masa tu.
Setelah diperiksa segala
kelengkapan kereta itu, Johan bertolak dari KL seawal 12.00 tengah malam.
Niatnya nak sampai ke kampung lebih kurang pukul 4 pagi. Kasi orang kampung
surprise sikit pagi esoknya.
Dia menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak lagu dari radio
kecil yang diletakkan di tempat duduk penumpang disebelahnya. Yelah … kereta
lama, radio ada tapi tak boleh pakai. Dah ‘sezen’ sesangat. Sekali tekan
punatnya, nescaya terbarai terus.
Ketika jam menunjukkan pukul 2 pagi tiba-tiba ….
Kereta yang dipandu dengan lancar
mula tersenggut-senggut. Johan mula berpeluh dingin kerana dia benar-benar
berada di tengah-tengah kawasan hutan. Dia perhatikan kandungan minyak
keretanya, masih ada separuh lagi. Dia perhatikan sekeliling, tiada rumah
orang, tiada kenderaan lalu lalang malah tiada lampu jalan. Akhirnya perkara
yang paling-paling merisaukan Johan berlaku, apabila kereta yang
tersenggut-senggut itu mati enjinnya di tengah-tengah hutan banat itu.
Dia cuba menghidupkannya beberapa kali
tetapi sia-sia.
‘Ah …. Tadi kat bandar tak nak
buat hal. Dah masuk hutan mcam ni… baru nak buat hal..’ bisik Johan perlahan
sambil membuka bonet enjin keretanya.
Walaupun dia tak faham satu apa
pun pasal enjin kereta, dia membelek-belek wayar-wayar serta benda-benda yang
entah apa-apa di dalam enjin kereta tersebut. Manalah tau, nampak benda pelik
sikit, mungkin itu puncanya. Tetapi pada Johan semua benda di dalam bonet itu
pelik-pelik belaka.
Johan menunggu kalau-kalau ada
kereta atau motorsikal melalui jalan itu. Bolehlah dia minta pertolongan.
Tetapi bermula dari dia terberhenti tadi, jangankan kereta, katak pun tak ada
yang melintas. Dia menjeling ke arah jam tangannya, dengan bias lampu keretanya
yang dari tadi menyala, dia mendapati dia dah tercegat di situ hampir satu jam.
Keadaan sekeliling yang sejuk mencengkam ke tulang hitamnya membuatkan dia
menggigil di tambah pula dengan kegelapan dinihari di tengah-tengah hutan pula
tu, membuatkan kepala lutut Johan berlaga-laga seperti berlagu tango. Manalah
tahu tiba-tiba muncul benda yang tak diundang pula.
Johan cepat-cepat melangkah masuk
ke keretanya, kononnya nak selamatkan diri dari ….
Tiba-tiba matanya terpandang satu
cahaya malap dan jauh dari arah hadapannya ..seperti melayang-layang!
‘Alamak … hantu …!!!’ fikir Johan
lalu terus mengurung dirinya di dalam kereta. Cepat-cepat dia mengunci pintu
dan memejam mata rapat rapat sambil mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci
yang sebenarnya dia sendiri pun tak tahu ntah ayat apa yang dibacanya..
Setelah agak lama matanya
terpejam dia perlahan-lahan membuka mata untuk memastikan keadaannya selamat.
Tiba-tiba tingkapnya diketuk dari luar , hampir terkencing dia apabila melihat
seorang lelaki bermotorsikal sedang memerhatikannya sambil memberi isyarat
supaya membuka cermin tingkap. Dengan perlahan dia memutar tombol tingkap dan
menurunkan sedikit cerminnya.
“Kereta rosak ke dik?” Tanya
lelaki itu sambil tersenyum.
Dia memerhatikan lelaki itu atas
dan bawah. Dalam pemerhatiannya lelaki itu berumur lingkungan 30-an itu. Lelaki
itu berpakaian moden dan berkasut getah. Tetapi agak kotor dan comot sedikit.
“Jangan takut, abang ni pomen
kereta. Kebetulan malam ni balik lewat, tengok bola kat rumah kawan. Kereta
rosak ke dik?” Tanya lelaki itu kembali.
“Er … ye..ye…” jawab Johan masih
terkedu
“Biar abang tengokkan.” Kata
lelaki itu tanpa dipinta.
Perlahan-lahan Johan turun dari
keretanya dan membuntuti lelaki itu.
“Lewat juga abang balik ye …?”
Tanya Johan agak gigil.
“Tak takut ke bang …?” Tanya Johan
lagi.
“Alah … dah biasa dik. Kawasan
ini kawasan abang. Abang tinggal pun tak jauh dari sini.” Jawab lelaki itu
tanpa menoleh ke arah Johan.
“Er.. saya Johan..” kata Johan
sambil menghulurkan tangan.
“Maaf dik, tangan abang kotor
berminyak ni… er .. nama abang .. panggil aje Abang Man.” Kata lelaki itu
ramah.
“Nak pergi mana ni Johan?” tanya
Man.
“Nak balik kampung bang, tengok
datuk dengan nenek.” jawab Johan perlahan.
“Kampung kat mana?”
“ Kampung Sungai Senget.”
“Dah dekat dah tu, tak apelah Johan
duduklah dulu, biar abang habiskan kerja abang…” kata Man .
Johan mengangguk. Dia perhatikan
jam di tangannya, hampir pukul 4 pagi. Dan dia memerhatikan Man tadi
membetulkan keretanya. Matanya mula memberat, mengantuk dan sedar tak sedar dia
terlelap seketika.
“Johan, cuba kau start enjin
ni..” arah Man membuatkan Johan terkejut.
Tanpa berlengah-lengah dia terus
menghidupkan enjin kereta itu, dan …
Drummmm!!!! Enjin itu mengaum.
Johan tersenyum.
“Terima kasih bang … kalau abang
tak ada tadi, sampai sianglah saya tersadai. Entah-entah sampai lusa, kalau tak
ada orang lalu. Er… berapa ni bang?” tanya Johan sambil tangannya menyelok
poket mengeluarkan beberapa not RM 50.
“Tak payahlah …. Abang tolong ni
ikhlas. Simpan aje duit tu buat belanja atuk dan nenek kamu.” tolak Man.
“Jangan macam tu bang. Abang dah
penat-penat tolong saya.ni…” pujuk Johan.
“Ala … tolong sikit aje. Ni bukan
boleh pakai terus, esok kau carilah mana-mana bengkel betulkan lagi kereta ni.
Abang buat sekadar kau sampai kat rumah aje..” kata Man lagi
“Betul bang? Saya akan ingat
abang sampai bila-bila… terima kasih bang…. Terima kasih….” kata Johan sambil
menyimpan kembali wangnya dan terus bersedia untuk meneruskan perjalanannya
yang tersangkut tadi.
Tiba-tiba Johan teringat, bahawa
dia tak sempat bersalaman dengan Man. Terasa kurang ajar pula dia, lantas dia
memberek dan menoleh ke belakang tetapi kelibat Man dah tak kelihatan lagi.
‘Dah balik agaknya dia …’ fikir
Johan lalu meneruskan perjalanannya.
Sesampai sahaja dia di rumah
datuk dan neneknya, azan subuh dah berkumandang dan dia disambut oleh neneknya.
“Maaf nek terlambat … kereta
rosak tengah jalan tadi…”
“Abis tu, kamu tak apa-apa..”
kata neneknya gusar.
“Tak ada apalah nek. Saya
selamat. Nasib baik ada sorang abang tu tolong. Kalau tak, tak tahulah saya…”
Setelah meletakkan beg bajunya,
Johan terus melabuhkan tubuhnya dan tertidur sehinggalah dia terdengar bunyi
kecoh-kecoh di luar rumah neneknya.
‘Ah… orang-orang kampung….’
bisiknya.
Dia sudah faham, orang-orang
kampungnya akan berkerumun melihat keretanya terutama kanak-kanak macam semut
menghurung gula.
“Kaya cucu kau Som ….. dah pakai
kereta besar !!!” itulah antara kata-kata yang didengarnya yang ditujukan
kepada neneknya.
Kembang kempislah hidung orang
tua tu dipuji.
“Er nek, saya nak pergi bengkel
kereta kat bandar kejap, nak check tengok apa masalah kereta ni nenek nak ikut
tak?” ajak Johan.
“Atuk nak ikut, nak jugak merasa
naik kereta besar kau tu!” sampuk atuknya.
“Ah… nenek nak masak… bawak atuk
kau tu cukuplah..” jawab neneknya.
Setelah kedua datuk dan cucu itu
melabuhkan punggung ke dalam kereta itu, Johan mencucuk kunci keretanya sambil
datuknya bersandar disebelahnya.
Akan tetapi …. Setelah beberapa
kali kunci diputar, enjin keretanya tak hidup. Bukan setakat tak hidup, apa
bunyi pun tak ada.
“Ala…. Kereta ni apa lagi yang
rosaknya …..” rungut Johan sambil menarik picu pembuka bonet enjin keretanya.
Dia perlahan-lahan membuka bonet
itu dan ..
“Makkkk ……..!!!!!” Johan terjerit
sambil melepaskan pintu bonet itu dan jatuh terduduk di hadapan kereta itu
dengan dada berdebar-debar.
“Apasal Johan…. Ada ular dalam
kereta kau ke?” kata datuknya cepat-cepat meluru ke arah cucunya yang dah merah
padam.
“Tuk … Sapa yang belek kereta
saya awal-awal pagi tadi?” Tanya Johan.
“Er…. Ketua kampung … anak
dia….bini dia ….”
“Ada tak sesapa bukak bonet enjin
kereta ni?”
“Ish … mana le dia orang tau
apa-apa pasal kereta. Lagipun kan ke kau kunci kereta tu… Kenapa Johan?”
“Enjin dia dah kena curik tuk…”
kata Johan agak marah.
“Ah … kau tu salah bukak … Hari
tu, atuk tengok kereta anak Samad tu enjinnya kat belakang. Cuba kau bukak kat
belakang dia…?” kata datuknya penuh konfiden.
“Tu kereta jenis lain tuk …Mesti
budak-budak kampung ni punya kerja..” balas Johan.
“Mustahil Johan, sejak kau sampai
pagi tadi, atuk dah mengadap kereta kau sampai sekarang ni ha …. Kalau ada
orang curik akulah yang nampak dulu. Lagi pun tak de sapa yang pandai buka-buka
kereta kat kampung ni… lagi pun macam mana pencurik tu nak bawa enjin tu . Kat
sini semua orang bawak basikal, sapa nak beli… kau pun sampai dah siang, sapa
nak curik enjin kereta kau siang-siang buta ni ha..!”
Betul juga kata-kata datuknya,
tapi dia membawa kereta itu begitu lancar sehingga selamat sampai ke rumah
datuk dan neneknya. Dia jadi bingung. Dia kembali mengadap ruang kosong dalam
bonet enjin keretanya. Kosong, satu apa pun tak ada hatta sebiji skru pun. Ia
seolah-olah di bawa keluar satu set dengan begitu rapi dan teliti.
Dengan berat hati dan sedih, dia
akhirnya ke Pondok Polis berdekatan untuk membuat aduan kehilangan enjin
keretanya.
Semasa dia sedang memberi
keterangan kepada pegawai polis bertugas dari A sampai Z, tiba-tiba dia ditegur
oleh seorang lagi pegawai polis yang baru sahaja masuk ke pondok polis itu.
“Enjin hilang? Hmmm … pagi tadi
ada orang buat aduan, jumpa satu set blok enjin kereta kat tepi jalan
tengah-tengah hutan menuju ke kampung ni. Itu kamu punya tak? Kami dah bawa ke
sini, ada kat belakang sana tu. Cuba kamu tengok ….” kata pegawai polis itu
sambil menuding ke belakang pondok polis.
Tanpa berkata sepatah pun, Johan
terus berlari ke belakang dengan debaran yang agak kuat.
Setelah diperiksa dan di amati
dengan penuh teliti. Sah…!! Itulah blok enjin keretanya yang hilang pagi tadi!
“Ya encik…. Saya punya tu.. tapi
macam mana boleh ada kat hutan tu?” Tanya Johan.
“Tak tahulah saya …. Tapi enjin
tu macam dikeluarkan satu set. Tak bercerai langsung pun..” kata pegawai polis
itu.
“Encik nak buat kes?” tanyanya
lagi.
“Er… tak payahlah encik… barang
yang hilang pun dah ditemui…Saya nak panggil orang bengkel kereta ambil enjin
tu dan pasang balik. Terima kasih ye encik.” Kata Johan sambil berlalu.
Sementara itu kepalanya masih
berfikir bagaimana benda sebegini boleh belaku. Enjin dikeluarkan tanpa
menceraikan komponen-komponennya. Sebijik satu set!. Dan di tinggalkan lebih
kurang 20km dari kampungnya. Mustahil, dia sampai awal pagi dan tiada sesiapa
pun yang nampak orang mengusung enjin kereta itu sehingga 20km jauh!
Enjin kereta itu di bawa ke
bengkel di bandar bersama-sama dengan keretanya.
“Apa pasat ini kereta?” tanya
tauke bengkel itu.
“Tak tau la tauke, panjang cerita
lah … lu tengok sendirilah…” kata Johan.
“Haiyya ….. enjin keluar abis
aa?!!!”
“Lu boleh kasi cerita …. Macam
mana ini sudah jadi.?” tanya tauke itu dengan pelat pekat cinanya kepada Johan.
Maka untuk ke sekian kalinya
Johan bercerita bagaimana musibah ini boleh terjadi daripada dia di Kuala
Lumpur, hinggalah dia tersadai di tepi jalan, di tolong seorang lelaki bernama
Man dan sampailah enjin keretanya hilang.
“Itu lelaki nama Man aa?” tanya
tauke cina itu lagi.
Johan hanya mengangguk.
“Dia punya rupa ini macam ka …?”
tanya tauke itu sambil menunjukkan sekeping gambar yang sudah lusuh dari
dompetnya.
“Ya..ya….! Lu punya pekerja ka
tauke …?” tanya Johan pula.
“Ya ….Dulu dia kerja sini. Dia
banyak pandai oo… Macam lu punya kereta, sekali petik … itu kereta sudah jadi
macam itu kereta F1 punya.” cerita tauke itu lagi.
“Saya banyak terima kasih sama
dia la tauke. Mana dia …?”
“Dia sudah tak da …. Ini injin
keluar aa… pun dia punya kelija…. Ini kes aa … bukan hali ini saja tau. Sudah
banyak kali. Lu bukan orang pertama dan bukan orang terakhir … lain tahun aa…
mesti ada lagi ini kes berlaku….” Kata tauke itu membuatkan Johan bingung.
“Tapi …. Dia sudah tolong sama
saya? Lu tak baik la tauke cakap dia itu macam..” Kata Johan cuba membela.
“Mana dia tinggal… saya mau cari
dia…” tambah Johan lagi.
Lama tauke cina itu diam ……
“Dia sudah 10 tawun mati
ooo…..!!!” jawapan tauke cina itu membuatkan Johan menelan liur berkali-kali.
Air liurnya itu terasa kesat macam pasir lombong menuruni anak tekaknya.
“Sejak itu aa…. Tak semua la …
nasib la sapa-sapa kereta rosak tengah malam sekitar tempat ini, ‘dia’ akan
tolong sampai itu orang selamat sampai rumah atau bengkel saya. Tapi itu enjin
mesti tak ada, tinggal tepi jalan. Tak tau la, macam mana itu kereta boleh
jalan tak ada enjin. Itu lu kena tanya ‘dia’ la …” cerita tauke itu lagi
membuatkan Johan kecut perut dan ngeri.
Patutlah dia nampak lampu
motorsikal itu melayang-layang pada malam itu. Patutlah lelaki itu enggan
bersalaman dengannya ….
Siapalah agaknya mangsa Leman
seterusnya ….
No comments:
Post a Comment