Wednesday, July 11, 2012

Inilah Nasibku - Zaleha


INILAH NASIBKU…. - zaleha

“Nama saya Zaleha bang ……..” begitulah permulaan cerita Zaleha atau Leha yang hendak dipaparkan di sini. Siapakah Zaleha itu? Mari kita sama-sama ikuti cerita sedih, sadis dan mengalirkan air hidung ini.

‘Saya berasal dari Melaka, hutan kat Melaka. Umur saya …ntah la bang, saya tak pernah kira. Dulu saya bebas, tak macam sekarang ni. Terkongkong macam dalam penjara.’

Saya bukan nak cakap bohong bang. Saya ni bukan manusia. Saya ni hantu … pontianak…. Tak percaya bang? Cuba abang tarik muka saya ni? Original bang, bukan pakai topeng.. ! Eh, jangan takut bang! Saya dah tak cekik orang lagi dah …. ! Tujuan saya cerita dengan abang ni pun sebab saya sedih dan nak luahkan isi hati yang dah terbuku lama ni bang. Saya nak semua orang tahu, siapa saya .

Dulu memang saya ganas, brutal dan yang sewaktu dengannya. Tapi saya tak pernah bunuh orang lagi bang. Cerita pontianak bunuh orang tu, bohong semata-mata bang. Tu cuma nak menakutkan budak-budak aje. Kami bukan pembunuh. Yang membunuh tu manusia, kami sekadar menyakat aje.

Saya tinggal kat atas pokok ara yang besar kat hutan banat sana. Setiap malam saya menyanyi, ketawa dan berpesta dengan kawan-kawan saya. Kawan-kawan saya ramai bang. Ada hantu galah, pocong, langsuir, polong, bajang dan macam-macam lagilah! Kalau ternampak aje manusia, mulalah hati kami gatal nak menyakat. Tak kiralah, tua ke, muda ke, budak kecik ke, lebai ke .. sapa-sapa aje.

Soronok bang…! Bila kita sergah sikit aje, ada yang terpekik terlolong melarikan diri. Malah yang terkencing terberak pun ada. Kelakar betul kitaorang tengok. Kadang-kadang sengaja saya gegar pokok tempat diaorang berkhemah. Itu belum kitaorang ajak main dam lagi tu, mesti pengsan terus.

Tapi bang kesoronokan kami tak lama bang. Lepas tu tiba-tiba datang berbagai-bagai jenis mesin, tebang semua pokok berhampiran tempat kami bermain. Lepas satu, satu pokok ditebang. Rupa-rupanya diaorang nak buat tapak perumahan. Kami rasa terancam la bang. Saya sayangkan pokok ara tempat saya tinggal nu.. Jadi saya berpakat dengan ahli keluarga saya untuk menjaga keharmonian rumah kami. Jadi kami sama-sama halang jentolak dan mesin-mesin pemotong dari merobohkan rumah kami. Itu yang jentolak terangkat, pokok tak tumbang tu. Sebenarnya sedara saya hantu galah yang tolong angkat. Dia kuat sebab badan dia besar. Lepas tu saya sendiri yang menyakat dan menghalau mereka dari terus mengganggu kami sekeluarga. Akhirnya saya dengar mereka sepakat nak tinggalkan pokok tu dari ditebang. Apa lagi , suka la kami!

Bila perumahan tu siap, saya nampak ramai orang tinggal kat situ. Setiap malam saya duduk bersidai kat dahan pokok ara tu. Saya boring la bang. Kawan-kawan saya semua dah blah. Tinggal kami sekeluarga pontianak aje yang masih tinggal di situ. Tu yang saya duduk bersidai kat atas pokok tu. Kalau ada orang lalu saya tegur. Adakalanya saya joint sekali diaorang yang suka melepak kat simpang jalan tu, dapat jugak dengar isu-isu semasa. Kalau saya bersiar-siar, saya minta diaorang tumpangkan saya sampai ke rumah saya. Kadang-kadang saya tumpang tengok tv kat rumah diaorang, tapi diaorang ni kedekut betullah bang. Bila nampak kelibat saya aje, terus dia padam tv tu, tutup tingkap dan terus tidur.

Tapi kan bang, dah namanya saya ni hantu. Orang semua takutkan saya. Bila saya tegur aje, diaorang lari. Bila saya joint gelak-gelak dengan diaorang, pun diaorang lari. Sebagai seekor hantu, saya sebenarnya bangga bila orang takut tengok saya. Itulah kebanggaan sebenar seekor hantu. Seronok tengok diaorang takut.

Itulah bang, diaorang ni jaki tengok saya berseronok-seronok. Orang-orang di perumahan tu mula nak menghapuskan saya. Tak patut la bang. Dah la tempat permainan saya di ceroboh. Rumah saya nak diroboh. Kawan-kawan saya di halau. Ni saya pulak nak diburu. Patut ke bang?

Macam-macam jenis pawang dan bomoh datang nak menangkap saya. Dari pawang melayu, cina, India, siam malah Indonesia pun ada. Dari yang kulit kaler putih, coklat sampailah ke kaler hitam. Semua nak berinteraksi dengan saya. Yang cina cakap cina, yang India cakap tamil, jawa, siam … manalah saya faham. Saya cakap melayu aje yang faham. Cakap omputih pun setakat yes, no alright aje. Itupun belajar semasa curi-curi tengok tv kat rumah diaorang.

Sampailah ada sorang bomoh tu yang dapat tangkap saya dan masukkan ke dalam balang. Dia tipu saya bang. Dia kata nak pindahkan saya ke tempat lain. Nak bagi saya rumah banglo. Tu yang saya setuju masuk balang tu. Kalau abang perasan, sayalah yang keluar kat tv tak lama dulu. Kisah orang tangkap pontianak tu ….ingat tak bang? Saja dia nak glamour. Saya pun merasa gak jadi glamour sekejap. Muka masuk tv tu…..! Lepas tu kan bang, bomoh tu kata nak buang saya kat laut. Kalau buang saya kat laut, mati le saya kena makan jerung.

Tapi bang sebenarnya saya tak dibuang ke laut, saya dijual kepada tauke cina tempat saya bekerja ni. Kat sini, bukan saya sorang aje bang. Macam-macam hantu ada bang. Semua senasib dengan saya. Kat sini kami dipaksa bekerja tanpa bayaran. Yelah apa guna duit pada hantu macam saya ni. Nak beli apa. Sekadar bagi makan ajelah. Makan pun mi goreng aje. Lalu ke tak lalu ke, sental aje daripada kebulur. Segala keuntungan tauke tu yang kaut. Tengoklah kaki saya ni bang, dirantai supaya saya tak terbang lari.

Saya sedih bang, walaupun saya bekerja sebagi hantu di Rumah Hantu ni, saya dah tak hidup bebas lagi. Semua pergerakan saya diawasi. Kehidupan saya diatur. Dan yang paling menyedihkan saya …… semua orang dah tak takutkan saya. Malah setiap kali saya beraksi diaorang ketawakan saya dan kalau nasib tak baik, kena sepak terajang oleh orang yang melatah setiap kali saya sergah. Ha.. tengokla bang, budak-budak pun tak heran tengok saya!

‘Hilang dah maruah saya sebagai seekor hantu, bang…….Uwaa…!! Sedihnya saya ….!! Malu kalau kawan-kawan saya tau saya jadi macam ni…’

No comments:

Post a Comment