Friday, July 27, 2012

Perkuburan Lama


Perkuburan Lama

Sebagai pencari cerita-cerita seram, saya sering menemubual sesiapa sahaja yang saya rasakan boleh dapat cerita yang betul-betul menaikkan bulu roma. Pada suatu hari …..

‘Cerita ini berkisar dikampung aku. Malah aku sendiri yang mengalaminya.’ Cerita Samad bin Samud (bukan nama senbenar) kepada saya yang waktu itu sedang berjalan-jalan di tepi sebuah tanah perkuburan lama di remang-remang senja.

Kampung aku terletak agak jauh dari jalan besar, memang terkenal dengan cerita seramnya. Maklum sajalah, nak masuk ke kampung aku tu, kena melalui 3 jenis tanah. Pertama tanah kebun, kedua tanah kubur dan ketiga barulah tanah orang-orang kampung. Yang paling ngeri ialah tanah kubur la.. Kubur di situ sebenarnya perkuburan lama kerana sudah penuh penghuninya. Mungkin sebab itulah ramai ‘penghuninya’ keluar menyakat pada waktu malam di tepi-tepi jalan… maklumlah dah sarat, boring agaknya duduk berhimpit-himpit.

Semua penduduk kampung aku memang tak beberapa berani melintasi kawasan tersebut walaupun pada waktu siang. Kata orang kalau waktu siang, ada macam-macam bau. Bau kemenyanlah, bau wangilah, bau kari dengan bau ayam goreng pun ada … macam-macam lah…. Seolah-olah ada orang tinggal di tanah perkuburan itu. Kalau ditinjau-tinjau, memang ada sebuah rumah buruk dipenjuru kawasan perkuburan itu. Kata orang kampung aku, itu rumah bidan kampung ini dulu. Tapi bidan tu dah lebih 20 tahun jadi arwah. Malah kuburnya juga berhampiran dengan rumah tu.

Dua tiga tahun lepas, ada orang tersesat dikawasan tanah perkuburan tu. Orang tu dari Kuala Lumpur nak ke kampung aku menghadiri majlis perkahwinan sepupunya. Waktu tu dah pukul 2 pagi. Jalan kampung aku pulak memang tak ada lampu jalan. Tiba-tiba dia nampak ada sebuah rumah yang lampu terang benderang kat kawasan tu, dia tanyalah kalau-kalau kenal tuan rumah pengantin tetapi penghuni rumah tersebut tidak kenal langsung nama yang disebutkan olehnya. Malah mereka kata mungkin orang itu belum sampai lagi ke tempat itu. Pelik jugak … ‘belum sampai’. Oleh kerana terlalu penat memandu dari Kuala Lumpur dia dan keluarganya ambil keputusan untuk tidur saja di dalam kereta memandangkan tuan punya rumah itu buat derk aje,  langsung tidak mempelawa mereka tidur di rumahnya. Bila tersedar saja dari tidur esok harinya, terkejut gilalah mereka, gila pun pun tak terkejut macam tu kerana mereka sebenarnya berada di tengah-tengah kawasan perkuburan lama itulah! Malah tak ada rumah orang pun di depan kereta mereka seperti malam tadi. Terus mereka balik ke KL, tak jadi ke rumah sepupu mereka tu. Patutlah orang tu cakap ‘belum sampai’ … yelah orang tu hidup lagi, sihat walafiat. Belum jadi ‘penghuni’ kawasan tu.

Cerita aku pulak lain sikit. Kat perkuburan lama tu jugak. Ia berlaku kira-kira setahun yang lepas. Waktu itu aku baru balik ke kampung selepas bertahun-tahun merantau ke Kuala Lumpur. Aku memang boring duduk di rumah, dah jadi kebiasaan aku semasa di Kuala Lumpur dulu. Aku pun merayau-rayaulah di pekan yang berhampiran.Itupun lebih kurang 5 batu dari kampung aku. Orang kampung aku dah banyak kali melarang aku balik sampai lewat malam. Kata mereka nanti aku kena sakat ‘penghuni’ tanah tu yang biasanya menjelma jadi perempuan cantik menumpang pada waktu malam. Aku tak hiraukan langsungpun. Malah setiap malam aku balik tak ada benda apapun yang mengacau. Aku katakan pada mereka, yang ‘penghuni’ tu tak berani nak kacau aku. Maklumlah atuk aku bomoh handal di kampung aku, Dulu la .. sekarang pun dah arwah dah dia.

Nak dijadikan cerita, suatu malam … aku ingat malam tu malam  Jumaat la.. Aku melalui kawasan itu lebih kurang pukul 12.00 tengah malam. Aku melihat rumah buruk dipenjuru kawasan itu terang benderang macam ada kenduri. Dengan perasaan dah tak tentu arah aku terus pecut balik ke rumah. Mungkin inilah yang dikatakan oleh orang kampung aku. Tapi sikitpun aku tak ceritakan pada mereka takut dia orang ketawakan aku.

Tapi aku memang degil. Aku masih tak serik-serik. Esoknya aku lalu di kawasan itu lagi tetapi kali ini tak ada apa-apa yang berlaku. Sunyi seperti malam sebelumnya. Ini membuatkan aku bertambah yakin yang ‘mereka’ tak berani nak kacau aku.

Seminggu lepas tu, aku sekali lagi balik lewat. Kali ni betul-betul lewat dalam pukul 3.00 pagi. Semasa aku baru saja masuk ke simpang kampung aku, aku nampak seorang perempuan berbaju kurung putih melambai minta ditumpangkan. Aku pun tak fikir panjang, terus tumpangkan perempuan tu,. Cantik …. memang cantik kalah M. Rajoli eh … Angelina Jolie dan baunya … mak oi … wangi gila… gila pun tak wangi macam tu.. Tapi dia tak banyak cakap. Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Dek kerana kecantikannya, aku sampai terfikir nak buat bini, kau tau!!. Hahaha ….!! Tiba-tiba dia minta aku berhenti. Katanya dah sampai. Akupun berhentikan dia dan sebelum dia melangkah aku tanya nama dia. ‘Wati’ katanya … Gembira sakanlah aku sambil menyanyi lagu ‘Lizawati’. Apa tak seronoknya, dah lama aku kat kampung ni, tak de sorang pun sudi jadi awek aku. Mungkin ‘Wati’ ni sudi kot. Sebab itu dia beritau nama dia. Kalau orang tak sudi, jangankan nak beritau … muncung lagi ada la..Lepas tu aku pun teruskan perjalanan aku, tapi tiba-tiba aku rasa pelik, aku toleh ke belakang… rupa-rupanya perempuan itu berhenti di kawasan perkuburan itu!. Malah perempuan tu pun dah lesap tak sampai beberapa minit. Aku bertambah tak keruan, lagu yang aku nyanyi dah jadi macam lagu gendang cina mati. Tiba-tiba motor aku pulak buat hal tak mahu berjalan walaupun di’press’ minyak kuat-kuat. Aku rasa macam nak pengsan bila tiba-tiba aku dengar suara perempuan memanggil ‘abang ….abang …!’ makin lama makin dekat. Sampai akhir sekali aku rasa suara tu betul-betul di belakang aku. Aku menjerit … aku campak motor aku dan bukak langkah seribu. Agaknya kalau diukur larian aku tu, kalah Rabuan Pit. Betul-betul laju sampai aku tak perasan kat depan aku tu ada tunggul dan aku tersungkur macam nangka busuk. Gedebuk …!! Kalaulah orang kampung aku nampak macam mana aku jatuh, seminggu dia orang ketawa tak berenti. Begitulah ceritanya…

“Apa terjadi pada abang? Dan … Macam mana pulak dengan ‘Wati’ tu?” tanya saya untuk melengkapkan cerita.

“Wati? Oooo … aku dah kahwin dengan dia tak lama lepas tu….” terang Samad dengan bangga.

“Kahwin ??!!!” terkejut jugak saya.

“ Err.. abang pulak lepas jatuh tu apa jadi …..?” tanya saya lebih excited, padahal bulu tengkuk dah mula ready nak tegak.

“Oohhh ….. lepas jatuh tu? Esoknya…. kat sinilah aku disemadikan………..” kata Samad sambil menuding ke arah sebuah kubur berhampiran yang masa tu saya antara dengar dengan tidak kerana langkah kaki tak semena-mena bertambah laju dan bertambah kencang…. 

Wednesday, July 11, 2012

Inilah Nasibku - Zaleha


INILAH NASIBKU…. - zaleha

“Nama saya Zaleha bang ……..” begitulah permulaan cerita Zaleha atau Leha yang hendak dipaparkan di sini. Siapakah Zaleha itu? Mari kita sama-sama ikuti cerita sedih, sadis dan mengalirkan air hidung ini.

‘Saya berasal dari Melaka, hutan kat Melaka. Umur saya …ntah la bang, saya tak pernah kira. Dulu saya bebas, tak macam sekarang ni. Terkongkong macam dalam penjara.’

Saya bukan nak cakap bohong bang. Saya ni bukan manusia. Saya ni hantu … pontianak…. Tak percaya bang? Cuba abang tarik muka saya ni? Original bang, bukan pakai topeng.. ! Eh, jangan takut bang! Saya dah tak cekik orang lagi dah …. ! Tujuan saya cerita dengan abang ni pun sebab saya sedih dan nak luahkan isi hati yang dah terbuku lama ni bang. Saya nak semua orang tahu, siapa saya .

Dulu memang saya ganas, brutal dan yang sewaktu dengannya. Tapi saya tak pernah bunuh orang lagi bang. Cerita pontianak bunuh orang tu, bohong semata-mata bang. Tu cuma nak menakutkan budak-budak aje. Kami bukan pembunuh. Yang membunuh tu manusia, kami sekadar menyakat aje.

Saya tinggal kat atas pokok ara yang besar kat hutan banat sana. Setiap malam saya menyanyi, ketawa dan berpesta dengan kawan-kawan saya. Kawan-kawan saya ramai bang. Ada hantu galah, pocong, langsuir, polong, bajang dan macam-macam lagilah! Kalau ternampak aje manusia, mulalah hati kami gatal nak menyakat. Tak kiralah, tua ke, muda ke, budak kecik ke, lebai ke .. sapa-sapa aje.

Soronok bang…! Bila kita sergah sikit aje, ada yang terpekik terlolong melarikan diri. Malah yang terkencing terberak pun ada. Kelakar betul kitaorang tengok. Kadang-kadang sengaja saya gegar pokok tempat diaorang berkhemah. Itu belum kitaorang ajak main dam lagi tu, mesti pengsan terus.

Tapi bang kesoronokan kami tak lama bang. Lepas tu tiba-tiba datang berbagai-bagai jenis mesin, tebang semua pokok berhampiran tempat kami bermain. Lepas satu, satu pokok ditebang. Rupa-rupanya diaorang nak buat tapak perumahan. Kami rasa terancam la bang. Saya sayangkan pokok ara tempat saya tinggal nu.. Jadi saya berpakat dengan ahli keluarga saya untuk menjaga keharmonian rumah kami. Jadi kami sama-sama halang jentolak dan mesin-mesin pemotong dari merobohkan rumah kami. Itu yang jentolak terangkat, pokok tak tumbang tu. Sebenarnya sedara saya hantu galah yang tolong angkat. Dia kuat sebab badan dia besar. Lepas tu saya sendiri yang menyakat dan menghalau mereka dari terus mengganggu kami sekeluarga. Akhirnya saya dengar mereka sepakat nak tinggalkan pokok tu dari ditebang. Apa lagi , suka la kami!

Bila perumahan tu siap, saya nampak ramai orang tinggal kat situ. Setiap malam saya duduk bersidai kat dahan pokok ara tu. Saya boring la bang. Kawan-kawan saya semua dah blah. Tinggal kami sekeluarga pontianak aje yang masih tinggal di situ. Tu yang saya duduk bersidai kat atas pokok tu. Kalau ada orang lalu saya tegur. Adakalanya saya joint sekali diaorang yang suka melepak kat simpang jalan tu, dapat jugak dengar isu-isu semasa. Kalau saya bersiar-siar, saya minta diaorang tumpangkan saya sampai ke rumah saya. Kadang-kadang saya tumpang tengok tv kat rumah diaorang, tapi diaorang ni kedekut betullah bang. Bila nampak kelibat saya aje, terus dia padam tv tu, tutup tingkap dan terus tidur.

Tapi kan bang, dah namanya saya ni hantu. Orang semua takutkan saya. Bila saya tegur aje, diaorang lari. Bila saya joint gelak-gelak dengan diaorang, pun diaorang lari. Sebagai seekor hantu, saya sebenarnya bangga bila orang takut tengok saya. Itulah kebanggaan sebenar seekor hantu. Seronok tengok diaorang takut.

Itulah bang, diaorang ni jaki tengok saya berseronok-seronok. Orang-orang di perumahan tu mula nak menghapuskan saya. Tak patut la bang. Dah la tempat permainan saya di ceroboh. Rumah saya nak diroboh. Kawan-kawan saya di halau. Ni saya pulak nak diburu. Patut ke bang?

Macam-macam jenis pawang dan bomoh datang nak menangkap saya. Dari pawang melayu, cina, India, siam malah Indonesia pun ada. Dari yang kulit kaler putih, coklat sampailah ke kaler hitam. Semua nak berinteraksi dengan saya. Yang cina cakap cina, yang India cakap tamil, jawa, siam … manalah saya faham. Saya cakap melayu aje yang faham. Cakap omputih pun setakat yes, no alright aje. Itupun belajar semasa curi-curi tengok tv kat rumah diaorang.

Sampailah ada sorang bomoh tu yang dapat tangkap saya dan masukkan ke dalam balang. Dia tipu saya bang. Dia kata nak pindahkan saya ke tempat lain. Nak bagi saya rumah banglo. Tu yang saya setuju masuk balang tu. Kalau abang perasan, sayalah yang keluar kat tv tak lama dulu. Kisah orang tangkap pontianak tu ….ingat tak bang? Saja dia nak glamour. Saya pun merasa gak jadi glamour sekejap. Muka masuk tv tu…..! Lepas tu kan bang, bomoh tu kata nak buang saya kat laut. Kalau buang saya kat laut, mati le saya kena makan jerung.

Tapi bang sebenarnya saya tak dibuang ke laut, saya dijual kepada tauke cina tempat saya bekerja ni. Kat sini, bukan saya sorang aje bang. Macam-macam hantu ada bang. Semua senasib dengan saya. Kat sini kami dipaksa bekerja tanpa bayaran. Yelah apa guna duit pada hantu macam saya ni. Nak beli apa. Sekadar bagi makan ajelah. Makan pun mi goreng aje. Lalu ke tak lalu ke, sental aje daripada kebulur. Segala keuntungan tauke tu yang kaut. Tengoklah kaki saya ni bang, dirantai supaya saya tak terbang lari.

Saya sedih bang, walaupun saya bekerja sebagi hantu di Rumah Hantu ni, saya dah tak hidup bebas lagi. Semua pergerakan saya diawasi. Kehidupan saya diatur. Dan yang paling menyedihkan saya …… semua orang dah tak takutkan saya. Malah setiap kali saya beraksi diaorang ketawakan saya dan kalau nasib tak baik, kena sepak terajang oleh orang yang melatah setiap kali saya sergah. Ha.. tengokla bang, budak-budak pun tak heran tengok saya!

‘Hilang dah maruah saya sebagai seekor hantu, bang…….Uwaa…!! Sedihnya saya ….!! Malu kalau kawan-kawan saya tau saya jadi macam ni…’