Monday, September 3, 2012

Misteri Pokok Berdaun Duit


Mat Senin seorang yang miskin dan tinggal di sebuah kampung yang agak terpencil. Dia cuma bekerja kampung sahaja ibarat nak makan pagi kais pagi, nak makan malam kais petang-petang sikit. Selain daripada itu dia memang terlalu-lalulah minat memancing. Sudah habis segala sungai, lubuk malah kolam-kolam ikan orang habis diredah untuk dia memancing. Kalau ada rezeki lebih, dapatlah dia menjual pada cina di baruh. Dapatlah sikit duit untuk dia serahkan pada isterinya dan membeli rokok kretek. Asyik sedut rokok daun aje, sesekali nak jugak dia bermewah sedikit. Bila sebut bermewah ni, Mat Senin sebenarnya terlalu ingin menjadi kaya. Tak kiralah kaya sebagai tokeh kaya ke atau sebagainya. Yang penting dia nak hidup kaya. Boleh pakai kereta besar, rumah besar dan bini besar… Tetapi apa kan daya, dah sejak keturunan tok nyangnya dulu pun memang dah papa kedana, maka kepapaan itu teruslah diwarisi olehnya.

Suatu hari yang suam-suam kuku, Mat Senin terdengarlah orang  berborak tentang satu lubuk yang banyak ikan di hutan simpan berhampiran kampungnya. Akan tetapi kononnya lubuk itu berpuaka. Pernah suatu ketika, seorang pemancing yang pergi ke sana telah bertemu dengan satu makhluk yang tiba-tiba muncul di dalam air semasa dia sedang melepaskan hajat menghadap lubuk tersebut. Apa lagi lintang pukanglah dia balik ke rumahnya sampai terlupa seluar yang disangkutkan ke pokok berhampiran. Semasa memasuki kampung, semua orang kampung bertempiaran lari kerana menyangka beruk hutan cirit mengamuk. Manakan tidak, tidak sempat di cuci dah cabut lari, tak pakai seluar pulak tu!

Apabila terdengar sahaja cerita itu, Mat Senin memasang angan-angan untuk pergi memancing ke sana.

“Ish.. Kau ni Senin. Dah tempat tu berpuaka, buat apa kau nak pergi. Nanti disakat dek puaka tu nanti, tak balik kau nanti..” larang Mail apabila disuarakan hasratnya.

“Alah… Kalau kau tak kacau dia, dia pun tak kacau engkau.. Kalau orang berak kat depan rumah kau… kau marah tak?” Tanya Mat Senin pada Mail.

“Err… mestilah marah…” jawab Mail.

“Ha … itu pasallah Dollah kena kacau hari tu! Ntah depan rumah sapa yang dia melepas… marahlah orang tu…!!” Mat Senin bertambah yakin.

Sudah pelbagai nasihat diberi, dan pelbagai tegahan di cakapkan tetapi Mat Senin tetap tak berganjak dari keputusannya. Katanya kalau dia tak ke sana, siapa nak tambah rezekinya. Bukan orang kampung nak tolong dia kalau dia laki bini kebulur tak makan. Sekurang-kurangnya kalau dapat ikan lebih, dapatlah dia menambah rezekinya dan dapatlah dia membeli rokok kretek kegemarannya itu. Maklumlah rokok sekarang kan dah mahal, jadi kenalah kerja lebih sikit nak hisap rokok mahal.

Maka suatu pagi yang cerah, setelah Mat Senin menggali cacing di seluruh pelosok kampung dan juga buah sawit yang telah diracik-racik. Mat Senin dengan gagahnya melangkah ke dalam hutan simpan yang terkandung di dalamnya lubuk ikan yang dikatakan berpuaka itu. Terbayang di benaknya yang sikit-skit benak, ikan-ikan lampam, sebarau, tengelan malah kelah menari-nari irama bollywood di lubuk itu. Dan dia sebagai hero utama menghulurkan joran untuk memancingnya. Terbayang juga raganya penuh dengan ikan juga muka cina yang meraih ikan juga tersengih dengan gigi yang rompong membeli ikannya. Ternampak juga not-not biru, merah dan hijau bertukar tangan. Dan ternampak juga dia rokok jenama Dunhill ……. yang kini dah bernilai RM 6.50 sekotak 20 batang dah nak sama nilai dengan beras 4 kg! Setakat dia laki bini, boleh makan dekat sebulan!

Sedar tak sedar dia dah sampai ke lubuk puaka itu. Dia meletakkan raga dan umpan yang telah tersedia di lubuk yang jernih airnya. Tangkapan-tangkapan ikan di situ menambahkan ghairahnya untuk memancing. Semasa dia mencari tempat yang sesuai dia terpandang sesuatu …. Serta merta dadanya berdegup kencang seperti enjin motorbot yang dah masuk air!

“Aku bermimpi ke…” kata Mat Senin sambil menampar-nampar mukanya.

Nyata dia tak berminpi. Di hadapannya terdapat sebatang pokok yang berdaunkan duit. Matawang Malaysia!! Pelbagai not, RM 1, RM 2, RM 10 dan yang paling besar RM 100. Semuanya bergayutan di pokok tersebut.

“Rezeki aku ke ni?” Mat Senin masih tergamam sehinggalah sehelai not RM 10 gugur dari tangkainya. Mat Senin terus berlari mengambilnya. Di belek-belek not RM 10 itu. Di ciumnya.

“Sah ..!! Duit betul … bau bank lagi ni ….!! Yiha..!!! Aku kaya …. Aku kaya…..!!” Mat Senin terus melompat-lompat kegembiraan.

Dia terus memetik duit-duit yang bergantungan dan di masukkan ke dalam raga ikannya. Dia tak mengira berapa jumlah yang di petik dan apabila penuh sahaja dia terus berlari balik ke rumahnya meninggalkan segala joran yang telah terpasang mahu pun yang tertinggal begitu sahaja.

Semasa berlari dia bercadang ingin membelikan isterinya gelang emas hingga ke siku. Dan dia sendiri ingin membeli rumah yang besar dan mewah. Dan dia juga bercadang mencari anak-anak dara malah janda-janda muda untuk menjadi yang no. 2!

“Temah!! Buka pintu Temah…!!” Jerit Mat Senin sesampai sahaja ke pintu rumahnya.

“Itulah bang…kan saya dah larang pagi tadi… jangan pergi! Kan puaka tu dah ganggu abang…!!” Marah Temah isteri Mat Senin sebaik sahaja Mat Senin melompat masuk ke dalam rumah. Lagaknya memang macam di kejar hantu.

“Syy… kau diam Temah… Aku ada bawak duit .. banyak ni… Kaya kita…!” bisik Mat Senin membuatkan Temah terpaku seketika.

Mat Senin menuangkan raga ikannya ke atas lantai. Dan duit-duit yang dipetiknya bertaburan di atas lantai papan rumahnya. Terbeliak mata Temah dan macam nak terkeluar pula apabila melihat duit tersebut. Mat Senin sudah ketawa seperti orang kaya!!

“Bang! Duit cina mati mana yang abang kutip ni…!!” Temah berkata dengan suaminya sambil menghulurkan sekeping duit tersebut kepada Mat Senin.

Serta merta Mat Senin berhenti ketawa. Dia mengambil duit itu dan memang sah … bergambar seorang cina berjanggut panjang dengan tulisan yang entah hapa-hapa entah.

“Tapi …. Abang yakin … tadi abang ambil not RM 10. Abang cium … bau duit…!!!” Mat Senin tak paus hati.

Memang sah … dia dipermainkan puaka lubuk itu! Dalam pada itu Mat Senin membelek-belek duit yang biasanya digunakan untuk sembahyang orang-orang cina mati itu. Dalam membelek-belek itu dia terpandang not RM 10 yang mula-mula diambilnya tadi.

“Tak pe Temah, nanti abang pergi lagi… manalah tahu jumpa duit lagi…” kata Mat Senin.

Temah dah malas nak layan suaminya itu. Lantak dialah!! Semenjak hari itu, setiap hari Mat Senin akan membawa berbakul duit. Tetapi duit yang dibawanya tidak laku langsung di zaman ini. Duit zaman Jepunlah … duit zaman British lah … duit negara lain pun ada tapi semuanya yang dah out dated….. Maka RM 10 itulah satu-satunya duit yang asli daripada pokok misteri tersebut. Entah siapa yang punya pun tak tahulah ….. dan kalau tak salah di pokok itulah seluar Dollah disangkutkan dulu. Mungkin RM 10 itu jatuh dari seluar itu … tetapi mana datangnya not-not duit yang tak laku itu ? Sungguh misteri cerita ini…

No comments:

Post a Comment