Sunday, December 23, 2012

Pontianak oh Pontianak


Pontianak oh Pontianak

Cerita ini diceritakan oleh kawan kepada datuk aku dan datuk aku ceritakan pada aku. Cerita ini berlaku pada sekitar tahun 60-an di mana pada zaman itu hantu-hantuan ini memang sentiasa berkeliaran di sana sini. Macam-macam jenis hantu. Ada hantu panjang, hantu pendek, hantu botak malah hantu tak botak.

Cerita kali ini adalah pengalaman Pak Man, seorang penoreh getah berkaliber di Kampung Bukit Serampang. Pak Man adalah seorang duda anak 5 dimana kesemua anak-anaknya telah besar panjang dan telah berkeluarga. Maka tinggallah Pak Man seorang diri dirumahnya. Cuma anak sulungnya yang tinggal berhampiran sering menjenguknya.

Isteri Pak Man telah lama meninggal dunia, sejak itu Pak Man tidak pernah terfikir untuk beristeri lagi. Baginya cukuplah dia beristeri satu sahaja lantaran kerana takut perempuan sekarang banyak yang mata duitan, materialistic dan plastik!. Dia takut kasih sayang isteri baru tidak ikhlas memandangkan dia bukan lagi muda dan segagah dulu. Dah macam-macam yang dia dengar pengalaman kawan-kawannya yang beristeri muda, sama ada masih beristeri tua atau isteri tua dah meninggal dunia. Dia takut jadi begitu walaupun hati tuanya itu kadang-kadang rasa macam belum tua lagi.

Suatu petang yang hening, Pak Man seperti biasa bersidang di kedai kopi dengan kawan-kawan seangkatan dengannya. Sejak isterinya menjadi arwah, di situlah tempat dia bersantai. Macam-macam persidangan dibentangkan dari dalam negeri sampailah ke luar negeri. Dari luar tanah sampailah ke dalam tanah. Dan cerita dari dalam tanah inilah yang sering menjadi topik utama. Cerita pasal pontianak yang sering mengganggu penduduk kampung. Yelah, kampung ni bukannya dekat dengan bandar, Nun .. kat hutan banat!! Dahlah jauh pedalaman, tinggal pulak berkongsi dengan makhluk lain. Maka macam-macam ceritalah yag timbul.

Cerita pontianak ni cerita lama, tetapi masih menjadi buah mulut orang kerana dialah satu-satunya hantu yang setiap hari mengganggu ketenteraman penduduk kampung. Setiap malam dia akan mengilai malah menangis, datangnya dari arah tanah perkuburan di hujung kampung. Kalau ada orang berjalan malam, nasiblah … pasti dia minta ditumpangkan, atau memikat . Kemudian dia terbang atau hilang menyebabkan penduduk kampung jadi takut. Maka dah jadi kebiasaan, sekiranya terdapat orang luar yang kerosakan kenderaan di tengah jalan masuk ke kampung, nescaya tiada siapa yang akan peduli, apatah lagi nak menumpangkan ke bengkel.  Dah pelbagai cara digunakan untuk menghalaunya dari kampung. Dari bomoh ke pawang. Dah bermacam-macam orang telah mencuba, namun hasilnya …. kosong. Hantu ni betul-betul liat nak pergi.

“Kata orang, kalau kita paku tengkuk dia. Dia akan bertukar jadi manusia. Lepas tu kita boleh kahwin dengan dia.” Kata Seman Senget petang itu.

“Yelah Seman, lepas tu pasti aman kampung kita ni kan?” jawab Ali Muda.

“Hah apa lagi Man. Kau pun dah lama membujang, kalau tak percayakan perempuan, hantu ni rasanya lebih baik dari perempuan sekarang…” seloroh Seman Senget sambil tersenget-senget kepalanya menahan tawa.

Pak Man hanya tersengeh sahaja. Namun di dalam hatinya terdetik juga.

‘Betul jugak kata Seman. Kenapa aku tak cuba.’

Benda ni bukan cerita baru. Dari zaman datuk neneknya lagi dia dah mendengar cerita orang bekahwin dengan pontianak ni. Dan hatinya tiba-tiba bertekad untuk menamatkan zaman bujangnya bukan dengan manusia tetapi dengan pontianak! Entah kenapa dia betul-betul berminat dengan untuk memperisterikan pontianak itu.

Pada malam jumaat berikutnya, Pak Man dengan berbekalkan lampu suluh, sebatang paku besi 2”, tali dan sebatang tukul berjalan menuju ke hujung kampung iaitu ke kawasan tanah perkuburan.

Jam menunjukkan pukul 12.10 tengah malam. Pak Man bersembunyi di sebalik semak berhampiran kawsan tanah perkuburan itu. Peluh sejuknya mula menitis bukan kerana panas, tetapi kerana seram. Apatah lagi dihadapannya berceracak nisan. Tapi dia cuba melawan rasa takut itu. Dia cuba menyanyi-nyanyi kecil bagi melawan rasa gundah di hatinya. Dia menyanyikan lagi ghazal kegemarannya iaitu lagu Pak Ngah Balik

Tiba-tiba nyanyiannya disambung oleh suara perempuan yang datangnya dari arah pokok kekabu di belakangnya. Pak Man menelan liur. Kakinya terketar-ketar. Dia menggenggam paku 2” di dalam poketnya kemas-kemas.

Dia menoleh ke belakang. Hampir terkencing dia apabila terpandang suatu lembaga berpakaian putih, dengan rambut mengerbang menutupi seluruh muka berada lebih kurang 5 meter dari tempatnya berdiri. Peluhnya kian laju berjuraian macam air paip. Dengusan nafasnya dah sama macam dengusan kerbau balau.

Dia melangkah setapak ke depan dengan penuh paksaan. Lembaga itu terus menyanyi lagu Pak Ngah Balik dengan perlahan tetapi mendayu. Malah tubuh lembaga itu mula bergoyang-goyang seolah-olah sedang menari mengikut rentak lagu ghazal tersebut dan Pak Man pula seakan-akan nak mengundur 10 langkah malah mungkin 1000 langkah apabila makhluk itu mula mara ke dapan.

Dengan berkat kudrat tuanya dan cekal hatinya Pak Man menerkam ke arah lembaga itu dan dengan pantas mengikatnya di pokok kekabu. Dengan ganasnya dia menyelak rambut lembaga itu maka ternampaklah ia satu lubang di tengkuk lembaga itu yang berkedut-kedut. Dengan sekuat tenaganya dia memaku lubang itu dengan paku besi yang dibawanya. Serentak dengan itu lembaga itu meronta dan menjerit dengan nyaring sehingga Pak Man juga termenjerit dengan nyaring juga. Maka bersahut-sahutanlah jeritan mereka menyebabkan orang-orang kampung mula mengesyaki bahawa terdapat seekor lagi pontianak jantan yang mungkin akan menggamatkan suasana malam di kampung itu kelak.

Tetapi keesokan harinya, gemparlah seluruh kampung bercerita kononnya Pak Man dah bertemu jodoh apabila lelaki tua itu membawa pulang seorang perempuan cantik yang ntah dari mana datangnya. Berduyun-duyunlah mereka datang nak melihat bakal isteri Pak Man. Dan lagi gempar apabila Pak Man memperkenalkan Peah adalah pontianak yang selama ini mengganggu ketenteraman penduduk kampung. Ada yang mencebik, ada yang tersenyum sinis malah ada yang mengutuk. Namun itu tak menjadi masalah pada Pak Man kerana sekurang-kurangnya dia berjaya membebaskan kampungnya dari gangguan pontianak malah dia sudah mempunyai isteri baru. Cantik pula tu!!

Peah yang baru bertukar menjadi manusia tersipu-sipu malu malah dia kekok untuk duduk bersama-sama dengan manusia. Tetapi dia cepat belajar, malah pada pandangan Pak Man dia memang layak dijadikan isteri. Malah Pak Man tak sabar-sabar untuk menikah dengannya. Yelah, dah lama menduda le katakan.

Maka pernikahan Pak Man dijalankan pada keesokan harinya dengan majlis di adakan secara ala kadar sahaja tetapi seluruh penduduk kampung berpusu-pusu untuk melihat jelmaan pontianak tersebut. Dan Pak Man juga tak sabar-sabar menunggu waktu malam untuk bersama dengan isteri barunya itu.

Namun begitu, keesokan harinya makin ramai orang berpusu-pusu ingin melihat gelagat pengantin baru yang mistik itu malah ingin mnemuramah Pak Man tentang ‘pengalamannya’ malam tadi. Tetapi mereka menemui pengantin lelakinya termenung dimuka tangga.

“Kenapa ni Pak Man?” tanya salah seorang penduduk kampung.

Pak Man hanya diam sahaja sambil dia mendongak ke atas pokok mangga di sebelah rumahnya. Maka ternampaklah semua orang bahawa Peah sedang nyenyak tidur di atas pokok. Mungkin kerana orang ramai yang bising-bising, Peah terjaga dan sambil tersenyum simpul dia berkata ..

“Er … saya tak biasalah tidur atas katil. Dah biasa tidur atas pokok kekabu di hujung kampung sana tu……”