Sunday, November 25, 2012

Misteri Tok Mahat Jual Sayur


Misteri ini telah lama menghantui sebuah kampung di utara tanahair. Tak payahlah nak sebut nama kampung ni. Nanti berebut-rebut pulak wartawan-wartawan cerita misteri datang nak buat cerita.

Kisah ini bermula apabila Tok Mahat meninggal dunia. Dia meninggal di sebabkan tercekik tempulur jagung yang direbus oleh isterinya, Mak Bedah.

Di dalam pengetahuan penduduk kampung, Tok Mahat seorang yang malas. Segala kerja dan urusan mencari makan diuruskan oleh Mak Bedah. Mak Bedah pula cuma menampung hidup dengan menjual sayur-sayur kampung yang dikutip di sekeliling kampung yang agak berhutan juga. Kalau kangkung dikutip di tepi parit. Kalau bayam pasir, di tepi-tepi jalan. Begitulah kehidupannya demi seorang suami yang malas.

Tetapi beberapa bulan sebelum kematian Tok Mahat, sayur-sayur jualan Mak Bedah berbeza sekali. Malah keuntungannya pula berlipat kali ganda. Mak Bedah sudah mula menjual sawi, kobis, cili padi, tauge dan macam-macam sayuran moden. Apabila di tanya dari mana dia mendapat bekalan sebegitu rupa. Dia menjawab..

“Tok Mahat kamu yang tanam.. Dapatlah untung sikit..”

Pelik juga bunyinya. Tok Mahat yang selama ini memang tersohor dengan pengumpul tahi mata terbanyak dan tertua, menjadi petani moden. Maka ramailah orang-orang kampung datang bertandang ke rumah Tok Mahat untuk melihat Tok Mahat bekerja. Akan tetapi orang-orang kampung tidak nampak pun Tok Mahat bekerja seperti mencangkul atau sebagainya.

Memang diakui bahawa persekitaran rumah Tok Mahat dah berubah. Pokok senduduk sebesar lengan dan lalang yang selama ini menjadi hiasan di rumah Tok Mahat telah berubah menjadi sebuah kebun sayur yang agak subur dan teratur. Tiada lagi kawasan yang selama ini menjadi hutan simpan yang tidak diwartakan.

“Assalamualaikum…!!” Tok Ketua memberi salam. Langsung tiada jawapan.

Salam kedua diberi … dan ketiga barulah berjawab. Ternampaklah Tok mahat dengan kain gombangnya sambil terpisat-pisat membuka pintu.

“Oh .. Tok Ketua. Apa hal ni ramai-ramai datang sini? Nak jemput aku makan kenduri ke?”

“Tak adalah Mahat, aku nak tengok kebun kau ni ha…” balas Tok Ketua.

Hairan sungguh Tok Ketua. Melihatkan keadaan Tok Mahat begitu, nyata dan sahih orang tua itu tidur sepanjang masa. Macam mana hutan simpannya boleh menjadi kebun sayur. Nak kata Mak Bedah yang mengerjakan kebun, tak juga. Orang tua itu sentiasa melilau sekeliling kampung menjaja sayur.

Dah namanya orang Melayu, mana boleh tengok orang senang sikit. Maka orang-orang kampung berpakat untuk mengendap, siapakah yang mengerjakan kebun tersebut. Manalah tahu, Tok Mahat sebenarnya kaya, mampu upah pekerja Indonesia ke buat kerja. Dapatlah mereka meminjam duit kalau terdesak.

Sepanjang hari mereka mengintip tiada sesiapa pun yang turun dari rumah Tok Mahat mengerjakan kebun sayur itu. Tepat 12 tengah malam, semasa pengintip tersebut sedang tidur-tidur ayam. Tiba-tiba mereka ternampak Tok Mahat turun ke kebun sayurnya dengan mengusung cangkul. Tok Mahat terus-terus mencangkul tanah dengan gagah tanpa henti. Tetapi Tok Mahat yang ini kelihatan bertenaga.

“Tok …. Buat apa mencangkul malam-malam buta ni…?” tegur salah seorang yang datang mengendap.

“Aku nak jual sayur. Nak raya tak lama lagi ni….” Jawabnya terus mencangkul tanpa menoleh ke arah orang yang menegurnya tadi.

Barulah mereka faham kenapa Tok Mahat tidur waktu siang, rupa-rupanya di waktu malam dia bekerja untuk kumpul duit nak raya. Maka orang-orang kampung pun pulanglah dengan tidak ada sedikit pun rasa hairan.

Tetapi seminggu selepas Tok Mahat meninggal, ada orang kampung masih melihat Tok Mahat mencangkul di kebunnya waktu tengah-tengah malam. Berita ini disahkan oleh kaki-kaki hendap di kampung tersebut yang terseremapak dengan Tok Mahat ketika melalui rumah arwah untuk menjalankan aktiviti tidak sihat mereka. Maka kecohlah cerita Tok Mahat membela hatu raya!

Sekali lagi mereka membuat intipan dan memang benarlah seperti diceritakan. ‘Tok Mahat’ dengan gagahnya terus mengerjakan kebun tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Tiba-tiba ‘Tok Mahat’ berdehem, sebahagian pengintip tak bertauliah itu bercempera melarikan diri. Malah ada yang tak sedar kain tertinggal di belakang.

Tok Ketua pula dengan lagak beraninya cuba bertegur sapa dengan jelmaan Tok Mahat itu.

“Er… Mahat, buat apa tu?” Tanya Tok Ketua terketar-ketar.

“Aku tengah mencangkul batas sawi ni. Dah nak raya tak lama lagi ni. Nak cari duit lebih..” jawab ’Tok Mahat’ dengan suara garau tanpa menoleh ke arah Tok Ketua.

Perlahan-lahan Tok Ketua berundur dan kemudian mengatur langkah seribu meninggalkan konco-konconya yang tak tahu apa-apa yang akhirnya ikut sama-sama melarikan diri.

Misteri ini kian berlarutan. Selepas Mak Bedah dipindahkan ke rumah orang-orang tua, ‘Tok Mahat’ menjadi semakin ganas. Bukan le ganas macam harimau ke beruang ke. Tapi ‘Tok Mahat’ dah mula mengetuk-ngetuk rumah orang kampung jual sayur tengah-tengah malam buta.

Dah bermacam-macam cara orang kampung guna untuk menghalau ‘Tok Mahat’ tersebut dari kampung. Tetapi tak berjaya. Semakin di halau, semakin banyak sayur yang dibawanya setiap malam. Dari mengandar bakul sehinggalah mengayuh basikal di tengah-tengah malam demi menjual sayur.

Atas desakan orang kampung, Sekali lagi Tok Ketua terpaksa menunjuk berani dengan mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah ini. Setelah pelbagai tangkal dipakai sampai ke lengan, Tok Ketua menuju ke rumah peninggalan Tok Mahat dan Mak Bedah. Dan kelihatan ‘Tok Mahat’ sedang memungut hasil tanamannya.

“Mahat …. Kau nak buat apa dengan sayur-sayur tu…” tegur Tok Ketua setelah berkoyan-koyan liur di telan menghilangkan rasa gemuruhnya.

“Aku nak jual. Dah dekat nak raya ni … nak kumpul duit sikit…” jawab Tok Mahat tanpa menoleh ke belakang.

“Nak raya apa pulak lagi. Raya dah lepas. Kau balik le tidur lagi baik. Tahun depan baru kau pungut hasil tanaman ni.” Tok Ketua bersuara lagi.

“Raya dah lepas ke?” Tanya ‘Tok Mahat’ sambil menoleh ke belakang 180’ tanpa menggerakkan badannya.

Tok Ketua menelan liur lagi sambil mengangguk-angguk macam belatuk. Terasa kakinya lembik macam sotong. Tetapi dia kena kuatkan semangat memandangkan konco-konconya sedang memerhati. Jatuhlah maruahnya sebagai ketua kampong kalau melarikan diri lagi. Cukuplah sekali dia lari…

‘Tok Mahat’ menyerahkan cangkulnya kepada Tok Ketua kemudian terus masuk ke rumahnya dengan muka masih dibelakang badannnya.

“Kau nak ke mana tu Mahat?” Tanya Tok Ketua dalam gigil.

“Aku nak tidur, tahun depan aku nak berkebun balik cari duit raya..” kata Tok mahat terus menutup pintu rumahnya.

Tok Ketua yang menyelesaikan masalah itu kemudiannya pengsan dan demam 2-3 minggu.

Semenjak itu Tok Mahat itu tak muncul lagi menjual sayur, tetapi tak lama kerana sebulan dua sebelum menjelang hari raya tahun berikutnya ‘Tok Mahat’ itu muncul lagi menjual sayur. Dan ketika itu Tok Ketua telah melarikan diri entah ke mana.