Sunday, August 5, 2012

Mekanik 1700


Mekanik 1700


Cerita ini berlaku di tak beberapa lama dahulu. Kisah ini berkisar pada seorang mekanik kereta terhandal di sebuah bandar kecil di selatan tanahair itu. Kehandalannya tiada tolok bandingannya, sehingga kereta yang barai pun mampu dihidupkan dan mampu memecut selaju kereta Formula 1. Kepakarannya bukan sahaja dikenali di sekitar bandar itu, malah sehingga ke luar daerah itu. Kerana kehandalan dan kepakaran itulah tauke bengkel membaiki kereta tempat dia bekerja teramat-amat menyayanginya. Kerana dialah, bengkel itu hidup. Kerana dialah bengkel itu maju. Dan kerana dia jugalah, taukenya mampu pakai BMW dan mampu beristeri 2 – 3. Semuanya kerana dia, kerana Leman Mekanik.

Namun begitu, walaupun tauke Leman Mekanik mampu berkereta besar dan berkeluarga besar, Leman Mekanik tidak pula begitu. Dia masih bermotorsikal Honda Kapchai dan mempunyai keluarga yang kecil. Seorang isteri dan seorang anak lelaki. Leman Mekanik seorang yang rajin bekerja, dan mampu menyiapkan beberapa buah kereta dalam sehari. Akan tetapi dia mempunyai satu tabiat buruk. Oleh kerana dia yang terhandal, malah terkenal, dia tidak suka orang komplen akan kerjanya. Dia juga mempunyai sikap yang panas baran dan akan bertindak melulu jika terlalu tertekan.

Pada suatu hari, hari Sabtu. Waktu itu bengkel tempat Leman Mekanik bekerja sudah nak labuhkan tirai tengahari itu. Leman Mekanik sudah bersiap-siap hendak balik awal kerana dia ada temujanji dengan kawan-kawannya di warung untuk menonton perlawanan bola sepak petang nanti. Pasukan favoritenya Manchester United dan pemain favoritenya David Beckham akan turun padang (pada waktu itu David Beckham masih bersama Manchester United). Selama dia menjadi peminat setia David Beckham, dia tak pernah lagi miss perlawanan pasukan favoritenya itu. Kalau kampungnya tak ada elektrik, sanggup dia naik motor ke bandar untuk menontonnya. Kalau motornya buat hal, sanggup dia berbasikal malah berjalan kaki bagi memberi sokongan kepada pasukan itu. Bukan dia tak boleh tengok di rumah, sebab di rumahnya tak meriah. Apalah isterinya tau pasal bola …. Bola ping pong pun dia tak beberapa kenal.

Semasa bersiap-siap itulah sebuah kereta agak baru bernombor plat MAP 1700 masuk ke bengkelnya. Leman Mekanik buat-buat tak nampak sahaja dan dia cepat-cepat nak balik. Tetapi taukenya memanggil sebaik sahaja kakinya mula nak ‘menyetat’ motor Honda Kapchainya. Dengan muka yang mencuka dia datang juga ke arah taukenya.

“Leman, lu buat ini kereta. Dia mau balik Perlis la …. Ada urgent punya kes…” kata tauke tersebut.

“Mana boleh tauke, sekarang sudah mau balik. Lu suruh budak lain lah…” balas Leman Mekanik.

“Aiyaa .. Leman, ini orang mau lu saja bikin. Lu bikin banyak baik ooo….” Kata tauke itu lagi sambil tuan punya kereta itu tersengih-sengih menampakkan giginya yang kuning berkarat.

Dari segi berpakaian dia memang nampak macam orang kaya. Tapi tak taulah kalau setakat drebar aje.

“Tolonglah tauke ….saya nak balik. Nanti bini saya marah saya laa….” Rayu Leman Mekanik.

“Nanti sikijap aaa….” Jawab taukenya sambil berbincang dengan tuan punya kereta tersebut.

Setelah berbincang ala kadar, Leman Mekanik nampak tuan punya kereta itu menghulurkan sejumlah wang kepada taukenya.

“Macam inilah Leman, lu buat ini kereta, wa kasi lu sikit duit minum ….. tak banyak …. Kasi servis saja….” Pujuk taukenya sambil menyelitkan not RM 50.00 tiga keping ke dalam poket bajunya yang hampir rabak itu.

Dengan muncung panjang sedepa, dan muka yang masam macam cuka tercampur asid hidroklorik, Leman Mekanik terus membuka bonet kereta tersebut dengan kasar dan melakukan kerjanya sepantas yang boleh sambil mulutnya tak habis-habis merungut geram dan marah.

“Er… Leman …. Jaga baik-baik aa…… nanti saya punya kereta kotor…” bisik tuan punya kereta itu membuatkan hati Leman Mekanik mula panas.

‘Jaga kau ….. tak mau kotor ye..’ bisik hati Leman Mekanik,

Setelah 30 minit berlalu dan kereta tersebut hampir siap di’servis’, Leman Mekanik membuat sentuhan terakhirnya. Dengan nada geram, marah, kecewa dan macam-macam lagi dia menarik tali brek kereta tersebut. Dengan penuh professional dia memotong tali brek tersebut sedikit tetapi  tidak putus. Sekurang-kurangnya ia masih boleh digunakan untuk setekan dua.

Setelah siap sahaja ‘kerja’nya, Leman Mekanik terus sahaja balik meninggalkan asap berkepul-kepul tanpa menoleh ke belakang lagi.

Petang itu Leman Mekanik lewat menjemput isterinya bersidang di rumah kawan-kawannya. Setelah memberi pelbagai alasan untuk memendekkan muncung isterinya, dia terus ke sekolah untuk menjemput anaknya yang bersekolah tambahan petang itu. Dengan Honda Kapchai yang dah layak masuk Arkib Negara itu dia tiga beranak meneruskan perjalanan balik ke rumah yang letaknya kira-kira 4 km dari rumahnya sebelum dia sendiri akan bersidang bola di warung berdekatan. Sampai sahaja di suatu simpang, dia keluar dari simpang itu setelah pasti tiada kenderaan yang melintas. Tetapi tak semena-mena dari arah hadapannya sebuah kereta laju ber’desup’ dalam keadaan hilang kawalan dan yang paling mendebarkannya kereta itu sedang menuju ke arahnya. Dan dalam pengamatan matanya no plat kereta itu MAP 1700!!!!

Leman Mekanik membuka matanya dan dia rasa berpinar-pinar. Dia cuba bangun tetapi dia rasa seluruh tubuhnya sakit dan tidak bermaya. Terdengar disekelilingnya orang menangis dan bila di amati itu adalah suara ibunya.

“Leman, sabar nak…!” tangis ibunya.

“Sapiah mana mak …?” Tanya Leman Mekanik perlahan.

“ICU..” jawab satu suara. Ayahnya.

“Anak saya?”

Semua terdiam.

“Anak kau dah meninggal semasa kemalangan tempohari,” jawab ayahnya perlahan.

Leman Mekanik menangis, tetapi air matanya seperti tak mahu keluar. Dia cuba mengingati sesuatu.

Ya … kereta MAP 1700 itu dengan lajunya merempuh dia tiga beranak di simpang tiga itu. Waktu itu dia sudah melayang bak The Greatest American Hero yang terbang tak reti nak landing. Terdengar juga jeritan isteri dan anaknya dan …. Dia sendiri pun tak tahu apa yang terjadi seterusnya.

“Kau koma dah seminggu, Leman…” kata ayahnya lagi.

Leman Mekanik masih teringat kereta itulah yang terakhir di’pomen’nya, dan kereta itulah yang meragut nyawa anaknya. Atas kesalahan dirinya sendiri, yang memotong brek kereta itu. Kalaulah dia bersabar …. tentu ini semua tak berlaku.

Dua hari Leman Mekanik tak mahu makan kerana menyesali atas perbuatannya. Berkali-kali dia menangis meratapi kesilapannya. Dan seterusnya isteri Leman pula dijemput Ilahi. Dan kali ini Leman Mekanik tak segan silu meraung. Dia kehilangan keluarganya kerana kesalahan sendiri. Dia tak tahu kepada siapa dia nak minta maaf. Kepada isterinya? Anaknya? Atau tuan punya kereta tersebut? Dengar kata tuan punya kereta itu pun tersadai di ICU.

Berhari-hari Leman Mekanik tak lalu makan. Dia terlalu menyesal dan dia berjanji dengan dirinya sendiri bersaksikan misi-misi, mak bapanya serta jiran-jiran di katil bersebelahan dengannya yang dia akan menebus segala dosa-dosanya itu, dia mesti .!! Akan tetapi hajat itu tak kesampaian apabila Leman Mekanik pula pergi meninggalkan dunia ini.
*****


Di suatu hari, Johan telah bersiap-siap hendak pulang ke kampung menjenguk datuk serta neneknya. Dia yang bekerja sebagai kerani am di sebuah pejabat guaman di Kuala Lumpur berhajat untuk memandu sendiri kereta barunya, iaitu sebuah kereta Datsun lama. Dengan gaji sebagai kerani am dan duduk pula di Kuala Lumpur, itulah kereta paling mahal yang mampu di milikinya. Padanya, orang kampungnya yang duduk di solok hutan banat tu pasti bangga melihat dia berkereta. Tak kiralah apa jenis kereta itu, yang pastinya berkereta kerana di kampung itu nak jumpa tayar kereta pun payah. Kalau di depan rumah terdapat tayar kereta yang layak buat tukun pun, orang akan kata tuan rumah itu kaya apatah lagi kalau sebijik kereta parking di tengah-tengah laman. Pasti orang akan datang berduyun-duyun bagi menyaksikan kereta tersebut dari jarak dekat. Glamour le dia masa tu.

Setelah diperiksa segala kelengkapan kereta itu, Johan bertolak dari KL seawal 12.00 tengah malam. Niatnya nak sampai ke kampung lebih kurang pukul 4 pagi. Kasi orang kampung surprise sikit pagi esoknya.

Dia menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak lagu dari radio kecil yang diletakkan di tempat duduk penumpang disebelahnya. Yelah … kereta lama, radio ada tapi tak boleh pakai. Dah ‘sezen’ sesangat. Sekali tekan punatnya, nescaya terbarai terus.

Ketika jam menunjukkan pukul 2 pagi tiba-tiba ….

Kereta yang dipandu dengan lancar mula tersenggut-senggut. Johan mula berpeluh dingin kerana dia benar-benar berada di tengah-tengah kawasan hutan. Dia perhatikan kandungan minyak keretanya, masih ada separuh lagi. Dia perhatikan sekeliling, tiada rumah orang, tiada kenderaan lalu lalang malah tiada lampu jalan. Akhirnya perkara yang paling-paling merisaukan Johan berlaku, apabila kereta yang tersenggut-senggut itu mati enjinnya di tengah-tengah hutan banat itu.

Dia cuba menghidupkannya beberapa kali tetapi sia-sia.

‘Ah …. Tadi kat bandar tak nak buat hal. Dah masuk hutan mcam ni… baru nak buat hal..’ bisik Johan perlahan sambil membuka bonet enjin keretanya.

Walaupun dia tak faham satu apa pun pasal enjin kereta, dia membelek-belek wayar-wayar serta benda-benda yang entah apa-apa di dalam enjin kereta tersebut. Manalah tau, nampak benda pelik sikit, mungkin itu puncanya. Tetapi pada Johan semua benda di dalam bonet itu pelik-pelik belaka.

Johan menunggu kalau-kalau ada kereta atau motorsikal melalui jalan itu. Bolehlah dia minta pertolongan. Tetapi bermula dari dia terberhenti tadi, jangankan kereta, katak pun tak ada yang melintas. Dia menjeling ke arah jam tangannya, dengan bias lampu keretanya yang dari tadi menyala, dia mendapati dia dah tercegat di situ hampir satu jam. Keadaan sekeliling yang sejuk mencengkam ke tulang hitamnya membuatkan dia menggigil di tambah pula dengan kegelapan dinihari di tengah-tengah hutan pula tu, membuatkan kepala lutut Johan berlaga-laga seperti berlagu tango. Manalah tahu tiba-tiba muncul benda yang tak diundang pula.

Johan cepat-cepat melangkah masuk ke keretanya, kononnya nak selamatkan diri dari ….

Tiba-tiba matanya terpandang satu cahaya malap dan jauh dari arah hadapannya ..seperti melayang-layang!

‘Alamak … hantu …!!!’ fikir Johan lalu terus mengurung dirinya di dalam kereta. Cepat-cepat dia mengunci pintu dan memejam mata rapat rapat sambil mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci yang sebenarnya dia sendiri pun tak tahu ntah ayat apa yang dibacanya..

Setelah agak lama matanya terpejam dia perlahan-lahan membuka mata untuk memastikan keadaannya selamat. Tiba-tiba tingkapnya diketuk dari luar , hampir terkencing dia apabila melihat seorang lelaki bermotorsikal sedang memerhatikannya sambil memberi isyarat supaya membuka cermin tingkap. Dengan perlahan dia memutar tombol tingkap dan menurunkan sedikit cerminnya.

“Kereta rosak ke dik?” Tanya lelaki itu sambil tersenyum.

Dia memerhatikan lelaki itu atas dan bawah. Dalam pemerhatiannya lelaki itu berumur lingkungan 30-an itu. Lelaki itu berpakaian moden dan berkasut getah. Tetapi agak kotor dan comot sedikit.

“Jangan takut, abang ni pomen kereta. Kebetulan malam ni balik lewat, tengok bola kat rumah kawan. Kereta rosak ke dik?” Tanya lelaki itu kembali.

“Er … ye..ye…” jawab Johan masih terkedu

“Biar abang tengokkan.” Kata lelaki itu tanpa dipinta.

Perlahan-lahan Johan turun dari keretanya dan membuntuti lelaki itu.

“Lewat juga abang balik ye …?” Tanya Johan agak gigil.

“Tak takut ke bang …?” Tanya Johan lagi.

“Alah … dah biasa dik. Kawasan ini kawasan abang. Abang tinggal pun tak jauh dari sini.” Jawab lelaki itu tanpa menoleh ke arah Johan.

“Er.. saya Johan..” kata Johan sambil menghulurkan tangan.

“Maaf dik, tangan abang kotor berminyak ni… er .. nama abang .. panggil aje Abang Man.” Kata lelaki itu ramah.

“Nak pergi mana ni Johan?” tanya Man.

“Nak balik kampung bang, tengok datuk dengan nenek.” jawab Johan perlahan.

“Kampung kat mana?”

“ Kampung Sungai Senget.”

“Dah dekat dah tu, tak apelah Johan duduklah dulu, biar abang habiskan kerja abang…” kata Man .

Johan mengangguk. Dia perhatikan jam di tangannya, hampir pukul 4 pagi. Dan dia memerhatikan Man tadi membetulkan keretanya. Matanya mula memberat, mengantuk dan sedar tak sedar dia terlelap seketika.

“Johan, cuba kau start enjin ni..” arah Man membuatkan Johan terkejut.

Tanpa berlengah-lengah dia terus menghidupkan enjin kereta itu, dan …

Drummmm!!!! Enjin itu mengaum.

Johan tersenyum.

“Terima kasih bang … kalau abang tak ada tadi, sampai sianglah saya tersadai. Entah-entah sampai lusa, kalau tak ada orang lalu. Er… berapa ni bang?” tanya Johan sambil tangannya menyelok poket mengeluarkan beberapa not RM 50.

“Tak payahlah …. Abang tolong ni ikhlas. Simpan aje duit tu buat belanja atuk dan nenek kamu.” tolak Man.

“Jangan macam tu bang. Abang dah penat-penat tolong saya.ni…” pujuk Johan.

“Ala … tolong sikit aje. Ni bukan boleh pakai terus, esok kau carilah mana-mana bengkel betulkan lagi kereta ni. Abang buat sekadar kau sampai kat rumah aje..” kata Man lagi

“Betul bang? Saya akan ingat abang sampai bila-bila… terima kasih bang…. Terima kasih….” kata Johan sambil menyimpan kembali wangnya dan terus bersedia untuk meneruskan perjalanannya yang tersangkut tadi.

Tiba-tiba Johan teringat, bahawa dia tak sempat bersalaman dengan Man. Terasa kurang ajar pula dia, lantas dia memberek dan menoleh ke belakang tetapi kelibat Man dah tak kelihatan lagi.

‘Dah balik agaknya dia …’ fikir Johan lalu meneruskan perjalanannya.

Sesampai sahaja dia di rumah datuk dan neneknya, azan subuh dah berkumandang dan dia disambut oleh neneknya.

“Maaf nek terlambat … kereta rosak tengah jalan tadi…”

“Abis tu, kamu tak apa-apa..” kata neneknya gusar.

“Tak ada apalah nek. Saya selamat. Nasib baik ada sorang abang tu tolong. Kalau tak, tak tahulah saya…”

Setelah meletakkan beg bajunya, Johan terus melabuhkan tubuhnya dan tertidur sehinggalah dia terdengar bunyi kecoh-kecoh di luar rumah neneknya.

‘Ah… orang-orang kampung….’ bisiknya.

Dia sudah faham, orang-orang kampungnya akan berkerumun melihat keretanya terutama kanak-kanak macam semut menghurung gula.

“Kaya cucu kau Som ….. dah pakai kereta besar !!!” itulah antara kata-kata yang didengarnya yang ditujukan kepada neneknya.

Kembang kempislah hidung orang tua tu dipuji.

“Er nek, saya nak pergi bengkel kereta kat bandar kejap, nak check tengok apa masalah kereta ni nenek nak ikut tak?” ajak Johan.

“Atuk nak ikut, nak jugak merasa naik kereta besar kau tu!” sampuk atuknya.

“Ah… nenek nak masak… bawak atuk kau tu cukuplah..” jawab neneknya.

Setelah kedua datuk dan cucu itu melabuhkan punggung ke dalam kereta itu, Johan mencucuk kunci keretanya sambil datuknya bersandar disebelahnya.

Akan tetapi …. Setelah beberapa kali kunci diputar, enjin keretanya tak hidup. Bukan setakat tak hidup, apa bunyi pun tak ada.

“Ala…. Kereta ni apa lagi yang rosaknya …..” rungut Johan sambil menarik picu pembuka bonet enjin keretanya.

Dia perlahan-lahan membuka bonet itu dan ..

“Makkkk ……..!!!!!” Johan terjerit sambil melepaskan pintu bonet itu dan jatuh terduduk di hadapan kereta itu dengan dada berdebar-debar.

“Apasal Johan…. Ada ular dalam kereta kau ke?” kata datuknya cepat-cepat meluru ke arah cucunya yang dah merah padam.

“Tuk … Sapa yang belek kereta saya awal-awal pagi tadi?” Tanya Johan.

“Er…. Ketua kampung … anak dia….bini dia ….”

“Ada tak sesapa bukak bonet enjin kereta ni?”

“Ish … mana le dia orang tau apa-apa pasal kereta. Lagipun kan ke kau kunci kereta tu… Kenapa Johan?”

“Enjin dia dah kena curik tuk…” kata Johan agak marah.

“Ah … kau tu salah bukak … Hari tu, atuk tengok kereta anak Samad tu enjinnya kat belakang. Cuba kau bukak kat belakang dia…?” kata datuknya penuh konfiden.

“Tu kereta jenis lain tuk …Mesti budak-budak kampung ni punya kerja..” balas Johan.

“Mustahil Johan, sejak kau sampai pagi tadi, atuk dah mengadap kereta kau sampai sekarang ni ha …. Kalau ada orang curik akulah yang nampak dulu. Lagi pun tak de sapa yang pandai buka-buka kereta kat kampung ni… lagi pun macam mana pencurik tu nak bawa enjin tu . Kat sini semua orang bawak basikal, sapa nak beli… kau pun sampai dah siang, sapa nak curik enjin kereta kau siang-siang buta ni ha..!”

Betul juga kata-kata datuknya, tapi dia membawa kereta itu begitu lancar sehingga selamat sampai ke rumah datuk dan neneknya. Dia jadi bingung. Dia kembali mengadap ruang kosong dalam bonet enjin keretanya. Kosong, satu apa pun tak ada hatta sebiji skru pun. Ia seolah-olah di bawa keluar satu set dengan begitu rapi dan teliti.

Dengan berat hati dan sedih, dia akhirnya ke Pondok Polis berdekatan untuk membuat aduan kehilangan enjin keretanya.

Semasa dia sedang memberi keterangan kepada pegawai polis bertugas dari A sampai Z, tiba-tiba dia ditegur oleh seorang lagi pegawai polis yang baru sahaja masuk ke pondok polis itu.

“Enjin hilang? Hmmm … pagi tadi ada orang buat aduan, jumpa satu set blok enjin kereta kat tepi jalan tengah-tengah hutan menuju ke kampung ni. Itu kamu punya tak? Kami dah bawa ke sini, ada kat belakang sana tu. Cuba kamu tengok ….” kata pegawai polis itu sambil menuding ke belakang pondok polis.

Tanpa berkata sepatah pun, Johan terus berlari ke belakang dengan debaran yang agak kuat.

Setelah diperiksa dan di amati dengan penuh teliti. Sah…!! Itulah blok enjin keretanya yang hilang pagi tadi!

“Ya encik…. Saya punya tu.. tapi macam mana boleh ada kat hutan tu?” Tanya Johan.

“Tak tahulah saya …. Tapi enjin tu macam dikeluarkan satu set. Tak bercerai langsung pun..” kata pegawai polis itu.

“Encik nak buat kes?” tanyanya lagi.

“Er… tak payahlah encik… barang yang hilang pun dah ditemui…Saya nak panggil orang bengkel kereta ambil enjin tu dan pasang balik. Terima kasih ye encik.” Kata Johan sambil berlalu.

Sementara itu kepalanya masih berfikir bagaimana benda sebegini boleh belaku. Enjin dikeluarkan tanpa menceraikan komponen-komponennya. Sebijik satu set!. Dan di tinggalkan lebih kurang 20km dari kampungnya. Mustahil, dia sampai awal pagi dan tiada sesiapa pun yang nampak orang mengusung enjin kereta itu sehingga 20km jauh!

Enjin kereta itu di bawa ke bengkel di bandar bersama-sama dengan keretanya.

“Apa pasat ini kereta?” tanya tauke bengkel itu.

“Tak tau la tauke, panjang cerita lah … lu tengok sendirilah…” kata Johan.

“Haiyya ….. enjin keluar abis aa?!!!”

“Lu boleh kasi cerita …. Macam mana ini sudah jadi.?” tanya tauke itu dengan pelat pekat cinanya kepada Johan.

Maka untuk ke sekian kalinya Johan bercerita bagaimana musibah ini boleh terjadi daripada dia di Kuala Lumpur, hinggalah dia tersadai di tepi jalan, di tolong seorang lelaki bernama Man dan sampailah enjin keretanya hilang.

“Itu lelaki nama Man aa?” tanya tauke cina itu lagi.

Johan hanya mengangguk.

“Dia punya rupa ini macam ka …?” tanya tauke itu sambil menunjukkan sekeping gambar yang sudah lusuh dari dompetnya.

“Ya..ya….! Lu punya pekerja ka tauke …?” tanya Johan pula.

“Ya ….Dulu dia kerja sini. Dia banyak pandai oo… Macam lu punya kereta, sekali petik … itu kereta sudah jadi macam itu kereta F1 punya.” cerita tauke itu lagi.

“Saya banyak terima kasih sama dia la tauke. Mana dia …?”

“Dia sudah tak da …. Ini injin keluar aa… pun dia punya kelija…. Ini kes aa … bukan hali ini saja tau. Sudah banyak kali. Lu bukan orang pertama dan bukan orang terakhir … lain tahun aa… mesti ada lagi ini kes berlaku….” Kata tauke itu membuatkan Johan bingung.

“Tapi …. Dia sudah tolong sama saya? Lu tak baik la tauke cakap dia itu macam..” Kata Johan cuba membela.

“Mana dia tinggal… saya mau cari dia…” tambah Johan lagi.

Lama tauke cina itu diam ……

“Dia sudah 10 tawun mati ooo…..!!!” jawapan tauke cina itu membuatkan Johan menelan liur berkali-kali. Air liurnya itu terasa kesat macam pasir lombong menuruni anak tekaknya.


“Sejak itu aa…. Tak semua la … nasib la sapa-sapa kereta rosak tengah malam sekitar tempat ini, ‘dia’ akan tolong sampai itu orang selamat sampai rumah atau bengkel saya. Tapi itu enjin mesti tak ada, tinggal tepi jalan. Tak tau la, macam mana itu kereta boleh jalan tak ada enjin. Itu lu kena tanya ‘dia’ la …” cerita tauke itu lagi membuatkan Johan kecut perut dan ngeri.

Patutlah dia nampak lampu motorsikal itu melayang-layang pada malam itu. Patutlah lelaki itu enggan bersalaman dengannya ….

Siapalah agaknya mangsa Leman seterusnya ….