Monday, May 7, 2012


Kerana Sumpah …. Munirah

Cerita ini terjadi tak beberapa lama dahulu di sebuah bandar yang tak beberapa besar di selatan tanahair. Cerita ini adalah pengalaman Selamat bin Mahat, seorang pemuda yang berusia akhir 20-an. Anak bongsu dari 10 adik beradik.

Selamat adalah seorang dispatch di sebuah firma guaman. Biasanya selepas waktu bekerja dia akan merambu bersama sahabat handainya menghabiskan masa serta duit gajinya. Selain daripada itu dia juga adalah jaguh lumba haram dengan kapcainya yang dah diubah suai dengan kelajuan ala-ala sebuah jet pejuang. Habuannya tak seberapa, kalau tak sekeping dua not lima puluh ringgit, pasti seekor bohsia yang entah dari mana dikutip.

Di suatu malam yang kelam, sewaktu Selamat baru sahaja selamat menjuarai sebuah lumba haram. Dia balik sendirian. Tiba-tiba dia di tahan oleh seorang gadis di bawah sebatang pokok di simpang jalan. Dengan lagak macho dia memberhentikan motorsikalnya.

“Ye dik, boleh abang tolong?” tanya Selamat sebaik sahaja motor kapcainya berhenti dihadapan gadis itu.

Gadis itu yang berkulit putih kuning, berbaju kebaya nyonya tersenyum.

“Boleh tak abang tumpangkan saya sampai ke rumah saya?” pinta gadis itu.

“Boleh …. Boleh …. Apa tak boleh pulak. Dah tengah malam ni …..Biar abang tolong hantarkan….” Jawab Selamat sambil air liurnya meleleh sambil memerhati gadis berkenaan.

Dalam hatinya berkata, ‘…..boleh le aku ‘kenduri besar’ malam ni ..heh..heh..heh …!’

“Rumah adik kat mana?” tanya Selamat.

“Er … er…er… tak tau la bang…?” jawab gadis itu perlahan sambil menundukkan kepalanya.

“Habis tu, abang nak hantar adik ke mana?” tanya Selamat lagi.

“Saya ikut abang ajelah …” jawapan yang membuatkan Selamat kini dah mula bertanduk dan berekor cabang.

Sebaik sahaja gadis itu bertenggek di belakangnya, dia terus memecut terus ke rumah bujangnya iaitu di sebuah ‘setinggarden’ di belakang sebuah kondo mewah.

Sesampai sahaja di rumah, Selamat mempelawa gadis itu masuk dan duduk di ruang tamu rumahnya.

“Siapa nama adik …?” Tanya Selamat, buat-buat baik.

“Munirah…” jawabnya pendek.

“Munirah lari dari rumah ke..?” tanya Selamat serkap jarang.

“Saya memang tak ada rumah, baru nak cari tempat berlindung. Saya baru datang dari kampung.” jawab Munirah lambat-lambat dan masih lagi menundukkan mukanya.

Selamat sudah tidak sabar untuk ‘berkenduri’, mula mendekatkan dirinya pada gadis itu.

“Tak apa, Munirah boleh tinggal di sini…” jawab Selamat sambil tangannya mula merayap ke bahu gadis itu.

“Ye ke bang …!!!” Munirah hampir melonjak menyebabkan Selamat juga melonjak gembira.

Tat kala itu, suara Munirah yang lembut tadi hampir garau bunyinya.

“Err… bang boleh ambilkan saya air, tekak rasa terasa kering la…” pinta Munirah sambil merenung Selamat dengan tajam.

Renungan Munirah menjadikan Selamat terketar. Tak tahu kenapa dia begitu ngeri melihat renungan itu. Sedar tak sedar dia dah melangkah ke dapur. Di dapur, peluh jantannya mula menitis. Entah kenapa romanya meremang tak tentu pasal. Namun begitu dia membawa juga segelas air. Hasratnya untuk ‘berkenduri’ tiba-tiba lenyap seketika. Setibanya di ruang tamu yang cuma sekangkang kongkang itu, dia melihat Munirah sedang termenung menghadap tingkap yang separuh terbuka. Rambutnya yang tadi diikat rapi, kini terurai melepasi bahu.

Dengan terketar-ketar dia menuju ke arah Munirah.

“Er …..Munirah …ini airnya ….” Selamat menghulur segelas air kosong dan Muniarah menoleh ….

“Mmakkkk…….!!!!” Jerit Selamat tiba-tiba dan gelas berisi air kosong itu jatuh berderai ke lantai.

Munirah yang menoleh itu bukan lagi gadis cantik yang dibawanya tadi, tetapi ‘sesuatu’ yang berwajah hodoh lagi mengerikan.Dengan muka yang sopak seperti kain buruk tersimbah klorox, dengan hidung yang rompong serta mata yang terjojol dan hampir tersembul keluar. Angin pula menerjah masuk melalui tingkap yang separuh terbuka itu membawa bersama sekali bau busuk dari makhluk itu, yang menyebabkan Selamat rasa macam nak buraikan isi perutnya di situ juga.

“Abang kata, saya boleh tinggal di sini…” kata Munirah dengan suara garaunya sambil menampakkan juih-juih bibirnya yang hampir terkulai dibaris-baris giginya yang berkarat pekat.

“Jangan ganggu aku …. Pergi …..!!!” jerit Selamat yang kini sudah mula terasa tak selamat.

Makhluk itu ketawa panjang, sambil menyeringai menampakkan ketul-ketul daging busuk di pipinya.

“Bang, saya cuma nak mintak tolong aje. Saya memang nak tinggal di sini, tapi bukanlah dalam keadaan begini. Saya ada bawa bersama paku dengan tukul ni. Abang boleh paku tengkuk saya dan saya akan berubah menjadi manusia. Saya akan menjadi teman abang seumur hidup.Percayalah..” Kata Munirah sambil menunjukkan paku sebatang dan tukul yang entah dari mana datangnya.

Selamat menelah liur. Dia juga teringat kata orang tua-tua, Pontianak kalau dipaku tengkuknya akan menjadi wanita cantik. Tapi betul ke dia ni pontianak? Ke … hantu jenis lain sengaja nak menyakatnya.  Dia masih lagi berkira-kira untuk memaku tengkuk makhluk hodoh itu.

“Kau akan berubah jadi cantik macam tadi ke..?” tanya Selamat ragu-ragu.

Makhluk itu mengangguk perlahan.

“Bila saya sudah berubah, abang akan terima saya? Dan saya boleh tinggal di sini selamanya?”

“Er….er…er…”

“Janjilah bang …. Saya tak akan mempersiakan abang..” rayu makhluk itu lagi.

Setelah agak lama berkira-kira di hadapan makhluk yang entah hapa-hapa itu, Selamat bersuara..

“Abang berjanji akan terima Munirah dan .. abang bersumpah akan jaga Munirah seumur hidup abang!” sambung Selamat, dan diotaknya kini bagai tv yang diubah siarannya daripada takut kepada hasratnya tadi untuk ‘berkenduri’ bila Munirah bertukar menjadi manusia semula.

“Abang bersumpah? … Jangan main-main dengan sumpah bang …Nanti kena panah petir…” kata makhluk itu lagi.

“Abang tetap bersumpah!! Abang tak kisah….” Jawab Selamat penuh yakin kerana diruang matanya kini ternampak Munirah tanpa seurat benang pun.

Dengan rasa seram, ngeri, takut dan segala yang sewaktu dengannya dia mengambil paku dan tukul itu sambil Munirah menyelak sedikit rambutnya yang kusut masai dan berbau seperti bangkai gajah mati seminggu. Dengan penuh kudrat dia menghampiri dan melihat satu lubang di tengkuk makhluk itu yang berkedut-kedut. Dengan hidung yang kembang kempis menahan bau busuk, dia memaku sekuat-kuat hati menyebabkan makhluk itu menjerit nyaring. Selari dengan jeritan itu Selamat lari berlindung di sebalik sebuah kerusi.

Dengan mata kepalanya sendiri dia melihat makhluk itu berubah sedikit demi sedikit menjadi Munirah yang tadi. Bau yang busuk pula kian hilang. Dan akhirnya Munirah jatuh terjelepuk ke lantai dengan nada tercungap-cungap serta muka tertunduk ke lantai.

Selamat cuba menghampiri sambil menyentuh bahu Munirah.

“Abang sumpah tak akan tinggalkan saya?” tanya Munirah lagi dengan suara lembut seperti mula-mula tadi.

“Abang sumpah… Munirah…” kata Selamat sambil terus menarik Munirah ke dalam pelukannya.

Dia menikmati segala lekuk dan kehangatan tubuh Munirah yang berada di dalam pelukannya.

“Saya yakin abang akan tunaikan sumpah abang …” kata Munirah lembut sambil memeluk Selamat. Selamat tersenyum lebar dan kemudiannya melepaskan pelukannya.

Tiba-tiba ..

“Aaaaa….!!!”  Selamat terjerit dan Munirah tersenyum.

Munirah yang berada di depannya memang Munirah tadi tapi ……… Selamat terus pengsan.

Apabila dia terjaga aje , dia akan pengsan lagi. Begitulah Selamat selama tiga hari tiga malam. Namun begitu Munirah dengan sabarnya menjaga Selamat dengan baik.

Dan kerana sudah tiga hari tak bekerja, rakan sekerja Selamat datang ke rumah untuk melihat keadaannya, adakah dia selamat atau tidak.

Apabila pintu dibuka sebaik sahaja salam di beri..

“Er…. Mak cik ni mak Selamat ke..?” tanya rakan sekerja Selamat .

“Tak lah …. Saya bakal isteri dia…” jawab Munirah tersenyum simpul dengan muka berkedut seribu yang seboleh-bolehnya dimaniskan.